.

28 Oktober 2009

TAKLIK PERLU SAKSI

Datuk Dr Mashitah Ibrahim

SOALAN
SAYA ingin bertanya mengenai taklik yang dibuat secara lisan tanpa ada saksi, iaitu hanya suami dan isteri yang tahu. Adakah akan jatuh talak jika seorang daripada mereka melanggar taklik berkenaan?

HD
Kuala Lumpur



JAWAPAN
Taklik pada dasarnya dibuat untuk melindungi hak suami dan hak isteri di samping menggariskan perkara boleh dan tidak boleh dilakukan sepanjang tempoh perkahwinan demi memastikan wujudnya persefahaman antara kedua-dua pihak.

Dalam perkahwinan sudah ditetapkan beberapa perkara taklik asas seperti nafkah. Bagaimanapun, jika ingin menambah syarat sedia ada, pasangan boleh berbuat demikian berdasarkan hadis Uqba bin Amir RA meriwayatkan Rasulullah SAW sebagai bersabda: “Syarat yang paling patut dipenuhi olehmu ialah yang menjadikan persetubuhan (dengan isterimu) halal (untukmu).” [Sahih Muslim, Kitab al-Nikah, Sunan Abu Dawud, Kitab al-Nikah, Hadith 2134]

Taklik kepada perkahwinan atau sebarang tambahan syarat harus dilakukan dengan persetujuan kedua-dua pihak. Perlu kita ingat, tujuan utama syarat perkahwinan ialah untuk kesejahteraan rumah tangga.

Seksyen 22 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan, apabila selesai akad nikah, pendaftar hendaklah mencatat butir dan taklik ditetapkan atau taklik lain di dalam Daftar Perkahwinan.

Menurut seksyen 22(2), catatan berkenaan hendaklah diakui saksi oleh pasangan perkahwinan, wali dan dua saksi yang hadir ketika perkahwinan itu diakad nikahkan. Catatan itu kemudian hendaklah ditandatangani pendaftar.

Taklik talak bermaksud suami menggantungkan jatuh talak isterinya dengan terjadi sesuatu sifat atau syarat dikaitkan dengan isteri atau orang lain. Jika tiada saksi, ia boleh dipertikai, maka perlu diputuskan oleh mahkamah kesahihannya.

PERBEZAAN ANTARA WANG SAGU HATI DAN RASUAH


Datuk Dr Mashitah Ibrahim

SOALAN
SAYA menguruskan urusan pembelian barang am pejabat. Saya menerima wang sagu hati tanda terima kasih kerana memberi tender kepada pembekal. Pembekal yang dipilih bukan atas dasar pilih kasih tetapi jika ada tiga pembekal aktif, semuanya akan diberi peluang.

Pada mulanya saya tidak mahu menerima wang berkenaan kerana amnya saya tahu ia berbentuk rasuah.

Namun mereka ikhlas memberi wang berkenaan supaya dapat digunakan oleh anggota pejabat lain. Selepas menerima wang itu saya menyerahkan semuanya kepada pegawai atasan.

Wang yang terkumpul itu akan dibelanjakan untuk menampung perbelanjaan pembelian atau penajaan aktiviti bahagian atau pejabat.

Pada pendapat Datuk, apakah perkara ini boleh diterima dalam Islam? Adakah perkara ini masih dianggap menerima rasuah?

RIZAL
Shah Alam, Selangor

JAWAPAN
Rasuah mempunyai takrifan yang luas. Dalam segi agama ia dijelaskan dalam ayat yang bermaksud: “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.” (Al-Baqarah: 188)

Yang jelas, jika pemberi menyatakan wang yang diserahkan itu ikhlas untuk digunakan oleh pejabat dan anggotanya serta ia adalah wang sebagai berkongsi rezeki tanda terima kasih dan syukur dengan rezeki yang dia peroleh, insya-Allah ia halal digunakan.

