.

29 September 2009

PERBEZAAN ISTILAH MUHRIM, MAHRAM

Dr Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN

SAYA keliru mengenai istilah muhrim atau mahram. Bolehkah Dr memberikan sedikit penjelasan mengenainya?


SOLEHAH,
Kedah


JAWAPAN

MUHRIM (mahram, asalnya dalam bahasa Arab), bermaksud 'lelaki dan perempuan yang diharamkan berkahwin menurut Islam (seperti anak dengan emak dan lain-lain)'.

Sebab diharamkan kahwin ialah kerana nasab keturunan, sesusuan dan persemendaan atau sebab pertalian kahwin.

Muhram (mahram) kerana keturunan ialah:

# Ibu atau bapa.

# Nenek hingga ke atas sama ada dari sebelah bapa atau ibu.

# Anak perempuannya atau anak lelakinya dan cucu perempuannya atau cucu lelaki sehingga ke bawah.

# Saudara perempuan atau saudara lelaki sama ada seibu sebapa, sebapa atau seibu.

# Anak perempuan atau anak lelaki kepada saudara lelaki sama ada seibu sebapa, sebapa atau seibu.

# Emak saudara atau bapa saudara sebelah bapa hingga ke atas.

# Emak saudara atau bapa saudara sebelah ibu hingga ke atas.

Kemudian, muhrim kerana sesusuan ialah:

# Ibu penyusu atau lelaki yang ada hubungan dengannya melalui penyusuan.

# Saudara-saudara perempuan sesusuan. Dengan kata lain seseorang lelaki tidak boleh berkahwin semua perempuan yang diharamkan berkahwin oleh sebab nasab atau pertalian nikah dengan ibu yang menyusunya.

Muhrim kerana sebab pertalian kahwin (persemendaan) ialah: Ibu mentuanya atau bapa mentuanya hingga ke atas; emak tirinya atau bapa tirinya, iaitu isteri bapanya atau suami ibunya; nenek tirinya; menantunya; anak perempuan atau anak lelaki tirinya hingga ke bawah.

Dengan itu, setiap wanita yang diharamkan berkahwin ke atas seorang lelaki secara tetap, dia ialah salah seorang mahramnya.

Setiap lelaki yang diharamkan berkahwin ke atas wanita secara tetap, dia juga salah seorang daripada mahramnya seperti yang di atas.

Bagi wanita yang belum bersuami, Islam menasihatkan supaya mereka ditemani mahramnya ketika berjalan dan sebagainya untuk menjaga keselamatan dan lain-lain.

GUGUR JANIN TUTUP AIB

Datuk Dr Mashitah Ibrahim

SOALAN

SAYA ada kemusykilan mengenai hukum menggugurkan janin yang berusia lebih dua bulan oleh keluarga bagi mengelak aib.


Gadis ini terlanjur dengan teman lelakinya dan mengandung lebih dua bulan. Selepas diketahui keluarganya, mereka nekad menggugurkan kandungan berkenaan di klinik swasta walaupun dibantah gadis terbabit.

Keluarga ini difahamkan bahawa pengguguran itu harus dalam Islam bagi mengelak keaiban pada masa depan. Adakah pengguguran ini termasuk dalam kategori harus dalam Islam?

Bagaimana pula dengan janin itu, adakah ia perlu dikebumikan mengikut Islam? Bagaimana pula pandangan Islam iaitu keluarga seolah-olah bersubahat jika pengguguran haram di sisi agama?

MOHD
Melaka


JAWAPAN

Rasa aib dan malu sepatutnya dirasakan bila kita melanggar perintah Allah atau melakukan maksiat pada Allah. Sepatutnya mereka merasa malu pada Allah bila membiarkan anak bersetubuh secara haram sebelum kahwin. Pada dasarnya, menggugurkan anak dalam kandungan adalah haram dan berdosa besar.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kali Ke-52 pada 1 Julai 2002 membuat keputusan: Haram menggugurkan kandungan janin berumur lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang ditiupkan roh, kecuali untuk menyelamatkan nyawa ibu.

