.

11 Ogos 2009

HUKUM TANAM RAMBUT KERANA BOTAK

Dr Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN

SAYA seorang lelaki berusia 26 tahun dan mengalami keguguran rambut serius.

Ada seorang rakan mengesyorkan saya menjalani pem bedahan pemindahan rambut di mana folikel rambut di belakang dan di sisi kepala saya yang tidak mengalami keguguran ditanam di bahagian depan rambut yang ber masalah.

Saya sudah merujuk kepada Islamonline.com dan pihak terbabit mengatakan ia dibolehkan kerana ia tiada beza dengan prosedur pemindahan mata dan organ badan yang lain. Apa pendapat doktor?

Anas,

Melaka

JAWAPAN
MENANAM rambut dibenarkan atas asas mengembalikan perkara yang asal dan menghilangkan aib.

Bagaimanapun, sebelum melakukannya anda hendaklah menilai buruk baiknya daripada sudut kesihatan termasuk kesan jangka panjang.

Begitu juga kos serta masa pembedahan dan rawatan sama ada ia tinggi atau mengambil masa panjang.

Selain itu, hendaklah dipastikan rambut yang digunakan juga rambut asli dan bukan palsu. Ia hendaklah berbentuk rawatan.

Anda juga hendaklah menetapkan keutamaan supaya tidak membelanjakan wang kepada perkara kurang utama dan seumpamanya.

Untuk lebih lanjut lihat artikel mengenai penanaman ram but di www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=Is lamOnline-English-Ask_Scholar/FatwaE/Fat waE&cid=1119503547066; dan “Hukum menanam rambut” www.alsofwah.or.id/?pilih=lihatfatwa&id=995.

10 Ogos 2009

GUNA WANG PUSAKA UPAH HAJI SI MATI

Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

SOALAN

ADAKAH wajib bagi seorang waris mengupah haji untuk ibu bapa atau saudaranya yang meninggal dunia dengan menggunakan peninggalan wang pusaka si mati?

Adakah ini dikira sebagai hutang kepada Allah yang wajib ditunaikan terlebih dulu sebelum harta pusaka berkenaan difaraidkan? Minta dalil sahih, jika ada.


HAMBA ALLAH
Bangi


JAWAPAN


Apabila seseorang itu meninggal dunia sebelum mengerjakan haji, gugur kewajipan berkenaan daripadanya. Tidak perlu menyisihkan harta peninggalannya untuk upah haji, kecuali jika ia wasiat si mati.

Bagaimanapun, anak atau waris boleh mengupah haji untuk si mati. Bagi waris yang hendak menunaikan haji untuk keluarga, hendaklah dia terlebih dulu menunaikan fardu haji untuk dirinya sendiri dengan sempurnanya, sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: “Daripada Ibnu Abbas ra bahawa Rasulullah SAW mendengar seorang lelaki berkata ketika mengerjakan haji: ‘Aku sahut seruan mengerjakan haji menggantikan Syubrumah’. Lalu Rasulullah SAW bertanya kepadanya: ‘Sudahkah engkau mengerjakan haji untuk diri engkau sendiri?’ Jawab lelaki itu, ‘Belum’.

Rasulullah bersabda: “Kalau begitu, hendaklah engkau kerjakan haji untuk diri engkau sendiri dulu, kemudian engkau kerjakan haji untuk Syubrumah pula.” (Riwayat-Abu Daud dan Ibnu Majah)

Hutang yang wajib dilangsaikan ialah seperti hutang wang ringgit dan hutang puasa yang tertinggal, eloklah dilangsaikan oleh warisnya. Selepas itu bolehlah dibahagikan hartanya mengikut faraid jika tiada wasiat.

KANAK-KANAK DALAM SAF SOLAT


Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

SOALAN

APAKAH hukum jika kita sembahyang Jumaat, dalam saf kita ada budak kecil yang belum baligh. Ini berlaku di masjid sekitar ibu kota. Apa pendapat Datuk?

MO SIANG

Bangi


JAWAPAN

Kanak-kanak dihargai dalam agama Islam seperti sabda Rasulullah yang bermaksud: “Bukan daripada kalangan kami sesiapa yang tidak menghormati orang tua dan bukan daripada kalangan kami juga sesiapa yang tidak merahmati budak kecil.”

