.

27 Jun 2009

SUAMI NYATA HASRAT CERAI


Fikrah Dr. Salam, Harian Metro

SOALAN

APAKAH pendapat Dr jika suami pernah berkata kepada saya, 'selepas bersalin, saya (suami) akan ceraikan awak'.

Suami juga pernah bercerita mengenai hasratnya untuk menceraikan saya selepas bersalin kepada ibunya. Adakah talak akan jatuh selepas saya bersalin?


KELIRU,
Johor.


JAWAPAN

TALAK tidak jatuh dengan kata-kata itu kerana ia hanya berupa hasrat. Talak jatuh apabila suami benar-benar mentalakkan anda selepas bersalin seperti katanya 'aku talak engkau dengan talak satu'.

Seorang suami hendaklah berfikir semasak-masak sebelum menceraikan isterinya. Talak adalah jalan penyelesaian terakhir dalam krisis rumah tangga.

Allah berfirman, maksudnya: "Wahai Nabi! Apabila kamu - (engkau dan umatmu) hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya, dan hitunglah masa idah itu (dengan betul) serta bertakwalah kepada Allah, Tuhan kamu. ..." (al-Quran, al-Talaq- 65: 1)

KAHWINI SEPUPU

Fikrah Dr. Salam, Harian Metro

SOALAN

SAYA ada seorang rakan yang mengadakan hubungan cinta dengan sepupunya apabila bapa lelaki dan bapa wanita berkenaan adik-beradik.

Persoalannya adakah mereka boleh bernikah sedangkan bapa mereka adalah adik-beradik dan apakah hukumnya?


Ini kerana lelaki terbabit terlalu mencintai wanita berkenaan dan wanita itu tidak boleh mengandung disebabkan menjalani pembedahan membuang kanser rahim. Tiada seorang pun yang mahu menerima wanita berkenaan disebabkan masalah itu.

HAMBA ALLAH,
Kuala Lumpur.


JAWAPAN


PERKAHWINAN antara sepupu masih dibenarkan dalam Islam. Memilih untuk mengahwini gadis itu adalah pilihannya sendiri. Islam tidak menghalang perkahwinan berkenaan.

Bagaimanapun, Islam lebih menyukai agar suatu perkahwinan itu dapat melahirkan zuriat yang ramai.

Dalam hubungan ini ada seorang lelaki bertanya Rasulullah s.a.w bermaksud: "Wahai Rasulullah, saya jatuh cinta dengan seorang perempuan yang berketurunan baik, berkedudukan dan kaya cuma dia tidak boleh beranak. Adakah boleh saya berkahwin dengannya?" Rasulullah s.a.w melarangnya. Kemudian lelaki itu datang dan bertanya kepada Rasulullah kali kedua. Rasulullah menjawabnya sama dengan pertama. Lelaki itu datang dan bertanya kali ketiga. Lalu Rasulullah menjawab: "Berkahwinlah dengan perempuan yang boleh beranak ramai dan bersifat lemah lembut serta bermesra, sesungguhnya aku akan bermegah dengan kamu terhadap umat yang ramai." (Hadis Riwayat Abu Dawud, an-Nasa'i dan al-Hakim)

MAKI TUHAN

Fikrah Dr. Salam, Harian Metro

SAYA seorang pelajar Islam dan ada satu masalah besar yang mengganggu kehidupan saya. Saya pernah fikirkan atau bercakap dalam hati (memarahi Tuhan dalam bahasa lucah). Bukan sekali tetapi banyak kali.

Kali pertama adalah pada masa saya menghadapi masalah tidak dapat mengambil wuduk secara sempurna. Saya mengambil wuduk banyak kali sampai baju saya basah. Saya jadi marah dan menangis.

Kemudian saya berwuduk dalam keadaan hati yang tidak tenang dan sedang saya berwuduk, hati saya memarahi Allah.


Saya berhenti di situ dan mengucapkan syahadah. Saya tidak tahu kenapa saya terfikir begitu.

Setahu saya apa yang saya marah itu adalah dikawal oleh akal saya, tetapi kenapa saya fikirkannya berulang-ulang atau memarahi Tuhan berulang-ulang.

Kali kedua, baru-baru ini ayah saya mendapat sakit jantung dan membuatkan saya hilang akal dan tidak dapat menumpukan perhatian kepada apa-apa pun. Tidak tahu kenapa saya berasa tuhan itu membalas dosa saya (memarahi tuhan) kepada ayah saya.

Hati saya mula memarahi tuhan dalam bahasa lucah berulang kali. Maafkan saya tetapi saya perlu berterus terang.

Saya sekarang tidak dapat berfikir dengan tenang, bahkan tidak tahu sama ada saya masih seorang Islam atau tidak. Adakah saya terkeluar dari Islam atau menyekutukan Allah?

Saya juga seorang yang kurang solat. Saya harap Dr dapat memberikan saya jawapan yang dapat menyelesaikan masalah saya ini.

Jika saya sengaja melakukan perbuatan ini, adakah Tuhan akan maafkan saya dan apakah yang boleh dilakukan untuk tidak mengulangi perbuatan ini?



EMA,

Selangor.




ANTARA sifat Allah ialah ar-Rahim (Penyayang) dan al-Ghafur (Pengampun). Segala dosa yang dilakukan hamba akan diampunkan Allah sekiranya kita benar insaf. Dengan itu saudari hendaklah bertaubat kepada Allah.

Taubat bermaksud kembali mentaati suruhan dan larangan Allah. Marahkan Tuhan atas apa-apa yang menimpa kita tidak menghasilkan apa-apa.

Ini kerana Allah Maha Kuasa melakukan sekehendak-Nya. Tidak ada sesiapapun yang boleh menyoal mengenai apa yang dilakukan-Nya. Semua yang ada adalah mililk Allah.

Allah berfirman maksudnya: "Ia [Allah] tidak boleh ditanya tentang apa yang Ia lakukan, sedang merekalah yang akan ditanya kelak." (al-Anbiya' (21): 23).

Kita tidak usah mengikut akhlak buruk orang barat yang banyak menuturkan kata makian seperti kata "damn God" dan sebagainya.

Ajaran Islam mengajar bahawa setiap perkara buruk berlaku bertujuan menguji kesabaran kita. Apabila kita diberi nikmat, ia juga ujian setakat mana kita bersyukur kepada Tuhan pemberi segala nikmat.

Islam melihat kehidupan dunia sebagai ujian bagi menentukan siapa yang terbaik di kalangan hamba-Nya.

Ini jelas apabila Allah berfirman, maksudnya: "Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)." (al-Quran, al-Mulk (67): 2).

MENTUA PAKSA SUAMI CERAI SAYA

Fikrah Dr. Salam, Harian Metro

SAYA berkahwin sejak enam tahun lalu. Masalahnya, ibu mentua suka masuk campur urusan rumah tangga, malah menghasut, fitnah dan paksa suami ceraikan saya.

Baru-baru ini, ketika mengandungkan anak keempat, kami bergaduh dan suami mengasari saya sehingga lebam. Akibat tidak tahan, saya keluar dari rumah bersama anak dengan kebenarannya.

Suami pula menukar kunci rumah dan tidak benarkan saya pulang sehingga dia selesai berbincang dengan ibunya. Sepanjang ketiadaan saya didapati ibunya datang ke rumah setiap hari ketika suami di tempat kerja.


Pakaian saya dibungkus di dalam karung plastik (sampah) hitam, gambar kahwin saya dicuri manakala gambar saya bersama suami dikoyakkan.

Selepas seminggu saya dibenarkan pulang dan kemudian, saya jatuh sakit, batuk dan sesak nafas, manakala tulang kaki saya bagai dipulas setiap kali senja.

Disebabkan risau dengan kandungan, saya berubat dan syukur saya pulih, tetapi selepas saya mengemas rumah, terjumpa garam atas almari dan stor.

