.

22 Disember 2009

IMAM TERBATAL SOLAT

Sumber: Utusan Malaysia, Agama

SOALAN

Ketika solat berjemaah juga, imam telah terbatal solatnya akibat dari satu di antara perkara yang membatalkan solat berlaku ke atas dirinya.

Siapakah yang afdal di antara para jemaah mengambil alih tugas si imam itu untuk meneruskan solat tersebut dan bagaimanakah cara?


JAWAPAN

Sama ada menjadi makmum mahupun menjadi imam mestilah berilmu. Setiap ibadat yang difardukan dalam Islam sebelum dilaksanakan hendaklah dipelajari, rukun dan syaratnya supaya ibadat itu diterima Allah SWT.

Apabila imam terbatal solatnya lalu imam harus meninggalkan tempat solatnya dengan menyebut subhanallah. Ini secara tidak langsungnya memaklumkan kepada makmum bahawa solatnya sudah terbatal.

Jadi orang yang selayaknya menggantikan imam ialah imam-imam yang lain yang biasanya berada betul-betul di belakang imam. Jika imam-imam lain tiada di belakang imam, maka orang yang berada di belakang imam hendaklah ke hadapan menggantikan imam yang terbatal solatnya.

Makmum yang akan menggantikan imam itu hendaklah bergerak perlahan ke hadapan dan meneruskan rakaat dan memimpin solat hingga ke penghujungnya.

Untuk itu makmum yang berada di belakang imam mesti bersedia untuk mengambil tempat imam sekiranya sesuatu berlaku ke atas imam.

Oleh itu, sebelum solat di saf belakang imam, pastikan ilmu fiqh solat difahami terlebih dahulu.

TIDAK BATAL SOLAT, MAKMUM TEGUR IMAM

Sumber: Utusan Malaysia, Agama

SOALAN

KETIKA sembahyang berjemaah, imam selepas bacaan fatihah membaca satu surah yang agak panjang. Semasa membaca surah tersebut ada ketikanya bacaannya terhenti-henti atau tersangkut-sangkut kerana sesekali terlupa akan bacaannya.

Beberapa orang makmum di belakang imam cuba menyebut atau membaca beberapa patah ayat tersebut dengan harapan si imam dapat mengingati dan terus menyambung semula bacaan surah tersebut.

Pertanyaan saya, apakah hukum perbuatan makmum itu dan adakah ia membatalkan solat si makmum tersebut ataupun tidak?


JAWAPAN

Perbuatan makmum yang mengingatkan imam dengan ayat yang dilupainya dalam tidak membatalkan solat berjemaah. Ini kerana adalah tanggungjawab makmum mengingatkan imam dengan ayat yang tertinggal atau terlupa.

Namun jika keadaan berterusan akan menjadi makruh kerana mengganggu makmum yang lain. Adalah sangat dituntut ke atas imam untuk membaca surah yang lancar sahaja.

Tidak salah kalau membaca surah panjang tapi harus dipastikan bahawa dia (imam) benar-benar lancar supaya perjalanan solat lebih bermakna dan mencapai objektifnya.

Berdasarkan kepada pengalaman saudara, dapat saya faham bahawa makmum juga menghafal surah yang sama. Makmum lagi lancar daripada imam, ini akan menjadikan makmum hilang hormat terhadap imam.

Setiap imam yang bertugas hendaklah berusaha memastikan makmum dapat mencapai tahap khusyuk yang maksimum.

Jika imam asyik lupa ayat dan makmum sibuk membetulkan bacaan akan mencacatkan solat secara keseluruhannya.

Sebagai seorang imam tugas dia bukan sekadar menjadi imam solat tetapi bertanggungjawab memastikan para jemaah mahu datang lagi dan dapat merasakan solat di belakang imam tersebut terasa seronok dan khusyuk.

Oleh itu para imam hendaklah membaca surah yang benar-benar kemas hafalannya dan bukan menjadikan solat fardu berjemaah sebagai ulang kaji hafalan.

Biar surah yang dihafal hanya pendek, tetapi dia lancar dan mampu membacanya dengan baik. Para makmum dalam menegur biarlah seorang sahaja, yang lain hanya diam.

Dalam persoalan menegur imam dalam solat siapa yang paling layak menegur? Adakah semua dalam masjid atau surau boleh menegur imam serentak?

Inilah yang kita seringkali dapati, apabila imam terlupa mana-mana ayat al-Quran habis satu masjid menegurnya, kadang-kadang yang berada di saf yang hujung pun nak tegur juga. Sedangkan orang yang paling berhak ke atas imam ialah orang yang betul-betul berada di belakang imam, orang yang di sebelah kanan dan yang sebelah kiri.

Sekiranya yang berhampir dengan imam yang berada di belakang imam tidak hafal maka barulah makmum yang berada di saf-saf yang di belakang boleh menegur.

Dan jangan tergopoh-gopoh nak tegur imam, seeloknya diberi beberapa saat untuk imam ingat kembali. Sekiranya telah pasti imam tidak ingat barulah makmum tolong.

Sebab itulah para fuqaha (ahli fiqh) mengafdalkan yang berada benar-benar di belakang imam hendaklah mereka yang sama hebat atau lebih hebat daripada imam.

Ini bermaksud tidak semua boleh solat belakang imam, hanya orang yang memahami persoalan-persoalan fiqh solat sahaja yang seharusnya berada dibelakang imam.

SYARAT JADI WALI

Datuk Dr Mashitah Ibrahim

SOALAN
SAYA akan mendirikan rumah tangga bersama pilihan hati saya pada hujung tahun ini.

Apa yang membingungkan saya adalah mengenai wali. Untuk pengetahuan Datuk, ibu dan ayah saya sudah lama bercerai.

Saya sendiri tidak pernah merasai kasih sayang seorang ayah dan saya tidak tahu macam mana perasaannya ada seorang ayah.

Saya ada mendengar ceramah apabila seorang ayah yang tidak pernah memberi nafkah kepada anak, mereka tidak layak untuk mewalikan anak. Adakah ia benar?

Ketika kakak saya hendak bernikah dulu, kami terpaksa merayu ayah untuk datang menikahkan kakak.

Dia bukan saja tidak memberi nafkah, nama kami adik beradik pun dia tidak tahu.

Malah, siapa kakak dan adik pun dia tidak tahu hinggakan ketika hendak menikahkan kakak dulu pun saksi (pak cik sebelah ibu) terpaksa bisikkan nama kakak saya ke telinganya.

Saya hendak tahu betul ke ayah yang tidak pernah memberi nafkah dan tidak pernah menjenguk anaknya tidak layak untuk menjadi wali?

Jika ya, adakah wajar pernikahan dijalankan tanpa memberitahunya?

INSAN BINGUNG
Kedah


JAWAPAN
Wali adalah satu daripada rukun perkahwinan. Oleh kerana wali adalah satu daripada syarat sah nikah, maka bukan semua orang boleh menjadi wali.

Syarat sah menjadi wali ialah Islam, baligh, berakal (orang gila, mabuk dan orang yang sangat bodoh tidak sah menjadi wali); lelaki (perempuan tidak sah menjadi wali); adil dan merdeka.

Susunan wali mestilah mengikut tertib iaitu bermula daripada bapa kandung (jika tiada dan mati barulah berpindah kepada), datuk sebelah bapa ke atas kemudian saudara lelaki seibu-sebapa kemudian saudara lelaki sebapa dan anak saudara lelaki seibu-sebapa dan anak saudara lelaki sebapa dan bapa saudara sebelah bapa seibu-sebapa dan seterusnya menurut urutan wali itu sendiri.

Tidak disebut jika ayah tidak memberi nafkah, dia gugur hak walinya; ada hadis Rasulullah SAW menyebut ‘Tidak sah nikah melainkan wali yang adil dan ada saksi yang adil.” (Riwayat Ahmad)

Yang dimaksudkan dengan adil ialah seseorang itu berpegang kuat (istiqamah) kepada ajaran Islam, menunaikan kewajipan agama, mencegah dirinya melakukan dosa-dosa besar seperti berzina, minum arak, menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa dan sebagainya serta berusaha tidak melakukan dosa-dosa kecil.

Wali bersifat adil disyaratkan kerana ia dianggap bertanggungjawab dari segi kehendak agama ketika membuat penilaian bakal suami bagi kepentingan dan maslahat perempuan yang hendak berkahwin itu.

Manakala wali fasik pula, ia sendiri sudah tidak bertanggungjawab ke atas dirinya apatah lagi hendak bertanggungjawab kepada orang lain. Pun begitu masalah ini boleh diselesaikan selepas wali berkenaan beristighfar.

Tidak wajar pernikahan dijalankan tanpa bapa yang masih hidup menjadi wali walaupun saudari bermasalah dengannya.

Carilah dia dulu kerana walau apapun terjadi saudari tetap dibintikan atau dinasab kepada namanya.

LARANGAN KAHWINI PENZINA

Datuk Dr Mashitah Ibrahim

SOALAN

“LELAKI yang berzina tidak mengahwini melainkan perempuan yang berzina ataupun perempuan musyrik, dan perempuan yang berzina tidak mengahwini melainkan lelaki yang berzina atau lelaki musyrik, dan yang demikian itu diharamkan ke atas orang-orang yang beriman.” (al-Nur: 3)

Dari ayat di atas saya ingin bertanyakan beberapa soalan:


a. Adakah wajib bagi saya mengahwini perempuan yang pernah sama-sama terlanjur?

b. Jika perempuan itu sudah berubah hati, adakah perlu bagi saya untuk bertanggungjawab ke atas dirinya?

c. Saya amat menyesali perbuatan lepas bersama perempuan berkenaan, bahkan saya menasihatinya supaya kembali kepada saya dan segera merancang untuk berkahwin memandangkan saya masih ada hati padanya.

Malangnya niat baik saya dipersendakan. Rakan saya pernah menasihati saya supaya reda dengan takdir dan jodoh.

Persoalan saya, bolehkah ustazah terangkan apakah maksud jodoh dan takdir sebagai lelaki, apakah yang saya perlu lakukan sedangkan hati saya tidak tenang dalam melakukan taubat.

PEMUDA
Shah Alam



JAWAPAN

Ayat ini adalah daripada surah An-Nur yang diturunkan di Madinah iaitu tempoh Nabi Muhammad SAW berusaha membentuk masyarakat Islam.

Untuk membentuknya anggota masyarakat mestilah terdiri daripada mereka yang kuat peribadi dan ada harga diri.

Sahabat diseru mencari wanita yang baik untuk dikahwini dan dilarang keras bagi orang beriman berkahwin dengan penzina.

Merujuk pada persoalan tuan, jika tuan sudah terlanjur dengan seorang wanita, maka tuanlah orang paling layak untuk mengahwininya.

Jika pasangan tuan yang sama-sama terlanjur berubah hati dan mahu memilih orang lain, dia boleh berbuat demikian kerana tiada ikatan atau hubungan sah yang mengikat tuan dengan dia.

Apa yang terbaik dilakukan sekarang ialah bertaubat pada Allah atas keterlanjuran dan dosa yang dilakukan kerana berzina, termasuk dosa besar.

Bila manusia melakukan dosa dan kesilapan hanya ada satu pintu padanya untuk kembali tenang iaitu pintu taubat.

Reda dengan ketentuan bahawa wanita itu bukan jodoh tuan jika dia menolak dan yakin akan ada yang lebih baik.