Di negara Arab, kanak-kanak dibawa ke masjid dan bukan menjadi perkara yang janggal. Dalam hadis, baginda bersabda maksudnya: “Aku mendirikan solat (sebagai imam) dan aku berhasrat ingin memanjangkannya. Tiba-tiba aku mendengar tangisan bayi, maka aku segerakan solatku kerana aku tidak suka membebankan ibunya.” (Riwayat al-Bukhari)

Ini membuktikan orang Arab membawa kanak-kanak ke masjid. Sah solat bersama dalam saf berkenaan ada kanak-kanak. Jika jemaah itu membabitkan ramai dan beberapa kumpulan, sebaik-baiknya saf hendaklah diatur kerana Islam ialah agama yang mengajar disiplin dan peraturan hidup.

Aturan jemaah solat adalah seperti berikut: Imam, makmum lelaki dewasa, kanak-kanak lelaki, perempuan dewasa dan kanak-kanak perempuan. Sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW mengatur saf lelaki di depan saf kanak-kanak dan saf perempuan di belakang saf kanak-kanak.” (Riwayat Muslim)

RUKHSAH WANITA DATANG HAID

Dr Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN

JIKA wanita didatangi haid, apakah hukum dia memasuki masjid untuk majlis pernikahan?

SAL,

Selangor


JAWAPAN

BAGI wanita yang datang haid dan masuk dalam masjid untuk majlis akad nikah, ia dibenarkan secara rukhsah (kelonggaran) sekiranya dapat menjamin kebersihan masjid.

Ada hadis melarang wanita dalam haid berada dalam masjid bagi menjaga kesucian masjid. Bagaimanapun, ada rukhsah (kelonggaran) untuk tujuan melintasnya.

Firman-Nya bermaksud: "Dan janganlah pula kamu (hampiri masjid) dalam keadaan junub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas saja - hingga kamu bersuci... (al-Nisa' 4: 43).

Dalam keadaan yang lain pula, ada hadis Rasulullah s.a.w memberi kelonggaran kepada wanita apabila dia dapat memastikan kesucian masjid. (Sabiq, 2000: I, 48)

e-DAGANG DI SISI ISLAM

Dr Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN

SAYA menyertai perniagaan e-dagang. Apakah hukumnya jika mendapat wang melalui kaedah terbabit kerana ia mudah manakala usaha pula sedikit?

ANAS,

Melaka


JAWAPAN

E-dagang (yang juga dikenali dengan istilah dotcom) adalah satu kaedah transaksi elektronik maya tanpa sempadan jarak atau waktu membabitkan perniagaan barangan atau per khidmatan.

Enam sektor perniagaan yang utama ialah pengiklanan, pendidikan, kewangan, bidang profesional, peruncitan dan pelancongan.

Contohnya, amazon.com menjual buku menerusi laman web.

E-dagang adalah satu daripada cara perdagangan yang sangat berpotensi besar untuk dikembangkan dengan adanya kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi.

Anda boleh mendapatkan pengetahuan lebih lanjut melalui tulisan Nik Zafri Abdul Majid di www.geocities.com/ni kzafri/e-environ.htm.

Islam membenarkan sebarang bentuk perniagaan sama ada secara nyata atau maya apabila perniagaan menepati rukun dan syarat jual beli dalam Islam.

Ia meliputi akad atau kontrak jualan (tawaran dan pe nerimaan), subjek akad atau barangan jualan serta pihak yang berakad.

Secara umumnya, asas penting dalam sesuatu akad atau kontrak ialah adanya tawaran dan penerimaan.

Barangan jualan pula mestilah sesuatu yang tidak ber canggah dengan kehendak akad dan mengikut hukum syarak, bendanya ada sewaktu akad dan boleh diserahkan pada waktu ditetapkan.

Pihak yang berakad iaitu antara penjual dan pembeli perlu ada kelayakan serta kuasa untuk melakukan akad (untuk lebih lanjut lihat, Faizah Hj Ismail, 2000).

Memandangkan tujuan e-dagang untuk memudahkan uru san jual beli dengan adanya kemudahan elektronik, tidak timbul persoalan mendapat duit dengan cara mudah. Semua teknologi dicipta bagi memudahkan masyarakat mendapat barangan dan perkhidmatan secara cepat tanpa mengha biskan banyak masa dan tenaga.

Bagaimanapun, anda juga dinasihati perlu berhati-hati supaya tidak terbabit dengan skim cepat kaya yang juga menggunakan kemudahan teknologi terkini.

