.

02 Jun 2009

SUNAT AZAN BAYI BARU LAHIR

Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

ADAKAH wajib mengazankan bayi yang baru lahir? Ada buku yang mengatakan tidak wajib.

Jika wajib, adakah berdosa bagi ibu bapa yang tidak mengazankan bayi baru lahir dan apakah cara untuk menebus dosa itu?

Bolehkah bayi berkenaan diazankan selepas beberapa bulan dilahirkan?

NURIZA
Sabah


JAWAPAN


Mengazankan bayi yang baru lahir antara perkara yang sunnah dilakukan.

Ia bukan wajib, sebaliknya sunat. Justeru, meninggalkannya bukan berdosa dan tidak perlu ditebus.

Sunnah yang dituntut ialah mengazankan bayi sebaik saja dilahirkan.

Ini supaya anak yang masih suci itu mendengar ucapan terbaik sebagai kalimah pertama yang didengarnya sebaik sampai ke dunia.

Harapan ibu bapa apabila anak ini mendengar takbir ini dia akan menjadi hamba yang taat kepada Allah bila dewasa nanti dan dipelihara daripada gangguan syaitan.

Tidak perlu lagi diazankan selepas beberapa bulan dilahirkan.

AKAD NIKAH DUA KALI

Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

SAYA ingin tahu mengenai isu akad nikah yang dijalankan dua kali tetapi berlainan wali. Saya mendapat tahu wali bakal isteri saya adalah tidak sah kerana dipercayai ibu beliau berkahwin menggunakan wali tidak sah. Ini membuat saya berasa tidak berapa yakin dengan status wali bakal isteri.

Bagi mengatasi masalah ini, saya mencadangkan untuk berkahwin menggunakan wali hakim secara senyap-senyap dan memberitahu keluarga selepas kami bernikah (dan bernikah sekali lagi berwalikan ayah bakal isteri). Keraguan timbul apabila ibu bakal isteri dikatakan anak tidak sah taraf tetapi nenek dan datuknya tidak mahu mengakuinya.

Saya mencadangkan perkara ini untuk mengelakkan pertengkaran dan masalah berbangkit pada masa depan. Saya ingin tahu, adakah saya boleh mengambil tindakan begini? Adakah kami boleh berkahwin menggunakan wali hakim? Adakah ayah bakal isteri boleh menjadi wali? Adakah akad nikah kali kedua akan memberi kesan pada akad pertama?

ADAM
Wilayah Persekutuan


JAWAPAN
Akad nikah tidak perlu dijalankan dua kali. Hanya sekali saja yang penting menepati syarat sah pernikahan itu. Daripada pernyataan saudara, apa yang saya faham ialah keraguan bermula daripada kesahihan pernikahan ibu mentua dan bapa mentua kerana datuk menjadi wali kepada anak perempuan/ibu mertua yang disyaki anak tidak sah taraf.

Mana-mana pihak yang mengesyaki kesahihan sebuah perkahwinan hendaklah mengemukakan bukti kepada dakwaan keraguan berkenaan. Apa yang perlu tuan buat sekarang ialah memastikan siapakah wali yang sah dan layak menjadi wali. Demi kesahihan pernikahan, semua pihak wajib berterus terang, jika ada maklumat yang disembunyikan maka dia dipertanggungjawabkan sepenuhnya.

Bukti itu hendaklah dibawa ke mahkamah, yang akan mempertimbangkannya. Jika benar seperti dakwaan, maka perkahwinan ibu mentua akan dibubarkan dan barulah bakal isteri boleh disabitkan sebagai anak tidak sah taraf yang memerlukan wali hakim.

Jika sekadar syak saja tanpa sebarang bukti kukuh, tidak wajar hendak menggunakan wali hakim bahkan hendaklah diteruskan ayahnya sebagai wali kepada perkahwinan.

STATUS PERKAHWINAN IBU TANPA NAFKAH 21 TAHUN

AYAH meninggalkan ibu lebih 21 tahun tanpa nafkah zahir dan batin kerana berkahwin lain. Ayah juga tidak pernah menceraikan ibu. Baru-baru ini isteri muda ayah meninggal dunia kerana kencing manis. Selepas kematian isterinya, ayah mendesak kami sekeluarga untuk tinggal bersamanya kerana perkahwinan kali keduanya itu tidak mempunyai anak.

Ibu tidak mahu kembali ke pangkuan ayah apatah lagi mengenangkan sikapnya yang tidak pernah mempedulikan kami selama ini. Bagaimanapun, ayah mendesak dan mengatakan ibu masih isterinya yang sah.

