.

27 Jun 2013

BUAT PINJAMAN UNTUK MENUNAIKAN HAJI

Dr. Mashitah Ibrahim
SOALAN

Saya kakitangan kerajaan dan berhasrat menunaikan fardu haji. Bolehkah saya membuat pinjaman peribadi daripada bank bagi membiayai kos menunaikan haji?

Kalau mengharapkan simpanan hingga cukup, mungkin lambat dan kita tidak tahu sama ada kita berkesempatan atau tidak.

Walaupun umur masih muda, ajal dan maut adalah ketentuan Allah SWT. Oleh itu saya berazam menunaikan haji pada waktu muda sementara tubuh masih sihat dan bertenaga.

AJ
Alor Gajah


JAWAPAN

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bermuzakarah kali ke-69 pada Jun 2005 membuat keputusan bahawa harus bagi seseorang berhutang untuk menunaikan haji atau umrah jika diyakini mampu membayar balik hutang itu dan ia tidak menjejaskan kehidupan normalnya.

Juga disyaratkan bahawa institusi yang memberi hutang mementingkan prinsip ikhlas taawun, adil dan telus dalam skim pinjaman itu dan bebas daripada unsur riba.

KAHWIN GUNA DUIT ARWAH ISTERI

Dr. Mashitah

SOALAN

Ibu saya meninggal dunia pada Julai 2012 dan meninggalkan sejumlah wang dan barang kemas. Saya mempunyai tiga adik- beradik dan seorang nenek, iaitu ibu kepada arwah ibu.

Kami pernah berbincang dengan ayah mengenai faraid tapi dia seperti tidak ambil kisah.

Abang sulung pernah memberitahunya supaya menjalankan faraid semua harta peninggalan ibu sebelum ayah bernikah lagi.

Selepas ayah bernikah pada Disember 2012, dia masih tidak menunaikan tanggungjawab itu.

Sebaliknya, ayah berbelanja besar untuk majlis perkahwinannya dan saya tidak diberikan barangan kemas peninggalan arwah ibu.

Kami dan saudara-mara yang lain sudah beberapa kali menasihati ayah, tapi dia masih begitu.

ZATA
Besut


JAWAPAN

Harta pusaka wajib dibahagikan mengikut syarak. Berdosa besar memakan harta pusaka apabila pewarisnya masih ada dan mereka berhak menuntut.

Sebaik-baiknya, semua anak berkumpul dan memaklumkan secara rasmi pada ayah supaya jelas mana harta ibu yang wajib difaraidkan.

Bagaimanapun, tidak perlu sampai mengambil tindakan undang- undang kerana sebaik- baiknya kemelut ini diselesaikan secara keluarga.

JATUH TALAK DIBUAT SYARAT

Dr. Mashitah

SOALAN

Beberapa bulan lalu, kami suami isteri bertengkar dan menyebabkan suami berkasar dengan saya tanpa niat mencederakan, gara-gara perihal anak.

Sensitif dengan perbuatannya, saya meletakkan syarat jika suami berlaku kasar terhadap saya lagi, serta-merta jatuh talak.

Permulaannya suami berat untuk bersetuju tetapi melihatkan saya berkeras, akhirnya dia melafazkan dan kami berbaik semula.

Baru-baru ini, suami hampir berkasar lagi dengan memegang dan menarik tangan saya dengan kuat, lalu saya mengingatkan dia mengenai lafaz yang dibuat, lalu dia kembali tenang dan memujuk saya.


Soalan saya, adakah jatuh talak ketika itu? Dan kalau tidak terjatuh, bagaimanakah untuk menarik semula lafaz itu?


ISTERI RUNSING
Linggi


JAWAPAN

Usah bermain dengan talak. Jangan jadikannya syarat perkara kecil seperti pertelingkahan ini, bimbang kelak memakan diri. Suami puan jelas mempunyai sifat panas baran.

Cari jalan lain untuk menyejukkan dirinya dan bukan menjadikan talak sebagai syarat. Jika diikutkan jalan cerita, suami puan hanya hampir berkasar, maka belum jatuh talak.