WANG HASIL PERAGAAN DEDAH AURAT TIDAK HALAL

Dr Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN

WANG yang diperoleh oleh perempuan mencari rezeki melalui peragaan boleh digunakan atau tidak. Harap dapat penjelasan dari Dr.

RASID,

Seremban


JAWAPAN

ISLAM menghendaki rezeki yang diperoleh daripada sumber halal dan baik. Untuk itu wanita yang terbabit dalam peragaan hendaklah memastikan kerjaya tidak terbabit dalam perkara haram dan maksiat seperti mendedahkan aurat dan memperaga fesyen di hadapan penonton lelaki yang bukan mahram.

Ini kerana asas utama Islam dalam hubungan antara lelaki dan perempuan ialah menundukkan pandangan.

Pendapatannya menjadi benar-benar halal dan baik serta boleh digunakan apabila mengikut garis panduan Islam dalam memperoleh pendapatan.

Bidang peragawan hendaklah dikawal supaya wanita Islam yang terbabit tidak melanggar tatasusila Islam.

Bidang terbabit yang tidak menepati syarat Islam hendaklah ditinggalkan kerana banyak mendatang keburukan.

HUKUM WANITA DALAM HAID BACA AL-QURAN

Dr Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN

APAKAH hukum bagi wanita membaca ayat suci al-Quran sebelum melelapkan mata ketika

datang haid?


AIN,
Kuala Lumpur


JAWAPAN

KEBANYAKAN ulama menegah wanita membaca al-Quran ketika dalam haid. Bagaimanapun, ada juga ulama yang mengharuskan membaca sedikit terutama dari kalangan mazhab Maliki (Ibn Rushd, I:84).

Dengan itu, membaca ayat ringkas daripada al-Quran dibenarkan termasuk membaca ayat al-Kursi dan surah pendek yang menjadi amalan harian dalam bentuk doa.

BERGURU MEMPELAJARI AL-QURAN WAJIB



Dr Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN

APAKAH hukum jika seseorang itu belajar membaca al-Quran melalui radio atau cakera padat video (VCD) disebabkan terlalu sibuk dan malu?


MOHD,

Pahang


JAWAPAN

SEMEMANGNYA diakui teknologi moden banyak memberi kemudahan kepada kita terutama dalam mencari ilmu.

Bagaimanapun, dalam Islam, belajar mengaji melalui kaset atau VCD tidak mencukupi, malah tidak harus terutama dalam mempelajari cara membaca al-Quran yang betul.

Kaedah membaca al-Quran yang betul dapat diperoleh daripada cara dengar dan memperdengarkan bacaan itu. Dengan adanya guru, kesilapan bacaan (tajwid) dapat dibetulkan.

Guru akan memperbetulkan bacaan seperti idgham (degung) serta tebal, nipis sebutan huruf dan sebagainya.

Jadi, berguru dalam mempelajari al-Quran adalah wajib kerana setiap penyempurnaan sesuatu yang wajib itu adalah wajib juga. Buanglah perasaan malu demi kebaikan diri sendiri.

Bagaimanapun, jika sudah pandai, kaset dan VCD boleh diterima sebagai alat bantu, tetapi kepentingan guru tidak boleh dikesampingkan dalam era teknologi.

SOLAT SUBUH SAH TANPA BACAAN QUNUT

Dr Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN

SAYA ada kemusykilan mengenai doa qunut dalam solat Subuh. Adakah sah mendirikan solat Subuh tanpa membaca doa qunut?

KAMARUDDIN,

Johor Bahru


JAWAPAN

SAH solat Subuh tanpa membaca doa qunut. Qunut termasuk sunat ab'ad dalam solat. Perkara dikategorikan sunat ab'ad yang lain ialah membaca tashahud awal, duduk tashahud, membaca selawat atas Nabi s.a.w dalam tashahud awwal, membaca selawat atas keluarga Baginda dalam tashahud akhir, duduk membaca tashahud awal dan akhir di samping selawat atas Nabi, keluarga dan sahabat.

Dalam mazhab Syafie, sesiapa yang tertinggal bacaan qunut atau mana-mana sunat ab'ad hendaklah sujud sahwi.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Bila seseorang berdiri sesudah dua rakaat, tetapi belum lagi sempurna berdiri, maka hendaklah dia duduk kembali (bagi tashahud awal). Jika dia sudah berdiri betul, janganlah duduk kembali, hendaklah ia sujud dua kali (iaitu sujud sahwi)." (Riwayat Ahmad)

Dalam pada itu, terdapat perbezaan pendapat mengenai bacaan qunut dalam solat Subuh kerana ada perselisihan dalam sumber hadis bacaan qunut.