Pengguguran janin berumur sebelum 120 hari adalah harus jika janin itu cacat dan mengalami penyakit teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.

Bagaimanapun dalam kes ini tiada alasan yang mengharuskan janin digugur, sebaliknya ia sekadar menutup aib. Bertaubatlah pada Allah dengan dosa yang dilakukan.

BERDOSA ISTERI BUAT SUAMI CEMBURU

Datuk Dr Mashitah Ibrahim

SOALAN

SAYA ingin bertanya mengenai peranan isteri dan dosa. Apakah hukumnya jika seorang isteri berkawan dengan lelaki lain tanpa pengetahuan suaminya?


Mereka berkawan hanya melalui telefon bimbit dan Internet. Adakah si isteri dianggap berdosa walhal berkawan hanya untuk bertukar-tukar fikiran dan pendapat.

Selain itu, adakah seorang isteri berdosa jika berkawan dengan suami orang tanpa sebarang perasaan cinta, sebaliknya sekadar berkawan.

Dan bolehkah seseorang isteri berkawan dengan lelaki lain untuk membuatkan suaminya cemburu dan sayang pada isteri kerana si suami ada hubungan dengan wanita lain? Dalam erti kata lain supaya suami beri perhatian pada si isteri?

AJ
Klang


JAWAPAN

Seorang lelaki dan perempuan mempunyai batas pergaulan. Apalagi jika berstatus sebagai isteri, pergaulannya lebih terbatas.

Dia boleh mempunyai kawan berlainan jantina tetapi perlu menjaga kehormatan dirinya sebagai isteri orang dan perkara ini harus dalam makluman suami supaya tidak timbul fitnah sesama mereka.

Sebagai sahabat, kita dituntut mengasihi sesama umat Islam seperti tuntutan dalam hadis Rasulullah SAW. Wajib menjaga batasan pergaulan seperti menjaga pandangan serta tidak bergaul di tempat sunyi yang boleh menimbulkan fitnah. Suami perlu memberi perhatian dan kasih sayang pada isterinya dan bukan isteri orang.

Jika isteri terpaksa berhubung dengan lelaki lain dengan niat menarik perhatian suami yang mempunyai hubungan dengan perempuan lain pula, kedua-duanya berdosa.

Ingatlah pesan Nabi Muhammad SAW: ‘bila seorang lelaki bersama perempuan lain yang bukan mahramnya maka orang yang ketiga adalah syaitan’. Oleh itu berwaspadalah dengan tindakan anda.

KAFARAH KERANA JIMAK DI BULAN RAMADHAN

Datuk Dr Mashitah Ibrahim

SOALAN

SAYA musykil dan ingin bertanya berkenaan hukum berjimak bagi suami isteri pada siang hari di bulan Ramadan. Ada pendapat menyatakan wajib kafarah bagi kedua-duanya jika puasanya terbatal akibat bersetubuh. Ada pendapat menyatakan jika puasanya sudah terbatal dulu dengan minum air misalnya selepas itu baru berjimak maka tidak wajib kafarah. Hanya wajib qada puasa yang terbatal itu.

MIKHAIL
Johor Bahru


JAWAPAN
Setiap amalan dilakukan akan dinilai dengan niat kita melakukannya.

Allah mengetahui niat seseorang hamba. Ramadan perlu dihormati. Berpuasa di bulan Ramadan adalah satu daripada perkara wajib bagi umat Islam. Oleh itu, berbuka puasa secara sengaja adalah berdosa.

Jika seseorang membatalkan puasa dengan niat untuk bersetubuh, walaupun puasa dibatalkan dengan minum air terlebih dulu tetapi memang berniat untuk berjimak, kafarah tetap dikenakan.

Dengan demikian anda bukan saja berdosa kerana berjimak, malah berdosa kerana berbuka puasa.

Puasa yang dibatalkan wajib diganti. Hukum melakukan jimak di bulan Ramadan adalah haram walaupun perbuatan itu didahului dengan berbuka puasa kerana perbuatan itu mencabuli kehormatan bulan Ramadan.