ISTERI AKUI CURANG BERULANG KALI

Dr. Mashitah


SOALAN

Saya ada beberapa persoalan dan memohon pandangan serta nasihat.

1. Wajib atau tidak bagi suami untuk menceraikan isterinya selepas isteri membuat pengakuan berlaku curang sehingga terlanjur (zina) dengan lelaki lain? Si isteri insaf dan bertaubat ketika pengakuan dibuat.

2. Adakah suami dikira dayus jika memaafkan segala dosa si isteri dan tidak menceraikannya dengan alasan sayangkan isteri dan anak?

3. Selepas bertaubat, si isteri menemui semula lelaki lain dan sekali lagi mereka terlanjur. Kemudian si isteri membuat pengakuan kepada si suami dan bertaubat untuk kali kedua. Adakah si suami masih boleh memaafkan si isteri dan meneruskan perkahwinan? Si suami masih sayangkan isteri dan anak dan jika boleh, mahu meneruskan perkahwinan.


4. Jika si suami menceraikan isteri atas sebab-sebab di atas, bolehkah mereka rujuk semula ketika idah atau berkahwin semula selepas tempoh idah?



HAFIZ
Selayang,


JAWAPAN


Memaafkan orang yang bersalah sangat dianjurkan dalam Islam. Ia adalah sifat yang sangat mulia dan terpuji di sisi Allah.

Sesiapa yang bertaubat mesti jujur dalam taubatnya.

Taubat terbaik ialah taubat nasuha iaitu taubat yang benar-benar membersihkan seorang Islam sehingga dia tidak mahu lagi kembali kepada dosa lama.

Jika seorang yang bertaubat kembali melakukan dosa, dia perlu mengulangi taubatnya.

Manusia memang lemah berdepan nafsu sehingga tidak mustahil boleh melakukan dosa berulang kali.

Dayus suami jika dia membiarkan isterinya dalam maksiat tanpa rasa cemburu, tetapi suami juga mempunyai hak memaafkan isterinya demi menyelamatkan isteri daripada terus berdosa dan menyelamatkan keluarga.

LIAT SOLAT DAN GURAUAN MELAMPAU

Fikrah Dr. Salam


SOALAN

Saya ingin bertanya beberapa pandangan daripada Dr mengenai masalah dihadapi iaitu mengenai suami yang sering meninggalkan solat Subuh dan bila dikejutkan dia cakap ‘kejap-kejap’.

Apabila saya mengejutnya banyak kali, mulalah dia marah. Jadi, saya biarkan walaupun hati sangat sedih dengan tindakannya.

Selain itu, mengenai gurauannya yang agak melampau seperti kadang-kadang disuruh mencium kakinya kerana katanya syurga isteri di bawah kakinya. Walaupun hanya gurauan, tapi saya rasa macam dihina.

Malah, dia juga apabila ditegur mengenai kesalahannya mulalah mencarut kepada saya dan buat saya seperti tiada perasaan. Saya bercadang selepas bersalin ingin duduk berasingan dengan suami. Saya betul-betul tidak tahan dengan perlakuannya.


Isteri keliru
Kelantan


JAWAPAN


Meninggalkan solat secara sengaja adalah berdosa besar. Ini kerana solat adalah tanggungjawab yang Allah wajibkan ke atas setiap orang Islam apabila mencapai umur baligh.

Nabi SAW bersabda maksudnya: “Solat itu tiang agama.” Tentu saja kealpaan terhadap tanggungjawab itu mempengaruhi perangai dan tingkah laku seseorang.

Firman Allah bermaksud: “Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahikan kepadamu daripada al-Quran dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar...” (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Selain itu, perbuatan keji suami seperti melakukan gurauan yang menghina isteri serta mengeluarkan perkataan mencarut dan sebagainya adalah bertentangan dengan akhlak Islam.

Seorang suami sepatutnya melayan isteri dengan baik. Nabi SAW pernah bersabda maksudnya: “Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya dan aku adalah yang terbaik daripada kamu terhadap keluargaku. Orang yang memuliakan wanita adalah orang mulia dan orang menghina wanita adalah orang tidak tahu budi.”