Mazhab Malik melihat qunut dalam solat Subuh sebagai hanya sunat yang digalakkan (mustahhab). Abu Hanifah tidak mengharuskan baca qunut dalam solat Subuh dan menetapkannya hanya dalam solat Witir. (Ibn Rushd I: 189)

PERLU IKHLAS DALAM IBADAT

Dr Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN

APAKAH perbezaan dalam mengerjakan ibadat dituntut agama, melakukannya kerana takutkan Allah atau kerana tidak mahu diseksa di akhirat kelak?

Bagaimana pula jika kita beribadat kerana ingin menikmati limpahan kesenangan yang dijanjikan Allah kepada mereka yang beramal kepada-Nya?

ABID,

Terengganu


JAWAPAN

APA yang penting ialah keikhlasan kita dalam beribadat kepada Allah. Kedua-duanya tidak lari daripada yang dituntut Islam. Ini kerana janji Allah kepada hamba-Nya untuk membalas segala amalan hamba-Nya.

Melakukan ibadat kerana takutkan kemurkaan Allah dan balasan azab juga benar kerana hamba yang menderhaka dimurkai Allah.

Perbahasan mengenai persoalan ini ada dalam kajian ilmu tasawwuf, suatu ilmu berdasarkan konsep ihsan.

Ia bertujuan menyucikan hati daripada segala perkara selain Allah dan menghiasinya dengan amalan yang baik.

01 Ogos 2009

KOSMETIK BERALKOHOL

Sumber: JAKIM

SOALAN
Apakah hukum jika kita menggunakan kosmetik yang menggandungi alkohol dan lemak binatang yang tidak disembelih?.

JAWAPAN
Hukum menggunakan kosmetik yang mengandungi alkohol adalah diharuskan tetapi jika kandungan kosmetik tersebut mengandungi lemak binatang yang tidak disembelih adalah najis dan wajib dicucikan jika hendak menunaikan solat dan ibadat-ibadat khusus yang lain.

HUKUM PEMBEDAHAN PLASTIK

Sumber: JAKIM

SOALAN

Adakah haram membuat pembedahan plastik akibat parut jerawat tanpa niat riak ?
.

JAWAPAN
Mengubah ciptaan Allah dengan niat untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain adalah haram Walaubagaimanapun Islam mengharuskan kita membuat pembedahan plastik dengan tujuan untuk menutup kecacatan yang teruk yang boleh mengaibkan diri sendiri sehingga nampak natural seperti orang lain.
.

KAEDAH WASIAT SECARA MULUT (LISAN)

Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

SOALAN
SAYA ingin bertanya mengenai harta pusaka. Ibu saudara saya meninggal dunia beberapa bulan lalu dan menyerahkan ladang berharga lebih kurang RM60,000 atas nama sepupu saya (lelaki).

Dia juga mewasiatkan supaya diagihkan kepada abangnya iaitu ayah saya (separuh) dan selebihnya kepada anak saudara yang lain yang sudah kematian ayah.

Wang dalam akaun Tabung Haji adalah di atas nama arwah dan suaminya diwasiat (wasiat mulut) supaya diberi separuh kepada abang sulungnya (ayah saya). Adakah wasiat secara percakapan ketika dia sakit dulu boleh digunakan? Adakah halal jika kami menggunakan wang berkenaan?

Ibu saudara saya mempunyai dua anak angkat yang dibintikan dengan nama suami pertamanya dulu. Mereka juga menuntut harta pusaka lain dan barang kemas yang bernilai kira-kira RM10,000.

Suami keduanya dan ayah saya memberitahu mereka anak angkat tetapi mereka tidak percaya kerana tiada bukti. Bagaimanakah kami dapat menyelesaikan soal tuntutan harta ini?

CHE RASIMIN
Pahang


JAWAPAN

Wang yang diserahkan ketika masih hidup ialah hibah atau hadiah. Ia menjadi milik kepada yang dihadiahkan dan tidak boleh dikira pusaka. Wang wasiat pula wajib diagihkan menurut apa yang yang dipesan oleh simati tanpa boleh diubah.

