.

30 Mac 2010

MAKSUD ISTERI NUSYUZ

Sumber: JAKIM

SOALAN

Apakah yang dimaksudkan dengan isteri nusyuz?


JAWAPAN

Isteri nusyuz ialah isteri yang menderhakai atau menentang suaminya tanpa alasan yang munasabah mangikut kehendak hukum syara'.
Contohnya , seorang suami telah menyediakan rumah yang sesuai dengan pendapatannya tetapi isteri enggan memdiami rumah yang disediakan suaminya, maka tindakan seumpama itu boleh dikenakan hukum nusyuz..

ISTERI MENGHALANG KEHAMILAN

Sumber: JAKIM

SOALAN

saya surirumah tangga berumur 43 tahun.saya sudah mempunyai 5 orang anak. Masalah saya sekarang ialah saya hanya merancang kehamilan melalui kiraan putaran haid dan baru-baru ini period saya lambat selama seminggu dan alangkah susah hati saya sebab saya takut saya termengandung di usia begini dan saya pernah meminta izin dari suami untuk mengambil pil perancang atau IOD untuk pencegah kehamilan tapi dia tidak mengizinkan dengan alasan semua itu akan memudaratkan kesihatan.
soalan saya boleh atau tidak saya melakukan IOD sendiri tanpa pengetahuan suami saya? berdosakah saya kalau saya berbuat begitu?

JAWAPAN

Menurut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke 12 pada 20 januari 1977 mengenai rancangan keluarga mengandungi tiga bahagian:

i. Memandulkan lelaki atau perempuan hukumnya adalah haram.
ii. Mencegah beranak atau menghadkan bilangan anak hukumnya adalah haram melainkan dengan sebab-sebab yang diharuskan oleh syarak bagi orang-orang perseorangan.

iii. Menyusun keluarga dari segi kesihatan, pelajaran dan kebahagiaan keluarga dengan cara yang lain daripada ( i ) dan ( ii ) di atas ialah harus.

Dalam situasi puan sebaik-baiknya berbincang dengan suami untuk mendapat nasihat doktor mengenai penggunaan peralatan tersebut. Sekiranya puan menggunakan peralatan tersebut tanpa keizinan suami maka adalah berdosa dan puan perlu memohon maaf sekiranya telah menggunakan IUD tanpa pengetahuannya.

BUKAN ISLAM MAHU BELAJAR AL-QURAN

Fikrah Dr. Salam

SOALAN

SAYA mempunyai seorang kawan yang bukan beragama Islam, tetapi dia mempunyai keinginan untuk belajar membaca al-Quran. Apakah hukum orang yang bukan beragama Islam memegang al-Quran?

AKMAL
Kelantan


JAWAPAN

KEINGINAN kawan bukan Islam untuk membaca dan mempelajari al-Quran sangat baik.
Al-Quran adalah kitab mukjizat yang banyak memberi hidayah kepada manusia.


Dengan itu hasrat beliau perlu disambut baik. Islam pula membenarkan bukan Islam membaca dan mempelajari al-Quran supaya dapat membuka hati kepada ajaran Islam yang sebenarnya.

Dalam pada itu anda boleh menerangkan kepada beliau kedudukan kitab suci al-Quran yang perlu dihormati dan dijaga.

Ini jelas apabila Allah berfirman: “Bahawa sesungguhnya itulah Al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan). Yang tersimpan dalam kitab yang cukup terpelihara. Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci [al-mutahharun].” (al-Quran, al-Waqi‘ah (56): 77-79)
Berkenaan hukum bukan Islam memegang al-Quran terdapat perselisihan pendapat.

Ada pendapat yang tidak membenarkan bagi menjaga kesucian al-Quran.

Ini termasuk kepada wanita dalam haid, mereka yang berhadas besar, tidak berwuduk dan juga bukan Islam. (al-Quran, al-Tawbah (9):28).