Bagaimanapun, cadangan untuk berpisah atau tinggal berasingan bukan cara yang terbaik dalam hal ini. Ini kerana puan perlu memahami setiap manusia ada kelemahannya. Begitu juga dengan suami puan.

Pada pandangan saya, puan perlu banyak bersabar buat masa sekarang. Minta pertolongan daripada Allah dalam berusaha mengubah keadaan rumah tangga dan perangai suami. Mudah-mudahan semuanya mendatangkan anugerah pahala daripada Allah.

Seterusnya Islam mengajar supaya suami dan isteri perlu berdamai dengan hubungan antara mereka.

Ini jelas apabila Allah berfirman dengan maksud: “Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul daripada suaminya nusyuz atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka membuat perdamaian di antara mereka berdua, kerana perdamaian itu lebih baik; sedang sifat bakhil itu memang tabiat semula jadi manusia. Dan jika kamu berlaku baik dan mencegah diri (daripada kezaliman), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya akan apa yang kamu lakukan.” (Surah an-Nisa, ayat 128)

Pada pandangan saya, puan perlu melakukan sebaik-baik cara yang dibenarkan syariah dalam mengekal rumah tangga yang ada. Perceraian adalah jalan terakhir dalam menyelesaikan konflik antara suami isteri.

EMAK DAN IBU MERTUA BERMASAM MUKA

Fikrah Dr. Salam

SOALAN

Saya sekarang dalam dilema kerana ibu selalu berkecil hati apabila ibu mentua kerap datang ke rumah saya.

Perkara ini terjadi selepas berlaku insiden apabila ibu mentua saya terlepas cakap perkara yang tidak sepatutnya dibangkitkan. Contohnya, barang di dalam rumah yang kebanyakannya diberikan oleh ibu mentua.

Ibu saya bukannya tidak pernah memberi apa-apa, tetapi tidaklah menonjol seperti ibu mentua.

Untuk makluman Dr, jika ibu mentua ada di rumah atau akan datang ke rumah saya, secara automatik ibu kandung tidak akan datang kerana enggan bertemu sebab sudah beberapa kali terguris perasaan apabila bersua.


Saya juga kasihan melihat ibu berkeadaan begitu. Kadang-kadang ada juga saya minta ibu mengabaikan saja apa diperkatakan mentua saya, tapi hati orang tua siapa yang tahukan?


Suami saya pula bukanlah seorang anak yang berani melawan kata-kata ibunya kerana takut jadi anak derhaka.

Ibu mentua saya mempunyai tiga anak lelaki dan dia pernah mengatakan keutamaannya adalah anak lelaki.

Sudah beberapa kali perkara yang sama diulang, bahkan dikatakan juga kepada ibu saya. Jadi, ibu saya berasa tiada hak terhadap anak, menantu dan cucunya. Bagaimana caranya untuk saya mengatasi masalah ini?

Isteri tersepit
Kuala Lumpur



JAWAPAN
Antara hikmah perkahwinan ialah meluaskan hubungan antara keluarga iaitu keluarga sendiri dan keluarga suami termasuk sanak-saudara dan kaum kerabat.

Dengan adanya ikatan pernikahan ini dua keluarga dapat bersatu dan saling menolong antara satu sama lain. Perhubungan itu tidak putus walaupun berlaku perceraian terutama dengan mentua.

Walaupun masyarakat kita sudah memahami hikmah di atas, ia tergugat apabila timbul pergeseran dan ketidaksefahaman sesama keluarga.

Antara sebabnya ialah tutur kata yang tidak dijaga sehingga mengguris hati seseorang. Perkara inilah yang berlaku dalam keluarga puan. Mungkin ibu dan ibu mentua tidak menyedari perkara sebegini.

Menurut Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulum al-Din, akhlak tercela juga muncul daripada lidah iaitu tutur kata.

Beliau menyenaraikan 20 kejahatan lidah antaranya berkata-kata kasar, kesat, lucah, berbohong, menyumpah, melaknat, mungkir janji, tuduhan palsu, suka berdebat dan mengumpat, bercakap perkara tidak berkaitan, sia-sia dan tidak berfaedah.

Kita perlu mengawal nafsu yang menjurus kepada kejahatan itu supaya ia tidak menguasai diri.