Bolehkah saya jauhkan diri daripada keluarga suami jika saya rasa mereka membawa mudarat kepada saya dan anak? Suami menyatakan pada saya, “Tidak baik hendak bercerai semasa mengandung, abang ceraikan selepas bersalinlah.”

Saya membawa perkara ini ke mahkamah untuk pengesahan tetapi suami menafikan dan ingin membuat pembelaan.

Ketika saya menunggu prosiding kedua, suami bawa pakaiannya ke rumah sewa tetapi masih pulang ke rumah hampir setiap hari selepas prosiding pertama.

Menurut peguam, kami masih suami isteri sehingga diputuskan mahkamah kerana saya risau mengenai aurat jika dia di rumah.

Baru-baru ini, suami meminta saya memuaskan kehendak batinnya secara oral memandangkan saya masih berhadas. Peguam menasihati untuk mengelak, tetapi kalau dia masih suami, saya wajib melayaninya.



MUSYKIL,

Kuala Lumpur




MENJAUHI daripada keluarga suami untuk elak pergaduhan dibenarkan untuk sementara waktu. Ini kerana Islam mengajar setiap Muslim bersaudara. Lagipun memutuskan silaturahim tidak dibenarkan dalam Islam.

Setiap keluarga hendaklah berusaha merapatkan tali silaturahim antara satu sama lain. Status anda berdua masih suami isteri semasa menunggu keputusan mahkamah.

Dengan itu perhubungan adalah seperti biasa kerana tiada perbalahan antara anda berdua.

Secara yang benar ialah apabila suami ingin menceraikan isteri, dia hendaklah pastikan lafaz talak diucapkan dalam masa suci isteri dengan menahan persetubuhan dalam masa edah. Dengan ini perkahwinan dibubar selepas edah.

Anda berdua dinasihat supaya mempertahankan rumah tangga yang dibina. Kita perlu melihat kehidupan berkeluarga adalah satu rahmat yang dikurniakan Allah.

Tanda kekuasaan dan rahmat-Nya dalam perhubungan suami isteri seperti dalam firman-Nya, bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu senang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan,” (al-Quran, al-Rum (30): 21).

SOLAT BERJEMAAH DENGAN ISTERI


Fikrah Dr. Salam, Harian Metro

SAYA selalu mengerjakan solat bersama isteri secara berjemaah, tetapi saya keliru mengenai kedudukan sepatutnya dalam solat jemaah.

Di sebelah manakah lebih baik isteri sebagai makmum berdiri, kiri atau kanan dan bagaimana dengan jaraknya?

ISMA,

Kuala Lumpur



SECARA umumnya dalam solat berjemaah, kedudukan imam dan makmum tersusun seperti dipraktikkan menurut sunnah Nabi Muhammad s.a.w iaitu imam tampil ke hadapan sementara makmum sama ada lelaki atau perempuan di belakang imam.

Menurut hadis, apabila baginda bangun untuk bersolat, kalangan sahabat pun bangun di belakangnya. (Hadis riwayat Ahmad, Abu Dawud)

Selain itu, terdapat kedudukan imam dan makmum ditentukan mengikut bilangan makmum dan jantinanya. Antaranya ialah:

(1) Apabila terdapat hanya seorang makmum lelaki, lebih mustahab (sunat) berada di sebelah kanan imam dengan membelakangkan sedikit tumitnya.

(2) Jika makmum hanya seorang lelaki dan perempuan, lelaki hendaklah berdiri di sebelah kanan imam sementara perempuan pula di belakang lelaki itu.

(3) Jika terdapat dua makmun lelaki, kedua-dua hendaklah berada di belakang imam.

(4) Jika hanya terdapat seorang perempuan atau beberapa orang perempuan, dia atau mereka hendaklah berdiri di belakang imam dengan tidak diselangi antara mereka jarak tiga hasta.

Ini jelas dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim daripada Anas: "Bahawa Nabi s.a.w bersolat di rumah Umm Sulaim lalu aku dan Yatim berdiri di belakangnya sementara Umm Sulaim di belakang kami." (al-Zuhayli, 1985: II: 245; trj. II: 261-63).

Inilah kedudukan anda sebagai imam dan isteri sebagai makmum apabila berjemaah di rumah atau di tempat lain.

BEZA ANTARA HARTA SEPENCARIAN DAN NAFKAH

Fikrah Dr. Salam, Harian Metro

SAYA keliru mengenai harta sepencarian dan nafkah. Adakah harta sepencarian boleh dikira sebagai nafkah atau kedua-duanya berbeza?

AIDA,

Selangor



TERDAPAT perbezaan antara kedua-duanya. Harta sepencarian ialah harta yang diperoleh hasil daripada usaha suami isteri dan termasuk pendapatan yang diperoleh daripada modal sendiri hasil kerjasama mereka.

Apabila berlaku perceraian antara suami isteri, harta yang diperoleh boleh diisytiharkan harta sepencarian. Dengan persetujuan kedua-dua pihak harta itu dapat dibahagikan bersama antara mereka dengan persetujuan mahkamah.

Nafkah merujuk kepada tanggungjawab suami kepada isteri, iaitu dalam masa perkahwinan isteri berhak mendapat nafkah (Arab, nafaqah) daripada suaminya. Termasuk dalam nafkah ialah makanan, tempat tinggal, pakaian dan perubatan.

Kadar nafkah diambil kira dengan kemampuan suami berdasarkan pendapatannya.

Allah berfirman, maksudnya: "...dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya." (al-Quran, al-Baqarah (2): 233)

Apabila dicerai, isteri juga berhak mendapat nafkah untuk masa idah (Surah at-Talaq: 6).

WUDUK JENAZAH TIDAK BATAL

ADIK perempuan saya baru meninggal dunia. Oleh kerana adik-beradik kami semua perempuan, abang iparlah yang ditugaskan mengangkat jenazah selepas dimandi dan dikafankan.

Apabila disemadikan, suami saya mengatakan yang dia terpegang tangan jenazah sewaktu mengangkatnya selepas mandi jenazah. Adakah terbatal wuduk jenazah terbabit kerana tersentuh kulit adik ipar dan abang ipar walaupun tidak disengajakan?


Jika terbatal, apakah yang saya boleh lakukan sekarang kerana jenazah sudah dikebumikan?

NOOR,
Klang.



MEWUDUKKAN mayat sebagaimana wuduk solat dipersetujui semua imam mazhab. Pemandi mayat hendaklah mengambil wuduk bagi jenazah.

Ini jelas apabila Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Maka apabila selesai membasuh bahagian bawahnya dengan basuhan yang bersih menggunakan air dan daun bidara, ambilkan wuduk solat baginya kemudian mandikannya." (al-Zuhayli, 1985: II: 465-66).

Kedudukan wuduk mayat pula tidak batal dengan sebab tersentuh selepas mandi jenazah.

Batal wuduk hanya berlaku kepada orang yang masih hidup dengan sebab berlaku perkara membatalkannya seperti keluar sesuatu dari lubang qubul atau dubur, menyentuh kemaluan dan tidur tidak tetap papan punggung.

Termasuk hak mayat yang hendak disempurnakan ialah memandikannya, mengafan, menyembahyang dan mengebumikannya yang sudah disempurnakan.

HUKUM CUKUR JANGGUT

Fikrah Dr. Salam, Harian Metro

BENARKAH hukum mencukur janggut itu haram? Guru saya mengatakan ia tidak haram, tetapi bagi golongan tabligh, hukum mencukur janggut itu haram dan ada bukti mengenai pengharaman mencukur janggut.

REMAJA KELIRU,

Johor



TERDAPAT perbezaan pendapat antara mazhab mengenai hukum mencukur janggut (Arab, lihyah).

Mazhab Maliki dan Hambali mengharamkan perbuatan mencukur janggut.

Mazhab Hanafi pula menghukumkan makruh yang hampir kepada haram (makruh tahrimi). Manakala mazhab Syafie hanya menghukumkan makruh mencukur janggut (al-Zuhayli, 1985: I: 208).

