.

24 April 2013

BERHASRAT GANTI PUASA

Dr. Mashitah

SOALAN
SAYA ada soalan mengenai kaedah sesuai untuk menggantikan puasa Ramadan. Dulu saya kurang ilmu agama dan sering melakukan perkara yang membatalkan puasa.

Kini terdetik di hati untuk melunaskan hutang kepada Allah dengan menggantikan puasa tetapi masalahnya, tidak pasti berapa kali saya membatalkan puasa Ramadan.

HAFIZ
Klang



JAWAPAN
Alhamdulillah, saudara dihidayahkan Allah pada perkara kebaikan. Bagi mengganti puasa yang tidak dapat diingati, saudara perlu membuat anggaran harinya.


Kemudian, laksanakan puasa itu sehingga saudara berasa anggaran sudah memenuhi. Selain itu perbanyakkan bersedekah, yang mana ia akan menjadi penampung bagi amalan yang tertinggal.

HUKUM SENTUH SERIGALA

Dr. Mashitah

SOALAN
SAYA ada kemusykilan mengenai perbuatan memelihara serigala. Adakah serigala dikategorikan sama dengan anjing dalam Islam? Jika benar, adakah saya perlu bersamak setiap hari jika terpegang serigala itu dalam keadaan basah?


ACIK
Rembau


JAWAPAN
Serigala ialah sejenis binatang liar yang termasuk dalam kelompok keluarga anjing. Disebabkan mereka berkongsi spesies sama, hukumnya sama seperti anjing menurut mazhab Syafie. Oleh itu, hukum-hakam berkaitan anjing dalam masalah jilatan dan pembelaannya adalah sama.

KELIRU HAID TIDAK MENENTU

Dr. Mashitah

SOALAN
SAYA mempunyai masalah haid yang tidak berhenti sejak dua tahun lalu, justeru saya tidak tahu bila saya suci atau sebaliknya. Bagaimana untuk menunaikan solat dan puasa?


AISYAH
Kuala Lumpur

JAWAPAN
Haid yang tidak menentu menyukarkan pengiraan. Sebaik-baiknya buat kiraan anggaran iaitu paling lama haid ialah 15 hari dan bermakna paling singkat suci ialah 15 hari. Bahagikan hari saudari mengikut anggaran yang boleh diagak.

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda: “Bahawa darah haid ialah darah yang dikenali...” bererti seorang wanita dapat mengecam darahnya daripada petanda darah berkenaan seperti warna dan bau.

Gangguan darah haid mainan syaitan supaya wanita was-was dalam ibadat. Ubati diri supaya dapat menghindari penyakit ini.

HUKUM DERMA DARAH

Dr. Mashitah

SOALAN
SAYA menderma darah sebanyak 16 kali biarpun usia kini mencecah 58 tahun. Apakah hukumnya daripada sudut syarak jika seorang pesakit Islam yang dirawat di hospital memerlukan darah atas arahan doktor, dan darah jenis sama dimasukkan ke badannya tanpa mengira ia daripada mana-mana kaum?

RAMLI
Kuala Lumpur


JAWAPAN
Menderma darah perbuatan mulia yang boleh menyelamatkan nyawa seseorang.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Ke-4 yang bersidang pada 13 hingga 14 April 1982 membincangkan topik Derma Darah Dan Penggunaan Darah Orang Islam Kepada Orang Bukan Islam Dan Sebaliknya.

Muzakarah memutuskan, menderma darah hukumnya harus dan tidak perlu diasingkan darah orang Islam daripada bukan Islam.

Ia tiada kaitan yang boleh menjejaskan akidah melalui darah.

NIKAH DI LUAR SEMPADAN

Dr. Mashitah
SOALAN

PADA Februari 2011, saya dan suami selamat diijabkabulkan di Songkhla, Thailand selatan. Tindakan itu diambil kerana hubungan kami tidak direstui keluarga dan bagi mengelakkan maksiat.

Beberapa kali saya mengutarakan hasrat untuk bernikah dengan kekasih pada keluarga, namun tidak diterima hingga mereka menyuruh saya memilih mereka atau suami.

Alasan diberi ialah mereka takut suami mengawal dan menghalang saya berjumpa mereka, sedangkan hingga ke hari ini walaupun sah bergelar isterinya, dia tidak pernah menghalang saya.

Setahun lebih kami merahsiakan hubungan suami isteri dan Julai lalu, saya disahkan mengandung. Apakah nasihat terbaik untuk menyelesaikan masalah ini?


REEN
Alor Setar


JAWAPAN
Perkhawinan di luar sempadan, walaupun sah pada sudut agama kerana cukup syarat, ia tetap menjadi kesalahan pada sudut perundangan keluarga di negara kita.

Perkara terbaik yang puan perlu lakukan sekarang ialah mendaftarkan perkahwinan di Malaysia terlebih dahulu.