Wasiat secara mulut mestilah mempunyai bukti dan saksi yang kukuh. Selepas diperakui warisnya, bahagilah mengikut wasiat berkenaan. Anak angkat tidak layak menerima harta pusaka.

Menjadi tanggungjawab keluarga yang tahu memaklumkan pada mereka kerana berdosa jika mereka masih menuntut harta berkenaan yang mana mereka tidak berhak terhadapnya.

Justeru dalam agama kita menuntut supaya anak angkat dimaklumkan kedudukan mereka dan tidak dibintikan pada bapa angkat bagi mengelakkan perkara seumpama ini berlaku.

TAKLIK NIKAH

Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

SOALAN

Saya ingin penjelasan mengenai taklik. Apakah beza antara taklik dengan syarat talak? Adakah taklik ini boleh ditarik balik atau dibatalkan dengan persetujuan kedua-dua belah pihak? Jika boleh adakah dalil yang menyokongnya?

RIDUAN

Shah Alam

JAWAPAN

Taklik pada dasarnya dibuat untuk melindungi hak suami dan hak isteri di samping menggariskan perkara boleh dan tidak boleh dilakukan sepanjang tempoh perkahwinan demi memastikan wujudnya persefahaman antara kedua belah pihak.

Dalam perkahwinan sudah ditetapkan beberapa perkara taklik asas seperti nafkah. Bagaimanapun, jika pasangan ingin menambah lagi syarat sedia ada, mereka boleh berbuat demikian berdasarkan hadis Uqba Bin Amir ra meriwayatkan Rasulullah SAW sebagai bersabda: “Syarat yang paling patut dipenuhi olehmu ialah yang menjadikan persetubuhan (dengan isterimu) halal (untukmu).” [Sahih Muslim, Kitab al-Nikah, Sunan Abu Dawud, Kitab al-Nikah, Hadith 2134].

Taklik kepada perkahwinan atau sebarang tambahan syarat seharusnya dilakukan dengan persetujuan kedua-dua belah pihak. Perlu kita ingat bahawa tujuan utama syarat perkahwinan untuk kesejahteraan rumah tangga. Seksyen 22 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, menyatakan apabila selesai akad nikah, Pendaftar hendaklah mencatatkan butir dan taklik yang ditetapkan atau taklik lain di dalam Daftar Perkahwinan.

Menurut seksyen 22(2), catatan berkenaan hendaklah diakusaksi oleh pasangan perkahwinan, wali dan juga dua saksi yang hadir ketika perkahwinan itu diakadnikahkan. Catatan itu kemudian hendaklah ditandatangani Pendaftar. Taklik talak bermaksud suami menggantungkan jatuh talak isterinya dengan terjadi sesuatu sifat atau syarat dikaitkan dengan isteri atau orang lain.

NAFKAH ISTERI BEKERJA

Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

SOALAN

Saya mempunyai kemusykilan mengenai nafkah suami kepada isteri. Sejak awal perkahwinan lagi suami tidak pernah memberi saya nafkah (wang belanja). Apabila saya bertanya, dia berkata apa yang diberinya (makan minum dan perbelanjaan keperluan harian keluarga) yang membolehkan kami sekeluarga cukup makan itu adalah nafkah. Adakah ia benar?

Saya bekerja di syarikat swasta, saya ada ramai kawan dan menurut mereka, nafkah itu adalah duit pemberian suami kepada isteri mengikut kemampuan dia. Kadangkala saya rasa cemburu sebab kawan saya dapat nafkah daripada suami mereka sebagai tambahan belanja (peribadi) sedangkan saya tidak pernah merasa itu semua. Saya tidak kisah kalau dia bagi sedikit, asalkan ada.

Adakah benar nafkah itu tanggungjawab suami sepenuhnya (termasuklah jika isteri mempunyai pendapatan sendiri)? Adakah suami boleh meminta isteri menghalalkan nafkah yang sepatutnya diberikan kepada isteri?


IFAH
Kuantan


JAWAPAN

Suami wajib menanggung nafkah isteri dalam erti kata memberi makan minum, pakaian dan tempat tinggal. Semua ini adalah menurut kemampuan suami sendiri. Bentuk nafkah boleh dalam bentuk wang tunai atau manfaat disediakan. Jika suami sudah menyediakan keperluan rumah tangga, ia termasuk dalam erti kata nafkah.