Yang penting sekarang ialah membetulkan diri anda kerana Allah juga berfirman dalam surah sama pada ayat seterusnya iaitu ayat 26 yang maksudnya wanita yang tidak baik hanya sesuai pada lelaki yang tidak baik dan begitulah sebaliknya.

Wanita yang baik hanya sesuai untuk lelaki baik dan sebaliknya. Oleh itu baikkanlah diri untuk mendapat yang terbaik.

09 Disember 2009

PAKAIAN KENA BADAN ANJING

Dr Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN

SEEKOR anjing tiba-tiba datang dan mendekati saya walaupun saya cuba mengelak, adakah saya kena samak baju dan seluar bila pakaian saya terkena badan anjing itu? Tetapi ketika itu anjing itu dalam keadaan kering ?

WAN
Terengganu

JAWAPAN

MENURUT mazhab Shafie, babi dan anjing termasuk dalam najis berat (mughallazah). Tentang anjing, Rasulullah s.a.w bersabda: "Sucikan bejana salah seorang di antara kalian apabila terkena jilatan anjing dengan mencucinya sebanyak tujuh kali, salah satunya dengan tanah."

Babi digolongkan sama dengan anjing dalam kategori najis berat dengan alasan babi lebih buruk daripada anjing. Allah juga berfirman: "Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai, dan darah (yang keluar mengalir), daging babi (termasuk semuanya) ..." (Surah al-Maidah ayat 3).

Cara menyucikan adalah sama apabila kedua-dua terkena pakaian, badan dan tempat iaitu hendaklah dicuci sebanyak tujuh kali dan salah satunya dengan tanah, baik najisnya itu air liur, kencing, segala yang basah darinya atau bahagian yang sudah kering namun disentuh dalam keadaan basah.

Apabila sama-sama kering, hendaklah dicuci secara biasa tanpa perlu mengulangi tujuh kali termasuk sekali dengan tanah.

Berdasarkan kenyataan di atas dan apa yang berlaku pada anda, anda hanya perlu menyuci pakaian tersebut secara biasa kerana anda, pakaian dan anjing terbabit sama-sama kering. Lain pula sekiranya anjing itu menjilat anda dan pakaian anda.

Islam sangat mementingkan kebersihan diri, pakaian dan tempat tinggal. Secara umumnya anjing dan babi banyak membawa penyakit dan kuman. Dengan sebab itu Islam mengemukakan cara-cara yang lebih terperinci dalam menyucikan najis daripada kedua-dua binatang tersebut berbanding dengan kategori najis lain.

GAGAL TUNAI NAZAR SOLAT TASBIH

Dr Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN

SAYA bernazar solat tasbih sekali seminggu sepanjang hidup saya. Tetapi terdapat minggu yang saya gagal berbuat demikian. Tetapi saya akan menggantikannya mengikut berapa kali solat tertinggal. Jika dikenakan kaffarah, berapa yang saya perlu bayar?

NORDIN
Perak


JAWAPAN

NAZAR bermaksud mewajibkan atas diri sendiri melakukan sesuatu ibadat untuk Allah s.w.t yang mana hukum asalnya tidak wajib.

Sesuatu nazar yang berbentuk ibadat yang asalnya sunat akan menjadi wajib dengan bernazar untuk melakukannya seperti yang berlaku pada anda.

Jika tidak dapat melakukan nazar itu, anda perlu membayar kaffarah nazar. Ia sama dengan kaffarah sumpah.

Allah berfirman: "Kamu tidak dikira salah oleh Allah mengenai sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh.

Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin daripada jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka atau memerdekakan seorang hamba.

Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari sebagai denda penebus sumpah apabila kamu bersumpah. Dan jagalah, peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (hukum-hukum agama-Nya) supaya kamu bersyukur." (Surah al-Maidah (5): ayat 89).

Berdasarkan kepada ayat di atas, kaffarah (penebus) bagi nazar adalah seperti memberi makan kepada 10 orang miskin, memberi pakaian kepada 10 orang miskin atau memerdekakan seorang hamba dan sekiranya tidak mampu melakukan salah satu daripada ketiga-tiga perkara di atas bolehlah berpuasa selama tiga hari sebagai ganti.

Dengan berbuat demikian 'hutang' kita dengan Allah akan dapat ditebus.

TIDAK TAHU MAKANAN DIMASAK BERSAMA ARAK

Dr Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN

ADAKAH berdosa jika makan makanan yang dimasukkan sebarang alkohol dalam masakan sedangkan kita tidak mengetahuinya?

EEFA,
JOHOR


JAWAPAN

MAKANAN yang Islam benarkan ialah makanan yang halal lagi baik. Allah berfirman "Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.". (Surah al-Baqarah ayat 168).

Makanan halal adalah makanan yang tidak diharamkan Allah. Antara yang di haramkan ialah bangkai, darah, babi sebagaimana firman-Nya: "Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai, dan darah (yang keluar mengalir), daging babi (termasuk semuanya) ..." (Surah al-Maidah ayat 3).

Makanan yang baik ialah yang tidak membawa mudarat kepada badan dan akal termasuk yang bercampur dengan yang haram, najis, terkena najis, dan buruk dan jelek (khabith).

Apabila memakan makanan haram secara sengaja tanpa dalam keadaan darurat, ia dikirakan berdosa. Makan secara tidak sengaja termasuk tidak mengetahui perkara yang sebenar dan dalam keadaan darurat tidak berdosa. Allah berfirman: "Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah, maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak menginginkannya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Baqarah ayat 173).

30 November 2009

ZAKAT MENGATASI HUTANG

Sumber: Utusan Melayu, Agama

SOALAN

Saya mula bekerja dari tahun 2000 dan berpendapatan tetap sekitar RM3,000 sebulan, itu pun setelah dicampur dengan elaun dan kerja lebih masa.

Tetapi, pendapatan saya itu tidak pernah mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga saya, iaitu seorang isteri dan empat orang anak. Saya kerap berhutang di sana sini. Maka, apakah saya masih perlu membayar zakat?

JAWAPAN

Saudara, tahniah di atas kesedaran saudara untuk berzakat. Mudah-mudahan Allah SWT melorongkan kehidupan yang lebih baik asbab keinginan saudara untuk berzakat, insya-Allah.

Sebenarnya, kaedah mengira zakat pendapatan ini ada tiga, iaitu
(1) Tanpa tolakan;
(2) Tolakan asas seperti mana Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan
(3) Tolakan sebenar berdasarkan enam keperluan asas manusia.
Walau bagaimanapun, amalan di Malaysia adalah pada kaedah kedua, kerana ia tidak terlalu berat dan tidak pula terlalu ringan sehingga seseorang terlepas daripada zakat. (Saya akan memperincikan perihal ini dalam penulisan akan datang, insya-Allah).

Mari kita merujuk kepada kaedah kedua dan kita andaikan seperti mana berikut:

Pendapatan pada tahun 2008 > RM3,000 x 12 bulan > RM36,000.00

Tolakan asas seperti LHDN pula, Diri RM8,000; Isteri RM3,000; Anak-anak (katakan 4 orang) RM4,000; KWSP (11%) RM3,960 ditambah dengan tolakan Tabung Haji (katakan setahun) RM600 dan pemberian kepada emak ayah (katakan setahun) RM2,400, maka jumlahnya RM25,360 setahun. Maka, Pendapatan - Tolakan > RM10,640 x 2.5% > RM266

Nilai RM266 itulah zakat saudara dalam tempoh setahun dan jika dibahagi 12 bulan baharu RM22.10 sebulan. Tidak membebankan, bukan?

Sebenarnya, zakat yang kita keluarkan itulah sebagai taruhan dan jaminan bagi kita demi mendapat keberkatan daripada Allah SWT. Ini kerana, Allah SWT telah berjanji di dalam al-Quran untuk memberikan keberkatan hidup bagi mereka yang berzakat dan bersedekah, misalnya: Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat daripada langit dan bumi. (al-A'raaf: 96).

Hakikatnya, berzakat adalah bukti ketakwaan maka layaklah Allah SWT datangkan berkat kepada kita.

Begitu juga dengan janji Nabi Muhammad SAW: Asma' r.ha menerangkan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda (kepada Asma'): Nafkahkanlah dan janganlah kamu menyempitkan sedekah yang menyebabkan Allah menyempitkan (tidak mengeluarkannya) untuk kamu. Dan janganlah kamu menyembunyikan sesuatu dalam bungkusan yang kerananya Allah memutuskan berkatnya dan kesuburannya. (riwayat al-Bukhari dan Muslim). Wallahu a'lam.

BUKAN ISLAM BOLEH MAKAN DAGING KORBAN KETIKA DARURAT

Sumber: Utusan melayu, Agama

SOALAN

SETIAP tahun umat Islam di negara kita menjalankan ibadat korban. Bolehkah daging korban ini dimakan oleh orang bukan Islam?

JAWAPAN

Pendapat umum dan amalan orang Islam di Malaysia mengatakan daging korban tidak boleh diberi makan kepada bukan Islam. Namun, kita boleh merujuk kepada pendapat dikemukakan ulama mazhab lain dalam isu ini. Kita dapat mengesan pelbagai pendapat dengan hujah masing-masing. Melalui pendapat itu umat Islam mungkin dapat menemui jalan keluar daripada isu ini.

Penulis Kitab Kasyf al-Qina menyatakan mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban kepada orang Yahudi dan Nasara. Mazhab Hambali pula mengharuskan memberi hadiah daging korban sunat kepada bukan Islam, tidak harus menghadiahkan daging korban wajib kepada mereka.

Al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, disebutkan bahawa Ibn al-Munzir menyatakan ulama sepakat daging korban boleh diberi makan kepada fakir miskin Islam, namun mereka khilaf mengenai memberi makan daging korban kepada fakir miskin kafir ahli zimmah.

Imam Hasan al-Basri memberi keringanan mereka memakannya. Abu Thur juga berpendapat demikian. Disebutkan juga Imam Malik lebih suka ia diberi makan kepada selain fakir miskin bukan Islam. Al-Laith menganggapnya makruh, namun berpendapat jika dimasak harus diberi makan kepada mereka berserta fakir miskin Islam.

Ibn Qudamah dalam al-Mughni wa al-Syarh al-Kabir dan Shamsuddin al-Syarbini dalam al-Iqna' menukilkan bahawa mazhab Maliki berpendapat makruh menghadiahkan dan memberi makan daging korban kepada orang Yahudi dan Nasrani.

Mazhab Hambali, al-Hasan al-Basri, Abu Thur, berpendapat harus memberi hadiah dan memberi makan daging korban kepada orang bukan Islam daripada kalangan kafir zimmi, daging korban sunat. Namun daging korban wajib, seperti korban nazar haram diberi kepada orang bukan Islam.

Hukumnya sama dengan hukum zakat dan kifarat sumpah. Mazhab Syafie pula berpendapat tidak boleh memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam daging korban, sama ada korban sunat atau korban wajib.

Ibn Hazm daripada Mazhab Zahiriyah dalam kitabnya al-Muhalla menyatakan bahawa tuan punya korban boleh memberi makan kepada orang kaya dan orang bukan Islam atau dia menghadiahkan sedikit daripadanya.

Berdasarkan pendapat itu, kesimpulan yang boleh dibuat:

* Mazhab Syafie berpendapat haram memberi makan daging korban sunat atau wajib kepada bukan Islam.

* Mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban sunat kepada bukan Islam dan tidak harus (haram) memberi mereka makan daging korban wajib, seperti korban yang dinazarkan, sama seperti hukum zakat.