Walaupun nanti denda dikenakan, dengan mendaftar perkahwinan ini, hak puan sebagai isteri akan terjamin.

Jika tidak, anak yang bakal dilahirkan akan berdepan masalah. Bagaimana hendak mendaftarkan kelahiran sedangkan tiada perkahwinan didaftarkan? Selepas selesai pendaftaran, carilah jalan terbaik untuk memaklumkan keluarga apa yang berlaku.

SOLAT FARDHU BELAKANG IMAM SOLAT SUNAT

SOALAN

Setahu saya jika kita menjadi makmum bagi seseorang yang sedang solat sunat tanpa kita ketahui orang terbabit solat sunat hukumnya adalah sah.

Namun, bagaimana pula kalau kita sudah tahu dia mengerjakan solat sunat, tetapi kita menjadi makmumnya untuk solat fardu, adakah sah solat fardu kita?

Tujuan berbuat demikian bukannya kerana apa, hanya semata-mata hendak mendapatkan pahala berjemaah, berikutan kadang-kadang terlewat datang ke masjid.

Mohamad Azmi,
Pasir Gudang, Johor



JAWAPAN
Berjemaah dengan imam yang bersolat sunat adalah sah. Begitu juga sah solat sunat berimamkan imam yang bersolat wajib.

Ini jelas apabila ada riwayat menyatakan bahawa: “Sesungguhnya Muaz RA mengerjakan solat Isya bersama Rasulullah SAW. Kemudian dia pulang menemui kaumnya dan mengimami solat Isya mereka.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Semuanya menggalakkan kita supaya berjemaah dalam solat dan kehidupan.

Bagaimanapun, tidak sah solat jemaah apabila cara solat berlainan antara imam dengan makmum.

Ini termasuk berimam dengan imam yang bersolat jenazah kerana solat jenazah tidak ada sujud dan rukuk.

Begitu juga berimam dengan imam yang bersolat gerhana kerana dalam solat gerhana terdapat dua rukuk dan qiyam dalam satu rakaat.

SUAMI LAFAZ CERAI TAKLIK KETIKA MARAH

Dua tahun lalu, akibat perselisihan faham, suami saya ada melafazkan kata: “Aku ceraikan kau… Bila kau nak? Sekarang? Esok?”

Apa yang saya faham ialah suami dengan niat mahu menceraikan saya, tetapi apabila waktunya bergantung kepada saya. Waktu itu saya hanya mendiamkan diri supaya tidak mengeruhkan lagi keadaan dan mengelak kemungkinan dicederakan.

Bagaimanapun, selang beberapa minggu kemudian saya ada minta diceraikan 'sekarang' kerana tidak tahan sikap barannya.

Selepas itu ada juga insiden dia melafazkan taklik, tapi tidak habis dan saya faham apa yang dimaksudkan. Dia juga pernah ucapkan selamat tinggal kepada saya.


Terlalu banyak yang keluar daripada mulut suami menjurus kepada perpisahan. Persoalannya adakah kami masih sah sebagai suami isteri dengan merujuk ucapan: “Aku ceraikan kau…Bila kau nak? Sekarang? Esok?”


Sehingga hari ini jiwa saya menganggap dia bukan suami, malah secara spontan saya menolak apabila dia cuba menyentuh saya.

Saya menjerit ketakutan kerana jiwa saya sudah menganggap dia sebagai orang lain. Jiwa saya kuat mengatakan yang kami bukan suami isteri lagi.

Saya tidak ada kekuatan untuk merujuk perkara ini kepada mana-mana pihak termasuk keluarga kerana mungkin keluarga bakal memulaukan saya.

Ziela,
Johor.


JAWAPAN
Pada pandangan saya kata-kata yang dikeluarkan suami bukan sangat menginginkan perceraian. Ia dikeluarkan akibat marah atas perselisihan faham dan berlaku pertengkaran antara anda berdua.

Dengan kata lain suami masih ingin tinggal bersama dengan anda dan tidak mahu menceraikan anda.

Ia lebih berbentuk ugutan dan cadangan semata-mata. Bagaimanapun, kata-kata cerai sepatutnya tidak dipermain-mainkan sama sekali.

Sebenarnya lafaz cerai ada berbentuk sarih (jelas) dan kinayah (tidak jelas). Bagaimanapun, lafaz yang disebut di atas seperti: “Aku ceraikan kau…Bila kau nak? Sekarang? Besok?” adalah bersyarat (taklik).

Kata-kata selamat tinggal berbentuk kinayah dan memerlukan niat. Ia perlu dijelaskan oleh suami puan, sama ada berniat untuk bercerai dengan kata-kata berkenaan.

Anggapan puan bukan lagi isteri kerana berasa sudah berlaku perceraian adalah persepsi sendiri.

Hanya suami dan mahkamah syariah yang akan menentukan kedudukan pernikahan puan.

Ini dapat dilakukan dengan bertanya kedudukan sebenar puan di sisi suami atau melaporkan kepada mahkamah syariah.

