.

21 Ogos 2013

KAKI AURAT WANITA

Dr. Mashitah Ibrahim

SOALAN

Adakah pemakaian stoking bagi wanita untuk menutup auratnya wajib atau tidak? Saya banyak mendengar pendapat ustaz mengatakan stoking tidak wajib dipakai seorang wanita bagi menutup auratnya daripada dilihat kaum ajnabi.

Seperti dinyatakan semua ustaz, tidak wajib memakai stoking kerana kain yang labuh menutupi kaki seseorang. Namun bila difikirkan kembali, kain yang menutupi kaki adalah sewaktu seseorang berdiri tanpa berjalan.

Apabila wanita melangkah, sebahagian kakinya akan terlihat. Itu yang menjadi kemusykilan pada saya. Maksudnya sewaktu wanita berjalan, kakinya tetap terlihat oleh kaum ajnabi. Lagi-lagi bila wanita itu memakai sandal. Saya perlukan jawapan tepat dan terperinci.

SITI
Klang, Selangor



JAWAPAN
Ulama mempunyai pandangan dan tafsiran berbeza namun mereka adalah mujtahid yang datang dengan dalil sah dalam hal ini.

Berikut saya perturunkan pandangan ulama yang berbeza dalam hal ini.

Mazhab Hanafi mengatakan kaki wanita tidak termasuk dalam lingkungan aurat.
Mazhab Maliki dalam pendapat muktamad mengatakan kaki bukan aurat.
Mazhab Syafi’e pula mengatakan ia sebagai aurat.
Mazhab Hambali pula menghukumkan kaki wanita sebagai aurat.


Ia boleh merujuk kepada kitab Feq ala Mazahib Arbaah juz 1 muka surat 584 dan Al-Mufassal Dr Abb Karim Zaidan ada disebutkan satu bab khas mengenai kaki dengan tajuknya, “Adakah kaki wanita dikira sebagai aurat?” (Rujuk Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar ah wa albait al-Muslim fi al-Syari’ati al-Islamiah, Jilid 3, masalah 2282, ms 198

ENAM TANDA TAUBAT DITERIMA ALLAH

Fikrah Dr. Salam

Setiap orang dianjurkan bertaubat sebagaimana firman Allah dalam surah an-Nur, ayat 31, maksudnya: “...dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang yang beriman supaya kamu berjaya.”

Syarat bertaubat, seseorang itu dikehendaki memohon keampunan, berhenti daripada melakukan dosa, menyesali perbuatan maksiat, berjanji tidak akan mengulanginya lagi, meminta maaf kepada pihak berkaitan serta memperbanyakkan amal soleh.

Taubat seorang yang ikhlas akan diterima Allah seperti diterangkan dalam hadis riwayat Ibnu Majah daripada Abu Hurairah RA, Nabi bersabda: “Jika kamu berbuat kesalahan sehingga sampai ke langit, kemudian kamu menyesal, nescaya Allah akan menerima taubatmu.”

Mengikut ahli bijak pandai, tanda diterima taubat itu ada enam, iaitu:


1. Beranggapan dirinya tidak terjaga daripada melakukan dosa.



2. Hatinya jauh daripada kegembiraan dan kesedihan selalu dekat dengan hatinya. Maksudnya dia selalu bersusah hati apabila memikirkan nasibnya di akhirat kelak dan kerana itu dia tidak terpedaya dengan kesenangan dunia.


3. Mendekati orang yang baik dan menjauhi orang jahat (buruk perangai) kerana takut jatuh ke dalam maksiat.


4. Berasakan rezeki dari Allah sangat banyak (dan selalu mensyukurinya).

Seterusnya dia mengambil sebahagian daripadanya sekadar untuk memenuhi keperluan hajat hidupnya.

Pada masa sama dia berasa amal solehnya masih sedikit sehingga berusaha menambahnya dari semasa ke semasa.


5. Hatinya selalu sibuk dengan pelbagai kewajipan dari Allah, namun tidak pernah khuatir dan berkecil hati mengenai rezeki yang diterima kerana dia yakin semuanya sudah dijamin Allah SWT.


6. Sentiasa memelihara dan menjaga lisan serta menyesal selepas melakukan maksiat. Hal ini sebagaimana sabda Nabi SAW, maksudnya: “Amal yang paling dicintai Allah adalah menjaga lidah.” (Riwayat al-Baihaqi)

Dalam hadis lain diriwayatkan Ibnu Nashr, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya manusia yang paling banyak dosanya pada hari kiamat adalah orang yang paling banyak memperkatakan hal yang tidak berguna.”

HUKUM MERAUP MUKA SELEPAS MEMBERI SALAM SOLAT

Fikrah Dr. Salam

SOALAN

Saya keliru mengenai perbuatan meraup muka selepas selesai memberi salam dalam solat.

Bolehkan Dr memberikan sedikit penjelasan mengenai hukumnya?

Ini kerana setahu saya ada dua hadis mengenai meraup muka dan kebanyakan ulama mengatakan kedua-dua hadis itu sangat daif serta tidak boleh dijadikan hujah.

Ahmad,
Pahang


JAWAPAN
Secara umumnya perbuatan itu tidak haram atau bidaah, malah ada hujah seperti yang anda katakan iaitu terdapat dalam riwayat hadis daif.

Hadis daif dihukum boleh beramal dengannya dan sesiapa yang beramal dengannya mudah-mudahan mendapat ganjaran sunat.

Antaranya hadis: “Rasulullah SAW apabila selesai daripada solatnya, maka Nabi menyapu dahinya dengan tangan kanannya sambil berdoa: ‘Asyhadu an la ilaaha illallah ar-Rahman ar-Rahiim. Allahumma azhib ‘an al-hamm wa al-aza’

(Aku naik saksi tiada Tuhan selain Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Ya Allah jauhkan daripadaku kesakitan dan kedukacitaan).” (Riwayat at-Thabrani)

Sementara itu, meninggalkannya tidak menjejaskan solat kerana perbuatan meraup atau menyapu muka selepas selesai memberi salam berlaku di luar solat.