* Mazhab Hambali berpendapat harus menghadiahkan daging korban sunat kepada orang bukan Islam dan haram menghadiahkan kepada mereka daging korban wajib.

*l Semua ulama mazhab sepakat (ijmak) memberi atau memberi makan daging korban atau akikah wajib kepada bukan Islam adalah haram.

Ini bererti hanya ulama Mazhab Syafie sahaja yang berpendapat daging korban sunat atau wajib haram diberi atau diberi makan kepada bukan Islam. Manakala ulama dari mazhab lain berpendapat harus memberi mereka makan daging korban sunat, tidak harus jika korban wajib.

Jika kita ingin mengundang orang bukan Islam makan kenduri atau ingin menghantar sepinggan lauk daging korban ingin saya sarankan agar beli sekilo dua daging dan dicampurkan dengan daging korban ketika masak. Bila dicedok lauk untuk hidangan bagi yang tetamu kita yang bukan beragama Islam itu, anggaplah daging yang dicedok itu daripada daging yang dibeli dipasar bukan daging korban.

Ini merupakan jalan keluar dan dapat meraikan jiran tetangga dan kawan-kawan yang bukan beragama Islam. Dengan demikian tidaklah orang terasa tersinggung kerana Islam tidak bersifat rahmat kepada mereka.

Melainkan keadaannya darurat seperti di Padang, pada tahun 2004 di Aceh, di mana sahaja sekiranya suasana darurat maka daging-daging korban boleh diagihkan kepada orang bukan Islam. Pengalaman saya di Mekah, pada hari-hari tasyrik 11, 12, 13 Zulhijjah akan berlaku lambakan daging-daging korban di tempat-tempat melakukan ibadah korban.

Keadaan ini mendesak pihak berkuasa tempatan melantik syarikat untuk menguruskan pembungkusan daging-daging tersebut dan dihantar ke negara-negara yang lebih memerlukan terutamanya ke kawasan Afrika, yang pastinya penduduknya tidak semua orang Islam. Daripada membazir dan dibuang lebih baik dimanfaatkan anak Adam. Sekiranya keadaan darurat diharuskan memberi daging korban kepada orang bukan Islam.

GOLONGAN HALAL LIHAT AURAT WANITA

Datuk Dr Mashitah Ibrahim

SOALAN
SAYA ingin bertanya, siapakah orang yang dimaksudkan dalam surah di bawah di zaman kita sekarang? (pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak yang belum mengerti tentang aurat wanita).

Maksudnya: Dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putra-putra mereka, atau putra-putra suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti mengenai aurat wanita. (Al-Nur:31).

ALINN
Kuala Lumpur



JAWAPAN
Ayat ini sebenarnya berbicara mengenai aurat wanita, pada siapa boleh dinampakkan perhiasan mereka. Antara yang harus ialah pelayan lelaki atau orang gajian yang tiada keinginan; tiada nafsu syahwat , tidak berminat melayan kehendak nafsu pada wanita.

Elok kita merujuk pada Tafsir Ibn Kathir mengenai tafsiran ini di mana ia ditafsirkan lelaki yang sudah tiada kehendak nafsu syahwat kerana sudah tua atau mati pucuk atau lemah akal atau miskin papa dan rendah kedudukan sosialnya serta tidak berdaya menaikkan nafsunya atau yang boleh memikirkan perkara keji terhadap wanita.

Ibn Kathir kemudian memberi penjelasan berikut yang diberikan oleh beberapa mufasirin dan ulama mengenai perkara ini yang menunjukkan lelaki manakah yang dimaksudkan oleh ayat ini :

Ibn Abbas: Maksud ayat ini ialah seorang lelaki yang lurus dan tidak minat terhadap wanita. Mujahid: Seorang yang bodoh yang hanya memerlukan makanan dan tiada keinginan terhadap wanita. Ikrimah; Mukhanas yang tiada lagi keinginan diri.

Dalam kitab tafsir lain pula Qatadah menafsirkan sebagai lelaki miskin yang hanya membuat hubungan denganmu kerana memerlukan sara hidupnya. Al Sha'bi pula mengatakan seorang yang rendah pangkatnya dan mengharap sepenuh kepada tuannya dan tidak berani memandang dengan pandangan jahat kepada wanita di dalam rumah tuannya.

Ibnu Zaid pula berpandangan seseorang yang tinggal lama dengan satu keluarga sehingga ia dianggap ahli keluarga itu dan diperbesarkan di dalam rumah itu dan tiada keinginan terhadap wanita dalam rumah itu. Dia ada di situ hanya kerana perlukan sara hidup daripada keluarga itu.

Anak yang belum faham mengenai aurat wanita ini tidak disebut umurnya berapa, ia bergantung pada keadaan dia dibesarkan. Biasanya ialah yang berumur 10 tahun ke bawah, namun dalam zaman yang serba canggih ini jika mereka lebih terdedah mengenai wanita, gunakan budi bicara untuk mengukurnya.

SERUMAH BUKAN ISLAM

Datuk Dr Mashitah Ibrahim

SOALAN

SAYA adalah anak kepada seorang mualaf. Ibu saya bercerai dengan ayah sejak saya kecil lagi. Sejak itu saya tinggal berjiran dengan keluarga ibu yang bukan Islam. Nenek saya sering memasak untuk kami ketika ibu sibuk bekerja. Kadangkala kami sekeluarga akan makan masakan nenek bersama-sama ahli keluarga bukan Islam yang lain.


Adalah makanan yang kami makan itu halal? Kadangkala nenek saya memasak makanan haram seperti daging babi di tempat sama ketika dia masak masakan untuk kami walaupun tidak menggunakan peralatan memasak yang sama?

Nenek saya ada membela anjing dan apakah hukumnya jika kami sekeluarga bermain-main dengan anjing itu tanpa bersentuhan dengan anjing itu? Datuk saya ada meninggalkan tanah pusaka untuk ibu saya, apakah hukum ibu saya menerima harta berkenaan?

Bagaimana saya hendak menjaga aurat saya di rumah sedangkan semua ahli keluarga saya bukan Islam? Apakan hukumnya makan bersama orang yang makan masakan seperti babi walaupun kita tidak menyentuh makanan itu?

GADIS MUSYKIL
Kelantan


JAWAPAN

Apa yang penting sekarang sebagai seorang muslim ialah saudara memastikan yang saudari makan makanan yang halal tidak kira sama ada saudari makan di rumah atau bersama keluarga bukan islam.

Jika makanan tidak dimasak dengan menggunakan peralatan yang sama dengan benda haram ia boleh dimakan.

Pastinya nenek terpaksa memasak di dapur yang sama tetapi dia faham juga mengenai makanan haram sehinggakan dia tidak mencampur peralatan yang digunakan.

Jika terpaksa makan bersama dalam keadaan yang tidak dapat dielakkan kerana berada dalam satu rumah, peliharalah diri daripada makanan haram.

Anjing dikira sebagai najis jika menyentuhnya. Pastikan saudari membasuhnya dengan samak air tanah bagi membersihkan najis ini jika tersentuh.

Seorang Islam tidak boleh mewarisi atau mewariskan harta pusaka daripada orang bukan islam tetapi dia boleh menerima hadiah dan pemberian daripada mereka. Aurat adalah tuntutan Islam untuk dijaga. Sebagai saudara baru buatlah sekadar yang termampu dulu.

DUIT BISNES HALAL JIKA IKUT ISLAM

Dr Abdul Salam Muhammad Shukri


SOALAN
SAYA membeli barang dengan harga murah dan menjualnya dengan harga yang tinggi sedikit.

Contohnya, membeli minyak wangi yang harganya RM30 kemudian menjualnya dengan harga RM45. Adakah duit yang saya dapat itu halal?

ROS MUSA
Kuala Lumpur


JAWAPAN
ISLAM menggalakkan kegiatan ekonomi termasuk dalam bidang perniagaan, perusahaan dan pertanian. Islam melarang dan mencegah umatnya meminta-minta dan menganggur.

Dalam menjalankan perniagaan, Islam meletakkan syarat tertentu dalam berjual beli. Syarat itu meliputi pihak yang terbabit iaitu penjual dan pembeli, barangan jualan serta akad.

Pihak yang terbabit hendaklah sempurna kapasiti, cukup umur dan reda. Barang jualan pula mestilah sah menurut undang-undang, ada nilai, jumlah, kualiti dan jenis, wujud, dimiliki penjual, mampu diserah, tiada monopoli dan tidak menyembunyikan aib.

Akad yang dibuat hendaklah difahami, diterima, berlaku dalam satu majlis dan semua pihak terbabit kekal mempunyai kelayakan semasa akad dilakukan (Lihat, Zaharuddin Abd Rahman, 2008: 16).

Dengan menepati syarat jual beli dalam Islam, keuntungan yang diperoleh menjadi halal. Begitu juga dengan duit yang anda peroleh dalam perniagaan anda, ia halal apabila memenuhi syarat jual beli di atas.

Mengenai harga yang ditetapkan dalam menjual suatu barangan, ia hendaklah mengikut harga pasaran semasa supaya tidak berlaku ketidakadilan.

IBU TIDAK BOLEH PAKSA ANAK KAHWIN

Dr Abdul Salam Muhammad Shukri

ADAKAH Islam membenarkan seorang ibu memaksa anaknya berkahwin dengan orang yang tidak dipersetujui anaknya?

GADIS BUNTU
Kuala Lumpur


JAWAPAN
ISLAM tidak memberi kebenaran kepada ibu untuk memaksa anak perempuannya berkahwin dengan sesiapa pun lebih-lebih lagi orang yang tidak dipersetujui anaknya.

Dalam Islam, hanya wali daripada ahli keluarga lelaki berhak memberi kebenaran berkahwin. Wali terbahagi dua, wali mujbir iaitu bapa atau datuk daripada sebelah bapa hingga ke atas kepada seseorang gadis dan wali bukan mujbir iaitu wali-wali selain daripada bapa dan datuk atau semua wali bagi janda.

Secara umumnya, wali mujbir boleh mengahwinkan anak perempuannya yang masih dara, baik yang sudah cukup umur atau belum cukup umur tanpa perlu meminta izin gadis terbabit.

Bagaimanapun, terdapat syarat tertentu perkahwinan dapat dilangsungkan, antaranya tidak ada permusuhan antara wali mujbir dengan gadis, tiada juga permusuhan antara gadis dengan lelaki yang akan dinikahinya, pasangan lelaki dengan perempuan itu sekufu dan mas kahwin kepada gadis sanggup dibayar pengantin lelaki.

Walaupun begitu, wali mujbir disunatkan untuk meminta izin terlebih dulu daripada anak gadisnya. Tanda setuju termasuk diam atau tersenyum. Sekiranya wali terbabit bukan wali mujbir, wali mestilah meminta izin terlebih dulu daripada gadis.

24 November 2009

BERHATI-HATI MOHON SUMBANGAN

Sumber: Utusan Malaysia, Agama

SOALAN

ADAKAH kita dibolehkan menerima dan memohon sumbangan ikhlas daripada orang perseorangan atau syarikat-syarikat yang selalu berurusan contohnya dalam urusan perbankan dan saham amanah?

Hadiah tersebut adalah dalam bentuk hamper dan orang perseorangan yang diterima dalam bentuk wang tunai secara sumbangan ikhlas.