Saya ingin tahu bolehkah ayah kembali kepada ibu? Adakah mereka masih menjadi suami isteri kerana sudah berpuluh tahun ayah tidak memberikan sebarang nafkah kepada ibu.


Perlukah ibu dan ayah bernikah semula? Jika ibu tetap tidak mahu hidup bersama, apakah tindakan yang boleh diambil?


SITI
Pelabuhan Klang


JAWAPAN
Dalam perkahwinan ada taklik yang menyebut bahawa jika suami meninggalkan isteri tanpa nafkah selama empat bulan dan isteri mengadu mengenai hal ini, maka mahkamah boleh menjatuhkan fasakh perkahwinan jika isteri menuntut demikian.

Malangnya, di sini walaupun ibu sudah berpuluh tahun ditinggalkan tanpa nafkah dia tidak mengadu kepada mahkamah mengenai statusnya. Ada kemungkinan dia reda dengan keadaan suaminya meninggalkan dia dan masih mahu menjadi isteri pada suaminya.

Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah membawa keduanya ke pengadilan supaya status ibu jelas. Jika dia mahukan fasakh atau pembubaran perkahwinan maka syaratnya sudah cukup kerana suami mengabaikan nafkah.

Jangan sampai dia merasa dirinya dipergunakan ketika suaminya terdesak saja. Jika dia memilih untuk meneruskan perkahwinan ini itulah adalah hak dia.

HUKUM HAIWAN BURUAN

Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

BAPA saya mempunyai senjata api dan saya sering mengikutinya untuk sama-sama berburu. Soalan saya bolehkah haiwan buruan itu dimakan jika ia disembelih selepas ditembak dan keadaannya kami tidak pasti sama ada nyawa-nyawa ikan atau sudah mati.

Saya pernah mendengar pendapat yang mengatakan haiwan buruan boleh terus dimakan jika semasa melepaskan tembakan kita melafazkan Bismillah dan berniat di dalam hati mematikan haiwan berkenaan untuk tujuan makanan dengan nama Allah.

IRWAN

Bangi


JAWAPAN

Firman Allah yang bermaksud: ‘diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk, yang diterkam binatang buas yang sempat kamu menyembelihnya…….’ Al-Maidah -Ayat 3. Jelas daripada ayat ini bahawa hanya binatang yang disembelih boleh dimakan.

Ayat 4 seterusnya menerangkan;..maka makanlah daripada apa yang ditangkap untukmu dan sebutlah nama Allah sewaktu melepasnya...

Hadis Adiy bin Hatim ra katanya: Wahai Rasulullah, aku telah melepaskan anjing-anjing yang sudah terlatih untuk berburu, anjing-anjing itu membawa binatang buruan itu kepadaku. Aku sudah pun membaca Bismillah (menyebut nama Allah) padanya. Baginda bersabda: Apabila kamu menyuruh anjingmu yang sudah terlatih dan kamu telah pun menyebut nama Allah atasnya, maka makanlah binatang buruan itu.

Aku bertanya: Sekalipun anjing-anjing itu sudah membunuhnya? Baginda menjawab: Ya, sekalipun anjing-anjing itu sudah membunuhnya jika tidak ada anjing lain yang turut bersamanya.

Aku bertanya lagi kepada baginda: Bagaimana jika aku memburu binatang dengan menggunakan panah lalu terkena tidak melalui matanya. Baginda menjawab: Apabila kamu memburu dengan menggunakan panah lalu terkena melalui matanya, maka makanlah. Tetapi jika terkena daripada bahagian belakangnya (bukan dengan matanya) maka janganlah kamu makan.

Penjelasan ini menunjukkan bahawa pemburu hendaklah melepaskan tembakan dengan menyebut nama Allah untuk menghalalkan ia dimakan, jika masih ada nyawa ikan maka segeralah menyembelihnya untuk dimakan.

28 Mei 2009

KONSEP HIDUP MUSLIM

Sumber: AD-DIN, HARIAN METRO

SAYA belajar di kalangan komuniti berbilang kaum, dengan majoritinya adalah bukan Islam. Kadang-kadang kawan bukan Islam ini sering bertanya pendapat saya mengenai Islam.

Antaranya mereka bertanya adakah orang bukan Islam di akhirat nanti akan berada di neraka, sedangkan mereka yang betul-betul beragama Islam akan ditempatkan di syurga?