GERAI MAKAN, CURI ELEKTRIK DAN AIR

Datuk Dr Mashitah Ibrahim

SOALAN
SAYA ingin bertanya sesuatu. Apakah halal makanan yang kita beli daripada sebuah gerai yang diketahui bahawa pemilik gerai sudah berniaga dengan mencuri bekalan elektrik dan air? Apa pula hukum bagi orang yang membeli dan berniaga itu?

YUS
Kuala Terengganu


JAWAPAN
Istilah halal perlu dilihat beberapa sudut iaitu halal daripada segi zatnya iaitu ia bukan daripada perkara diharamkan Allah SWT. Seperti babi misalnya, begitu juga ia dinilai daripada segi sumbernya seperti dari mana datang hasil berkenaan.

Jika sudah jelas pemilik mencuri air dan elektrik, jelas sumbernya tidak halal.

Halal juga perlu disertakan dengan istilah toyiiba yakni halal serta baik iaitu aspek kebersihan dan kesihatan dititikberatkan.

Membuat sesuatu perkara ada beza hukumnya jika kita tahu dan tidak tahu. Jika pembeli tahu sumbernya tidak halal dan masih membeli, dia turut bersubahat dalam hal ini. Berbeza jika pembeli tidak tahu, maka dia dimaafkan.

HUKUM WUDUK SUAMI ISTERI IKUT MAZHAB


Datuk Dr Mashitah Ibrahim

SOALAN
DARIPADA persoalan lalu, Datuk ada beri penjelasan mengenai hukum wuduk apabila bersentuhan antara suami isteri seperti di bawah: “Persoalan sama ada wuduk batal dengan sentuhan suami isteri bermula daripada berbeza tafsiran ayat berkaitan wuduk... “Atau jika kamu (lelaki) menyentuh (laamastum) perempuan.” (al-Maidah: 6)

Ulama yang menafsirkan laamastum (mulamasah) pada ayat di atas — dengan maksud mengatakan batal wuduk jika bersentuhan lelaki dan wanita, termasuk suami isteri, dengan itu menurut mazhab Syafie, hukumnya batal secara mutlak (tanpa syarat). Ini termasuk dengan isteri sendiri.

Hanafi pula mentafsirkannya dengan jimak, bukan bersentuhan. Tafsiran mereka disokong oleh beberapa hadis riwayat Aisyah, katanya: Rasulullah SAW mencium atau mengucupnya, sedangkan baginda berpuasa, dan sabdanya: Sesungguhnya ciuman tidak membatalkan wuduk dan tidak membatalkan puasa. (Riwayat Ishak bin Rahawiyah dan al-Bazzar). Justeru, pada Hanafi: Menyentuh kulit perempuan ajnabi tidak membatalkan secara mutlak.

Ada hadis lain diriwayatkan al-Nasa’i dan Ahmada, juga daripada Aisyah, katanya: Nabi mencium sebahagian daripada isterinya kemudian dia keluar mengerjakan sembahyang dan tidak berwuduk.

Lalu Maliki menghimpunkan hujah yang dikemukakan ulama Syafie dan Hanafi dan berpandangan bahawa menyentuh kulit perempuan ajanabi membatalkan wuduk jika dengan tujuan ‘talazzuz’ (berlazat-lazat), atau mendapat kelazatan ketika bersentuhan. Begitulah rahmatnya perbezaan pandangan ulama yang semuanya benar, wallahualam.”

Saya ingin mendapatkan kepastian daripada Datuk, adakah menjadi kewajipan kita untuk mengikut satu mazhab, sebagai contoh di Malaysia kita gunakan Mazhab Imam Syafie atau kita dibolehkan untuk menggunakan mana-mana mazhab mengikut kemudahan kerana bersentuhan suami isteri mudah berlaku. Mohon penjelasan daripada Datuk.

MD HAFIZ
Bangi, Selangor


JAWAPAN
Terima kasih atas perhatian dalam persoalan ini. Mazhab ialah bahagian pemikiran hasil daripada pemahaman dan kajian dalam fiqah.