Ini kerana ada perbezaan dalam riwayat hadis daripada Rasulullah s.a.w, antaranya, hadis Aisyah daripada Rasulullah s.a.w mengenai sepuluh perkara fitrah iaitu 'memotong (merapikan) misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke hidung, memotong kuku, membasuh ruas jari, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, beristinjak.'

Kata Mus'ab: "Aku lupa yang kesepuluh, melainkan ia adalah berkumur-kumur." (Hadis riwayat Ahmad, Muslim, an-Nasa'i)

Menurut Imam an-Nawawi yang kesepuluh kemungkinan adalah khitan (bersunat). Hadis ini menunjukkan memelihara janggut termasuk dalam perkara sunat.

Manakala dalam hadis lain Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Berbezalah kamu dengan orang musyrik, peliharalah janggut dan cukurlah misai." (Hadis riwayat Ahmad, an-Nasa'i, at-Tirmidhi)

Hadis ini menghendaki seorang Muslim mempunyai identiti sendiri dengan tidak meniru bangsa lain.

Berdasarkan tujuan terbabit, mencukur janggut dilihat sebagai meninggalkan jati diri Muslim dan tidak mengikut suruhan Rasulullah s.a.w.

Bagaimanapun, ada yang memahaminya sebagai sunat dan bukannya wajib, iaitu suruhan kepada lelaki Muslim memelihara janggut bagi membezakan antara orang Islam bukan Islam.

Ada pendapat semasa menyatakan hukum memelihara janggut adalah harus semata-mata dan ia bukan sunat dan wajib.

Ia kurang tepat kerana mengenepikan hadis mengenai memelihara janggut termasuk dalam sunnah fitrah.

Dr Yusuf al-Qaradawi pula lebih hampir kepada mazhab Syafie apabila melihat tindakan memelihara janggut sebagai sunat dan bukan wajib. Mencukur janggut pula dihukum makruh (al-Qaradawi, 1995: 94-96).

Pendapat mazhab Syafie lebih hampir kepada kebenaran dan sederhana (lihat juga artikel Cukur janggut di http://members.tripod.com/ahkam_2/soaljawab/soaljawab88.htm).

18 Jun 2009

BACAAN QUNUT DALAM SOLAT SUBUH

SOALAN:
SAYA keliru tentang pelaksanaan bacaan qunut pada solat subuh. Sebabnya di Mekah, imam tidak membaca qunut semasa solat subuh. Jadi, apa hukumnya membaca doa qunut dan bagaimana jika imam tidak membacanya?

JAWAPAN

Perintah solat telah diwajibkan oleh Allah SWT secara umum ke atas seluruh umat Islam melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 83 yang bermaksud, Dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat.

Segala perincian tuntutan kewajipan solat ini telah diwartakan oleh baginda SAW melalui hadis (untaian sabda baginda mencakupi perkataan, perbuatan dan pengakuan baginda). Perlakuan sifat solat baginda di terjemah dan disampaikan kepada umat Islam melalui lidah-lidah para sahabat r.a dan begitulah seterusnya sehingga era tabien dan sesudah mereka.

Para perawi yang meriwayatkan suatu hadis berkenaan sifat solat baginda juga berbeza dari tingkat periwayatan perawinya dan hadis berkenaan sifat solat baginda turut berbeza dari aspek kehujahannya sama ada sahih, hasan dan daif.

Justeru bukanlah suatu yang mustahil berlaku perbezaan dalam hal yang melibatkan perlakuan dalam ibadah solat. Apa yang paling penting perbezaan yang berlaku masih tidak menafikan rukun-rukun utama dalam solat.

Dalam persoalan seperti yang dikemukakan di atas jika diukur dengan neraca mazhab Syafie sememangnya kita akan melihat perbezaan keempat-empat imam mazhab mempunyai pandangan yang tidak sama dalam persoalan-persoalan fiqh.

Islam adalah agama yang unik dan sesuai dengan fitrah manusia. Tidak ada sebarang percanggahan dalam Islam yang melibatkan persoalan utama (usul). Perbezaan pendapat kalangan mereka adalah dalam permasalahan -permasalahan cabang (furu’) dan bukan dalam persoalan persoalan utama (usul).

Hal ini disebabkan perbezaan cara pemahaman sesuatu nas sama ada nas itu di ambil dari al-Quran atau hadis Rasulullah SAW atau pernyataan para sahabat. Maka pandangan yang berbeza ini dinamakan khilaf ulama dalam persoalan-persoalan furu’ dalam fiqh. Ia merupakan bukti kehebatan dan kepakaran mereka dalam menghasilkan hukum hakam berkaitan fiqh ibadah.

Wujudnya perbezaan pendapat dalam permasalahan fiqh ini memberikan peluang dan membantu kaum muslimin untuk merealisasikan sabda baginda SAW yang bermaksud, “Solatlah kalian sebagaimana kalian melihat-Ku solat”.

Maksud perkataan ‘melihat-Ku’ dapat diketahui dengan merujuk kepada hadis baginda seperti yang diriwayatkan oleh para sahabat sewaktu mereka hidup bersama baginda dan melalui pendapat dan huraian para ulama mengenainya.

Para sahabat dan ulama terdahulu telah mencapai kematangan dalam memahami Islam, memperkenal dan memperkukuhkan ajaran Islam, sentiasa meningkatkan kefahaman mereka berkenaan persoalan fiqh dan ilmu-ilmu lain dalam Islam. Ia demi kepentingan ummah sehingga berjaya menghasilkan tamadun yang cukup dinamik dan dibanggakan oleh umat islam seluruhnya.

Wajib bagi umat Islam untuk mengambil dan mengikuti dalil-dalil yang sahih dari sifat solat baginda SAW dan tidak fanatik dan obses kepada mazhab tertentu.

Rasulullah SAW juga memberi alternatif kepada umatnya ketika mereka berselisih pendapat dalam permasalahan agama. Sabda baginda seperti yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Imam al-Tirmidzi, (hadis hasan sahih) yang bermaksud:

“Sesungguhnya, sesiapa di antara kamu yang masih hidup akan melihat perselisihan yang banyak, maka menjadi kewajipan kalian berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah al-Khulafa al-Raasyidin yang diberi petunjuk, gigit (peganglah) sunnah itu dengan gigi geraham kamu dan jauhilah segala perkara baru (dalam urusan agama) kerana setiap bidaah itu adalah kesesatan”.

Persoalan doa qunut subuh adalah satu perkara khilafiah yang telah lama diperbincangkan. Sebagai muslim kita mestilah mengetahui, meraikan dan menghormati mazhab yang dipegang dan diamalkan oleh majoriti umat Islam di suatu tempat atau negara dalam perkara agama seperti yang diputuskan oleh mufti dan majlis agama.

Di negara kita Malaysia yang mengamalkan mazhab Syafie, membaca qunut dalam setiap solat subuh hukumnya sunat. Jika tertinggal maka perlu melakukan sujud sahwi. Namun begitu Imam Syafie tidak menegaskan bahawa apa yang dikatakannya menjadi satu amalan dan tuntutan yang wajib ke atas pengikutnya dan mestilah mengabaikan mazhab-mazhab selainnya.

Suatu ketika sewaktu imam Syafie pergi ke kawasan Imam Hanafi dan menjadi imam, imam Syafie tidak membaca doa qunut. Apabila ditanya mengapa, imam Syafie lantas menjawab beliau menghormati tuan tempat ini (Imam Hanafi).

Imam Syafie turut berkata apabila sahih hadis itu maka ia adalah mazhabku dan sekiranya hadis sahih berlaku khilaf dengan kata-kataku, maka hadis Rasulullah lebih utama dari kata-kataku.

Kesimpulannya persoalan qunut ini merupakan persoalan cabang dan tidak perlu diperbesar dan dimusykilkan. Ia hanya akan mengakibatkan keresahan dan kesukaran kepada saudara Islam yang baru untuk lebih mengenali ajaran Islam sehingga menganggap agama Islam itu sebagai sebuah agama yang menyusahkan.