Jika pun isteri sudah bekerja maka suami tetap mempunyai tanggungjawab menyediakan nafkah termampu olehnya.

Jika isteri selalu membandingkan diri dengan orang lain kadangkala boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dalam rumah tangga.

Setiap pasangan ada cara sendiri dan kemampuan masing-masing. Bisik dengan baik pada suami hajat puan untuk diberi sedikit nafkah dalam bentuk tunai bagi membolehkan puan merasa belanja wang suami. Jika isteri sama-sama menyumbang pada nafkah, dia memperolehi pahala daripada kebaikan itu. Jika isteri ingin menghalalkan nafkah suami, dia boleh dan berhak berbuat demikian. Dalam menyelesaikan masalah ini yang terbaik ialah duduk berbincang bersama mencari kata sepakat.

WANG KWSP WAJIB ZAKAT

Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

SOALAN

BARU-BARU ini saya membuat pembayaran terakhir pinjaman untuk Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak RM10,000. Soalan saya, perlukah saya membayar zakat pada tahun ini? Jika perlu membayar zakat, bolehkah saya membahagikan wang zakat berkenaan kepada adik beradik kerana mereka mempunyai ramai anak dan bekerja di kampung.

Untuk pengetahuan Datuk, selama membayar pinjaman dalam tempoh lima tahun, saya tidak pernah membayar zakat kerana berpendapat ia duit pinjaman dan bukannya wang yang saya simpan walaupun saya menerima faedahnya (dividen) setiap tahun. Adakah pendapat ini benar?

Soalan kedua, saya tidak pernah menggunakan wang dividen yang diperolehi dan menjadikan ia sebagai simpanan. Adakah wang ini perlu dizakat? Soalan ketiga berkaitan dengan wang di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Adakah ia juga dikenakan zakat?

ROHAYA

Ipoh



JAWAPAN
Zakat wajib dibayar bagi harta yang cukup nisab dan terkumpul sehingga setahun. Saudara membuat pinjaman untuk menyimpan dan melabur serta mendapat keuntungan darinya. Jika cukup syarat dinyatakan tadi, maka wajib zakat.

Begitu juga dengan dividen yang dapat jika cukup syarat nisab dan haul wajib dizakatkan. Jangan bimbang kerana zakat tidak mengurangkan wang simpanan ,ia hanya mengeluarkan hak orang miskin yang di dalamnya.

Insya-Allah mereka yang mengeluarkan zakat akan bertambah dan berkat rezekinya. Harus bagi penganut Islam di Malaysia melabur dalam ASB tetapi wajib mengeluarkan zakat.

Bagi penerima zakat ia mestilah terdiri daripada asnaf yang lapan. Adik beradik sah mendapat zakat jika ia dalam asnaf kerana mereka tidak termasuk orang yang wajib diberi nafkah atau dalam tanggungan.

Hanya orang yang berada dalam tanggungan saja tidak layak menerima zakat. Muzakarah jawatankuasa fatwa kali kelima pada November 1982 sudah memutuskan hukum zakat wang KWSP iaitu wajib dikeluarkan zakat bila cukup haul yakni setahun selepas penerimaannya berdasarkan mazhab Shafei.

HUKUM GUNA PENDINDING

Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

SOALAN

MEMBACA banyak kisah santau dan penggunaan ilmu hitam akhir-akhir ini sedikit sebanyak merisaukan saya. Saya ingin tahu apakah hukumnya seseorang yang menggunakan ilmu pendinding bagi melindungi diri daripada santau, guna-guna, dan perbuatan khianat yang berunsurkan ilmu hitam? Apakah ayat-ayat al-Quran yang mujarab untuk dijadikan pendinding diri?

HELMI

Bangi


JAWAPAN
Ilmu hitam seperti yang saudara sebut ialah sihir. Ia ditegah dalam agama untuk dipelajari untuk digunakan dengan tujuan mengkhianati orang lain. Berlindung diri daripada terkena amalan sihir memang wajar dilakukan. Ia sebagai usaha untuk mengelakkan dari kejahatan dan perbuatan khianat.

Banyak ayat-ayat yang boleh diamalkan untuk pendinding diri seperti ayat tiga qul, bacaan yasin dan doa-doa makthurat atau doa yang diajarkan Nabi Muhammad SAW boleh diamalkan.

Elakkan daripada menggunakan tangkal sebagai pendinding kerana ia menyimpang daripada ajaran agama.