Mereka yang berkemampuan serta cukup syarat boleh berijtihad, sedangkan mereka yang tidak cukup syarat boleh bertaqlid dengan mana-mana mazhab yang muktabar, yakni yang diiktiraf. Mazhab yang mempunyai peraturan, kaedah mencukupi dan panduan sempurna lagi lengkap yang ditulis oleh ulama dibukukan bagi menjadi panduan dalam mengikut hukum bagi memudahkan mereka yang tidak berkemampuan berijtihad mengikutnya.

Dr Yusuf Al-Qaradhawi menyatakan di dalam karangannya “Fatawa Ma’asarah” bahawa ijtihad perlu kerana ada perkara tiada nas atau kadangkala yang ada nas tetapi mempunyai tafsiran berbeza.

Taqlid pula dilihat sebagai satu keistimewaan yang Allah SWT beri kepada manusia berasaskan perintah Allah: “Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.”

Menggunakan mazhab berbeza diistilahkan sebagai talfiq. Tiada salahnya kita mengikuti pandangan imam mazhab. Pandangan mereka perlu kita hormati kerana mereka bukan sembarangan manusia. Ilmu mereka sangat mendalam.

Jika kita mengikuti pandangan seseorang atau satu mazhab dengan berasaskan kefahaman kita yang mendalam pada dalil dan hujah mereka, talfiq jenis ini dibolehkan.

STATUS ANAK LUAR NIKAH


Dr Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN

BOLEHKAH saya menukar bin atau binti anak saya kepada nama suami saya yang berstatus anak luar nikah. Sekarang anak saya berusia tiga bulan dan berbinkan Abdullah.

Jika boleh, jabatan mana yang perlu saya rujuk mengenai perkara ini?

SUE,
Johor.


JAWAPAN

KEPUTUSAN Majlis Fatwa Kebangsaan adalah jelas dalam hal ini bahawa ‘Anak zina atau anak di luar nikah (anak tak sah taraf) sama ada diikuti dengan perkahwinan kedua-dua pasangan ibu bapanya atau tidak hendaklah dibin atau dibintikan kepada Abdullah.’ (http://www.e-fatwa.gov.my/jakim/keputusan_view.asp?keyID=61).

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertindak berasaskan fatwa itu dan orang ramai hendaklah berpandukan kepadanya. Ini dilakukan bagi menjaga keturunan supaya tidak bercampur aduk. Dengan itu anda tidak dibenarkan menukar bin atau binti anak puan kepada nama suami.

20 Oktober 2009

SUJUD SAHWI TAMPUNG KEKURANGAN SOLAT


Dr Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN
SAYA menghadapi masalah mengenai solat. Sewaktu saya solat Subuh, saya terlupa membaca doa qunut pada rakaat kedua.

Saya tersedar terlupa membaca doa qunut itu apabila sujud. Saya berdiri semula untuk membaca doa qunut. Adakah solat saya itu sah dan apakah hukum perbuatan saya?


NORASIDAH
Johor


JAWAPAN
MENURUT mazhab Syafie, membaca qunut dalam solat Subuh termasuk dalam sunat ab'adh iaitu perkara sunat dalam solat yang mesti dilakukan.

Selain qunut dalam solat Subuh, sunat ab'adh termasuk membaca tasyahhud awal, selawat atas nabi selepas tasyahhud awal, selawat atas keluarga nabi selepas tasyahhud akhir, duduk bagi membaca tasyahhud awwal dan akhir serta selawat atas nabi dan ahli keluarga selepas qunut.

Sesiapa tertinggal atau meninggalkan salah satu sunat ab'adh dikehendaki sujud sahwi.

Sujud sahwi (Arab, sujud as-sahwi) disyariatkan bagi menampung kekurangan dalam solat sehingga ia perlu diulangi kembali atas sebab tertinggal perkara bukan asas dalam solat atau menambah sesuatu dalam solat.

Sujud sahwi hendaklah dilakukan sebanyak dua kali sebelum memberi salam walaupun banyak perbuatan yang dilupai.

Ia disertai dengan niat sujud sahwi umpamanya tertinggal qunut dan tasyahhud awal.

Apa yang sepatutnya anda lakukan dalam kes di atas ialah meneruskan solat seperti biasa dan sujud sahwi sebelum memberi salam kerana tertinggal qunut.