Orang bukan Islam sesetengahnya tidak pernah melakukan sesuatu kejahatan pun, tidak pernah menganiayai orang malah tutur kata dan sifat peribadinya amat baik jika dibandingkan sesetengah orang Islam yang beriman hanya pada nama.

Adakah Allah akan menjalankan hisab juga ke atas orang bukan Islam? Jika ya, bagaimanakah Allah menilai kebaikan mereka? Adakah segala kebaikan yang mereka lakukan itu tidak akan dinilai dan diambil kira?

Bagaimana dengan Orang Asli yang tinggal di hutan, langsung tidak ada pembangunan dan hubungan dengan dunia luar, sebagai contoh, mereka tidak mendapat khabar mengenai Islam. Adakah mereka juga termasuk golongan yang masuk neraka?

Kedua, mereka mempersoalkan sifat Allah. Seperti yang kita tahu Allah bersifat pemurah dan penyayang. Tetapi mereka mempersoalkan sifat itu dengan mengatakan jika benar Allah menjadikan setiap manusia itu, kenapa tidak dijadikan semua orang di dunia ini memeluk Islam dan diberikan hidayah?

Ini kerana di akhirat nanti tidak perlu Allah menyeksa mereka yang tidak memeluk Islam dengan mencampakkan mereka ke dalam api neraka.

Mereka juga mempersoalkan keadilan Allah, kenapa hanya mengurniakan rahmat kepada orang Islam saja? Tidakkah Allah itu berlaku tidak adil kerana hanya memberi rahmat kepada segelintir orang sedangkan semua orang itu adalah ciptaan Allah?

Kemudian, apakah hikmahnya Allah menjadikan manusia itu pelbagai bangsa, agama dan bahasa?

Maafkan saya sekiranya persoalan saya ini agak keterlaluan, tetapi saya memerlukan satu jawapan kukuh untuk menegakkan Islam sebagai agama syumul supaya orang bukan Islam tidak memperlekehkan agama ini.



FARHAN,

Kelantan.




PERSOALAN yang dikemukakan di atas membabitkan kefahaman mengenai konsep ketuhanan, alam, manusia dan kehidupan menurut pandangan Islam. Ia kadang-kadang dipanggil 'tasawwur Islam' atau 'Islamic worldview.'

Apabila kita benar-benar memahami dan menghayatinya kita dapat menjawabnya dengan penuh yakin. Ini kerana apa yang dibawa Islam adalah kebenaran semata-mata.

Dengan kata lain, kita sewajarnya menerangkan kefahaman yang benar mengenai konsep itu kepada golongan bukan Islam.

Dalam Islam, Allah adalah Tuhan kepada segala makhluk termasuk orang Islam dan bukan Islam. Manusia adalah makhluk Allah yang diciptakan Allah dengan sebaik-baik kejadian.

Secara umum, terdapat tiga unsur yang ada pada diri manusia, iaitu fizikal, akal dan roh.

Tujuan utama manusia diciptakan adalah untuk mengenal dan seterusnya menyembah Tuhan yang menciptanya.

Alam termasuk dunia adalah ciptaan Allah. Antara tujuan diciptakan alam adalah untuk memperlihatkan tanda kebesaran Allah.

Kehidupan pula dilihat sebagai anugerah Allah kepada makhluknya. Islam melihat kehidupan bukan sahaja di dunia malah di akhirat.

Dunia dilihat sebagai medan dalam menentukan sama ada manusia berjaya dalam ujian yang ditetapkan Allah. Kejayaan mereka dilihat apabila berjaya mengenal dan menyembah Tuhan pencipta alam.

Mengenai balasan baik untuk orang Islam ia adalah benar. Ini kerana Islam itu sendiri bermaksud penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah.

Dengan kata lain, orang Islam benar-benar mematuhi segala perintah Allah yang disampaikan para nabi terutama Nabi Muhammad s.a.w.

Setiap orang menyakini adanya Tuhan yang satu, kenabian Nabi Muhammad s.a.w dan hari akhirat.

Balasan neraka diterima orang bukan Islam adalah benar. Begitu juga kepada orang Islam yang derhaka. Balasan sedemikian setimpal dengan segala kepercayaan dan perbuatan mereka.

Seperti yang diterangkan di atas, semua manusia diberi Allah akal dalam mencari dan mengenal kebenaran. Mereka diberi kebebasan sepenuhnya berbanding dengan makhluk lain. Manusia itu disebut sebagai 'rational being' (makhluk yang berakal). Sekiranya orang bukan Islam melakukan kebaikan di dunia seperti tidak pernah menganiayai orang, malah tutur kata dan sifat peribadinya baik, jika dibandingkan sesetengah orang Islam yang hanya pada nama, itulah dianjurkan Islam dan agama lain.