Kafarah puasa ialah pertama memerdeka hamba dan kedua berpuasa dua bulan berturut-turut. Ketiga memberi makan 60 orang miskin.

15 September 2009

KEPALSUAN HADIS KELEBIHAN TERAWIH

Sumber: www.bharian.com.my

Diterbitkan dan diedar secara percuma oleh:

DARUL QURAN WAS-SUNNAH
Lot 1499, Taman Seri Demit, Jalan Sultanah Zainab 2
Kubang Kerian, 16150 Kota Bharu, Kelantan.
Tel: 09-7645816

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang

Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata'ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu 'alaihi wasallam serta para sahabatnya.

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan Tarawih pada malam-malam Ramadan telah tersebar dengan meluas sekali. Media elektronik, cetak serta media massa lain turut memainkan peranan menyebarkannya melalui akhbar, dairi Islam, TV, radio, risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat, terutamanya dalam bulan yang diberkati itu. Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut,

Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadilat sembahyang Tarawih pada bulan Ramadan antaranya:

* Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).


* Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.


* Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.


* Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.

* Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.


* Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W.


* Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh



Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanah air mengenai kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini. Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang Tarawih dan kedudukannya dalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama kita dahulu.

Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya: Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori, Muslim)

Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).

Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu'ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis mengenai pendustaan atas nama Nabi Muhammad s.a.w. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad s.a.w. di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam? seterusnya dia berkata: Ulama sudahpun sepakat mengenai haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga. Firman Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4).

Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan Tarawih dalam bulan Ramadan seperti kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang sebenarnya hadis itu pun direka atas nama nabi Muhammad s.a.w. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang Zuhur dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri. Jika dia meninggalkan sembahyang Asar dosanya adalah seperti meruntuhkan Kaabah.

Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)

Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan ke dalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)

Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan Tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun seksaannya, namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.

Antara ciri-ciri hadis maudhu`(rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah

1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad s.a.w. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.


2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan sedangkan ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur'an dan hadis-hadis sahih.


3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi seperti yang terdapat dalam hadis-hadis sahih.


4. Dalam sesetengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan "Ya Ali" sedangkan ulama hadis sudah mengatakan bahawa hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang sahih. Yang lainnya palsu.


Oleh itu umat Islam sekalian, terutamanya pihak seperti institusi agama di peringkat negeri dan pusat, sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan dakyah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.

07 September 2009

PUASA 3 HARI SEBAGAI GANTI NAZAR

Dr Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN

SAYA mempunyai tabiat yang buruk. Selepas bermuhasabah diri untuk menjadi lebih baik dan tidak mengulangi, saya bernazar menderma wang setiap kali saya sedar melakukan tabiat itu.

Masalahnya, saya sukar membuang tabiat dan tanpa disedari wang saya hampir habis didermakan.

Soalnya jika wang saya habis didermakan dan andai kata saya melakukan tabiat terbabit, tetapi bukan bermaksud saya tidak berusaha menghindarinya, bolehkah saya berpuasa bagi menggantikan nazar yang saya lakukan?

MUSYKIL
Kuala Lumpur



JAWAPAN
ANDA dibenarkan membayar kaffarah nazar (denda kerana tidak dapat menyempurnakannya) iaitu diberi tiga pilihan seperti berikut:

(1) Memberi makan sepuluh orang miskin, atau

(2) Memberi pakaian kepada mereka, atau

(3) Memerdekakan seorang hamba.

Sekiranya tidak mampu melakukan tiga pilihan terbabit, anda boleh berpuasa tiga hari sebagai ganti.

Ini berdasarkan firman Allah s.w.t, bermaksud: "Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan, akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat.

"Maka dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba.

"Kemudian sesiapa yang tidak dapat, maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda sumpahmu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya supaya kamu bersyukur." (al-Quran, al-Ma'idah (5): 89).

Perlu juga diingat, bahawa kaffarah nazar adalah sama dengan kaffarah sumpah.