Apabila sujud dengan sempurna, anda tidak dibenarkan bangkit kembali untuk membaca qunut. Ini kerana ia dikira menambah sesuatu dalam solat dan boleh mengakibatkan batal solat.

Melainkan anda ingat sebelum sujud secara sempurna (iaitu setelah meletakkan seluruh tujuh anggota), maka boleh kembali membaca qunut.

Dengan sujud sahwi, ia dapat mengelak solat daripada batal apabila menyedari perbuatan itu anda adalah salah. Bagaimanapun, sekiranya anda terlupa atau jahil mengenai perkara terbabit, tidak batal solat berkenaan (lihat juga http://www.brunet.bn/gov/mufti/irsyad/pelita/2004/ic11_2004.htm).

TINGGAL BERSAMA DALAM WAKTU EDDAH

Dr Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN
SAYA dan isteri sudah bercerai dan sehingga kini belum rujuk.

Sewaktu masih dalam edah kami tinggal bersama dan tidur bersama seperti pasangan suami isteri lain dengan kerelaan bersama.


Seperti yang diarahkan kami mengesahkan perceraian terbabit di mahkamah. Kami bercadang kembali bersama secara sah.

Adakah saya dan isteri dikira rujuk kerana sudah bersama pada malam terbabit?

YURI
Kuala Lumpur


JAWAPAN
DALAM keadaan terbabit anda sudah dikira rujuk kembali. Perkara ini hendaklah dilaporkan kepada pihak mahkamah untuk pengesahan rujuk terbabit sebagaimana pengesahan perceraian dibuat di mahkamah.

Dalam keadaan perceraian talak yang boleh dirujuk (raj'i), rujuk berlaku dengan kata-kata atau perbuatan seperti bersetubuh dan dorongan ke arahnya seperti pelukan dan ciuman.

Imam as-Syafi'e bagaimanapun hanya menerima rujuk melalui kata-kata sahaja (Sabiq 2000, II: 178).

SUAMI DAYUS

Datuk Dr Mashitah Ibrahim

SOALAN

SAYA berkahwin selama lapan tahun dan mempunyai tiga anak. Kebelakangan ini hubungan saya dan isteri agak tegang atas beberapa alasan.

Baru-baru ini isteri saya membuat pengakuan bahawa dia pernah curang kepada saya dan lebih menyedihkan, dia juga sudah terlanjur dengan teman lelakinya.

Isteri saya memohon ampun dan maaf kepada saya. Masalahnya ialah, saya sedia memaafkannya kerana terlalu sayang dan dia mengaku serta menyesal atas perbuatannya.

Adakah saya akan jadi suami yang dayus jika saya memaafkannya dan menerima dia kembali?

Setahu saya, suami yang dayus tidak dapat mencium bau syurga. Saya berharap Datuk dapat membantu saya mengenai persoalan ini. Saya tertekan kerana tidak tahu apa harus saya lakukan.

SUAMI BUNTU
Pulau Pinang



JAWAPAN

Dayus ialah istilah yang digunakan dalam beberapa hadis Rasulullah SAW seperti hadis ‘Tiga golongan yang Allah tidak akan melihat (bermakna tiada bantuan daripada dikenakan azab) mereka di hari kiamat: Si penderhaka kepada ibu bapa, si perempuan yang menyerupai lelaki dan si lelaki dayus.”

Ada juga hadis: “Tiga yang Allah haramkan baginya syurga: orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada ibu bapa dan si dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya.”

Secara ringkas, dayus merujuk kepada perbuatan seseorang suami yang tidak mengambil peduli untuk membendung isterinya melakukan kejahatan seperti berzina.

Jika sekarang tuan sudah tahu keadaan isteri, wajib tuan membendung dan mendidik isteri supaya kembali ke pangkal jalan.

Ini dijelaskan dalam ayat yang memberi perintah: “peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.” Memberi sebuah kemaafan adalah satu akhlak yang sangat mulia dan pekerti tinggi.