JAWAPAN

Islam menggalakkan umatnya untuk menderma atau menghulurkan sumbangan kerana ia memberi kesan positif dalam sebuah kehidupan bermasyarakat.

Perlakuan yang berlaku antara dua pihak iaitu golongan yang memohon atau menerima sumbangan dengan penyumbang sumbangan akan memupuk kesatuan, perasaan saling bantu-membantu dan wujudnya tautan kasih-sayang dan mahabbah sesama mereka.

Firman Allah yang bermaksud: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan... (al-Maidah: 2)

Pelbagai faktor yang mendorong seseorang mencari bantuan atau sumbangan. Faktor-faktor tersebut ada yang bersifat tetap dan ada pula yang bersifat mendadak atau tidak diduga. Contohnya:

1) Faktor ketidakupayaan, kefakiran, dan kemiskinan yang dialami oleh orang-orang yang mengalami kesulitan untuk memenuhi keperluan keluarga seharian.

Mereka memang tidak mempunyai gaji tetap atau sumber-sumber kehidupan yang lain. Mereka sendiri tidak memiliki keterampilan atau keahlian khusus yang dapat mereka manfaatkan untuk menghasilkan wang. Seumpama mereka ialah anak-anak yatim, golongan kurang upaya yang tidak mampu berkerja.

2) Faktor kegawatan ekonomi dihadapi oleh golongan yang mengalami kerugian harta cukup besar.

Contohnya seperti para pengusaha yang muflis. Mereka memerlukan bantuan kerana sedang mengalami kesulitan ekonomi secara mendadak sehingga tidak mampu membiaya keluarganya.

3) Faktor musibah yang menimpa suatu keluarga atau masyarakat seperti kebakaran, banjir, gempa bumi, penyakit menular mengakibatkan mereka terpaksa memohon bantuan atau sumbangan.

4). Faktor-faktor yang tidak disangka-sangka seperti golongan yang secara mendadak harus menanggung hutang kepada berbagai pihak tanpa sanggup membayarnya, menanggung anak yatim dan seumpamanya.

Pada prinsipnya, Islam menggalakkan umatnya mendapatkan sesuatu dari sumber yang bersih dan jauh dari sumber syubhat. Nabi SAW juga menganjurkan kita untuk berusaha dan mencari sumbangan dalam apa saja bentuknya, selama ia halal dan baik, tidak ada syubhat, tidak ada keharaman dan tidak dengan meminta-minta.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak sekali-kali menerima kecuali suatu yang baik sahaja. (riwayat Ahmad, Muslim dan al-Tirmidzi)

Sebagai umat Islam, kita juga disunnahkan untuk ta'affuf (memelihara diri daripada meminta-minta). Hal ini sebagaimana yang firman Allah yang bermaksud: (Apa yang kamu infakkan adalah) untuk orang-orang fakir yang terhalang (usahanya kerana jihad) di jalan Allah sehingga dia tidak dapat berusaha di bumi; (orang lain) yang tidak tahu, menyangka bahwa mereka adalah orang-orang kaya kerana mereka menjaga diri (dari minta-minta). Engkau (Muhammad) mengenal mereka dari ciri-cirinya, mereka tidak minta secara paksa kepada orang lain. Apa pun harta yang baik yang kamu infakkan, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. (al-Baqarah: 273).

Rasulullah SAW sangat menggalakkan sikap suka memberi, sama ada atas nama sedekah, hadiah, sumbangan, hibah atau sebarang bantuan dan pertolongan.

Hal ini disebutkan dalam sabda baginda yang bermaksud, Nabi SAW suatu hari keluar untuk mengerjakan sembahyang hari raya, lalu baginda bersembahyang dua rakaat. Dan baginda tidak pernah melakukan sembahyang (hari raya) sebelum ia diperintahkan dan sekalipun selepasnya. Kemudian baginda dan bersamanya Bilal pergi ke tempat sekumpulan perempuan dan menyuruh mereka agar bersedekah, maka (atas perintah itu) seorang perempuan menanggalkan gelang dan kalungnya untuk disedekahkan. (riwayat Al-Bukhari)

Kesimpulannya boleh memohon dan menerima sumbangan berbentuk wang tunai daripada individu perseorangan atau sesiapa sahaja yang tidak mempunyai kepentingan peribadi.

Begitu juga boleh memohon dan menerima sumbangan daripada syarikat atau agensi dengan syarat bentuk sumbangan yang dimohon atau diterima itu selamat dari unsur haram dan tidak menimbulkan fitnah (orang lain menganggap ia rasuah).

Golongan yang menyumbang dengan rela hati memberi sumbangan tersebut dan golongan yang memohon dan menerima sumbangan berbesar hati dan bersyukur.

Dinasihatkan agar pihak mengelakkan diri daripada memohon sumbangan dari individu perseorangan dan syarikat-syarikat yang berkepentingan di sebalik sumbangan itu yang diberikan.

Jika sumbangan yang diterima tersebut akan merosakkan syiar Islam, mengakibatkan keburukan semakin bertambah, rasuah berleluasa maka diharamkan untuk memohon apatah lagi menerimanya.

WANITA MENYESAL SUMPAH ENGGAN KAHWIN

Datuk Dr Mashitah Ibrahim

SOALAN

SAYA ada masalah mengenai sumpah yang pernah saya buat lima tahun lalu. Saya pernah bertunang dan terlalu kecewa apabila hubungan kami putus di tengah jalan. Namun hati saya masih sayang padanya dan tidak sanggup kehilangannya hinggakan saya bernekad di dalam hati untuk tidak menerima orang lain dalam hidup saya.

Saya sanggup tidak berkahwin seumur hidup kerana terlalu sayangkannya. Selalu saya berdoa dan merayu pada Allah SWT agar diberi ketenangan dan hidayah. Saya bangun malam dan berdoa kepada Allah SWT supaya ditutup pintu hati saya kepada lelaki lain.


Pernah saya bersumpah atas nama Allah supaya tidak ditemukan saya jodoh lain selain dia. Namun kini saya menyesal kerana mengikut hati dan kesedihan yang lalu.

Soalan saya ialah, adakah saya berdosa kerana bersumpah atas nama Allah? Adakah sumpah saya diterima dan dimakbulkan Allah SWT?

Macam mana saya nak tarik balik sumpah saya itu? Adakah dengan bertaubat iaitu sembahyang taubat itu memadai? Kalau tidak, adakah cara lain yang boleh saya lakukan?

Saya amat takut sekiranya sumpah saya itu benar-benar dimakbulkan Allah SWT. Saya risau kerana sehingga sekarang saya belum bertemu jodoh.

FIZA
Alor Star

JAWAPAN

Satu dari sifat manusia yang dijelaskan dalam al-Quran surah al-Israk ayat 11 ialah manusia itu terburu-buru mahukan perkara jadi segera. Ketika dia ditimpa kesusahan dia mudah gelisah serta tidak dapat mengendalikan diri sehingga menyumpah, mengeluh dan merasakan dugaan itu terlalu berat hinggakan dia akan berdoa sesuatu yang tidak baik untuk dirinya sendiri seperti mana dia berdoa kebaikan untuk dirinya juga.

Ini sifat yang sudah diketahui dan disebut al-Quran. Hanya iman dapat mengendalikan sikap ini. Latihlah diri mengurangi sifat ini.

Pada waktu susah dan ditimpa cubaan, jangan mudah tergesa-gesa atau terburu nafsu dan di waktu senang jangan mudah lupa diri terlalu gembira.

Jika sudah terlanjur menyumpah diri, banyakkanlah bertaubat memohon ampun daripada Allah.

Allah itu Maha Pengasih Maha Penyayang. Kadangkala sengaja doa kita dilambatkan atau tidak ditunaikan Allah kerana mahukan sesuatu yang lebih baik untuk diri kita. Mulai sekarang berdoalah untuk kebaikan diri.

ZAKAT PENDAPATAN

Datuk Dr Mashitah Ibrahim

SOALAN

SAYA ingin penjelasan mengenai zakat penggajian. Menurut Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) ia wajib dibuat.

Persoalannya kenapa cara pengiraannya hampir sama dengan sistem cukai pendapatan?

Bukankah zakat mesti cukup haul dan nisab.

Sedangkan gaji bulanan yang diterima akan digunakan untuk perbelanjaan harian.

MAZLAN
Klang


JAWAPAN

Muzakarah fatwa kali ke-31 bersetuju membuat keputusan zakat ke atas pendapatan penggajian wajib bagi orang yang mengeluarkan zakat.

Umat islam boleh mengeluarkan zakat dari pendapatan gaji dan jabatan hasil dalam negeri hendaklah memberi rebet zakat ke atas jumlah berkenaan.

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) sudah mewartakan fatwa ini lalu ia menjadi wajib bagi negeri Selangor.

Pandangan yang mengatakan wajib ini dipegang oleh Dr Yusuf Qardawi yang mengatakan apabila cukup nisab perlu dikeluarkan zakat gaji tanpa mengira haul.

Pendapatan yang kena zakat ialah pendapatan bersih setahun selepas ditolak belanja keperluan asasi seperti perbelanjaan harian dan lain-lain perbelanjaan yang diharuskan oleh syarak.

Zakat itu boleh ditunaikan pada akhir tahun atau dibayar secara beransur-ansur setiap bulan seperti bayaran cukai pendapatan.

Jika selepas ditolak perbelanjaan yang harus gaji bersih tidak sampai nisab maka gaji tidak dikenakan zakat.

PUASA ENAM DAN PUASA QADA' TIDAK BOLEH SERENTAK

Dr Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN

SEORANG sahabat saya menyatakan kita tidak boleh niat puasa ganti dan puasa enam dalam satu masa. Terdapat kekeliruan dan salah faham. Persoalannya jika saya niat puasa ganti dan puasa enam serentak adakah puasa itu tidak sah dan perlu berpuasa semula untuk menggantikan puasa Ramadan?

NAZIBAH,
Kedah

JAWAPAN

PUASA ganti (puasa qada) itu tetap sah walaupun terkeliru mengenai niat mengikut mazhab Shafie. Dengan itu anda tidak perlu menggantikan puasa Ramadan.

Menurut pandangan dalam mazhab Shafie niat puasa enam tidak boleh disertakan dengan puasa qada. Ini bersandarkan hadis setiap amalan berdasarkan niat. Dengan itu hendaklah dibezakan ibadat puasa Ramadan, puasa nazar, puasa kafarah, puasa qada dan puasa sunat. Bagaimanapun al-Suyuti berpendapat seseorang yang berniat puasa qada ketika Syawal boleh juga dikurniakan pahala puasa enam tanpa menjatuhkan niat itu. (lihat, http://www.muis.gov.sg/cms/uploadedFiles/MuisGovSG/News_Events/Ramada...).

HUKUM BACA SURAH YAASIN DI KUBUR

Dr Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN

BAPA saudara saya memberitahu adalah satu dosa jika membaca surah Yasin di tanah perkuburan. Saya musykil kerana banyak orang kita berbuat demikian. Seperkara lagi, mengenai kain putih atau kuning yang melitupi batu nisan. Menurut bapa saudara saya, kita dilarang melakukannya kerana tiada apa pun yang akan melindungi si mati kecuali amalan ketika mereka hidup.

INGIN TAHU,
Selangor


JAWAPAN

PERKARA itu termasuk dalam perkara khilafiyah (perselisihan pendapat). Ada yang membenarkan amalan itu kerana tiada larangan khusus mengenainya dalam al-Quran dan hadis. Ada yang tidak membenarkan atas alasan tidak dilakukan Rasulullah. Kita dianjurkan supaya bersikap berlapang dalam dada dalam persoalan sedemikian.

