.

18 Jun 2009

BACAAN QUNUT DALAM SOLAT SUBUH

SOALAN:
SAYA keliru tentang pelaksanaan bacaan qunut pada solat subuh. Sebabnya di Mekah, imam tidak membaca qunut semasa solat subuh. Jadi, apa hukumnya membaca doa qunut dan bagaimana jika imam tidak membacanya?

JAWAPAN

Perintah solat telah diwajibkan oleh Allah SWT secara umum ke atas seluruh umat Islam melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 83 yang bermaksud, Dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat.

Segala perincian tuntutan kewajipan solat ini telah diwartakan oleh baginda SAW melalui hadis (untaian sabda baginda mencakupi perkataan, perbuatan dan pengakuan baginda). Perlakuan sifat solat baginda di terjemah dan disampaikan kepada umat Islam melalui lidah-lidah para sahabat r.a dan begitulah seterusnya sehingga era tabien dan sesudah mereka.

Para perawi yang meriwayatkan suatu hadis berkenaan sifat solat baginda juga berbeza dari tingkat periwayatan perawinya dan hadis berkenaan sifat solat baginda turut berbeza dari aspek kehujahannya sama ada sahih, hasan dan daif.

Justeru bukanlah suatu yang mustahil berlaku perbezaan dalam hal yang melibatkan perlakuan dalam ibadah solat. Apa yang paling penting perbezaan yang berlaku masih tidak menafikan rukun-rukun utama dalam solat.

Dalam persoalan seperti yang dikemukakan di atas jika diukur dengan neraca mazhab Syafie sememangnya kita akan melihat perbezaan keempat-empat imam mazhab mempunyai pandangan yang tidak sama dalam persoalan-persoalan fiqh.

Islam adalah agama yang unik dan sesuai dengan fitrah manusia. Tidak ada sebarang percanggahan dalam Islam yang melibatkan persoalan utama (usul). Perbezaan pendapat kalangan mereka adalah dalam permasalahan -permasalahan cabang (furu’) dan bukan dalam persoalan persoalan utama (usul).

Hal ini disebabkan perbezaan cara pemahaman sesuatu nas sama ada nas itu di ambil dari al-Quran atau hadis Rasulullah SAW atau pernyataan para sahabat. Maka pandangan yang berbeza ini dinamakan khilaf ulama dalam persoalan-persoalan furu’ dalam fiqh. Ia merupakan bukti kehebatan dan kepakaran mereka dalam menghasilkan hukum hakam berkaitan fiqh ibadah.

Wujudnya perbezaan pendapat dalam permasalahan fiqh ini memberikan peluang dan membantu kaum muslimin untuk merealisasikan sabda baginda SAW yang bermaksud, “Solatlah kalian sebagaimana kalian melihat-Ku solat”.

Maksud perkataan ‘melihat-Ku’ dapat diketahui dengan merujuk kepada hadis baginda seperti yang diriwayatkan oleh para sahabat sewaktu mereka hidup bersama baginda dan melalui pendapat dan huraian para ulama mengenainya.

Para sahabat dan ulama terdahulu telah mencapai kematangan dalam memahami Islam, memperkenal dan memperkukuhkan ajaran Islam, sentiasa meningkatkan kefahaman mereka berkenaan persoalan fiqh dan ilmu-ilmu lain dalam Islam. Ia demi kepentingan ummah sehingga berjaya menghasilkan tamadun yang cukup dinamik dan dibanggakan oleh umat islam seluruhnya.

Wajib bagi umat Islam untuk mengambil dan mengikuti dalil-dalil yang sahih dari sifat solat baginda SAW dan tidak fanatik dan obses kepada mazhab tertentu.