Pertikaian dalam perkara furu’ akan mengakibatkan muncul pengikut yang fanatik mazhab secara membabi buta tanpa menghalusi dan memahami kehendak dan perintah Allah SWT serta baginda SAW.

Jika seorang makmum mengikuti solat imam yang membaca qunut di waktu solat fajar atau solat witir maka dia hendaklah qunut bersama imam. Jika imam tidak melakukan qunut maka hendaklah makmum tidak melakukannya bersama imam, walaupun jika imam memandang bahawa qunut itu adalah sunnah dan makmun berpendapat sebaliknya lalu dia meninggalkan pandangannya demi perpaduan.

Pergerakan dan perlakuan anggota sewaktu solat juga merupakan perkara cabang dalam permasalahan fiqh. Makmum hendaklah mengikut perlakuan imam yang mengimami suatu solat tanpa berlaku sebarang perbezaan antara mereka.

Dalam hal ini baginda Rasulullah SAW bersabda melalui hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a yang bermaksud: Seseorang imam itu dijadikan supaya diikuti. Justeru janganlah kamu melakukan perkara-perkara yang berbeza dengannya. Apabila dia rukuk, maka rukuklah. Apabila dia membaca sami’ Allahu liman hamidah maka katalah rabbana laka al-hamd. Apabila dia sujud, maka sujudlah. Dan apabila dia solat duduk maka bersolat duduklah kamu semua (dalam jemaah). Dan luruskanlah barisan saf dalam solat (jemaah) kerana sesungguhnya saf yang lurus adalah tanda kesempurnaan solat (berjemaah). (riwayat al-Bukhari).

Sebagai seorang muslim kita perlu kembali kepada ajaran al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW dan jauhkan dari sifat ingin memenangkan diri.

Firman Allah yang bermaksud, Jika kamu semua berselisih dalam sesuatu perkara maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul. (an-Nisa’: 59).

Selain itu tidak mencela pandangan atau ijtihad ulama lain dalam permasalahan ijtihaadiyyah. Kita dilarang menghina atau merendahkan pandangan mana-mana pinak selagi ia masih berada dalam lingkungan permasalahan yang boleh diperselisihkan oleh syarak iaitu perkara-perkara cabang atau yang tidak muktamad.

Seorang muslim perlu menghormati pandangan ulama yang berbeza pandangan dengannya dalam masalah cabang dan mengambil pandangan yang kuat dan menjauhi sifat taksub (fanatik).

Setiap manusia kadangkala boleh diterima dan boleh ditinggalkan kata-katanya melainkan Nabi Muhammad, kerana hanya baginda yang maksum dan terhindar dari kesilapan.

Sebagai penutup memetik ungkapan Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya al-Sahwatul Islamiah berkata, “Para pendakwah dan pengamal Islam mestilah menjadikan matlamat mereka kepada kesatuan, keserasian, mengumpulkan hati-hati mereka dan merapatkan barisan mereka. Mereka mesti menjauhkan diri dari perbezaan dan perpecahan serta semua perkara yang memecah-belahkan jemaah dan merosakkan kesatuan yang terdiri dari permusuhan yang zahir mahupun kebencian yang batin.

“Juga semua perkara yang membawa kepada kerosakan hubungan sesama sendiri yang hanya akan melemahkan umat. Tiada yang setaraf dengan agama Islam dalam mengajak kepada persaudaraan.

” Persaudaraan ini nampak jelas dengan kesatuan, keserasian dan saling tolong-menolong. Agama Islam juga unggul dalam melarang daripada perpecahan, perselisihan dan permusuhan. Semuanya termaktub dalam al-Quran dan al-Sunnah”.

17 Jun 2009

JANGAN BERMAIN DENGAN LAFAZ TALAK

Bicara Agama, Utusan Malaysia

Soalan

BARU-baru ini saya ada berselisihan faham dengan suami yang disebabkan kerana tiada kepercayaan dalam hubungan. Dalam pergaduhan tersebut saya telah mendesak suami menceraikan saya dan disebabkan desakan saya bertalu-talu (sebanyak empat kali) suami saya telah mengeluarkan perkataan berbunyi, “Abang ceraikan.” Itulah yang saya dengar pada ketika itu.

Pada keesokan harinya bila keadaan kembali tenang saya telah bertanya akan status hubungan perkahwinan kami pada suami, akan tetapi dia menyatakan tidak bermaksud menceraikan saya dan hanya akan menceraikan saya jika saya benar-benar mahukannya.

Saya keliru dan tidak pasti sama ada perkahwinan kami sah atau tidak. Mohon tuan beri penjelasan mengenai status perkahwinan kami ini?


Jawapan

Dalam situasi yang dinyatakan, tidak jatuh talak kerana si suami tidak berniat untuk menceraikan isterinya. Oleh yang demikian, dalam hal talak, janganlah dipermain- mainkan atau mudah diucapkan oleh setiap pasangan kerana implikasinya amat berat bagi hubungan suami isteri.

Oleh itu, setiap pasangan suami isteri, hendaklah bersabar dan amalkanlah bermusyawarah jika timbul sesuatu masalah dalam rumah tangga.

Untuk makluman anda, Islam mengajar etika dan menjatuhkan talak.

Oleh itu, untuk mengawal penyalahgunaan lafaz talak serta agar mengikut etika, maka mengikut peruntukan undang-undang, suami hendaklah menjatuhkan talak di dalam mahkamah.

Jika talak dijatuhkan di luar mahkamah, suami berkenaan akan dikenakan denda yang akan ditentukan oleh pihak mahkamah.

MAKSUD 'IDDAH

Ad-Din, Harian Metro

SOALAN

Apakah yang dimaksudkan dengan 'iddah?


JAWAPAN

PERSOALAN mengenai idah jarang diperkatakan dengan anggapan ramai tahu mengenainya, tetapi yang nyata masih ada kurang faham sehingga keadaan menjadi keliru.

Menurut kitab fiqah, idah ialah waktu menunggu diwajibkan ke atas wanita yang diceraikan, sama ada cerai hidup atau cerai mati, bagi mengetahui sama ada empunya diri hamil atau tidak.

Bagi wanita hamil, idahnya sehingga lahir anak dikandungnya itu, baik cerai mati atau cerai hidup.

"Dan perempuan mengandung, tempoh idahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya." (Surah at-Talaq: 4)

Wanita tidak hamil, ada ketikanya bercerai mati dan bercerai hidup.

Bagi yang bercerai mati, idahnya empat bulan sepuluh hari.

"Dan orang yang meninggal dunia antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri, hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari." (Surah al-Baqarah: 234)

Jika diperhatikan, ayat 4 surah at-Talaq umum membabitkan cerai hidup dan cerai mati apabila hamil idahnya sehingga lahir anak dan ayat 234 surah al-Baqarah juga umum membabitkan wanita hamil dan tidak apabila bercerai mati idahnya empat bulan sepuluh hari.

Di sini wujud sedikit perselisihan faham mengenai wanita bercerai mati sedangkan dirinya hamil, manakala anaknya lahir sebelum cukup empat bulan sepuluh hari dari tarikh suaminya meninggal.

Apakah idahnya tamat dengan melahirkan anak walaupun belum cukup tempoh empat bulan sepuluh hari dari tarikh suaminya meninggal kerana berdasarkan umumnya ayat pertama di atas?

Haruskah idahnya dicukupkan juga empat bulan sepuluh hari kerana berdasarkan ayat yang kedua?

Menurut jumhur ulama salaf (terdahulu), idahnya ialah lahir anaknya walaupun belum cukup empat bulan sepuluh hari.

Tetapi menurut pendapat lain yang diriwayatkan daripada Ali, idahnya mesti mengambil yang lebih panjang. Walaupun anaknya lahir lebih awal, idahnya harus menunggu sehingga empat bulan sepuluh hari.