Ajaklah dia bertaubat dan kembali kepada kehidupan yang mulia. Jika selepas ini tuan sedar yang perkara ini berlaku lagi tetapi membiarkannya tanpa mengambil tindakan, maka inilah dikatakan dayus.

TAAT KEPADA SUAMI

Datuk Dr Mashitah Ibrahim

SOALAN

SAYA pembaca bukan Islam yang suka membaca ruangan ini. Saya suri rumah dan ada ramai kawan Melayu. Seorang daripada kawan rapat saya yang sangat baik orangnya mempunyai dua anak yang comel hasil perkahwinannya.



Masalah yang ingin saya tanya ialah, kawan saya terlalu baik dengan kawannya tetapi kurang memberi layanan batin kepada suami. Ini berdasarkan apa yang pernah diberitahunya kepada saya.

Dia selalu sangat tidak bertegur sapa dengan suami oleh kerana masalah yang remeh-temeh. Malah sekarang masih lagi tidak bercakap dengan suaminya, tanggungjawab batin sebagai isteri kepada suami tidak dijalankan.

Hal-hal lain dikira bagus sebab dia masih lagi menjalankan tanggungjawab menjaga makan minum suami.

Namun, pernah dia tidak bertegur sapa dengan suaminya hampir enam bulan dan selama itulah juga hubungan intim tidak berlaku. Pernah saya bertanya kepadanya adakah tidak menjadi kemurkaan Tuhan jika berbuat begitu, jawapannya adalah, kalau suami tidak meminta, tidak apa.

Sebenarnya saya tidak layak bertanya mengenai hukum hakam agama kerana saya bukan Islam, tetapi saya sayangkan kawan. Saya takut nanti perbuatannya menjadi kemurkaan Tuhan kerana dia rajin menjalankan sembahyang lima waktu dan juga tidak pernah meninggalkan puasa. Bagaimana pendapat Datuk?

MIAZARA
Johor


JAWAPAN

Terima kasih kerana mengikuti halaman ini. Halaman ini memberi kita ruang untuk bertukar-tukar pendapat dan juga menegur semua pembaca. Begitu juga saya ucapkan terima kasih kerana rasa keprihatinan terhadap kawan muslim puan. Dalam agama Islam, seorang isteri wajar memenuhi beberapa tuntutan untuk melayakkan dirinya menjadi orang baik dan ahli syurga.

Ini disebut dalam hadis Rasulullah SAW: “Apabila seorang isteri itu bersolat lima waktu, berpuasa wajib atas dirinya, menjaga kehormatan dirinya dan mentaati suaminya, dia layak untuk memilih mana-mana pintu syurga yang ingin dimasukinya.”

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa isteri perlu memenuhi syarat tertentu untuk menjadi solehah.

Sangat sedih bila isteri boleh tidak bertegur sapa dengan suami berbulan-bulan. Jika sesama Muslim pun hanya tiga hari yang dibolehkan berselisih selepas itu wajib bertegur sapa, apalagi antara suami isteri wajib dibetulkan hubungan itu.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Seorang isteri belum lagi memenuhi tuntutan tuhannya sehingga dia mendahulukan memenuhi tuntutan suaminya.” Begitulah besarnya amanah dan tanggungjawab isteri pada suami.

KETEPI NAMA SUAMI DALAM WASIAT

Datuk Dr Mashitah Ibrahim

SOALAN

SAYA sudah bernikah selama tiga tahun dan belum dikurniakan zuriat. Saya mempunyai sedikit harta dan wang simpanan.


Hubungan saya dengan suami agak dingin kerana dia tidak bertanggungjawab.

Dia tidak pernah memberi nafkah (zahir) kepada saya selama saya hidup bersamanya (hatta sehelai sapu tangan pun tidak pernah dibelikan untuk saya).

Malah dia pernah mencuri wang simpanan saya. Dia juga mengaku pernah berzina dengan wanita lain. Segala kelengkapan rumah, termasuk sewa rumah dan barang dapur, dibiayai oleh saya kerana suami lepas tangan dalam hal begini.