Rasulullah SAW juga memberi alternatif kepada umatnya ketika mereka berselisih pendapat dalam permasalahan agama. Sabda baginda seperti yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Imam al-Tirmidzi, (hadis hasan sahih) yang bermaksud:

“Sesungguhnya, sesiapa di antara kamu yang masih hidup akan melihat perselisihan yang banyak, maka menjadi kewajipan kalian berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah al-Khulafa al-Raasyidin yang diberi petunjuk, gigit (peganglah) sunnah itu dengan gigi geraham kamu dan jauhilah segala perkara baru (dalam urusan agama) kerana setiap bidaah itu adalah kesesatan”.

Persoalan doa qunut subuh adalah satu perkara khilafiah yang telah lama diperbincangkan. Sebagai muslim kita mestilah mengetahui, meraikan dan menghormati mazhab yang dipegang dan diamalkan oleh majoriti umat Islam di suatu tempat atau negara dalam perkara agama seperti yang diputuskan oleh mufti dan majlis agama.

Di negara kita Malaysia yang mengamalkan mazhab Syafie, membaca qunut dalam setiap solat subuh hukumnya sunat. Jika tertinggal maka perlu melakukan sujud sahwi. Namun begitu Imam Syafie tidak menegaskan bahawa apa yang dikatakannya menjadi satu amalan dan tuntutan yang wajib ke atas pengikutnya dan mestilah mengabaikan mazhab-mazhab selainnya.

Suatu ketika sewaktu imam Syafie pergi ke kawasan Imam Hanafi dan menjadi imam, imam Syafie tidak membaca doa qunut. Apabila ditanya mengapa, imam Syafie lantas menjawab beliau menghormati tuan tempat ini (Imam Hanafi).

Imam Syafie turut berkata apabila sahih hadis itu maka ia adalah mazhabku dan sekiranya hadis sahih berlaku khilaf dengan kata-kataku, maka hadis Rasulullah lebih utama dari kata-kataku.

Kesimpulannya persoalan qunut ini merupakan persoalan cabang dan tidak perlu diperbesar dan dimusykilkan. Ia hanya akan mengakibatkan keresahan dan kesukaran kepada saudara Islam yang baru untuk lebih mengenali ajaran Islam sehingga menganggap agama Islam itu sebagai sebuah agama yang menyusahkan.

Pertikaian dalam perkara furu’ akan mengakibatkan muncul pengikut yang fanatik mazhab secara membabi buta tanpa menghalusi dan memahami kehendak dan perintah Allah SWT serta baginda SAW.

Jika seorang makmum mengikuti solat imam yang membaca qunut di waktu solat fajar atau solat witir maka dia hendaklah qunut bersama imam. Jika imam tidak melakukan qunut maka hendaklah makmum tidak melakukannya bersama imam, walaupun jika imam memandang bahawa qunut itu adalah sunnah dan makmun berpendapat sebaliknya lalu dia meninggalkan pandangannya demi perpaduan.

Pergerakan dan perlakuan anggota sewaktu solat juga merupakan perkara cabang dalam permasalahan fiqh. Makmum hendaklah mengikut perlakuan imam yang mengimami suatu solat tanpa berlaku sebarang perbezaan antara mereka.

Dalam hal ini baginda Rasulullah SAW bersabda melalui hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a yang bermaksud: Seseorang imam itu dijadikan supaya diikuti. Justeru janganlah kamu melakukan perkara-perkara yang berbeza dengannya. Apabila dia rukuk, maka rukuklah. Apabila dia membaca sami’ Allahu liman hamidah maka katalah rabbana laka al-hamd. Apabila dia sujud, maka sujudlah. Dan apabila dia solat duduk maka bersolat duduklah kamu semua (dalam jemaah). Dan luruskanlah barisan saf dalam solat (jemaah) kerana sesungguhnya saf yang lurus adalah tanda kesempurnaan solat (berjemaah). (riwayat al-Bukhari).

Sebagai seorang muslim kita perlu kembali kepada ajaran al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW dan jauhkan dari sifat ingin memenangkan diri.