Menurut pendapat itu, jika sampai tempoh empat bulan sepuluh hari, tetapi anak yang dikandungnya belum lahir, idahnya harus menunggu sehingga bersalin.

Selain itu, ada perbezaan pendapat mengenai idah wanita hamil.

Imam Syafie berpendapat idah wanita terbabit dengan lahirnya anak dikandung apabila anak itu dari suami yang menceraikannya.

Tetapi jika anak bukan dari suami yang menceraikannya, wanita terbabit tidak beridah dengan kelahiran anak.

Pendapat Abu Hanifah, perempuan itu harus beridah dengan lahir anaknya, baik anak itu anak daripada suami yang menceraikannya atau bukan, walau anak zina sekalipun.

Idah bagi wanita bercerai hidup dengan suaminya ialah tiga kali suci sekiranya dia mempunyai haid.

"Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid)." (Surah al-Baqarah: 228)

Mengira tiga kali suci itu tidak dicampuri suaminya, dengan suci sewaktu perceraian dikira satu kali suci.

Tetapi jika dalam suci waktu perceraian itu dicampuri, dikira tiga kali suci mulai suci dari haid pertama selepas perceraian.

Demikian juga perceraian yang berlaku ketika haid, dikira tiga kali suci dari suci selepas haid yang berlaku sewaktu perceraian.

Keadaan terbabit sekali gus menyebabkan idah bagi seseorang wanita lebih panjang.

Oleh kerana itu, adalah dilarang suami menceraikan isteri dalam keadaan haid dan suci yang sudah dicampuri.

Isteri yang diceraikan suaminya sebelum dicampuri tiada idah (tidak perlu beridah).

"Kemudian kamu talak mereka itu sebelum kamu campuri, maka tidaklah mereka beridah." (Surah al-Ahzab: 49)

Tetapi bagi wanita yang tiada haid, idahnya tiga bulan. "Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid, jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh iddah mereka) maka idahnya ialah tiga bulan..." (Surah at-Talaq: 4)

Perempuan yang tiada haid ada tiga golongan; iaitu yang masih kecil (belum sampai umur), sudah sampai umur, tetapi belum pernah haid dan orang tua yang sudah keputusan haid.

Wanita beridah tidaklah boleh dibiarkan begitu saja, malah mereka masih mempunyai hak daripada bekas suaminya, seperti tempat tinggal (rumah), pakaian dan segala perbelanjaan.

Mereka ialah wanita yang taat dalam idah rajiyah (boleh dirujuk), kecuali isteri derhaka, tidak berhak menerima apa-apa.

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Dari Fatimah binti Qais, berkata Rasulullah s.a.w kepadanya: 'Perempuan yang berhak mengambil nafkah dan rumah kediaman daripada bekas suaminya itu apabila bekas suaminya itu berhak rujuk kepadanya.'" (Hadis riwayat Ahmad dan Nasai)

Wanita dalam idah bain (tidak boleh dirujuk) jika hamil juga berhak mendapatkan kediaman, nafkah dan pakaian.

"Jika mereka (janda yang dicerai) mengandung, maka beri nafkahlah olehmu sampai lahir kandungannya." (Surah at-Talaq: 6)

Sementara wanita yang dicerai secara bain, tetapi tidak hamil, sama ada bain dengan tebus talak mahupun dengan talak tiga, mereka hanya berhak mendapatkan tempat tinggal.

"Tinggalkanlah mereka di tempat kediaman yang sepadan dengan keadaan kamu." (Surah at-Talaq: 6)

Bagaimanapun, sesetengah ulama berpendapat, wanita dicerai secara talak bain yang tidak hamil tidaklah berhak mendapatkan nafkah dan tempat tinggal.

Dari Fatimah binti Qais dari Nabi s.a.w mengenai perempuan yang ditalak tiga, kata Rasulullah, dia tidak berhak tempat tinggal dan tidak pula nafkah. (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)

Adapun firman Allah dalam surah at-Talaq ayat 6, kata mereka hanya terhadap wanita dalam idah rajiyah.

Bagi wanita yang beridah disebabkan kematian suami, mereka tidak mempunyai hak sama sekali walaupun hamil kerana diri dan anak yang dikandungnya sudah mendapat hak pusaka daripada suaminya yang meninggal.

"Janda hamil yang kematian suaminya tidak berhak mengambil nafkah." (Riwayat Daruqutni)

09 Jun 2009

SERING BERMIMPI YANG MENAKUTKAN

Harian Metro

SOALAN

Saya kerap bermimpi yang menakutkan. Apakah yang perlu saya lakukan apabila terjaga dari tidur?

JAWAPAN

MIMPI dialami semua orang. Bezanya ada yang mengalami mimpi baik dan buruk. Mimpi buruk kadangkala menghantui hidup seseorang, lebih-lebih lagi ia menggambarkan keadaan yang mengerikan dan menakutkan.

Justeru, bagi seseorang yang bermimpi buruk, hendaklah bertindak seperti berikut:

  • Meludah ke kirinya tiga kali.

  • Meminta pertolongan kepada Allah daripada godaan syaitan dan mimpinya yang dahsyat, tiga kali.

  • Membalikkan tubuh (mengubah kedudukan).

  • Tidak menceritakan mimpi itu kepada orang lain.

  • Mengambil wuduk dan bersolat, sekiranya mahu.

    Berhubung dengan mimpi, Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: "Mimpi yang baik adalah daripada Allah, sedang mimpi (buruk) adalah daripada syaitan. Apabila seseorang antara kamu bermimpi yang disenangi, janganlah dibicarakan kecuali kepada orang yang mendengarnya." (Hadis Riwayat Muslim)
  • HUKUM BERSIWAK


    Petikan daripada: Harian Metro

    SOALAN

    Apakah hukum bersiwak?

    JAWAPAN

    ISLAM memberikan sanjungan tinggi terhadap kebersihan, malah diangkat di kedudukan istimewa sehingga Nabi Muhammad s.a.w pernah menegaskan sebagai sebahagian daripada iman.

    Kebersihan dilihat melalui ibadat rutin harian seorang muslim yang bertitik tolak daripada amalan menyucikan diri melalui wuduk, kebersihan pakaian dan tempat ibadat.

    Nabi s.a.w menunjukkan isyarat penjagaan kebersihan merangkumi semua bidang, bermula dari tubuh badan baik rohani atau jasmani, sehingga pakaian, kediaman dan persekitaran, harus dipastikan bersih.


    Anggota luaran lebih-lebih lagi perlu diberikan perhatian dan dandanan kerana ia membentuk personaliti diri seseorang selain mengelak penyakit.

    Saidatina Aishah r.a berkata yang bermaksud: "Sepuluh perkara dikira sebagai fitrah (sunnah); memotong misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke hidung, memotong kuku, membasuh sendi-sendi, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, bersuci dengan air (beristinja)." (Hadis riwayat Muslim)

    Antara yang diberikan penekanan ialah kebersihan mulut dan gigi, kerana Rasulullah s.a.w ada menyatakan dalam sabda bermaksud: "Jika tidak menyusahkan ke atas umatku, aku ingin menyuruh mereka melambatkan solat Isyak dan bersugi (menggosok) gigi setiap kali mereka hendak melakukan solat." (Hadis riwayat Muslim)

    Membersihkan mulut dan gigi atau bersugi, dalam bahasa Arabnya disebut siwak, sangatlah dianjurkan Islam, bahkan baginda menyatakan: "Bersiwak itu menyucikan mulut, diredai Tuhan dan dibenci syaitan."

    Siwak merujuk kepada dua pengertian iaitu perbuatan menggosok gigi dan membersihkan mulut serta alat atau kayu yang digunakan untuk menggosok gigi, dipanggil kayu siwak.

    Nabi s.a.w sendiri dilaporkan membersihkan gigi, paling kurang dua kali sehari. Imam Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin Omar: "Nabi bersiwak (menggosok gigi) pada permulaan siang dan akhirnya."