Kejahatan lidah ada yang besar dan kecil. Lidah yang jahat mempengaruhi jiwa seseorang dengan menyakiti, memudaratkan orang lain dan diri sendiri.

Menurut Imam Ghazali lagi, kejahatan lidah adalah punca utama membawa kecelakaan kepada seseorang sama ada di dunia atau akhirat.

Merujuk kepada masalah yang puan dihadapi, setiap anggota keluarga perlu disedarkan mengenai angkara dan kejahatan lidah itu.

Puan boleh menasihati suami secara baik mengenai kejahatan lidah. Kadang-kadang ucapan disalah erti. Apa yang penting ialah semangat maaf-memaafi antara ahli keluarga apabila terlajak kata.

Lidah juga perlu dibasahi dengan zikir kepada Allah dan selawat kepada Nabi SAW. Dengan itu perubahan akan berlaku.

10 Jun 2013

LAFAZ TALAK

Fikrah Dr. Salam

SOALAN

Saya ada soalan mengenai lafaz cerai. Pertanyaan ini berikutan satu drama televisyen yang saya tonton bersama suami. Dua anak kami juga menonton bersama pada malam berkenaan.

Drama itu memaparkan kisah seorang lelaki yang sedang melafazkan cerai kepada isterinya, tetapi belum melafazkannya lagi dan hanya menyebut nama isterinya.

Sewaktu kami menonton drama itu, tiba-tiba ibu suami saya datang dan terus bertanya kepada suami kenapa dengan drama televisyen itu? Suami pun berkata, dia dah kena cerai, dia dah ceraikan isteri dia.

Kemudian secara tiba-tiba suami terus kata, ‘aku ceraikan kau.’ Dalam situasi ini, lafaz cerai itu tidak ditujukan kepada saya (isteri). Ketika suami melafazkan cerai itu, muka dan tubuh badannya menghadap televisyen, malah dia tidak memandang ke arah saya.


Adakah talak itu jatuh terhadap saya? Saya bertanya kepada suami mengenai lafaz itu dan dia memaklumkan yang lafaz berkenaan tidak ditujukan kepada saya, tetapi ditujukan kepada orang di dalam televisyen (iaitu pelakon dalam drama itu). Apa pendapat Dr mengenai masalah saya ini?


Safinaz
Kuala Lumpur


JAWAPAN

Tidak jatuh talak berdasarkan keterangan suami puan itu. Bagaimanapun, setiap pasangan dinasihatkan agar tidak mempermainkan lafaz talak. Ini kerana Islam menganggap kata-kata nikah, talak serta rujuk sebagai perkara serius dan tidak dipermainkan.

Ia bertujuan menjaga keharmonian rumah tangga. Nabi SAW bersabda dengan maksudnya: “Tiga perkara yang bersungguh-sungguh adalah dianggap bersungguh-sungguh dan yang bergurau (main-main) adalah dianggap bersungguh-sungguh iaitu nikah, talak dan rujuk.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Seterusnya Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sebenci-benci yang halal bagi Allah SWT ialah talak.” (Riwayat at-Tirmidzi dan an-Nasai)

MAKAN HASIL TANAMAN DI TANAH KERAJAAN

Fikrah Dr. Salam


SOALAN
Saya ingin mendapat sedikit penjelasan hukum mengenai hasil tanaman. Apakah hukum kita makan dan mengambil buah, daun atau hasil tanaman di tanah milik kerajaan atau di sepanjang jalan raya?

Dahulu saya adalah penduduk di kawasan setinggan dan keluarga bercucuk tanam. Kini kami semua dipindahkan dan penempatan setinggan itu sudah menjadi tanah milik kerajaan, sedangkan tanaman yang keluarga saya tanam masih hidup dan menghasilkan buah.

Apakah hukum jika kami mengambil dan makan hasil tanaman berkenaan? Adakah ia dalam kategori yang sama seperti masalah pertama. Saya mohon Dr memberikan penjelasan.

Nisa
Selangor.