Firman Allah yang bermaksud, Jika kamu semua berselisih dalam sesuatu perkara maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul. (an-Nisa’: 59).

Selain itu tidak mencela pandangan atau ijtihad ulama lain dalam permasalahan ijtihaadiyyah. Kita dilarang menghina atau merendahkan pandangan mana-mana pinak selagi ia masih berada dalam lingkungan permasalahan yang boleh diperselisihkan oleh syarak iaitu perkara-perkara cabang atau yang tidak muktamad.

Seorang muslim perlu menghormati pandangan ulama yang berbeza pandangan dengannya dalam masalah cabang dan mengambil pandangan yang kuat dan menjauhi sifat taksub (fanatik).

Setiap manusia kadangkala boleh diterima dan boleh ditinggalkan kata-katanya melainkan Nabi Muhammad, kerana hanya baginda yang maksum dan terhindar dari kesilapan.

Sebagai penutup memetik ungkapan Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya al-Sahwatul Islamiah berkata, “Para pendakwah dan pengamal Islam mestilah menjadikan matlamat mereka kepada kesatuan, keserasian, mengumpulkan hati-hati mereka dan merapatkan barisan mereka. Mereka mesti menjauhkan diri dari perbezaan dan perpecahan serta semua perkara yang memecah-belahkan jemaah dan merosakkan kesatuan yang terdiri dari permusuhan yang zahir mahupun kebencian yang batin.

“Juga semua perkara yang membawa kepada kerosakan hubungan sesama sendiri yang hanya akan melemahkan umat. Tiada yang setaraf dengan agama Islam dalam mengajak kepada persaudaraan.

” Persaudaraan ini nampak jelas dengan kesatuan, keserasian dan saling tolong-menolong. Agama Islam juga unggul dalam melarang daripada perpecahan, perselisihan dan permusuhan. Semuanya termaktub dalam al-Quran dan al-Sunnah”.

17 Jun 2009

JANGAN BERMAIN DENGAN LAFAZ TALAK

Bicara Agama, Utusan Malaysia

Soalan

BARU-baru ini saya ada berselisihan faham dengan suami yang disebabkan kerana tiada kepercayaan dalam hubungan. Dalam pergaduhan tersebut saya telah mendesak suami menceraikan saya dan disebabkan desakan saya bertalu-talu (sebanyak empat kali) suami saya telah mengeluarkan perkataan berbunyi, “Abang ceraikan.” Itulah yang saya dengar pada ketika itu.

Pada keesokan harinya bila keadaan kembali tenang saya telah bertanya akan status hubungan perkahwinan kami pada suami, akan tetapi dia menyatakan tidak bermaksud menceraikan saya dan hanya akan menceraikan saya jika saya benar-benar mahukannya.

Saya keliru dan tidak pasti sama ada perkahwinan kami sah atau tidak. Mohon tuan beri penjelasan mengenai status perkahwinan kami ini?


Jawapan

Dalam situasi yang dinyatakan, tidak jatuh talak kerana si suami tidak berniat untuk menceraikan isterinya. Oleh yang demikian, dalam hal talak, janganlah dipermain- mainkan atau mudah diucapkan oleh setiap pasangan kerana implikasinya amat berat bagi hubungan suami isteri.

Oleh itu, setiap pasangan suami isteri, hendaklah bersabar dan amalkanlah bermusyawarah jika timbul sesuatu masalah dalam rumah tangga.

Untuk makluman anda, Islam mengajar etika dan menjatuhkan talak.

Oleh itu, untuk mengawal penyalahgunaan lafaz talak serta agar mengikut etika, maka mengikut peruntukan undang-undang, suami hendaklah menjatuhkan talak di dalam mahkamah.

Jika talak dijatuhkan di luar mahkamah, suami berkenaan akan dikenakan denda yang akan ditentukan oleh pihak mahkamah.

MAKSUD 'IDDAH

Ad-Din, Harian Metro

SOALAN

Apakah yang dimaksudkan dengan 'iddah?


