.

02 Julai 2009

AMALAN KETIKA HAMIL


Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

SOALAN

APABILA seorang wanita mengandung, dia disarankan untuk kerap membaca al-Quran dan banyakkan berdoa supaya anak dalam kandungannya menjadi anak yang soleh. Malah, wanita juga dituntut untuk bercakap dengan perkataan yang elok. Saya ingin tahu apa hukumnya jika si ibu (ibu wanita yang hamil) sering menggunakan perkataan kasar, kesat dan mencaci untuk melepaskan geram kepada anak? Adakah ia akan memberi kesan kepada bayi yang bakal dilahirkan?

IBU INGIN TAHU

Kuala Lumpur


JAWAPAN
Pembawaan seorang ibu yang hamil sangat besar pada perkembangan janin yang berada dalam rahim. Oleh itu, ibu hamil dituntut menjaga akhlak kerana kesannya sangat besar pada anak itu nanti. Kesabaran yang tinggi perlu ada padanya demi kesejahteraan akhlak bayinya jua.

Jika dia suka memaki hamun dikhuatiri anak yang dilahirkan nanti juga mempunyai akhlak yang sama. Jika ibu mahu anaknya lahir sebagai anak yang baik akhlaknya maka dia wajar terlebih dulu mendidik akhlaknya.

ANAK ANGKAT RAGUI STATUS NIKAH


Datuk' Dr. Mashitah Ibrahim

SEBENARNYA saya keliru status diri. Saya diambil menjadi anak angkat sejak umur lima hari. Segala asal usul antara keluarga kandung dan keluarga angkat saya tahu kerana antaranya mempunyai pertalian darah bukan orang lain dalam satu keluarga juga.

Sejak dilahirkan saya telah dibintikan dengan bapa angkat walaupun tahu ayah kandung tapi saya tetap menggunakan nama bapa angkat. Masalah timbul bila saya ingin berkahwin pada tahun lalu segala borang kahwin diisi mengikut kad pengenalan diri saya iaitu nama keluarga angkat.

Imam nikah sudah diberitahu bahawa saya ini anak angkat. Wali saya adalah ayah kandung saya sendiri, cuma ketika imam melafazkan akad nikah, imam telah menggunakan nama bapa angkat saya.


Adakah sah pernikahan saya memandang seluruh ahli keluarga tahu kedudukan saya memandangkan ibu angkat saya terkejut bila imam melafazkan akad dengan nama bapa angkat. Tetapi seluruh saksi nikah mengatakan sah. Apakah status saya dan suami jika pernikahan itu tidak sah. Adakah saya menanggung selama hayat saya? Kini saya mengandung lima bulan. Apa pulak status anak saya?


RAI,
Kuala Lumpur




Syarat sah nikah antaranya ialah bakal suami, bakal isteri, saksi, wali dan akad. Jika sengaja menggunakan nama lain dengan tujuan penipuan maka tidak sah.

Ini kerana menggunakan nama lain ketika akad nikah kerana ditakuti berlakunya penipuan, penyamaran dan penganiayaan atas sebab-sebab tertentu.

Bagaimanapun, jika seluruh ahli keluarga dan saksi memperakui sah atas alasan nama itu digunakan kerana ia tertera dalam kad pengenalan dan orang yang dimaksudkan memang jelas dan tiada unsur penipuan maka sahlah perkahwinan berkenaan.

Elok diingatkan pada bakal pengantin yang lain terutama kepada yang menjadi anak angkat lebih berhati-hati supaya tidak timbul keraguan seumpama ini di masa hadapan.