Sememangnya setiap pasangan tidak mahu berlaku perceraian.

Bagaimanapun, perkara sebegini perlu diselesaikan bagi meneruskan kehidupan sebagai suami isteri atau kehidupan lain apabila ternyata berlaku perceraian.

TAK SALAH MEMBUANG AIR KECIL SAMBIL BERDIRI

Saya ingin bertanya mengenai tabiat kencing berdiri. Bagaimanakah cara untuk mengatasi masalah lelaki suka kencing berdiri dan benarkah kencing berdiri itu adalah kencing seperti syaitan? Dalam masalah ini juga saya menjumpai kes seorang lelaki yang selalu kencing berdiri. Walaupun ditegur, lelaki terbabit dikatakan masih berdegil serta menimbulkan masalah kerana rumahnya berbau hancing akibat air kencing terpercik ke dinding dan kekuningan. Isterinya juga tidak puas hati, lalu mengadu pada orang luar. Saya meminta nasihat Dr mengenai masalah ini.
Salim, Alor Setar

JAWAPAN
Umumnya membuang air kencing sambil berdiri bagi seseorang lelaki tidak haram, malah dibenarkan dalam beberapa keadaan. Perkara ini pernah berlaku pada Rasulullah SAW. Menurut Hudhaifah RA: “Suatu ketika Nabi SAW pernah singgah di suatu tempat pembuangan sampah berhampiran dengan daerah suatu kaum. Di situ, baginda membuang air kecil sambil berdiri. Melihat itu, aku segera pergi menjauh, tetapi baginda malah berkata: “Mendekatlah ke mari.” Aku pun segera menghampirinya hingga berdiri berhampiran dengan tumitnya. Kemudian aku melihatnya berwuduk dan menyapu kedua-dua khaufnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) Dengan kata lain, kencing berdiri dibenarkan apabila dapat menjaga pakaian dan diri daripada terkena najis. Ia pula sesuai dengan tempat tertentu. Lebih-lebih lagi apabila ada tandas khusus dan sebagainya. Ia sudah tentu tidak menyerupai syaitan. Bagaimanapun, pada kebiasaannya, Rasulullah SAW buang air kecil sambil duduk (mencangkung). Cara kencing sambil duduk lebih baik berbanding kencing sambil berdiri kerana seseorang dapat menjaga kebersihan secara lebih sempurna kerana air kencing tidak terpercik jauh. Selain itu, cara kencing sambil duduk juga dapat memastikan air kencing keluar habis. Kebiasaan yang dilakukan Rasulullah SAW perlu diberitahu kepada lelaki terbabit. Dengan itu, beliau akan menurut kebiasaan Rasulullah. Ia tentu dapat mengatasi masalah di atas. Beliau juga perlu dinasihati supaya tidak membuang air merata-rata seperti ke dinding. Sememangnya sudah ada kemudahan mangkuk tandas untuk berbuat demikian. Segala kemudahan perlu digunakan sebaik mungkin dan cara yang betul. Jika masih tidak tahu menggunakannya perlulah diajar satu persatu mengenai tatatertib menggunakan tandas dan bilik air seperti mengepam air apabila selesai menggunakannya.

BERMESRA HINGGA KELUAR AIR MANI KETIKA BERPUASA

Pada Ramadan dua tahun lalu saya bermesra dengan isteri sehingga mengeluarkan air mani, tetapi kami tidak bersetubuh. Apakah hukumnya dan adakah saya kena membayar kifarat? Ini kerana saya ada terbaca jika seseorang mengeluarkan mani selain daripada bersetubuh, dia hanya perlu qada puasa tanpa perlu membayar kifarat.
Wan, Pahang

JAWAPAN
Keterangan dibaca adalah benar. Mengeluarkan air mani dengan sengaja ketika berpuasa Ramadan membatalkan puasa dan berdosa. Puasa yang terbatal mesti diganti, tetapi tidak perlu membayar kifarat. Kifarat (penutup kesalahan atau dosa) dikenakan kepada persetubuhan pada siang hari ketika Ramadan di samping wajib mengganti puasa.
Bagi kifarat puasa ada tiga peringkat iaitu:
(1) Memerdekakan hamba mukmin lelaki atau perempuan.
(2) Jika tidak mampu yang pertama hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut.
(3) Jika masih tidak mampu yang kedua, hendaklah memberi makan kepada 60 fakir atau memberi mereka 60 cupak makanan asasi yang boleh dijadikan fitrah seperti beras atau gandum.
Wajibkan ganti puasa tanpa kifarat apabila:
(1) Orang yang bersetubuh memasukkan kemaluan dalam faraj belum sampai had yang ditentukan.
(2) Yang disetubuhi (perempuan).
(3) Bersetubuh dalam keadaan lupa.
(4) Berkeadaan jahil ketika itu mengenai batalnya puasa dengan kelakuan berkenaan.