JAWAPAN

PERSOALAN mengenai idah jarang diperkatakan dengan anggapan ramai tahu mengenainya, tetapi yang nyata masih ada kurang faham sehingga keadaan menjadi keliru.

Menurut kitab fiqah, idah ialah waktu menunggu diwajibkan ke atas wanita yang diceraikan, sama ada cerai hidup atau cerai mati, bagi mengetahui sama ada empunya diri hamil atau tidak.

Bagi wanita hamil, idahnya sehingga lahir anak dikandungnya itu, baik cerai mati atau cerai hidup.

"Dan perempuan mengandung, tempoh idahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya." (Surah at-Talaq: 4)

Wanita tidak hamil, ada ketikanya bercerai mati dan bercerai hidup.

Bagi yang bercerai mati, idahnya empat bulan sepuluh hari.

"Dan orang yang meninggal dunia antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri, hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari." (Surah al-Baqarah: 234)

Jika diperhatikan, ayat 4 surah at-Talaq umum membabitkan cerai hidup dan cerai mati apabila hamil idahnya sehingga lahir anak dan ayat 234 surah al-Baqarah juga umum membabitkan wanita hamil dan tidak apabila bercerai mati idahnya empat bulan sepuluh hari.

Di sini wujud sedikit perselisihan faham mengenai wanita bercerai mati sedangkan dirinya hamil, manakala anaknya lahir sebelum cukup empat bulan sepuluh hari dari tarikh suaminya meninggal.

Apakah idahnya tamat dengan melahirkan anak walaupun belum cukup tempoh empat bulan sepuluh hari dari tarikh suaminya meninggal kerana berdasarkan umumnya ayat pertama di atas?

Haruskah idahnya dicukupkan juga empat bulan sepuluh hari kerana berdasarkan ayat yang kedua?

Menurut jumhur ulama salaf (terdahulu), idahnya ialah lahir anaknya walaupun belum cukup empat bulan sepuluh hari.

Tetapi menurut pendapat lain yang diriwayatkan daripada Ali, idahnya mesti mengambil yang lebih panjang. Walaupun anaknya lahir lebih awal, idahnya harus menunggu sehingga empat bulan sepuluh hari.

Menurut pendapat itu, jika sampai tempoh empat bulan sepuluh hari, tetapi anak yang dikandungnya belum lahir, idahnya harus menunggu sehingga bersalin.

Selain itu, ada perbezaan pendapat mengenai idah wanita hamil.

Imam Syafie berpendapat idah wanita terbabit dengan lahirnya anak dikandung apabila anak itu dari suami yang menceraikannya.

Tetapi jika anak bukan dari suami yang menceraikannya, wanita terbabit tidak beridah dengan kelahiran anak.

Pendapat Abu Hanifah, perempuan itu harus beridah dengan lahir anaknya, baik anak itu anak daripada suami yang menceraikannya atau bukan, walau anak zina sekalipun.

Idah bagi wanita bercerai hidup dengan suaminya ialah tiga kali suci sekiranya dia mempunyai haid.

"Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid)." (Surah al-Baqarah: 228)

Mengira tiga kali suci itu tidak dicampuri suaminya, dengan suci sewaktu perceraian dikira satu kali suci.

Tetapi jika dalam suci waktu perceraian itu dicampuri, dikira tiga kali suci mulai suci dari haid pertama selepas perceraian.

Demikian juga perceraian yang berlaku ketika haid, dikira tiga kali suci dari suci selepas haid yang berlaku sewaktu perceraian.

Keadaan terbabit sekali gus menyebabkan idah bagi seseorang wanita lebih panjang.

Oleh kerana itu, adalah dilarang suami menceraikan isteri dalam keadaan haid dan suci yang sudah dicampuri.

Isteri yang diceraikan suaminya sebelum dicampuri tiada idah (tidak perlu beridah).