    Namun, kebiasaannya Nabi s.a.w menggosok gigi berulang kali setiap hari. Sehubungan dengan ini, Amir bin Rabiah melaporkan: "Aku melihat nabi menggosok gigi (berulang-ulang kali) sehingga aku tidak mampu menghitung jumlahnya ketika baginda berpuasa." (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi).

    Ulama terkenal Arab Saudi, Syeikh M S Al-Munajjid, berkata Imam Nawawi dilaporkan ada menyatakan ulama bersependapat penggunaan siwak adalah satu sunnah.

    Menurutnya, satu lagi daripada bukti yang menunjukkan pentingnya amalan itu apabila sesetengah ulama salaf (silam) seperti Ishaq ibn Rahawayh, berpendapat ia kewajipan.

    Siwak menurut kesepakatan ulama yang paling baik dengan ranting pokok arak, kerana baunya harum, malah seratnya sangat berkesan membersihkan sisa makanan di celah gigi.

    Jika ranting pokok arak tidak diperoleh, tangkai daun pokok palma atau ranting pokok zaitun boleh digunakan.

    Jika bahan itu tidak diperoleh, mana-mana bentuk kayu yang baik untuk membersihkan dan tidak mencederakan gigi boleh digunakan untuk membersihkan mulut.

    Ini termasuklah penggunaan berus gigi moden.

    Pembersihan gigi dan mulut menggunakan kayu atau ranting dari pohon arak (salvadora persica) berlaku sejak berkurun yang lalu, kerana ia kaya dengan serat dan khasiat bagi kesihatan mulut dan gigi.

    Justeru itu, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dilaporkan mempromosikannya bagi kegunaan pembersihan mulut.

    Kajian mendapati kayu sugi daripada pohon arak mempunyai kelebihan secara semula jadi. Penyelidikan Dr Otaybi dari Arab Saudi membuka era baru terhadap kajian kayu terbabit, apabila menemui kesan sangat positif terhadap sistem kekebalan badan.

    Malah, penyelidik lain mendapati ia mempunyai kesan baik bagi kesihatan terutama dalam proses antiketagihan perokok, sama ada untuk tujuan penyembuhan atau pencegahan, selain bahan antiseptik, astringen, pencuci dan dan fluorida (bahan penghalang kerosakan dan kereputan gigi).

    Amalan membersihkan mulut dan gigi menurut ulama sangat dituntut. Waktu melakukan siwak, iaitu:

    i. Ketika mahu berwuduk dan mengerjakan solat.

    ii. Apabila memasuki rumah dan bersama keluarga. Aishah ketika ditanya tindakan pertama dilakukan Nabi s.a.w apabila tiba di rumah, beliau berkata: "Apabila baginda memasuki rumah, perkara pertama yang baginda lakukan ialah siwak." (Hadis riwayat Muslim)

    iii. Apabila bangun dari tidur. Huzaifah ibn Al-Yaman r.a menyatakan apabila Nabi s.a.w bangun pada waktu malam, baginda membersihkan mulut dengan siwak secara sempurna. (Hadis riwayat Al-Bukhari)

    iv. Apabila bau mulut seseorang berubah, sama ada disebabkan makan makanan yang berbau atau tidak makan dan minum dalam tempoh yang lama.

    v. Ketika ke masjid. Penggunaan siwak sebahagian daripada dandanan yang sangat digalakkan bagi muslim pada setiap kali mendirikan solat. Ini sesuai dengan firman Allah dalam ayat 31, dari surah Al-A'raf, maksudnya: "Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (sembahyang)."

    vi. Apabila membaca al-Quran dan mengikuti majlis tertentu khususnya majlis mengingati Allah.

    Ulama bersependapat tiada salahnya menggunakan siwak pada siang hari apabila seseorang itu berpuasa, cuma mereka berbeza pada waktu tengah hari, dengan sesetengahnya mengatakan makruh.

    Di kalangan ulama juga ada perbezaan pendapat mengenai penggunaan tangan untuk bersiwak. Satu pendapat, iaitu majoriti ulama berpendapat lebih baik melakukannya dengan tangan kanan.

    Ini sesuai dengan hadis Aisyah r.a yang menyatakan: "Nabi s.a.w gemar memulakan dengan yang kanan apabila memakai kasut, turun (dari untanya), apabila membersihkan diri dan dalam semua perkara."

    Mereka juga menyatakan siwak adalah satu perkara daripada ibadat yang mendekatkan seseorang terhadap Allah, jadi tidak sepatutnya dilakukan dengan tangan kiri.

    Ulama lain berpendapat ia baik dilakukan dengan tangan kiri. Pendapat ini dikatakan daripada mazhab Imam Ahmad dan pandangan ini disokong Syeikh Al-Islam Ibn Taimiyah.

    Sesetengah ulama berpendapat, apabila seseorang menggunakan siwak dengan niat mengikuti sunnah, dia sepatutnya melakukan dengan tangan kanan dan jika untuk menghilangkan kekotoran, sepatutnya dengan tangan kiri.

    Berdasarkan isyarat daripada al-Quran dan penegasan Nabi s.a.w, ditambah dengan perbincangan ulama dan kajian pakar perubatan jelas menunjukkan persoalan ini bukan lagi sesuatu yang boleh dipandang ringan.

    PESAKIT HIV INGIN BERKAHWIN

    Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

    SOALAN

    SAYA pesakit HIV yang perlu menjalani rawatan susulan (HAART) sepanjang hayat. Rawatan ini memerlukan saya makan ubat pada waktu yang ditetapkan. Sebelum menjalani rawatan, saya diberi nasihat dan kaunseling mengenai kesan yang bakal saya lalui sebagai pesakit HIV.

    Antara perubahan ialah saya tidak boleh berpuasa seperti orang lain, termasuk pada Ramadan. Kini saya reda dan menyesali atas apa yang berlaku, namun saya masih bersyukur.

    Walaupun diberikan ujian ini, saya percaya Allah sentiasa mengampunkan dan menerima taubat setiap hamba-Nya yang benar-benar menyesal atas perbuatan lalu.


    Namun wujud beberapa persoalan iaitu:

    a. Apa yang perlu saya lakukan kerana tahun lalu saya langsung tidak berpuasa. Adakah cara untuk saya menggantikan puasa yang tidak dapat saya lakukan?

    b. Saya teringin untuk berumahtangga dan saya tahu undang-undang Islam di Malaysia mewajibkan setiap pasangan menjalani ujian saringan HIV.

    Saya akan berlaku jujur dengan pasangan atau bakal isteri saya dengan memberitahu kepadanya bahawa saya pesakit HIV.

    Jika dia boleh menerima, saya bersyukur dan reda dengan apa yang bakal berlaku.

    Namun baru-baru ini saya terbaca dalam Harian Metro mengenai pasangan HIV yang ingin berkahwin terpaksa melalui pengalaman memeritkan dan menyedihkan kerana perlu lulus semua prosedur ditetapkan.

    Jika saya mengambil keputusan ingin berkahwin, apa perlu saya lakukan?

    HAMBA ALLAH
    Kuala Lumpur


    JAWAPAN
    Setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, tetapi sebaik-baik manusia yang pernah melakukan kesilapan ialah mereka yang bertaubat. Puasa Ramadan itu wajib bagi mereka yang mampu. Orang yang uzur dikecualikan daripada melakukannya dan boleh membayar fidyah sebagai ganti.

    Undang-undang mewajibkan pasangan bebas dari HIV bertujuan memastikan pasangan tidak menerima kemudaratan selepas berkahwin. Ini soal penyakit yang boleh membawa maut dan perlu dipandang serius.

    Jika anda berlaku jujur dengan pasangan dan calon isteri bersetuju, ia pilihan dirinya dan dia mesti sanggup menerima risiko yang bakal menimpa dan bertanggungjawab dengan keputusan yang dipilih.