RAMAI TANGGUH SOLAT FARDHU

Dr Abdul Salam Muhammad Shukri

SAYA mendapati ramai orang Islam cenderung menangguhkan ibadat terutama solat fardu sedangkan solat pada awal waktu adalah satu anjuran Rasulullah s.a.w supaya memperoleh fadilatnya di samping mengelak kelalaian luputnya waktu.

Tetapi manusia ialah makhluk yang pelupa, leka dan lalai. Walaupun diingatkan berkali-kali, masih ada yang lupa, seolah-olah memekakkan telinga ketika azan mula berkumandang.


Dr Salam, apakah ada beberapa kisah tauladan pada zaman Nabi s.a.w mahupun sebelum zaman baginda yang boleh dijadikan iktibar cukup menginsafkan mengenai kepentingan solat di awal waktu?

CIK MIXXY
Perak




JAWAPAN
SECARA umumnya waktu solat fardu ditetapkan dengan waktu tertentu.

Ini dijelaskan Allah s.w.t: "...Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya." (al-Quran, an-Nisa'(4): 103).

Kita perlu memahami bahawa wajib di awal waktu mengerjakan solat tergolong dalam wajib diperluaskan dalam waktunya yang tertentu.

Sebagai contoh, waktu Zuhur bermula selepas gelincir matahari ke arah barat dan berakhir selepas bayang berubah menjadi panjang dari asal barang yang dijadikan pengukur.

Sekarang ini waktu solat mudah diketahui menerusi azan di masjid, televisyen, jadual waktu solat di kalendar, Internet dan sebagainya.

Untuk lebih lanjut setiap waktu solat yang difardukan terbahagi kepada empat masa, iaitu:

(1) Waktu afdal (utama) - di permulaan masuk waktu.

(2) Waktu pilihan (iktiyari)- sebaik-baik masuk waktu sehingga ke akhirnya.

(3) Waktu harus - kepada orang musafir yang dibenarkan menjamak (himpun) antara dua solat.

(4) Waktu haram - pada akhir waktu sehingga tidak sempat menyempurnakan solat dalam waktunya.

Kita juga hendaklah memahami bahawa solat adalah tiang agama.

Solat bertujuan mengingatkan manusia mengenai hubungan manusia dengan Allah.

Manusia adalah hamba-Nya yang perlu sentiasa patuh kepada ajaran Allah dalam semua keadaan.

Rasulullah s.a.w sangat menitikberatkan solat sehingga baginda menasihatkan ibu bapa supaya menyuruh anak mereka bersolat apabila mencapai umur tujuh tahun dan memukul kanak-kanak terbabit apabila dia ingkar suruhan solat ketika berusia 10 tahun.

Rasulullah s.a.w juga menitik berat mengenai solat jemaah. Terdapat cerita dalam hadis bagaimana Rasulullah s.a.w menyatakan niatnya untuk membakar rumah penghuni yang tidak bersolat jemaah.

Solat berjemaah adalah syiar Islam yang perlu dilaksanakan umat Islam.

Masyarakat Islam akan berjaya apabila mementingkan amalan solat dan ajaran Islam secara amnya.

02 September 2009

SOLAT TIDAK BOLEH DIGANTI DENGAN ORANG LAIN

Datuk Dr Mashitah Ibrahim

SOALAN
SAYA ingin bertanya, adakah si anak perlu membayar fidyah untuk solat yang ditinggalkan oleh ibu bapa yang meninggal dunia? Kalau perlu, bagaimana caranya?

Yang saya faham, solat adalah hak antara kita dan Allah. Pernah saya terbaca, anak sendiri pun tidak boleh menggantikan solat untuk ibu bapanya. Bayaran fidyah bagi solat si mati menjadi amalan sesetengah tempat dalam masyarakat kita. Minta dijelaskan hukumnya.

Saya juga faham solat tidak wajib bagi orang yang tidak sedar, termasuk tertidur. Adakah pesakit yang tidak sedarkan diri dan ada di ICU dengan segala sokongan hayat diwajibkan bersolat?

