.

11 September 2013

HAIWAN YANG HARAM DIMAKAN

Dr. Mashitah Ibrahim

SOALAN

Apakah hukumnya memakan haiwan seperti tupai, monyet, kelawar, biawak dan ular sawa? Ini kerana saya terkejut apabila tunang mengaku pernah memakan haiwan itu.

Saya sudah jelas bahawa haiwan itu haram dimakan, selain merujuk pada pendapat orang terdekat dan Internet. Ada juga pendapatnya yang mengelirukan. Saya risaukan tunang saya yang kini bekerja di seberang laut.

Saya juga ingin tahu, adakah Islam membenarkan umatnya memakan organ seks haiwan seperti testikal lembu dan kambing?

TUNANG RISAU
Johor


JAWAPAN

Islam tidak mengharamkan memakan sesuatu melainkan ia tidak baik untuk manusia. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW menyatakan “seluruh binatang pemangsa dengan gigi taring haram memakannya.”

Ini bermakna binatang buas bertaring dan burung berkuku cengkam untuk menangkap mangsa dan memakan haiwan lain (karnivor) adalah haram dimakan.

Begitu juga haiwan yang dikategorikan sebagai “khaba-is” atau kotor dan haiwan yang diperintahkan untuk dibunuh tanpa melalui proses penyembelihan adalah haram dimakan.

Dengan ini, haiwan yang disebut saudari adalah haram dimakan. Begitu juga haiwan yang hidup dua alam seperti kura-kura, penyu dan katak.

Lembu dan kambing halal dimakan bila disembelih. Bagaimanapun, bahagian yang haram dimakan walau selepas disembelih ialah darah, najis dan kotoran, organ kelamin zakar dan faraj, pundi kencing dan hempedu.

Makanlah daripada selainnya yang banyak dan halal. Kenapa perlu memilih untuk makan yang diharamkan daripada sedikit itu.

USAH SEBAR AIB ORANG

Dr. Mashitah Ibrahim

SOALAN

Wajarkah atau berdosakah seseorang itu menafikan dia pernah berzina apabila aibnya diketahui orang lain, bagi menutup keaibannya daripada terus tersebar, sedangkan benar dia berzina?

AWI
Segamat


JAWAPAN

Kita harus faham apa perlu didedahkan dan disimpan. Perkara baik yang boleh menjadi ikutan dan teladan kepada orang sewajarnya diuar-uarkan supaya menjadi contoh.

Perkara tidak baik tidak wajar didedahkan. Rasulullah SAW bersabda: “Wahai kumpulan orang yang beriman dengan lidahnya tetapi tidak masuk ke dalam jiwanya, jangan kamu mengumpat orang Islam dan jangan kamu mengesan atau mencari-cari rahsia mereka kerana sesiapa yang mengesan rahsia mereka, Allah pula akan mengesan dan membuka rahsianya, dan sesiapa yang Allah buka rahsianya, dimalukan dia dalam rumahnya sekali. (sekalipun dirahsiakannya)
Allah SWT mencela dalam surah al-Hujurat, ayat 12: “Jangan setengah kamu suka mengumpat setengahnya, adakah seseorang itu suka makan daging saudaranya dalam keadaan mati, tentulah kamu semua tidak menyukainya.”


Bila berdepan keaiban orang lain, usah terlalu ghairah membuka aibnya, sebaliknya cari jalan untuk menutupnya. Semoga dia insaf untuk kembali bertaubat.