Manusia pada asalnya adalah manusia moral (moral being). Bagaimanapun, Islam melihat ada dua perhubungan utama, iaitu hubungan sesama manusia dan dengan Allah Tuhan Pencipta alam dan manusia.

Manusia akan dinilai berdasarkan kedua-dua hubungan itu. Manusia yang jahil dan sombong sehingga menafikan Tuhan pencipta alam dimurkai Pencipta-Nya.

Berkenaan adanya manusia yang hidup terasing seperti Orang Asli, adalah menjadi kewajipan bagi masyarakat Islam untuk menyampaikan dakwah Islam kepada mereka.

Mereka juga seperti manusia lain dicipta Allah secara sempurna. Dengan usaha yang gigih, mereka akan dapat memahami cara hidup beragama yang sebenar.

Agama Islam sesuai dengan fitrah semula jadi manusia. Dalam dunia global sekarang, Islam tidaklah asing kepada semua masyarakat manusia.

Seterusnya mengenai pembahagian manusia kepada orang Islam dan bukan Islam atau lebih tepat lagi orang beriman dan tidak beriman, semuanya diasaskan kepada kebebasan manusia memilih cara hidup.

Islam tidak memaksa manusia menganut ajaran Islam. Ajaran Islam diasaskan atas dasar penyerahan diri secara sukarela kepada Allah Tuhan Pencipta segala makhluk.

Perkara ini jelas apabila al-Quran menegaskan, maksudnya: "Dan katakanlah (wahai Muhammad): "Kebenaran itu telah datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya. Kerana kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah." (al-Quran, al-Kahfi (18): 28)

Mengenai rahmat Allah hanya kepada orang Islam, itu tidak sepenuhnya benar. Terdapat dua kategori rahmat, iaitu rahmat umum dan rahmat khusus.

Rahmat umum dirasakan kepada seluruh alam dan makhluk kerana semuanya dijadikan Allah itu Tuhan sekalian alam dan segala makhluk. Cuba perhatikan keadaan sekeliling, diri sendiri, betapa nikmat dan rahmat yang manusia dapat.

Udara, alam sekeliling, anggota tubuh dan sebagainya semua adalah rahmat dan rahmat Allah.

Bagaimanapun, rahmat khusus hanya dapat kepada orang yang beriman terutama di akhirat nanti. Ini kerana mereka benar-benar beriman dan melaksanakan segala perintah Allah secara sukarela dan penuh ketaatan.

Adalah adil sekiranya Allah memberi, mengekalkan dan menambah lagi rahmat dan nikmat di akhirat nanti. Antaranya nikmat syurga dan melihat Allah.

Ini sesuai dengan nama dan sifat Allah, ar-Rahman dan ar-Rahim sebagaimana dalam basmalah, iaitu "Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihi."

Islam datang membawa rahmat kepada seluruh alam. Risalah Nabi Muhammad s.a.w kepada penduduk dunia seluruhnya sebagai rahmat dan nikmat yang besar. Ini jelas apabila Allah berfirman, maksudnya:

"Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadikan rahmat bagi sekalian alam." (al-Quran, al-Anbiya'(21): 107)

Dengan menerima ajaran Islam yang disampaikan Nabi Muhammad, manusia akan selamat di dunia dan akhirat. Sesiapa yang kufur dan ingkar mendapat 'kecelakaan' di dunia dan akhirat.

Pembahagian manusia berdasarkan jantina lelaki dan perempuan, malah lahir pelbagai bangsa dan suku puak, semuanya ada hikmah tertentu.

Ia terutama bagi umat manusia menjalin hubungan yang sihat antara satu sama lain, seperti kenal mengenali dan bantu membantu.

Allah berfirman, maksudnya: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah mencipta kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya." (al-Quran, al-Hujurat (49): 11)

Sememangnya Allah berkuasa menjadikan mereka umat yang satu. Allah berfirman, maksudnya: "...Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu..." (al-Quran, al-Maidah (5): 48)

Malah Islam melihat semua manusia berasal daripada keturunan yang satu iaitu Adam dan Hawa. Allah berfirman, maksudnya: "Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa), dan membiakkan daripada keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai." (al-Quran, al-Nisa'(4): 1)

Sebelum lahir ke dunia, manusia mengakui Tuhan yang Esa seperti firman Allah, maksudnya: "Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya): "Bukankah Aku Tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi..." (al-Quran, al-A'raf (7):172)