"Kemudian kamu talak mereka itu sebelum kamu campuri, maka tidaklah mereka beridah." (Surah al-Ahzab: 49)

Tetapi bagi wanita yang tiada haid, idahnya tiga bulan. "Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid, jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh iddah mereka) maka idahnya ialah tiga bulan..." (Surah at-Talaq: 4)

Perempuan yang tiada haid ada tiga golongan; iaitu yang masih kecil (belum sampai umur), sudah sampai umur, tetapi belum pernah haid dan orang tua yang sudah keputusan haid.

Wanita beridah tidaklah boleh dibiarkan begitu saja, malah mereka masih mempunyai hak daripada bekas suaminya, seperti tempat tinggal (rumah), pakaian dan segala perbelanjaan.

Mereka ialah wanita yang taat dalam idah rajiyah (boleh dirujuk), kecuali isteri derhaka, tidak berhak menerima apa-apa.

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Dari Fatimah binti Qais, berkata Rasulullah s.a.w kepadanya: 'Perempuan yang berhak mengambil nafkah dan rumah kediaman daripada bekas suaminya itu apabila bekas suaminya itu berhak rujuk kepadanya.'" (Hadis riwayat Ahmad dan Nasai)

Wanita dalam idah bain (tidak boleh dirujuk) jika hamil juga berhak mendapatkan kediaman, nafkah dan pakaian.

"Jika mereka (janda yang dicerai) mengandung, maka beri nafkahlah olehmu sampai lahir kandungannya." (Surah at-Talaq: 6)

Sementara wanita yang dicerai secara bain, tetapi tidak hamil, sama ada bain dengan tebus talak mahupun dengan talak tiga, mereka hanya berhak mendapatkan tempat tinggal.

"Tinggalkanlah mereka di tempat kediaman yang sepadan dengan keadaan kamu." (Surah at-Talaq: 6)

Bagaimanapun, sesetengah ulama berpendapat, wanita dicerai secara talak bain yang tidak hamil tidaklah berhak mendapatkan nafkah dan tempat tinggal.

Dari Fatimah binti Qais dari Nabi s.a.w mengenai perempuan yang ditalak tiga, kata Rasulullah, dia tidak berhak tempat tinggal dan tidak pula nafkah. (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)

Adapun firman Allah dalam surah at-Talaq ayat 6, kata mereka hanya terhadap wanita dalam idah rajiyah.

Bagi wanita yang beridah disebabkan kematian suami, mereka tidak mempunyai hak sama sekali walaupun hamil kerana diri dan anak yang dikandungnya sudah mendapat hak pusaka daripada suaminya yang meninggal.

"Janda hamil yang kematian suaminya tidak berhak mengambil nafkah." (Riwayat Daruqutni)

09 Jun 2009

SERING BERMIMPI YANG MENAKUTKAN

Harian Metro

SOALAN

Saya kerap bermimpi yang menakutkan. Apakah yang perlu saya lakukan apabila terjaga dari tidur?

JAWAPAN

MIMPI dialami semua orang. Bezanya ada yang mengalami mimpi baik dan buruk. Mimpi buruk kadangkala menghantui hidup seseorang, lebih-lebih lagi ia menggambarkan keadaan yang mengerikan dan menakutkan.

Justeru, bagi seseorang yang bermimpi buruk, hendaklah bertindak seperti berikut:

  • Meludah ke kirinya tiga kali.

  • Meminta pertolongan kepada Allah daripada godaan syaitan dan mimpinya yang dahsyat, tiga kali.

  • Membalikkan tubuh (mengubah kedudukan).

  • Tidak menceritakan mimpi itu kepada orang lain.

  • Mengambil wuduk dan bersolat, sekiranya mahu.