    Banyak perkara yang boleh dilakukan dalam sisa-sisa kehidupan manusia ini. Hal ibadat bukan pada puasa dan berkahwin saja. Rancanglah bagaimana hendak mengisi masa yang ada untuk membuat sebanyak mungkin manfaat diri dan kebajikan orang ramai. Inilah ibadat yang baik untuk bekalan di akhirat nanti.

    HUKUM SOLAT PEMAKAI SUSUK

    Petikan daripada Utusan Malaysia

    Soalan:
    Adakah sah sembahyang jika seseorang itu memakai susuk?

    Jawapan:

    Seseorang yang memakai susuk sah sembahyangnya. Namun, pemakaian susuk adalah dilarang oleh agama. Kebiasaannya ia melibatkan ilmu sihir.

    Bahan yang dijadikan susuk dijampi terlebih dahulu dan kemudiannya di masukkan ke dalam tubuh.

    Pemakaian susuk mampu mempengaruhi seseorang itu agar mempercayai adanya kuasa lain selain kuasa Allah SWT.

    Ini juga telah diharamkan melalui hadis-hadis yang sahih sebagaimana pengharaman kepercayaan kepada tangkal dan menggantungnya.

    Pemakai susuk akan mula percaya dan seterusnya bergantung kepada penggunaan susuk dalam kehidupan hariannya. Ketika itu, jelas mereka dalam keadaan syirik dan menanggung dosa besar.

    Rasulullah SAW menilai sihir sebagai salah satu daripada dosa besar yang boleh menghancurkan sesuatu bangsa, dan dapat merendahkan darjat pelakunya di dunia ini lagi.

    Justeru itu Nabi bersabda: Jauhilah tujuh perkara besar yang merosakkan. Para sahabat bertanya: Apakah tujuh perkara itu, ya Rasulullah? Jawab Nabi, iaitu:

    *Menyekutukan Allah;

    *Sihir;

    *Membunuh jiwa yang oleh Allah haramkan kecuali kerana hak;

    *Makan harta riba;

    *Makan harta anak yatim,

    *Lari dari peperangan;

    *Menuduh perempuan-perempuan baik, terjaga dan beriman. (riwayat Bukhari dan Muslim)

    Sebahagian ahli fiqh menganggap, sihir itu bererti kufur, atau membawa kepada kufur. Sementara ada juga yang berpendapat; ahli sihir itu wajib dibunuh demi melindungi masyarakat dari bahaya sihir.

    Kesimpulannya, Islam tidak menghalang umatnya kelihatan cantik, malah menggalakkan umatnya menghias diri, namun ia perlu mengikut cara dibenarkan dan tidak membabitkan perbuatan syirik dan menyalahi syariat.

    08 Jun 2009

    SAMAK

    Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

    SOALAN

    SAYA ada persoalan mengenai istilah samak. Dalam jawapan kepada persoalan Ingin Tahu dari Kuala Lumpur berkenaan hukum membela anjing, Datuk menyatakan: “Jika terkena jilatan atau air liur atau bersentuh (basah) dengan anjing, diwajibkan samak iaitu mencuci tujuh kali dan satu daripadanya dengan air tanah.”

    Saya pernah terbaca, mencuci tujuh kali dan satu daripadanya dengan air tanah adalah kaedah mencuci najis berat.


    Manakala samak pula bermaksud kaedah mencuci bulu binatang dengan menggunakan bahan bersifat tajam seperti kapur bagi kegunaan orang Islam. Bolehkah Datuk terangkan lebih lanjut berkenaan perkara ini?

    PEMUDA KELIRU
    Shah Alam


    JAWAPAN

    Hukum menetapkan dalam isu najis berat seperti menyentuh anjing misalnya, jika salah satunya basah, wajib samak. Samak dalam istilah agama dan fekah ialah samak di tempat yang terkena najis mughallazah saja.

    Cara samak iaitu basuh satu kali dengan air bercampur tanah dan diikuti dengan membasuhnya sebanyak enam kali basuh dengan air suci lagi menyucikan (air yang digunakan terus daripada paip). Inilah istilah samak daripada syarak dan agama bila membabitkan penyucian anggota manusia yang terkena najis berat.

    Membersihkan atau yang saudara namakan “samak” kulit binatang atau bulu binatang dan bukan manusia adalah perkara berbeza dengan maksud samak, yakni menyucikan anggota manusia. Ia mesti dirujuk pada pakar bahagian membersihkan kulit binatang.

    GOLONGAN MATI SYAHID KECIL

    Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

    SOALAN

    SAYA mendengar mengenai syahid kecil yang tidak akan disoal di dalam kubur serta tidak mendapat seksaan sewaktu di dalam kubur hingga kiamat.

    Soalan saya, siapa digolongkan di dalam kategori ini dan dari mana rujukan perkara ini dapat diperoleh? Benarkah orang yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dimasukkan ke dalam golongan ini?

    INGIN BERTANYA
    Kuala Lumpur


    JAWAPAN

    Mati syahid terbahagi kepada dua, iaitu syahid dunia dan syahid akhirat. Syahid dalam kategori ini diberi kepada syuhada iaitu orang yang berperang melawan orang kafir bagi menegakkan agama Allah dengan niat ikhlas.

    Mereka tidak wajib dimandi dan juga tidak wajib disembahyangkan dan dikafankan dengan pakaian yang dipakai dengan berlumuran darahnya serta dikebumikan.

    Syahid dunia ialah orang yang mati dengan cara menerima musibah atau kesusahan seperti melahirkan anak, mati dibunuh, mati lemas, mati mengejut dan sebagainya. Orang yang mati dengan cara begini hendaklah dimandi, dikafankan, disembahyang dan dikebumikan.

    Persoalan sama ada mereka terlepas seksaan kubur adalah perkara berasingan, yang mana ia bergantung kepada amalannya ketika di dunia.

    Ia adalah perkara ghaib yang sukar dihukum secara rambang syahid kecil terlepas segala seksaan kubur. Persoalan ini boleh dirujuk kitab fekah bab jenazah.

    GOLONGAN MATI SYAHID KECIL

    Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

    SOALAN

    SAYA mendengar mengenai syahid kecil yang tidak akan disoal di dalam kubur serta tidak mendapat seksaan sewaktu di dalam kubur hingga kiamat.

    Soalan saya, siapa digolongkan di dalam kategori ini dan dari mana rujukan perkara ini dapat diperoleh? Benarkah orang yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dimasukkan ke dalam golongan ini?

    INGIN BERTANYA
    Kuala Lumpur


    JAWAPAN

    Mati syahid terbahagi kepada dua, iaitu syahid dunia dan syahid akhirat. Syahid dalam kategori ini diberi kepada syuhada iaitu orang yang berperang melawan orang kafir bagi menegakkan agama Allah dengan niat ikhlas.

    Mereka tidak wajib dimandi dan juga tidak wajib disembahyangkan dan dikafankan dengan pakaian yang dipakai dengan berlumuran darahnya serta dikebumikan.

    Syahid dunia ialah orang yang mati dengan cara menerima musibah atau kesusahan seperti melahirkan anak, mati dibunuh, mati lemas, mati mengejut dan sebagainya. Orang yang mati dengan cara begini hendaklah dimandi, dikafankan, disembahyang dan dikebumikan.

    Persoalan sama ada mereka terlepas seksaan kubur adalah perkara berasingan, yang mana ia bergantung kepada amalannya ketika di dunia.

    Ia adalah perkara ghaib yang sukar dihukum secara rambang syahid kecil terlepas segala seksaan kubur. Persoalan ini boleh dirujuk kitab fekah bab jenazah.

    02 Jun 2009

    SUNAT AZAN BAYI BARU LAHIR

    Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

    ADAKAH wajib mengazankan bayi yang baru lahir? Ada buku yang mengatakan tidak wajib.

    Jika wajib, adakah berdosa bagi ibu bapa yang tidak mengazankan bayi baru lahir dan apakah cara untuk menebus dosa itu?

    Bolehkah bayi berkenaan diazankan selepas beberapa bulan dilahirkan?