Bagaimanapun, membaca al-Quran termasuk bacaan Yasin digalakkan. Ia mempunyai kedudukan tersendiri dalam tradisi kehidupan seorang Muslim. Contohnya, Rasulullah menggalakkan membaca Yasin ketika sakratul maut. Amalan membaca Yasin secara umum diterima dalam masyarakat Islam.

09 November 2009

FIDYAH IBU YANG TELAH MENINGGAL DUNIA

Sumber: JAKIM

SOALAN

Bagaimana nak saya laksanakan fidyah ibu saya yang baru meninggal?

JAWAPAN

Pewaris bertanggungjawab membayar fidyah puasa bagi arwah ibu/bapanya mengikut kemampuan.Pewaris boleh membayar fidyah bagi puasa yang ditinggalkan dalam tahun tersebut dan pembayaran fidyah itu hendaklah menggunakan harta si mati (jika ada).

Fidyah dibayar sebanyak 1 cupak Baghdadi (875gm, kira-kira RM 1.20) untuk 1 hari yang ditinggalkan pada tahun tersebut. Sekiranya melangkaui tahun, maka fidyah berganda menjadi 2 cupak untuk 1 hari yang ditinggalkan.Untuk mendapatkan keterangan yang lebih lanjut sila rujuk kepada pihak Baitulmal.

Jika pewaris sanggup mengqadha' puasa tersebut, maka dia hendaklah mengqadha'nya dalam masa yang sama. Jika telah melampaui tahun, pewaris juga boleh mengqadha'nya.

BADAL HAJI


Sumber: JAKIM

SOALAN

Badal Haji:
Ustaz/Ustazah, Mana satu kita dahulukan Ibu atau Ayah untuk kita badal haji,Kalau Ibu adakah Nas atau Dalilnya..

JAWAPAN

Hukum mengupah haji bagi si mati adalah harus. Sekiranya si mati mewasiatkan dan meninggalkan harta bagi mengerjakan haji untuknya maka humumnya adalah wajib.
Mengupah haji hukumnya wajib jika si mati berwasiat dan meninggalkan wang dan harta untuk tujuan tersebut. Jika tidak meninggalkan wang dan waris tiada mempunyai wang hukumnya harus sahaja.
Sebaik-baiknya lakukan haji itu untuk ibumu dan diikuti oleh ayahmu dan jika mampu lakukan kedua-duanya sekali gus. Ini berdasarkan hadis Nabi bermaksud, "Siapakah orang yang layak aku yang berbuat baik?". Ibumu sebanyak 3 kali. Selepas itu Nabi menjawab bapamu".

05 November 2009

SEDEKAH UNTUK SI MATI

Sumber: JAKIM

SOALAN

Assalamualaikum
Isteri saya baru sahaja meninggal dunia. Pertanyaan saya :
1. Apakah hukumnya mengupah orang lain bagi membacakan ayat-ayat Al-Quran untuk disedekahkan kepada arwah ?.
2. Selain daripada sedekah jariah, ilmu yang disebarkan dan doa daripada anak-anak yang soleh & solehan, apakah yang boleh sya sumbangkan bagi pihak arwah dan bagaimana caranya ?
3. Adakah terdapatnya amalan di dalam Islam berkenaan menaikkan batu nesan?. Jika ada, bagaimanakah caranya?.
4. Apakah perkara-perkara lain yang patut saya ketahui dan buat bagi "kesenangan" atau "keberkatan" arwah di alam kekal.

Sekian, terima kasih.
Wassallam..

JAWAPAN

Tindakan saudara mengupah orang lain membaca ayat-ayat al-Quran untuk disedekahkan kepada arwah isteri adalah baik. Walaubagaimanapun yang afdalnya ialah saudara dan anak-anak berbuat demikian.Sumbangan lain yang wajar dilakukan ialah segera melangsaikan segala hutang piutangnya, mengqadak puasa Ramadhan yang ditinggalkan, mengerjakan haji baginya sekiranyan mampu, menunaikan zakat hartanya jika ada dan selalulah bersedekah dan membaca Yasin dan tahlil serta zikir dan diniatkan untuk disedekahkan kepada si arwah. Didiklah anak-anak dengan menghayati ajaran Islam dan sekiranya ada masa lapang ziarahilah kuburnya.Eratkanlah silaturrahim dengan keluarga dan kawan rapat arwah.

JENAZAH PESAKIT AIDS

Sumber: JAKIM

SOALAN

Bagaimanakah cara untuk menguruskan jenazah bagi pesakit AIDS Islam.

JAWAPAN

Cara untuk menguruskan jenazah bagi pesakit AIDS beragama Islam:

(a) Memandikan jenazah:

i) Pemandi jenazah mesti memakai sarung tangan (dua pasang) yang tebal dan kalis air.
ii) Pemandi juga mesti memakai apron.
iii) Pemandi juga memakai kasut but paras lutut.
iv) Pemandi memakai topeng (mask) yang menutup mulut dan hidup.
v) Pemandi mesti memakai ‘eyeshield’.
vi) Bekas mandi jenazah mestilah mempunyai saluran air keluar terus ke dalam tanah.
vii) Bahan mandian menggunakan klorok (1 liter klorok = 9 liter air)
viii) Bahan klorin ditaburkan dalam takungan bekas buangan air mandian jenazah
ix) Segala peralatan yang digunakan hendaklah ditanam selepas mandian jenazah selesai.
x) Sekiranya peralatan tersebut hendak digunakan semula maka ia hendaklah direndam dalam larutan klorok selama 3 jam sebelum digunakan.
xi) Hanya air siraman pertama menggunakan air klorok manakala siraman seterusnya adalah air biasa.

(b) mengafankan jenazah:

i) Lapisan pertama menggunakan plastik yang sama panjang dengan ukuran jenazah.
ii) Setiap rongga hendaklah disumbat dengan kapas yang telah dilembabkan dengan klorok.
iii) Kain kafan seperti mana jenazah biasa.

(c ) Menyembahyang dan mengebumikan jenazah pesakit AIDS adalah sama seperti mana jenazah manusia biasa.

Untuk mendapat maklumat lanjut, sila rujuk buku ‘Panduan Menguruskan Jenazah AIDS’ terbitan Kementerian Kesihatan Malaysia.

MAKMUM MASBUK

Sumber: JAKIM

SOALAN

bolehkah tuan terangkan lebih lanjut berkenaan masuk masbuk dalam solat. Adakah kita kena rukuk sekali dengan imam pada rakaat kedua, ketiga @ keempat walaupun kita masih belum siap baca surah al Fatihah.

JAWAPAN

Yang dimaksudkan dengan masbuk ialah makmum yang tidak sempat dapat masa yang cukup untuk menghabiskan bacaan fatihahnya dengan bacaan yang sederhana dalam qiyam imamnya seperti ketika dia masuk berjamaah itu imamnya sudah hampir rukuk atau sedang rukuk.

Antara contoh makmum masbuk dalam solat adalah seperti di bawah:

Makmum masbuk yang masuk bertakbiratulihram ketika imam sedang berdiri atau membaca fatihah hendaklah terus membaca fatihah dengan tidak sunat membaca doa iftitah dan ta'awwuz. Jika imam rukuk sedangkan dia belum habis membaca fatihah maka dia hendaklah memberhentikan bacaan fatihahnya dan terus rukuk bersama imam. Baki bacaan fatihahnya ditanggung oleh imam dan makmum masbuk itu mendapat satu rakaat kerana dia sempat rukuk bersama imamnya. Jika dia tidak rukuk menyertai imamnya maka luputlah rakaat tersebut dan batallah sembahyangnya jika ia terlambat kerana menyudahkan bacaan fatihahnya sehingga imamnya sujud disebabkan terkemudian daripada imamnya dengan dua rukun fi'li ( rukuk dan iktidal)

PEWANGI BERALKOHOL


sumber: JAKIM

SOALAN

Tidak sah sembahyang kita jika memakai perfum yang mengandungi alkohol.Betul atau salah?Adakah semua perfum yang berada di pasaran sekarang mengandungi alkohol? Bagaimana saya boleh tahu samada perfum tersebut mengadungi alkohol? .

JAWAPAN

1. Alkohol biasanya digunakan sebagai bahan pelarut dalam ubat-ubatan dan alat solek seperti minyak wangi,kolon, losyen dan sebagainya.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke 7 pada 11-12 April 1984 telah membuat keputusan seperti berikut:
Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol adalah harus dan dimaafkan.

2. Anda boleh mendapatkan maklumat berkaitan pewangi mengandungi alkohol atau tidak, melalui label pembungkusan pewangi tersebut atau dari kilang pengeluar produk berkenaan sekiranya mampu.

PELBAGAI ISU SEMASA

Sumber: JAKIM

SOALAN

Saya ingin mengemukakan beberapa kemusykilan kepada encik:

1) Apakah hukumnya kita membeli barangan di pasaran yang bertanda logo halal JAKIM namun barangan tersebut datangnya dari negara yang seolah - olah anti - Islam cth U.S.Adakah di sini kita membawa maksud menyokong struktur kewangan mereka ataupun sebagainya dan saya mendengar beberapa pendapat yang menyatakan haram membeli barangan dari negara musuh Islam?



2) Apakah hukumnya kita bertakbir raya di luar bulan Syawal ataupun Zulhijah?
3) Boleh terangkan sedikit sebanyak tentang waktu syuruk?
4) Saya mendengar pendapat yang mengatakan melabur dalam ASB adalah haram kerana ia mengandungi unsur gharar dan kita tidak mengetahui di manakah mereka melaburkan duit mereka dan saya juga mendengar pendapat yang mengatakan salah satu perkongsian ASB adalah dalam syarikat Genting Highlands yang mana kita ketahui keuntungannya datang dari hasil perjudian?? .

JAWAPAN

1) Barangan yang telah mempunyai logo Halal JAKIM adalah dijamin halal dan suci walaupun barangan tersebut datang dari luar negara, dengan syarat Badan-badan Islam di luar negara tersebut telah diiktiraf oleh JAKIM. Untuk maklumat lanjut sila layari laman web Halal JAKIM: www.halaljakim.gov.my

2) Hukum bertakbir raya adalah sunat mua'kkad pada bulan Syawal mulai terbenam matahari akhir Ramadham sehingga khatib menaiki mimbar. Manakala hukum bertakbir hari raya pada hari raya korban adalah sunat mursal mulai terbenam matahari pada 9 Zulhijjah sehingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah ( hari tasyrik)

Oleh itu bertakbir selain dari waktu-waktu tersebut seperti di atas tidak digalakkan

3) Syuruk ialah waktu naik matahari sehingga kadar ketinggian segalah.

4) Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang telah bersidang pada 21 Januari 1985 telah menasihatkan supaya pihak ASN dan ASB menarik balik modalnya yang dilaburkan di dalam syarikat yang terlibat dengan riba'

PENCUCI MULUT BERALKOHOL

sumber: JAKIM

SOALAN

Apakah hukum mengguna pencuci mulut yang mengandungi alkohol?.