    Berhubung dengan mimpi, Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: "Mimpi yang baik adalah daripada Allah, sedang mimpi (buruk) adalah daripada syaitan. Apabila seseorang antara kamu bermimpi yang disenangi, janganlah dibicarakan kecuali kepada orang yang mendengarnya." (Hadis Riwayat Muslim)
  • HUKUM BERSIWAK


    Petikan daripada: Harian Metro

    SOALAN

    Apakah hukum bersiwak?

    JAWAPAN

    ISLAM memberikan sanjungan tinggi terhadap kebersihan, malah diangkat di kedudukan istimewa sehingga Nabi Muhammad s.a.w pernah menegaskan sebagai sebahagian daripada iman.

    Kebersihan dilihat melalui ibadat rutin harian seorang muslim yang bertitik tolak daripada amalan menyucikan diri melalui wuduk, kebersihan pakaian dan tempat ibadat.

    Nabi s.a.w menunjukkan isyarat penjagaan kebersihan merangkumi semua bidang, bermula dari tubuh badan baik rohani atau jasmani, sehingga pakaian, kediaman dan persekitaran, harus dipastikan bersih.


    Anggota luaran lebih-lebih lagi perlu diberikan perhatian dan dandanan kerana ia membentuk personaliti diri seseorang selain mengelak penyakit.

    Saidatina Aishah r.a berkata yang bermaksud: "Sepuluh perkara dikira sebagai fitrah (sunnah); memotong misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke hidung, memotong kuku, membasuh sendi-sendi, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, bersuci dengan air (beristinja)." (Hadis riwayat Muslim)

    Antara yang diberikan penekanan ialah kebersihan mulut dan gigi, kerana Rasulullah s.a.w ada menyatakan dalam sabda bermaksud: "Jika tidak menyusahkan ke atas umatku, aku ingin menyuruh mereka melambatkan solat Isyak dan bersugi (menggosok) gigi setiap kali mereka hendak melakukan solat." (Hadis riwayat Muslim)

    Membersihkan mulut dan gigi atau bersugi, dalam bahasa Arabnya disebut siwak, sangatlah dianjurkan Islam, bahkan baginda menyatakan: "Bersiwak itu menyucikan mulut, diredai Tuhan dan dibenci syaitan."

    Siwak merujuk kepada dua pengertian iaitu perbuatan menggosok gigi dan membersihkan mulut serta alat atau kayu yang digunakan untuk menggosok gigi, dipanggil kayu siwak.

    Nabi s.a.w sendiri dilaporkan membersihkan gigi, paling kurang dua kali sehari. Imam Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin Omar: "Nabi bersiwak (menggosok gigi) pada permulaan siang dan akhirnya."

    Namun, kebiasaannya Nabi s.a.w menggosok gigi berulang kali setiap hari. Sehubungan dengan ini, Amir bin Rabiah melaporkan: "Aku melihat nabi menggosok gigi (berulang-ulang kali) sehingga aku tidak mampu menghitung jumlahnya ketika baginda berpuasa." (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi).

    Ulama terkenal Arab Saudi, Syeikh M S Al-Munajjid, berkata Imam Nawawi dilaporkan ada menyatakan ulama bersependapat penggunaan siwak adalah satu sunnah.

    Menurutnya, satu lagi daripada bukti yang menunjukkan pentingnya amalan itu apabila sesetengah ulama salaf (silam) seperti Ishaq ibn Rahawayh, berpendapat ia kewajipan.

    Siwak menurut kesepakatan ulama yang paling baik dengan ranting pokok arak, kerana baunya harum, malah seratnya sangat berkesan membersihkan sisa makanan di celah gigi.

    Jika ranting pokok arak tidak diperoleh, tangkai daun pokok palma atau ranting pokok zaitun boleh digunakan.

    Jika bahan itu tidak diperoleh, mana-mana bentuk kayu yang baik untuk membersihkan dan tidak mencederakan gigi boleh digunakan untuk membersihkan mulut.

    Ini termasuklah penggunaan berus gigi moden.