    NURIZA
    Sabah


    JAWAPAN


    Mengazankan bayi yang baru lahir antara perkara yang sunnah dilakukan.

    Ia bukan wajib, sebaliknya sunat. Justeru, meninggalkannya bukan berdosa dan tidak perlu ditebus.

    Sunnah yang dituntut ialah mengazankan bayi sebaik saja dilahirkan.

    Ini supaya anak yang masih suci itu mendengar ucapan terbaik sebagai kalimah pertama yang didengarnya sebaik sampai ke dunia.

    Harapan ibu bapa apabila anak ini mendengar takbir ini dia akan menjadi hamba yang taat kepada Allah bila dewasa nanti dan dipelihara daripada gangguan syaitan.

    Tidak perlu lagi diazankan selepas beberapa bulan dilahirkan.

    AKAD NIKAH DUA KALI

    Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

    SAYA ingin tahu mengenai isu akad nikah yang dijalankan dua kali tetapi berlainan wali. Saya mendapat tahu wali bakal isteri saya adalah tidak sah kerana dipercayai ibu beliau berkahwin menggunakan wali tidak sah. Ini membuat saya berasa tidak berapa yakin dengan status wali bakal isteri.

    Bagi mengatasi masalah ini, saya mencadangkan untuk berkahwin menggunakan wali hakim secara senyap-senyap dan memberitahu keluarga selepas kami bernikah (dan bernikah sekali lagi berwalikan ayah bakal isteri). Keraguan timbul apabila ibu bakal isteri dikatakan anak tidak sah taraf tetapi nenek dan datuknya tidak mahu mengakuinya.

    Saya mencadangkan perkara ini untuk mengelakkan pertengkaran dan masalah berbangkit pada masa depan. Saya ingin tahu, adakah saya boleh mengambil tindakan begini? Adakah kami boleh berkahwin menggunakan wali hakim? Adakah ayah bakal isteri boleh menjadi wali? Adakah akad nikah kali kedua akan memberi kesan pada akad pertama?

    ADAM
    Wilayah Persekutuan


    JAWAPAN
    Akad nikah tidak perlu dijalankan dua kali. Hanya sekali saja yang penting menepati syarat sah pernikahan itu. Daripada pernyataan saudara, apa yang saya faham ialah keraguan bermula daripada kesahihan pernikahan ibu mentua dan bapa mentua kerana datuk menjadi wali kepada anak perempuan/ibu mertua yang disyaki anak tidak sah taraf.

    Mana-mana pihak yang mengesyaki kesahihan sebuah perkahwinan hendaklah mengemukakan bukti kepada dakwaan keraguan berkenaan. Apa yang perlu tuan buat sekarang ialah memastikan siapakah wali yang sah dan layak menjadi wali. Demi kesahihan pernikahan, semua pihak wajib berterus terang, jika ada maklumat yang disembunyikan maka dia dipertanggungjawabkan sepenuhnya.

    Bukti itu hendaklah dibawa ke mahkamah, yang akan mempertimbangkannya. Jika benar seperti dakwaan, maka perkahwinan ibu mentua akan dibubarkan dan barulah bakal isteri boleh disabitkan sebagai anak tidak sah taraf yang memerlukan wali hakim.

    Jika sekadar syak saja tanpa sebarang bukti kukuh, tidak wajar hendak menggunakan wali hakim bahkan hendaklah diteruskan ayahnya sebagai wali kepada perkahwinan.

    STATUS PERKAHWINAN IBU TANPA NAFKAH 21 TAHUN

    AYAH meninggalkan ibu lebih 21 tahun tanpa nafkah zahir dan batin kerana berkahwin lain. Ayah juga tidak pernah menceraikan ibu. Baru-baru ini isteri muda ayah meninggal dunia kerana kencing manis. Selepas kematian isterinya, ayah mendesak kami sekeluarga untuk tinggal bersamanya kerana perkahwinan kali keduanya itu tidak mempunyai anak.

    Ibu tidak mahu kembali ke pangkuan ayah apatah lagi mengenangkan sikapnya yang tidak pernah mempedulikan kami selama ini. Bagaimanapun, ayah mendesak dan mengatakan ibu masih isterinya yang sah.

    Saya ingin tahu bolehkah ayah kembali kepada ibu? Adakah mereka masih menjadi suami isteri kerana sudah berpuluh tahun ayah tidak memberikan sebarang nafkah kepada ibu.


    Perlukah ibu dan ayah bernikah semula? Jika ibu tetap tidak mahu hidup bersama, apakah tindakan yang boleh diambil?


    SITI
    Pelabuhan Klang


    JAWAPAN
    Dalam perkahwinan ada taklik yang menyebut bahawa jika suami meninggalkan isteri tanpa nafkah selama empat bulan dan isteri mengadu mengenai hal ini, maka mahkamah boleh menjatuhkan fasakh perkahwinan jika isteri menuntut demikian.

    Malangnya, di sini walaupun ibu sudah berpuluh tahun ditinggalkan tanpa nafkah dia tidak mengadu kepada mahkamah mengenai statusnya. Ada kemungkinan dia reda dengan keadaan suaminya meninggalkan dia dan masih mahu menjadi isteri pada suaminya.

    Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah membawa keduanya ke pengadilan supaya status ibu jelas. Jika dia mahukan fasakh atau pembubaran perkahwinan maka syaratnya sudah cukup kerana suami mengabaikan nafkah.

    Jangan sampai dia merasa dirinya dipergunakan ketika suaminya terdesak saja. Jika dia memilih untuk meneruskan perkahwinan ini itulah adalah hak dia.

    HUKUM HAIWAN BURUAN

    Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

    BAPA saya mempunyai senjata api dan saya sering mengikutinya untuk sama-sama berburu. Soalan saya bolehkah haiwan buruan itu dimakan jika ia disembelih selepas ditembak dan keadaannya kami tidak pasti sama ada nyawa-nyawa ikan atau sudah mati.

    Saya pernah mendengar pendapat yang mengatakan haiwan buruan boleh terus dimakan jika semasa melepaskan tembakan kita melafazkan Bismillah dan berniat di dalam hati mematikan haiwan berkenaan untuk tujuan makanan dengan nama Allah.

    IRWAN

    Bangi


    JAWAPAN

    Firman Allah yang bermaksud: ‘diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk, yang diterkam binatang buas yang sempat kamu menyembelihnya…….’ Al-Maidah -Ayat 3. Jelas daripada ayat ini bahawa hanya binatang yang disembelih boleh dimakan.

    Ayat 4 seterusnya menerangkan;..maka makanlah daripada apa yang ditangkap untukmu dan sebutlah nama Allah sewaktu melepasnya...

    Hadis Adiy bin Hatim ra katanya: Wahai Rasulullah, aku telah melepaskan anjing-anjing yang sudah terlatih untuk berburu, anjing-anjing itu membawa binatang buruan itu kepadaku. Aku sudah pun membaca Bismillah (menyebut nama Allah) padanya. Baginda bersabda: Apabila kamu menyuruh anjingmu yang sudah terlatih dan kamu telah pun menyebut nama Allah atasnya, maka makanlah binatang buruan itu.

    Aku bertanya: Sekalipun anjing-anjing itu sudah membunuhnya? Baginda menjawab: Ya, sekalipun anjing-anjing itu sudah membunuhnya jika tidak ada anjing lain yang turut bersamanya.

    Aku bertanya lagi kepada baginda: Bagaimana jika aku memburu binatang dengan menggunakan panah lalu terkena tidak melalui matanya. Baginda menjawab: Apabila kamu memburu dengan menggunakan panah lalu terkena melalui matanya, maka makanlah. Tetapi jika terkena daripada bahagian belakangnya (bukan dengan matanya) maka janganlah kamu makan.

    Penjelasan ini menunjukkan bahawa pemburu hendaklah melepaskan tembakan dengan menyebut nama Allah untuk menghalalkan ia dimakan, jika masih ada nyawa ikan maka segeralah menyembelihnya untuk dimakan.