JAWAPAN

Alkohol diharuskan penggunaannya dalam dua keadaan iaitu

i) Alkohol yang terjadi dari proses pemeraman (makanan halal seperti tapai , air tuak dan lain-lain), penggunaannya tidak boleh sampai ke peringkat mabuk kerana benda yang memabukkan adalah haram.

ii) Alkohol yang terdapat dalam perasa( flavour) dalam kuantiti yang sedikit iaitu tidak memabukkan adalah harus.

Alkohol yang terjadi dari proses bahan ( seperti anggur) tujuan arak maka selama-lamanya haram dan tidak boleh dimasukkan dalam pengunaan makanan

MENGHITAMKAN UBAN

Sumber: JAKIM

SOALAN

Bolehkah menghitamkan uban? Ada yang menyatakan bahwa kita tidak boleh mengembalikan warna asal rambut kita.


JAWAPAN

Di antara hikmah rambut uban (putih) iaitu mengingatkan umurnya sudah lanjut hampir kepada kematian.Hendaklah menggandakan amal ibadat kepada Allah.
Hukumnya harus mewarnakan rambut dengan menggunakan inai (merah) tetapi haram menggunakan pewarna rambut (dye) kerana bahannya dari barangan tidak halal. Ia adalah menghalang air dari sampai ke rambut / anggota wudhuk.

AURAT ISTERI

Sumber: JAKIM

SOALAN
Assalamualaikum,kepada yang sudi mendengar keluhan dan kemuskilan yang saya akan ajurkan kepada tuan/puan yang sudi menjawab soalan yang saya ajurkan ini. Pertama sekali apakah yang dimaksudkan membuka aurat bagi perempuan yang telah bersuami dan bahagian manakah yang harus dibukai dan yang harus ditutupi. Keduanya saya ada memberikan nasihat kepada bakal isteri saya,iaitu supaya menutupi aurat dan dia selalu mengenakan pakain seluar pendek adakah jatuhnya haram bagi diri saya dan berdosakah saya jika tidak meneguri tingkahlakunya itu sedangkan banyak kali saya berikan nasihat tetapi allah saja yang mengetahuinya,dan saya ingin dia berpakaian sopan dengan mengikuti segala syariat agama dalam pemakaian cara Islam.

JAWAPAN

Aurat dalam Islam ialah bahagian anggota badan yang tertentu perlu ditutupi dari pandangan mata yang terdiri dari bukan ahli keluarga seperti adik beradik, ibu bapa dan saudara terdekat (muhrim). Aurat bagi wanita semua tubuh badan kecuali muka dan 2 tapak tangan. Aurat bagi lelaki bahagian antara pusat dan lutut. Bagi suami dan isteri ia sudah menjadi halal pada aurat tersebut. Dalam konteks ini wajiblah suami mengingatkan isteri agar tidak mendedahkan aurat kepada yang bukan muhrim kerana perbuatan tersebut boleh mendatangkan dosa kepadanya dan tuan jua.

BELI RUMAH DARIPADA BUKAN ISLAM

Sumber: JAKIM

SOALAN
Saya telah membeli sebuah rumah daripada seorang yang bukan beragama islam dan beliau ada membela anjing dan memasak makanan seperti daging babi. Apakah caranya supaya saya dapat menyamak rumah tersebut? Adakah saya perlu menyamak keseluruhan rumah termasuk dinding, lantai, almari atau memadai saya menyamak bahagian dapurnya sahaja.

JAWAPAN
Menyamak keseluruhan rumah perlu dilakukan sekiranya terdapat ain ( najis yang dapat dilihat, dihidu, dan dirasa) di dalam rumah tersebut. Sekiranya ain najis tidak kelihatan dan rumah dalam keadaan kering maka proses menyamakak tidak perlu dilakukan. Walaubagaimanapun sekiranya terdapat kawasan yang diragui adalah afdal jika tuan/puan menyamak tempat tersebut.

HUKUM AIR TAPAI

Sumber: JAKIM

SOALAN

Tapai mengandungi alkohol jenis "Ethyl Alkohol" atau "Ethanol", ialah jenis alkohol yang sama dihasilkan menerusi process penapaian atau "ferementation". Ia itu proses yang sama untuk membuat minuman keras yang lain seperti 'Beer' 'Wine' 'Saki' dan air tapai [minuman orang iban atau sakai'].

Apak hukum tapai jika diminum dan adakah ia nya najis, kerana ianya:

1. Mengandungi Alkohol [ethyl alacohol atau ethnol] yang sama zatnya atau bahan kimianya seperti 'beer' 'wine' dan 'saki'.
2. Proses membuatnya pun sama.
3. Tahap memamukkan juga sama [ Jika minum air 'beer' 3 glass [1.5 liter] akan mabuk begitu juga dengan air tapai jika diminum 4 glass kita akan mabuk.
4. Kandungan alkohol [ehnol] dalam tapai diantara 2% hingga 17 % [tertaluk jangak masa disimpan. Sama seperti kandungan 'beer' antara '4% hingga 17%.

Othman


JAWAPAN
Arak yang diharamkan di dalam Islam adalah melalui proses dan jenis daripada buah anggur dengan niat menghasilkan satu jenis minuman iaitu arak. Manakala satu proses lain dengan buah atau bahan tertentu (yang halal )yang lain adalah satu hasil yang terjadi, dan memang tidak ada niat membuat arak maka ia pada tahap makruh bukan haram. Walaubagaimanapun jika peminumnya mabuk maka haramlah minuman itu ke atas dirinya.

28 Oktober 2009

TAKLIK PERLU SAKSI

Datuk Dr Mashitah Ibrahim

SOALAN
SAYA ingin bertanya mengenai taklik yang dibuat secara lisan tanpa ada saksi, iaitu hanya suami dan isteri yang tahu. Adakah akan jatuh talak jika seorang daripada mereka melanggar taklik berkenaan?

HD
Kuala Lumpur



JAWAPAN
Taklik pada dasarnya dibuat untuk melindungi hak suami dan hak isteri di samping menggariskan perkara boleh dan tidak boleh dilakukan sepanjang tempoh perkahwinan demi memastikan wujudnya persefahaman antara kedua-dua pihak.

Dalam perkahwinan sudah ditetapkan beberapa perkara taklik asas seperti nafkah. Bagaimanapun, jika ingin menambah syarat sedia ada, pasangan boleh berbuat demikian berdasarkan hadis Uqba bin Amir RA meriwayatkan Rasulullah SAW sebagai bersabda: “Syarat yang paling patut dipenuhi olehmu ialah yang menjadikan persetubuhan (dengan isterimu) halal (untukmu).” [Sahih Muslim, Kitab al-Nikah, Sunan Abu Dawud, Kitab al-Nikah, Hadith 2134]

Taklik kepada perkahwinan atau sebarang tambahan syarat harus dilakukan dengan persetujuan kedua-dua pihak. Perlu kita ingat, tujuan utama syarat perkahwinan ialah untuk kesejahteraan rumah tangga.

Seksyen 22 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan, apabila selesai akad nikah, pendaftar hendaklah mencatat butir dan taklik ditetapkan atau taklik lain di dalam Daftar Perkahwinan.

Menurut seksyen 22(2), catatan berkenaan hendaklah diakui saksi oleh pasangan perkahwinan, wali dan dua saksi yang hadir ketika perkahwinan itu diakad nikahkan. Catatan itu kemudian hendaklah ditandatangani pendaftar.

Taklik talak bermaksud suami menggantungkan jatuh talak isterinya dengan terjadi sesuatu sifat atau syarat dikaitkan dengan isteri atau orang lain. Jika tiada saksi, ia boleh dipertikai, maka perlu diputuskan oleh mahkamah kesahihannya.

PERBEZAAN ANTARA WANG SAGU HATI DAN RASUAH


Datuk Dr Mashitah Ibrahim

SOALAN
SAYA menguruskan urusan pembelian barang am pejabat. Saya menerima wang sagu hati tanda terima kasih kerana memberi tender kepada pembekal. Pembekal yang dipilih bukan atas dasar pilih kasih tetapi jika ada tiga pembekal aktif, semuanya akan diberi peluang.

Pada mulanya saya tidak mahu menerima wang berkenaan kerana amnya saya tahu ia berbentuk rasuah.

Namun mereka ikhlas memberi wang berkenaan supaya dapat digunakan oleh anggota pejabat lain. Selepas menerima wang itu saya menyerahkan semuanya kepada pegawai atasan.

Wang yang terkumpul itu akan dibelanjakan untuk menampung perbelanjaan pembelian atau penajaan aktiviti bahagian atau pejabat.

Pada pendapat Datuk, apakah perkara ini boleh diterima dalam Islam? Adakah perkara ini masih dianggap menerima rasuah?

RIZAL
Shah Alam, Selangor

JAWAPAN
Rasuah mempunyai takrifan yang luas. Dalam segi agama ia dijelaskan dalam ayat yang bermaksud: “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.” (Al-Baqarah: 188)

Yang jelas, jika pemberi menyatakan wang yang diserahkan itu ikhlas untuk digunakan oleh pejabat dan anggotanya serta ia adalah wang sebagai berkongsi rezeki tanda terima kasih dan syukur dengan rezeki yang dia peroleh, insya-Allah ia halal digunakan.

GERAI MAKAN, CURI ELEKTRIK DAN AIR

Datuk Dr Mashitah Ibrahim

SOALAN
SAYA ingin bertanya sesuatu. Apakah halal makanan yang kita beli daripada sebuah gerai yang diketahui bahawa pemilik gerai sudah berniaga dengan mencuri bekalan elektrik dan air? Apa pula hukum bagi orang yang membeli dan berniaga itu?

YUS
Kuala Terengganu


JAWAPAN
Istilah halal perlu dilihat beberapa sudut iaitu halal daripada segi zatnya iaitu ia bukan daripada perkara diharamkan Allah SWT. Seperti babi misalnya, begitu juga ia dinilai daripada segi sumbernya seperti dari mana datang hasil berkenaan.

Jika sudah jelas pemilik mencuri air dan elektrik, jelas sumbernya tidak halal.

Halal juga perlu disertakan dengan istilah toyiiba yakni halal serta baik iaitu aspek kebersihan dan kesihatan dititikberatkan.

Membuat sesuatu perkara ada beza hukumnya jika kita tahu dan tidak tahu. Jika pembeli tahu sumbernya tidak halal dan masih membeli, dia turut bersubahat dalam hal ini. Berbeza jika pembeli tidak tahu, maka dia dimaafkan.

HUKUM WUDUK SUAMI ISTERI IKUT MAZHAB


Datuk Dr Mashitah Ibrahim

SOALAN
DARIPADA persoalan lalu, Datuk ada beri penjelasan mengenai hukum wuduk apabila bersentuhan antara suami isteri seperti di bawah: “Persoalan sama ada wuduk batal dengan sentuhan suami isteri bermula daripada berbeza tafsiran ayat berkaitan wuduk... “Atau jika kamu (lelaki) menyentuh (laamastum) perempuan.” (al-Maidah: 6)

Ulama yang menafsirkan laamastum (mulamasah) pada ayat di atas — dengan maksud mengatakan batal wuduk jika bersentuhan lelaki dan wanita, termasuk suami isteri, dengan itu menurut mazhab Syafie, hukumnya batal secara mutlak (tanpa syarat). Ini termasuk dengan isteri sendiri.