    Pembersihan gigi dan mulut menggunakan kayu atau ranting dari pohon arak (salvadora persica) berlaku sejak berkurun yang lalu, kerana ia kaya dengan serat dan khasiat bagi kesihatan mulut dan gigi.

    Justeru itu, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dilaporkan mempromosikannya bagi kegunaan pembersihan mulut.

    Kajian mendapati kayu sugi daripada pohon arak mempunyai kelebihan secara semula jadi. Penyelidikan Dr Otaybi dari Arab Saudi membuka era baru terhadap kajian kayu terbabit, apabila menemui kesan sangat positif terhadap sistem kekebalan badan.

    Malah, penyelidik lain mendapati ia mempunyai kesan baik bagi kesihatan terutama dalam proses antiketagihan perokok, sama ada untuk tujuan penyembuhan atau pencegahan, selain bahan antiseptik, astringen, pencuci dan dan fluorida (bahan penghalang kerosakan dan kereputan gigi).

    Amalan membersihkan mulut dan gigi menurut ulama sangat dituntut. Waktu melakukan siwak, iaitu:

    i. Ketika mahu berwuduk dan mengerjakan solat.

    ii. Apabila memasuki rumah dan bersama keluarga. Aishah ketika ditanya tindakan pertama dilakukan Nabi s.a.w apabila tiba di rumah, beliau berkata: "Apabila baginda memasuki rumah, perkara pertama yang baginda lakukan ialah siwak." (Hadis riwayat Muslim)

    iii. Apabila bangun dari tidur. Huzaifah ibn Al-Yaman r.a menyatakan apabila Nabi s.a.w bangun pada waktu malam, baginda membersihkan mulut dengan siwak secara sempurna. (Hadis riwayat Al-Bukhari)

    iv. Apabila bau mulut seseorang berubah, sama ada disebabkan makan makanan yang berbau atau tidak makan dan minum dalam tempoh yang lama.

    v. Ketika ke masjid. Penggunaan siwak sebahagian daripada dandanan yang sangat digalakkan bagi muslim pada setiap kali mendirikan solat. Ini sesuai dengan firman Allah dalam ayat 31, dari surah Al-A'raf, maksudnya: "Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (sembahyang)."

    vi. Apabila membaca al-Quran dan mengikuti majlis tertentu khususnya majlis mengingati Allah.

    Ulama bersependapat tiada salahnya menggunakan siwak pada siang hari apabila seseorang itu berpuasa, cuma mereka berbeza pada waktu tengah hari, dengan sesetengahnya mengatakan makruh.

    Di kalangan ulama juga ada perbezaan pendapat mengenai penggunaan tangan untuk bersiwak. Satu pendapat, iaitu majoriti ulama berpendapat lebih baik melakukannya dengan tangan kanan.

    Ini sesuai dengan hadis Aisyah r.a yang menyatakan: "Nabi s.a.w gemar memulakan dengan yang kanan apabila memakai kasut, turun (dari untanya), apabila membersihkan diri dan dalam semua perkara."

    Mereka juga menyatakan siwak adalah satu perkara daripada ibadat yang mendekatkan seseorang terhadap Allah, jadi tidak sepatutnya dilakukan dengan tangan kiri.

    Ulama lain berpendapat ia baik dilakukan dengan tangan kiri. Pendapat ini dikatakan daripada mazhab Imam Ahmad dan pandangan ini disokong Syeikh Al-Islam Ibn Taimiyah.

    Sesetengah ulama berpendapat, apabila seseorang menggunakan siwak dengan niat mengikuti sunnah, dia sepatutnya melakukan dengan tangan kanan dan jika untuk menghilangkan kekotoran, sepatutnya dengan tangan kiri.

    Berdasarkan isyarat daripada al-Quran dan penegasan Nabi s.a.w, ditambah dengan perbincangan ulama dan kajian pakar perubatan jelas menunjukkan persoalan ini bukan lagi sesuatu yang boleh dipandang ringan.