Jika amalan fidyah untuk solat si mati memang dituntut, adakah solat yang ditinggalkan oleh si mati ketika tidak sedar termasuk dalam solat yang perlu difidyahkan?

INGIN PENJELASAN
Ampang



JAWAPAN
Solat adalah ibadat badaniah yang tidak boleh digantikan oleh orang lain mahupun anak sendiri. Tidak ada istilah membayar fidyah bagi solat yang tertinggal. Yang ada fidyah ialah bagi puasa tertunggak tahunnya, pun begitu puasa tetap wajib diganti.

Orang yang wajib solat syaratnya ialah berakal tetapi jika ada di ICU dengan keadaan tidak sedarkan diri, bererti solat tidak wajib ketika itu.

Begitu juga bagi tertidur berdasarkan hadis “terangkat qalam (yakni tulisan dosa) bagi mereka yang lupa, tertidur dan dipaksa”, bagaimanapun selepas sedar daripada keadaan itu, dia wajib menunaikannya.

JIKA SUDAH DIHIBBAH, TIDAK PERLU LAGI DIFARAID

Datuk Dr Mashitah Ibrahim

SOALAN
SAYA ingin bertanya berkenaan hibah dan faraid. Adakah saya boleh memberi hibah kepada anak saya secara sama rata lelaki dan perempuan?

Jika harta hibah berupa aset seperti rumah, adakah peningkatan nilai semasa menjadi ukuran? Harta yang dihibahkan adakah masih perlu difaraid? Minta penjelasan ustazah.


MAS
Johor Bahru


JAWAPAN
Hibah antara kaedah penting dalam perancangan harta menurut undang-undang Islam. Begitu juga dengan kaedah lain seperti wasiat.

Bagi seorang yang mati dengan tidak meninggalkan wasiat atau menghibahkan hartanya, hartanya akan dibahagi mengikut faraid yang biasa kerana dia tidak merancang hartanya.

Hibah ialah pemberian harta yang berlaku ketika masih hidup dan wasiat ialah pemberian harta yang berlaku selepas mati.

Kedua-dua kaedah ini harus dalam agama iaitu jika dilaksanakan dengan baik, adil dan selaras dengan kehendak syarak, ia boleh mengelak berlaku pertikaian dan perebutan harta.

Harus hibah secara sama rata pada anak, tetapi bersikap adil dalam pemberian mengikut harga semasa. Sebahagian orang Islam menganggap harta wajib dibahagikan melalui faraid saja, sedangkan sebenarnya faraid hanya digunakan bila simati tidak merancang hartanya sebelum mati. Jika sudah dihibah, tidak perlu lagi difaraid.

DILARANG BERLEBIHAN MENGHIAS KUBUR


Datuk Dr Mashitah Ibrahim

SOALAN
SAYA ada kemusykilan mengenai perhiasan di kubur selepas membaca e-mel yang dikirim seorang rakan. Saudara mara saya di negara jiran bukan saja meletakkan batu nesan berukir, malah tembok keliling kubur juga dihias cantik. Pada masa tertentu, penduduk Islam di sana (termasuk saudara mara saya) membalut batu nesan dengan kain putih.

Ada pula yang meletakkan perhiasan lain seperti kipas berpusing di atas kubur. Adakah ini dibenarkan dalam Islam? Saya keliru kerana dalam satu hadis diriwayatkan Imam Muslim menyebut: “Rasulullah melarang kuburan dikapur (disimen), dijadikan tempat duduk, dan juga didirikan bangunan diatasnya.” Apa pendapat Datuk?


KELIRU
Melaka

JAWAPAN
Perkuburan ialah tempat persinggahan selepas mati. Umat Islam dituntut menghormati tanah perkuburan dan menziarahi untuk mendatangkan keinsafan. Adab-adab menziarahi kubur dan menjaga tanah perkuburan sentiasa dijaga.

Membersih dan menghias kubur adalah diharuskan dengan tidak berlebih-lebih atau bermegah serta tidak mengganggu hak orang lain kerana tanah perkuburan ialah hak orang ramai.