Hanafi pula mentafsirkannya dengan jimak, bukan bersentuhan. Tafsiran mereka disokong oleh beberapa hadis riwayat Aisyah, katanya: Rasulullah SAW mencium atau mengucupnya, sedangkan baginda berpuasa, dan sabdanya: Sesungguhnya ciuman tidak membatalkan wuduk dan tidak membatalkan puasa. (Riwayat Ishak bin Rahawiyah dan al-Bazzar). Justeru, pada Hanafi: Menyentuh kulit perempuan ajnabi tidak membatalkan secara mutlak.

Ada hadis lain diriwayatkan al-Nasa’i dan Ahmada, juga daripada Aisyah, katanya: Nabi mencium sebahagian daripada isterinya kemudian dia keluar mengerjakan sembahyang dan tidak berwuduk.

Lalu Maliki menghimpunkan hujah yang dikemukakan ulama Syafie dan Hanafi dan berpandangan bahawa menyentuh kulit perempuan ajanabi membatalkan wuduk jika dengan tujuan ‘talazzuz’ (berlazat-lazat), atau mendapat kelazatan ketika bersentuhan. Begitulah rahmatnya perbezaan pandangan ulama yang semuanya benar, wallahualam.”

Saya ingin mendapatkan kepastian daripada Datuk, adakah menjadi kewajipan kita untuk mengikut satu mazhab, sebagai contoh di Malaysia kita gunakan Mazhab Imam Syafie atau kita dibolehkan untuk menggunakan mana-mana mazhab mengikut kemudahan kerana bersentuhan suami isteri mudah berlaku. Mohon penjelasan daripada Datuk.

MD HAFIZ
Bangi, Selangor


JAWAPAN
Terima kasih atas perhatian dalam persoalan ini. Mazhab ialah bahagian pemikiran hasil daripada pemahaman dan kajian dalam fiqah.

Mereka yang berkemampuan serta cukup syarat boleh berijtihad, sedangkan mereka yang tidak cukup syarat boleh bertaqlid dengan mana-mana mazhab yang muktabar, yakni yang diiktiraf. Mazhab yang mempunyai peraturan, kaedah mencukupi dan panduan sempurna lagi lengkap yang ditulis oleh ulama dibukukan bagi menjadi panduan dalam mengikut hukum bagi memudahkan mereka yang tidak berkemampuan berijtihad mengikutnya.

Dr Yusuf Al-Qaradhawi menyatakan di dalam karangannya “Fatawa Ma’asarah” bahawa ijtihad perlu kerana ada perkara tiada nas atau kadangkala yang ada nas tetapi mempunyai tafsiran berbeza.

Taqlid pula dilihat sebagai satu keistimewaan yang Allah SWT beri kepada manusia berasaskan perintah Allah: “Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.”

Menggunakan mazhab berbeza diistilahkan sebagai talfiq. Tiada salahnya kita mengikuti pandangan imam mazhab. Pandangan mereka perlu kita hormati kerana mereka bukan sembarangan manusia. Ilmu mereka sangat mendalam.

Jika kita mengikuti pandangan seseorang atau satu mazhab dengan berasaskan kefahaman kita yang mendalam pada dalil dan hujah mereka, talfiq jenis ini dibolehkan.

STATUS ANAK LUAR NIKAH


Dr Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN

BOLEHKAH saya menukar bin atau binti anak saya kepada nama suami saya yang berstatus anak luar nikah. Sekarang anak saya berusia tiga bulan dan berbinkan Abdullah.

Jika boleh, jabatan mana yang perlu saya rujuk mengenai perkara ini?

SUE,
Johor.


JAWAPAN

KEPUTUSAN Majlis Fatwa Kebangsaan adalah jelas dalam hal ini bahawa ‘Anak zina atau anak di luar nikah (anak tak sah taraf) sama ada diikuti dengan perkahwinan kedua-dua pasangan ibu bapanya atau tidak hendaklah dibin atau dibintikan kepada Abdullah.’ (http://www.e-fatwa.gov.my/jakim/keputusan_view.asp?keyID=61).

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertindak berasaskan fatwa itu dan orang ramai hendaklah berpandukan kepadanya. Ini dilakukan bagi menjaga keturunan supaya tidak bercampur aduk. Dengan itu anda tidak dibenarkan menukar bin atau binti anak puan kepada nama suami.

20 Oktober 2009

SUJUD SAHWI TAMPUNG KEKURANGAN SOLAT


Dr Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN
SAYA menghadapi masalah mengenai solat. Sewaktu saya solat Subuh, saya terlupa membaca doa qunut pada rakaat kedua.

Saya tersedar terlupa membaca doa qunut itu apabila sujud. Saya berdiri semula untuk membaca doa qunut. Adakah solat saya itu sah dan apakah hukum perbuatan saya?


NORASIDAH
Johor


JAWAPAN
MENURUT mazhab Syafie, membaca qunut dalam solat Subuh termasuk dalam sunat ab'adh iaitu perkara sunat dalam solat yang mesti dilakukan.

Selain qunut dalam solat Subuh, sunat ab'adh termasuk membaca tasyahhud awal, selawat atas nabi selepas tasyahhud awal, selawat atas keluarga nabi selepas tasyahhud akhir, duduk bagi membaca tasyahhud awwal dan akhir serta selawat atas nabi dan ahli keluarga selepas qunut.

Sesiapa tertinggal atau meninggalkan salah satu sunat ab'adh dikehendaki sujud sahwi.

Sujud sahwi (Arab, sujud as-sahwi) disyariatkan bagi menampung kekurangan dalam solat sehingga ia perlu diulangi kembali atas sebab tertinggal perkara bukan asas dalam solat atau menambah sesuatu dalam solat.

Sujud sahwi hendaklah dilakukan sebanyak dua kali sebelum memberi salam walaupun banyak perbuatan yang dilupai.

Ia disertai dengan niat sujud sahwi umpamanya tertinggal qunut dan tasyahhud awal.

Apa yang sepatutnya anda lakukan dalam kes di atas ialah meneruskan solat seperti biasa dan sujud sahwi sebelum memberi salam kerana tertinggal qunut.

Apabila sujud dengan sempurna, anda tidak dibenarkan bangkit kembali untuk membaca qunut. Ini kerana ia dikira menambah sesuatu dalam solat dan boleh mengakibatkan batal solat.

Melainkan anda ingat sebelum sujud secara sempurna (iaitu setelah meletakkan seluruh tujuh anggota), maka boleh kembali membaca qunut.

Dengan sujud sahwi, ia dapat mengelak solat daripada batal apabila menyedari perbuatan itu anda adalah salah. Bagaimanapun, sekiranya anda terlupa atau jahil mengenai perkara terbabit, tidak batal solat berkenaan (lihat juga http://www.brunet.bn/gov/mufti/irsyad/pelita/2004/ic11_2004.htm).

TINGGAL BERSAMA DALAM WAKTU EDDAH

Dr Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN
SAYA dan isteri sudah bercerai dan sehingga kini belum rujuk.

Sewaktu masih dalam edah kami tinggal bersama dan tidur bersama seperti pasangan suami isteri lain dengan kerelaan bersama.


Seperti yang diarahkan kami mengesahkan perceraian terbabit di mahkamah. Kami bercadang kembali bersama secara sah.

Adakah saya dan isteri dikira rujuk kerana sudah bersama pada malam terbabit?

YURI
Kuala Lumpur


JAWAPAN
DALAM keadaan terbabit anda sudah dikira rujuk kembali. Perkara ini hendaklah dilaporkan kepada pihak mahkamah untuk pengesahan rujuk terbabit sebagaimana pengesahan perceraian dibuat di mahkamah.

Dalam keadaan perceraian talak yang boleh dirujuk (raj'i), rujuk berlaku dengan kata-kata atau perbuatan seperti bersetubuh dan dorongan ke arahnya seperti pelukan dan ciuman.

Imam as-Syafi'e bagaimanapun hanya menerima rujuk melalui kata-kata sahaja (Sabiq 2000, II: 178).

SUAMI DAYUS

Datuk Dr Mashitah Ibrahim

SOALAN

SAYA berkahwin selama lapan tahun dan mempunyai tiga anak. Kebelakangan ini hubungan saya dan isteri agak tegang atas beberapa alasan.

Baru-baru ini isteri saya membuat pengakuan bahawa dia pernah curang kepada saya dan lebih menyedihkan, dia juga sudah terlanjur dengan teman lelakinya.

Isteri saya memohon ampun dan maaf kepada saya. Masalahnya ialah, saya sedia memaafkannya kerana terlalu sayang dan dia mengaku serta menyesal atas perbuatannya.

Adakah saya akan jadi suami yang dayus jika saya memaafkannya dan menerima dia kembali?

Setahu saya, suami yang dayus tidak dapat mencium bau syurga. Saya berharap Datuk dapat membantu saya mengenai persoalan ini. Saya tertekan kerana tidak tahu apa harus saya lakukan.

SUAMI BUNTU
Pulau Pinang



JAWAPAN

Dayus ialah istilah yang digunakan dalam beberapa hadis Rasulullah SAW seperti hadis ‘Tiga golongan yang Allah tidak akan melihat (bermakna tiada bantuan daripada dikenakan azab) mereka di hari kiamat: Si penderhaka kepada ibu bapa, si perempuan yang menyerupai lelaki dan si lelaki dayus.”

Ada juga hadis: “Tiga yang Allah haramkan baginya syurga: orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada ibu bapa dan si dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya.”

Secara ringkas, dayus merujuk kepada perbuatan seseorang suami yang tidak mengambil peduli untuk membendung isterinya melakukan kejahatan seperti berzina.

Jika sekarang tuan sudah tahu keadaan isteri, wajib tuan membendung dan mendidik isteri supaya kembali ke pangkal jalan.

Ini dijelaskan dalam ayat yang memberi perintah: “peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.” Memberi sebuah kemaafan adalah satu akhlak yang sangat mulia dan pekerti tinggi.

Ajaklah dia bertaubat dan kembali kepada kehidupan yang mulia. Jika selepas ini tuan sedar yang perkara ini berlaku lagi tetapi membiarkannya tanpa mengambil tindakan, maka inilah dikatakan dayus.

TAAT KEPADA SUAMI

Datuk Dr Mashitah Ibrahim

SOALAN

SAYA pembaca bukan Islam yang suka membaca ruangan ini. Saya suri rumah dan ada ramai kawan Melayu. Seorang daripada kawan rapat saya yang sangat baik orangnya mempunyai dua anak yang comel hasil perkahwinannya.



Masalah yang ingin saya tanya ialah, kawan saya terlalu baik dengan kawannya tetapi kurang memberi layanan batin kepada suami. Ini berdasarkan apa yang pernah diberitahunya kepada saya.

Dia selalu sangat tidak bertegur sapa dengan suami oleh kerana masalah yang remeh-temeh. Malah sekarang masih lagi tidak bercakap dengan suaminya, tanggungjawab batin sebagai isteri kepada suami tidak dijalankan.

Hal-hal lain dikira bagus sebab dia masih lagi menjalankan tanggungjawab menjaga makan minum suami.

Namun, pernah dia tidak bertegur sapa dengan suaminya hampir enam bulan dan selama itulah juga hubungan intim tidak berlaku. Pernah saya bertanya kepadanya adakah tidak menjadi kemurkaan Tuhan jika berbuat begitu, jawapannya adalah, kalau suami tidak meminta, tidak apa.

Sebenarnya saya tidak layak bertanya mengenai hukum hakam agama kerana saya bukan Islam, tetapi saya sayangkan kawan. Saya takut nanti perbuatannya menjadi kemurkaan Tuhan kerana dia rajin menjalankan sembahyang lima waktu dan juga tidak pernah meninggalkan puasa. Bagaimana pendapat Datuk?