Ada pendapat yang membenarkannya. Ini termasuk kepada kanak-kanak yang belum baligh kerana masih tidak mukallaf. (Ibn Rushd, 2000: I: 72-73; 83-84).

Sebab perselisihan adalah berpunca daripada kefahaman ayat surah al-Waqi‘ah di atas. Antaranya berkenaan maksud istilah al-Mutahharun, ia sama ada bermaksud umat manusia (Bani Adam) atau malaikat.

Seterusnya perselisihan timbul sama ada ia suatu bentuk khabar (pernyataan) yang membawa kepada larangan atau semata-mata penyataan tanpa ada larangan.

Dengan itu memegang al-Quran (mushaf) dalam keadaan biasa adalah diharuskan apabila dapat dijaga kesuciannya.

PEMUZIK, LAGU, TEMPAT PERLU SELARAS SYARIAT

Fikrah Dr. Salam, Harian Metro

SOALAN

APAKAH hukum bermain gitar dan peralatan muzik lain? Setahu saya, ia haram jika tujuan alat itu digunakan di tempat maksiat dan melalaikan manusia.

HASSAN,
Selangor.


JAWAPAN

TERDAPAT hadis Nabi yang melarang penggunaan alatan muzik tertentu termasuk gitar dan alat ditiup seperti serunai. Ada ulama yang mengharamkan penggunaannya.

Sesetengah ulama mengkaji sebab atau 'ilah' di sebalik larangan berkenaan jika alat berkenaan digunakan pada majlis maksiat dan yang menggunakannya pula terdiri daripada orang fasik, pelaku maksiat serta peminum arak.

Sebab itu, ia dilarang, tetapi apabila ia tidak membabitkan perkara maksiat, maka ia diharuskan. Syariah Islam tentunya mempunyai sebab melarang penggunaan alat muzik seperti di atas.

Pertama, Islam lebih mementingkan perkara berfaedah daripada hiburan semata-mata.

Kedua, alat berkenaan lebih cenderung melakukan pembaziran masa selain melalaikan manusia daripada mengingati Allah.

Ketiga, manusia mudah terpengaruh dengan godaan syaitan dan apabila mereka leka dengan hiburan dan alat muzik amat mudah mereka menuju ke jalan kesesatan.

Keempat, jika keadaan memerlukan penggunaan alat muzik atau hiburan, batas syarak dan etika muzik, pemuzik, lagu dan tempat hendaklah selari dengan ajaran Islam.

Walaupun muzik dan lagu adalah sebagai alternatif dakwah, matlamat untuk pengabdian yang sebenar kepada Allah mungkin tidak tercapai.

Muzik dan lagu hanya memberi kesan luaran dan santai semata-mata. Islam amat mementingkan amalan dan pembentukan akhlak mulia melalui pendekatan yang bermanfaat.

HUKUM MEMAKAI INAI HARUS

Fikrah Dr. Salam

SOALAN

SAYA bakal melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi dan pernah mendengar ceramah yang mengatakan memakai inai (mengukir di tangan dengan corak bunga) adalah salah.

Penceramah itu berkata sesiapa yang melukis inai di tangan akan dilaknat Allah. Adakah perkara itu benar?

NANI, Johor.


JAWAPAN

MEMAKAI inai termasuk dalam kategori berhias. Islam membenarkan berhias bagi wanita asalkan ia tidak melanggar syariah.


Contohnya, berhias untuk suami dan bukan untuk tontonan orang lain. Secara khusus, memang ada pendapat yang melarang memakai inai dalam bentuk lukisan.

Ia berdasarkan alasan memakai inai itu seperti memakai tatu yang secara jelas diharamkan. Bagaimanapun, memakai inai tidak seperti mengukir tatu di badan yang kekal dan tidak dapat dihilangkan. Inai hanya buat sementara saja berbanding dengan tatu.