Disebabkan itu saya mengambil keputusan (menulis wasiat) melalui Amanah Raya dengan mewasiatkan rumah saya pada ibu dan simpanan serta lain-lain harta saya kepada adik perempuan saya (saya tiada saudara lelaki) untuk menguruskannya dengan sebaik mungkin.

Soalan saya, jika saya meninggal dunia:

1. Adakah suami saya berhak ke atas harta saya walaupun saya sudah wasiatkan pada ibu dan adik?

2. Adakah berdosa jika saya mengharamkan suami mengambil harta saya (disebabkan sikap tidak bertanggungjawabnya pada saya)?

3. Adakah wasiat saya itu boleh diguna pakai walaupun saya tidak mengikut hukum faraid?

AIDA
Alor Setar, Kedah



JAWAPAN

Seorang suami tetap mempunyai haknya terhadap harta isteri. Wasiat yang ditinggalkan mestilah wasiat yang baik supaya penerima wasiat yang layak menerima tidak dizalimi dan dianiayai dengan wasiat yang memudaratkan.

Bagaimanapun, harta puan boleh dibahagikan pada harta sepencarian dan harta puan sendiri dulu. Harta milik puan boleh diwasiatkan pada ibu dan adik.

Jika suami berhutang nafkah dengan puan, hendaklah dimaklumkan dulu supaya dia menjelaskan hutangnya sebelum dia boleh mendapat bahagian harta berkenaan. Harus bagi orang Islam meninggalkan wasiat sebelum mati.

Jika sudah ada wasiat yang tidak memudaratkan, maka yang terpakai ialah wasiat dan bukan faraid. Sebaik-baiknya selesaikan masalah puan bermula sekarang.

Jika suami tidak langsung bertanggungjawab, puan boleh menuntut hak puan dulu di mahkamah sebelum dia menuntut hak suami bila puan meninggal dunia nanti. Dengan cara ini puan ada hak untuk menuntut suami membayar hutangnya terlebih dulu pada puan.

NAZAR BERSYARAT PERLU DITUNAIKAN SEGERA

Dr Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN

SAYA keliru mengenai nazar. Adakah nazar mesti ditunaikan terus apabila yang dinazarkan itu dapat dicapai atau boleh dilakukan secara beransur-ansur dan bertangguh?


MUSYKIL,
Johor


JAWAPAN

NAZAR adalah janji atau sumpah untuk berbuat baik. Dalam istilah fiqah, nazar bermaksud mewajibkan diri untuk melakukan perkara yang tidak wajib dalam syarak demi mendekatkan diri kepada Allah dengan menyebut lafaz menunjukkan sedemikian.

Menurut Sayyid Sabiq (2000: III: 86) terdapat dua jenis nazar iaitu nazar yang bersyarat dan tidak bersyarat.

Contoh yang bersyarat ialah 'apabila aku sembuh daripada penyakit, aku akan memberi makan tiga orang miskin'.

Apabila sembuh daripada penyakit, nazarnya itu mesti ditunaikan terus. Jika seorang bernazar tanpa syarat seperti bernazar untuk sembahyang dua rakaat, maka dia perlu segera menunaikannya.

Allah berfirman maksudnya: "Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya, dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya..." (Q 22:29).

Apabila masih tidak menyempurnakannya, anda perlu segera berbuat demikian. Ia adalah seperti hutang yang perlu dilunaskan. Apabila gagal menyempurnakan atau menarik balik, maka wajib membayar kifarah pula.

TALAK BERGANTUG PADA NIAT

Dr Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN

SAYA pernah mengeluarkan kata-kata "kalau awak buat lagi... selamat tinggal." Adakah jatuh talak?

ZUL
Perak.


JAWAPAN
PERKATAAN 'selamat tinggal' yang diucapkan masih bersifat tidak jelas. Ia bergantung kepada niat anda sendiri sama ada ia bermaksud perceraian atau tidak.

Jika anda berniat talak, talak akan jatuh apabila isteri anda mengulangi perbuatan sedemikian. Talak ini dinamakan dengan talak dengan taklik, iaitu dinyatakan syarat dan kadangkala disebut dengan masa tertentu.