JAWAPAN

Secara umumnya buah- buahan, daun dan hasil tanaman di tanah milik kerajaan atau di sepanjang jalan masih dimiliki oleh orang yang mengusahakannya. Ia dikenali ihya’ al-mawat (menghidupkan tanah yang tidak dimiliki).

Asasnya daripada hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan suatu tanah kosong, maka ia menjadi miliknya.” (Riwayat Ahmad dan at-Tirmidzi)
Kita perlu mendapat izin daripada tuan yang mengusahakan tanaman berkenaan sebelum mengambilnya.

Bagaimanapun, dalam Kanun Tanah Negara sekarang apabila kerajaan mengambil tanah berkenaan, pengusaha tidak dapat menuntut pampasan atas kerugiannya kerana dia mengusahakan sesuatu bukan atas tanah miliknya.

Begitu juga sesiapa mengusahakan tanaman di tanah milik kerajaan, hasilnya boleh diambil, dijual atau dibahagikan selagi tidak diambil kerajaan.

Sebenarnya semangat di sebalik prinsip ihya’ al-mawat supaya tiada kawasan terbiar dan tidak produktif. Dengan itu ekonomi negara akan hidup dan berjalan.

FESYEN ATAU MENUTUP AURAT

Fikrah Dr. Salam


SOALAN
Mutakhir ini kita mendapati sesetengah wanita terutama golongan muda gemar memakai pakaian ketat, sehingga menzahirkan bentuk tubuh, walaupun pada masa sama bertudung dan menutup rambut.

Malah, seluar atau kain dipakai pula berwarna yang menarik perhatian umum, contohnya berseluar merah, hijau dan seumpamanya.

Ada juga yang kain bajunya terlalu tipis sehingga boleh dikatakan begitu seksi sedangkan semua itu boleh menjadi bualan sekumpulan lelaki yang memandang ke arah si pemakai terbabit.

Jadi Dr, apakah cara pemakaian sebegini dibenarkan dan bertepatan dengan etika berpakaian dalam Islam? Apakah lelaki yang bercerita mengenai hal seseorang wanita terbabit dikira berdosa?


Man, Selangor


JAWAPAN

Islam melihat aurat bagi seorang wanita ialah seluruh tubuhnya berbanding aurat lelaki iaitu antara pusat dan lutut. Pengecualian bagi wanita ialah apa yang zahir dan ini termasuk muka dan dua tapak tangan.

Menutup aurat menjadi tidak sempurna apabila seorang wanita yang bertudung memakai pakaian ketat sehingga menzahirkan bentuk tubuh.

Perkara ini jelas seperti dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman itu supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.

“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara mereka atau anak bagi saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara mereka yang perempuan, atau perempuan Islam atau hamba mereka atau orang gaji daripada orang lelaki yang telah tua dan tiada keinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi mengenai aurat perempuan.


“Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang yang beriman supaya kamu berjaya.” (Surah an-Nur, ayat 31)

Isu yang timbul ialah mengenai wanita Islam yang tidak berpakaian menepati seperti diajarkan Islam.

Punca perlu dicari dan ia termasuk terpengaruh dengan dunia glamor, tidak mendapat pendidikan Islam sempurna dan masyarakat yang inginkan kebebasan.

Wanita sebegini perlu diajak mendekatkan diri kepada Allah dengan mempraktikkan ajaran Islam di peringkat asas terutama melaksanakan ibadat solat. Sememangnya solat itu dapat mencegah perlakuan dosa dan perkara mungkar.

Bagi lelaki pula, Islam juga menyuruh mereka menjaga pandangan dengan tidak melihat perkara haram.

Dalam hal ini lelaki juga tidak dibenarkan melihat dengan perasaan syahwat kepada wanita yang seksi dan mendedahkan aurat. Dengan mengalihkan pandangan, mereka mendapat ganjaran pahala daripada Allah.

Sekiranya mereka berbuat sebaliknya, mereka akan terdedah kepada dosa dan maksiat.

Begitu juga bercerita mengenai wanita berpakaian seksi dan sebagainya. Ia boleh mengarah kepada perlakuan dosa dan maksiat.

Allah berfirman maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui mengenai apa yang mereka kerjakan.” (Surah an-Nur, ayat 30)