Membina binaan di atas kubur dilarang di dalam Islam berdasarkan hadis Nabi yang saudara sebut tadi bermaksud: “Rasulullah SAW melarang mewarnakan kubur dengan kapur putih, duduk di atas kubur dan membina binaan di atasnya.” (Riwayat Muslim)

Menghias kubur dengan tembok ukiran, kipas, meletakkan batu bata sehingga menjadi satu binaan di sekelilingnya adalah dilarang Nabi Muhammad SAW.

Oleh itu, umat Islam tidak perlu menghias sesebuah kubur dengan memasang batu bata berkenaan.

Hiasilah kubur dengan batu nesan saja dengan ditanam pokok di atas kubur supaya daun-daun pokok berkenaan akan mendoakan si mati supaya diampunkan dosanya.

Di dalam hadis jelas mengharamkan seseorang meninggikan kubur dan menghias kubur sehingga mengganggu kubur sebelah dan membawa kepada kemegahan (riak) dan lebih-lebih lagi digunakan sebagai tempat beribadat.

Hadis Nabi yang bermaksud: “Daripada Jabir ra katanya, Rasulullah SAW melarang menembok (meninggikan) kubur dan duduk di atasnya dan dibuatkan rumah di atasnya.”

Setiap negara mempunyai fahaman tersendiri, bagi negara kita yang memegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah dan apa saja yang boleh membawa kepada syubhah dan bidah eloklah dihindarkan amalan berkenaan.

STATUS WASIAT BERBEZA AGAMA

Datuk Dr Mashitah Ibrahim

SOALAN

SAYA adalah saudara baru yang memeluk agama Islam pada 2002. Seorang lagi adik saya juga memeluk Islam tetapi dia melakukannya lebih awal daripada saya.


Kini kakak saya ingin membuat wasiat untuk mengagihkan hartanya, tetapi beliau dinasihatkan oleh peguam supaya tidak memasukkan nama kami berdua yang beragama Islam.

Nasihat beliau itu disebabkan undang-undang syariah tidak akan membenarkan kami menikmati sepenuhnya harta pemberian kakak kami.

Ini kerana mengikut undang-undang syariah, suami kami akan mendapat hak yang lebih terhadap harta berkenaan.

Disebabkan nasihat itu, kami berdua tidak dinamakan sebagai pewaris harta itu.

Jika ditakdirkan sedemikian, saya reda dan terima keputusan itu seadanya.

Namun persoalan saya, adalah benarkan undang-undang syariah mempunyai peruntukan seperti itu?

NUR
Seremban


JAWAPAN

Jika saudara bukan Islam ingin memberi kepada saudaranya yang berlainan agama daripada hartanya sebagai hadiah atau pemberian, dia boleh berbuat demikian dan harus menerimanya begitu juga sebaliknya daripada saudara Islam kepada saudaranya yang bukan Islam.

Selama dia masih hidup dan sebagai hadiah adalah dibolehkan. Yang tidak boleh ialah apabila menjadi pusaka sebagai penerima faraid saja. Harta seorang isteri adalah menjadi milik dirinya dan bukan milik suaminya.

Cuma selepas dia mati jika tidak diwasiatkan hak suami sebanyak ½ jika tiada anak atau ¼ jika ada anak memang ada dalamnya tetapi bukan semuanya terus menjadi milik suami. Islam agama adil dan tidak menganiaya mana-mana pihak.

PERLU MANDI WAJIB SELEPAS BERSALIN

Dr Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN

SAYA ingin tahu mengenai mandi wajib selepas bersalin. Selepas berapa hari bersalin, bolehkah saya mandi wajib atau menunggu sehingga habis pantang?


Seperkara lagi, jika suami ke luar kawasan hingga berbulan-bulan, berdosakah seorang isteri melakukan onani untuk menghilangkan stres daripada melakukan zina dengan orang lain?

KELIRU,
Sabah.


JAWAPAN

SEBABb mandi wajib yang membabitkan wanita sahaja ialah keluar haid, kerana bersalin (wiladah) dan keluar darah nifas (Haji Mohamed bin Jusoh 1990: 26).