Lagipun memakai inai dibenarkan Rasulullah. Contohnya dalam hadis diceritakan bahawa: "Abu Quhafah dibawa pada hari penaklukan Makkah ke hadapan Rasulullah dengan rambut dan janggutnya memutih seperti thaghamah (sejenis tumbuhan bunga dan buahnya berwarna putih seperti putih uban)."

Maka Rasulullah bersabda: "Ubahkan (warna rambut dan janggut) kamu dengan sesuatu dan jauhi (warna) hitam." (Muslim). Dengan itu memakai inai itu diharuskan.

15 Mac 2010

SI KALAH BELANJA MAKAN DIANGGAP JUDI

Dr.Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN

APAKAH dikira judi jika sebelum perlawanan badminton dua pihak bersetuju jika yang kalah mesti belanja makan.

Tetapi si kalah sewaktu membelanja makan dia berniat ikhlas membelanjakan atas dasar kawan?

HASSAN,
Kuala Lumpur


JAWAPAN

PERLAWANAN badminton sedemikian ada membabitkan unsur perjudian kerana ada barang pertaruhan, iaitu belanja makan. Perjudian berlaku apabila orang yang menang mengambil barang pertaruhan daripada pihak yang kalah. Kedua-dua pihak pula mengambil risiko sama ada menang atau kalah dalam perlawanan berkenaan. Dengan itu tidak timbul soal niat sama ada ikhlas atau tidak dalam membelanja atas dasar kawan. Apa yang sebaiknya ialah mengelak daripada melakukan apa-apa pertaruhan dalam perlawanan itu. Jadikanlah perlawanan badminton sebagai rekreasi dan perlawanan persahabatan saja tanpa membabitkan barang taruhan.

CERAI ISTERI ATAS DESAKAN IBU

Datuk Dr.Mashitah Ibrahim

SOALAN

SAYA menceraikan isteri kedua atas desakan ibu. Ibu tidak merestui perkahwinan itu kerana hubungan rapat dengan isteri pertama. Saya melafazkan cerai tanpa kehadiran isteri kedua, cuma bersaksikan ibu dan imam di rumah saya.

Bagaimanapun, saya tidak memaklumkan kepada isteri kedua saya yang beliau sudah diceraikan, malah kami masih bertemu seperti biasa tanpa pengetahuan ibu.


Bezanya saya sudah tidak pulang ke rumah isteri kedua bagi mengelak kami daripada ‘bersama’.


Soalan saya, adakah perbuatan saya mencium dan lain-lain perbuatan (tanpa hubungan kelamin) sebagai suami isteri menyebabkan jatuhnya hukum rujuk kepada hubungan kami? Ini berdasarkan pembacaan saya yang mengatakan sebarang perbuatan hatta sekadar bercium akan dikira sebagai merujuk semula terhadap perkahwinan berkenaan.

KASSIM AHMAD
Kuantan, Pahang


JAWAPAN

Seorang suami mesti mempunyai pendirian yang tegas dalam soal kahwin dan cerai kerana kuasa itu diamanahkan Allah kepadanya.


Sebarang lafaz cerai hanya sah jika dilakukan dengan rela hati. Jika saudara melafazkannya hanya kerana desakan tetapi langsung tidak berniat berbuat demikian, maka talak tidak jatuh.


Jika pun saudara berniat menceraikan isteri kedua, jika lafaznya cerai talak satu kemudian saudara pulang dan mencium isteri, maka ia perbuatan rujuk tuan pada isteri kedua.


Isu besar di sini ialah saudara selaku suami wajib bersikap adil pada wanita yang berada di sisi saudara sebagai isteri. Jangan menganiaya mana-mana pihak.


Jika dia diceraikan, berlaku adil padanya dengan memaklumkan supaya dia tahu kedudukannya. Cerai juga wajib dimaklumkan kepada mahkamah untuk tujuan direkodkan bagi mengelak berlaku kezaliman pada wanita.