Mandi wajib kerana keluar haid dan keluar darah nifas disepakati semua. Syaratnya ialah putus atau kering darah haid atau nifas.

Berkenaan bersalin, mazhab Maliki, Hanafi dan Shafie berpendapat wajib mandi wajib apabila melahirkan anak.

Mazhab Hanbali berpendapat tidak wajib apabila tidak keluar darah. Dengan itu anda boleh terus mandi wajib selepas bersalin kerana melahirkan anak.

Sekiranya ada darah nifas, anda sekali lagi mandi wajib apabila kering darah nifas atau habis pantang.

Mengenai onani, kebanyakan ulama menyatakan ia haram dan berdosa. Ini berdasarkan ayat al-Quran berkenaan sifat seorang mukmin yang berjaya, antaranya: “Dan mereka yang menjaga kehormatannya, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela: Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.” (al-Mukminun (23): 5-7).

Bagaimanapun menurut pendapat mazhab Hanbali, onani dibenarkan dalam dua keadaan iaitu takut melakukan zina dan ketiadaan cara untuk berkahwin, contohnya miskin dan sebagainya. Hanya keadaan seperti ini onani dibenarkan terutama apabila syahwat memuncak yang mengarah kepada zina (Qaradawi 1995: 170-71).

Jalan terbaik dalam menangani masalah ini ialah dengan mendekatkan diri kepada Allah terutama amalan solat berjemaah dan berpuasa sunat. Puasa dapat mendidik diri supaya mengawal nafsu, disiplin diri dan mengawal maruah diri.

Rasulullah s.a.w pernah menyarankan kalangan pemuda supaya berkahwin agar dapat menjaga maruah diri sekiranya berkemampuan.

Sekiranya tidak mampu, mereka digalakkan berpuasa. Puasa dapat mengawal diri daripada terjerumus dalam perkara maksiat.

SUJUD SAHWI DILAKUKAN 2 KALI

Dr Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN

SAYA musykil mengenai sujud sahwi. Berapa kali perlu dilakukan sebelum salam dalam solat? Bolehkah sujud lama selepas memberi salam, dalam erti kata lain atas niat untuk berdoa?

HAMBA ALLAH
Selangor.

JAWAPAN
SUJUD sahwi (Arab, sujud al-sahwi) disyariatkan bagi menampung kekurangan dalam solat sehingga ia perlu diulangi kembali atas sebab tertinggal perkara bukan asas dalam solat atau menambah sesuatu dalam solat.

Sujud sahwi hendaklah dilakukan sebanyak dua kali sebelum memberi salam walaupun banyak perbuatan yang dilupai. Ia disertai dengan niat sujud sahwi umpamanya tertinggal qunut, tashahhud awal dan sebagainya.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Apabila seseorang daripada kamu ragu-ragu dalam solat dengan tidak dapat mengingati bilangan rakaat yang telah dilakukan sama ada tiga atau empat, maka hendaklah dia mengetepikan perasaan ragu-ragu itu sebaliknya teruskan solat mengikut keyakinannya. Kemudian sujudlah dua kali sebelum memberi salam kerana sekiranya dia telah solat lima rakaat, maka solatnya memberi syafaat kepadanya dan sekiranya dia menyempurnakan empat rakaat maka sujud sahwi adalah merupakan denda (seksaan) kepada syaitan." (Riwayat Ahmad, Muslim).

Bacaan ketika sujud sahwi dan duduk antara sujud sama seperti yang kebiasaan dibaca dalam solat. Bagaimanapun disunatkan membaca: "Subhaana man la yanaam wa-la yashuu." Maksud bacaan itu: "Maha Suci Allah Tuhan yang tidak tidur dan tidak lupa."

Bacaan terbabit sudah memadai sebagai doa kepada Allah. Sujud hendaklah dalam kadar biasa dalam solat dan tidak begitu lama.

Sekiranya sujud sahwi dibuat selepas salam, seseorang itu hendaklah membaca tashahhud seperti solat biasa berbanding dengan sujud sahwi sebelum memberi salam.