MIAZARA
Johor


JAWAPAN

Terima kasih kerana mengikuti halaman ini. Halaman ini memberi kita ruang untuk bertukar-tukar pendapat dan juga menegur semua pembaca. Begitu juga saya ucapkan terima kasih kerana rasa keprihatinan terhadap kawan muslim puan. Dalam agama Islam, seorang isteri wajar memenuhi beberapa tuntutan untuk melayakkan dirinya menjadi orang baik dan ahli syurga.

Ini disebut dalam hadis Rasulullah SAW: “Apabila seorang isteri itu bersolat lima waktu, berpuasa wajib atas dirinya, menjaga kehormatan dirinya dan mentaati suaminya, dia layak untuk memilih mana-mana pintu syurga yang ingin dimasukinya.”

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa isteri perlu memenuhi syarat tertentu untuk menjadi solehah.

Sangat sedih bila isteri boleh tidak bertegur sapa dengan suami berbulan-bulan. Jika sesama Muslim pun hanya tiga hari yang dibolehkan berselisih selepas itu wajib bertegur sapa, apalagi antara suami isteri wajib dibetulkan hubungan itu.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Seorang isteri belum lagi memenuhi tuntutan tuhannya sehingga dia mendahulukan memenuhi tuntutan suaminya.” Begitulah besarnya amanah dan tanggungjawab isteri pada suami.

KETEPI NAMA SUAMI DALAM WASIAT

Datuk Dr Mashitah Ibrahim

SOALAN

SAYA sudah bernikah selama tiga tahun dan belum dikurniakan zuriat. Saya mempunyai sedikit harta dan wang simpanan.


Hubungan saya dengan suami agak dingin kerana dia tidak bertanggungjawab.

Dia tidak pernah memberi nafkah (zahir) kepada saya selama saya hidup bersamanya (hatta sehelai sapu tangan pun tidak pernah dibelikan untuk saya).

Malah dia pernah mencuri wang simpanan saya. Dia juga mengaku pernah berzina dengan wanita lain. Segala kelengkapan rumah, termasuk sewa rumah dan barang dapur, dibiayai oleh saya kerana suami lepas tangan dalam hal begini.

Disebabkan itu saya mengambil keputusan (menulis wasiat) melalui Amanah Raya dengan mewasiatkan rumah saya pada ibu dan simpanan serta lain-lain harta saya kepada adik perempuan saya (saya tiada saudara lelaki) untuk menguruskannya dengan sebaik mungkin.

Soalan saya, jika saya meninggal dunia:

1. Adakah suami saya berhak ke atas harta saya walaupun saya sudah wasiatkan pada ibu dan adik?

2. Adakah berdosa jika saya mengharamkan suami mengambil harta saya (disebabkan sikap tidak bertanggungjawabnya pada saya)?

3. Adakah wasiat saya itu boleh diguna pakai walaupun saya tidak mengikut hukum faraid?

AIDA
Alor Setar, Kedah



JAWAPAN

Seorang suami tetap mempunyai haknya terhadap harta isteri. Wasiat yang ditinggalkan mestilah wasiat yang baik supaya penerima wasiat yang layak menerima tidak dizalimi dan dianiayai dengan wasiat yang memudaratkan.

Bagaimanapun, harta puan boleh dibahagikan pada harta sepencarian dan harta puan sendiri dulu. Harta milik puan boleh diwasiatkan pada ibu dan adik.

Jika suami berhutang nafkah dengan puan, hendaklah dimaklumkan dulu supaya dia menjelaskan hutangnya sebelum dia boleh mendapat bahagian harta berkenaan. Harus bagi orang Islam meninggalkan wasiat sebelum mati.

Jika sudah ada wasiat yang tidak memudaratkan, maka yang terpakai ialah wasiat dan bukan faraid. Sebaik-baiknya selesaikan masalah puan bermula sekarang.

Jika suami tidak langsung bertanggungjawab, puan boleh menuntut hak puan dulu di mahkamah sebelum dia menuntut hak suami bila puan meninggal dunia nanti. Dengan cara ini puan ada hak untuk menuntut suami membayar hutangnya terlebih dulu pada puan.

NAZAR BERSYARAT PERLU DITUNAIKAN SEGERA

Dr Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN

SAYA keliru mengenai nazar. Adakah nazar mesti ditunaikan terus apabila yang dinazarkan itu dapat dicapai atau boleh dilakukan secara beransur-ansur dan bertangguh?


MUSYKIL,
Johor


JAWAPAN

NAZAR adalah janji atau sumpah untuk berbuat baik. Dalam istilah fiqah, nazar bermaksud mewajibkan diri untuk melakukan perkara yang tidak wajib dalam syarak demi mendekatkan diri kepada Allah dengan menyebut lafaz menunjukkan sedemikian.

Menurut Sayyid Sabiq (2000: III: 86) terdapat dua jenis nazar iaitu nazar yang bersyarat dan tidak bersyarat.

Contoh yang bersyarat ialah 'apabila aku sembuh daripada penyakit, aku akan memberi makan tiga orang miskin'.

Apabila sembuh daripada penyakit, nazarnya itu mesti ditunaikan terus. Jika seorang bernazar tanpa syarat seperti bernazar untuk sembahyang dua rakaat, maka dia perlu segera menunaikannya.

Allah berfirman maksudnya: "Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya, dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya..." (Q 22:29).

Apabila masih tidak menyempurnakannya, anda perlu segera berbuat demikian. Ia adalah seperti hutang yang perlu dilunaskan. Apabila gagal menyempurnakan atau menarik balik, maka wajib membayar kifarah pula.

TALAK BERGANTUG PADA NIAT

Dr Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN

SAYA pernah mengeluarkan kata-kata "kalau awak buat lagi... selamat tinggal." Adakah jatuh talak?

ZUL
Perak.


JAWAPAN
PERKATAAN 'selamat tinggal' yang diucapkan masih bersifat tidak jelas. Ia bergantung kepada niat anda sendiri sama ada ia bermaksud perceraian atau tidak.

Jika anda berniat talak, talak akan jatuh apabila isteri anda mengulangi perbuatan sedemikian. Talak ini dinamakan dengan talak dengan taklik, iaitu dinyatakan syarat dan kadangkala disebut dengan masa tertentu.

29 September 2009

PERBEZAAN ISTILAH MUHRIM, MAHRAM

Dr Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN

SAYA keliru mengenai istilah muhrim atau mahram. Bolehkah Dr memberikan sedikit penjelasan mengenainya?


SOLEHAH,
Kedah


JAWAPAN

MUHRIM (mahram, asalnya dalam bahasa Arab), bermaksud 'lelaki dan perempuan yang diharamkan berkahwin menurut Islam (seperti anak dengan emak dan lain-lain)'.

Sebab diharamkan kahwin ialah kerana nasab keturunan, sesusuan dan persemendaan atau sebab pertalian kahwin.

Muhram (mahram) kerana keturunan ialah:

# Ibu atau bapa.

# Nenek hingga ke atas sama ada dari sebelah bapa atau ibu.

# Anak perempuannya atau anak lelakinya dan cucu perempuannya atau cucu lelaki sehingga ke bawah.

# Saudara perempuan atau saudara lelaki sama ada seibu sebapa, sebapa atau seibu.

# Anak perempuan atau anak lelaki kepada saudara lelaki sama ada seibu sebapa, sebapa atau seibu.

# Emak saudara atau bapa saudara sebelah bapa hingga ke atas.

# Emak saudara atau bapa saudara sebelah ibu hingga ke atas.

Kemudian, muhrim kerana sesusuan ialah:

# Ibu penyusu atau lelaki yang ada hubungan dengannya melalui penyusuan.

# Saudara-saudara perempuan sesusuan. Dengan kata lain seseorang lelaki tidak boleh berkahwin semua perempuan yang diharamkan berkahwin oleh sebab nasab atau pertalian nikah dengan ibu yang menyusunya.

Muhrim kerana sebab pertalian kahwin (persemendaan) ialah: Ibu mentuanya atau bapa mentuanya hingga ke atas; emak tirinya atau bapa tirinya, iaitu isteri bapanya atau suami ibunya; nenek tirinya; menantunya; anak perempuan atau anak lelaki tirinya hingga ke bawah.

Dengan itu, setiap wanita yang diharamkan berkahwin ke atas seorang lelaki secara tetap, dia ialah salah seorang mahramnya.

Setiap lelaki yang diharamkan berkahwin ke atas wanita secara tetap, dia juga salah seorang daripada mahramnya seperti yang di atas.

Bagi wanita yang belum bersuami, Islam menasihatkan supaya mereka ditemani mahramnya ketika berjalan dan sebagainya untuk menjaga keselamatan dan lain-lain.

GUGUR JANIN TUTUP AIB

Datuk Dr Mashitah Ibrahim

SOALAN

SAYA ada kemusykilan mengenai hukum menggugurkan janin yang berusia lebih dua bulan oleh keluarga bagi mengelak aib.


Gadis ini terlanjur dengan teman lelakinya dan mengandung lebih dua bulan. Selepas diketahui keluarganya, mereka nekad menggugurkan kandungan berkenaan di klinik swasta walaupun dibantah gadis terbabit.

Keluarga ini difahamkan bahawa pengguguran itu harus dalam Islam bagi mengelak keaiban pada masa depan. Adakah pengguguran ini termasuk dalam kategori harus dalam Islam?

Bagaimana pula dengan janin itu, adakah ia perlu dikebumikan mengikut Islam? Bagaimana pula pandangan Islam iaitu keluarga seolah-olah bersubahat jika pengguguran haram di sisi agama?

MOHD
Melaka


JAWAPAN

Rasa aib dan malu sepatutnya dirasakan bila kita melanggar perintah Allah atau melakukan maksiat pada Allah. Sepatutnya mereka merasa malu pada Allah bila membiarkan anak bersetubuh secara haram sebelum kahwin. Pada dasarnya, menggugurkan anak dalam kandungan adalah haram dan berdosa besar.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kali Ke-52 pada 1 Julai 2002 membuat keputusan: Haram menggugurkan kandungan janin berumur lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang ditiupkan roh, kecuali untuk menyelamatkan nyawa ibu.

Pengguguran janin berumur sebelum 120 hari adalah harus jika janin itu cacat dan mengalami penyakit teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.

Bagaimanapun dalam kes ini tiada alasan yang mengharuskan janin digugur, sebaliknya ia sekadar menutup aib. Bertaubatlah pada Allah dengan dosa yang dilakukan.

BERDOSA ISTERI BUAT SUAMI CEMBURU

Datuk Dr Mashitah Ibrahim

SOALAN

SAYA ingin bertanya mengenai peranan isteri dan dosa. Apakah hukumnya jika seorang isteri berkawan dengan lelaki lain tanpa pengetahuan suaminya?


Mereka berkawan hanya melalui telefon bimbit dan Internet. Adakah si isteri dianggap berdosa walhal berkawan hanya untuk bertukar-tukar fikiran dan pendapat.

Selain itu, adakah seorang isteri berdosa jika berkawan dengan suami orang tanpa sebarang perasaan cinta, sebaliknya sekadar berkawan.

Dan bolehkah seseorang isteri berkawan dengan lelaki lain untuk membuatkan suaminya cemburu dan sayang pada isteri kerana si suami ada hubungan dengan wanita lain? Dalam erti kata lain supaya suami beri perhatian pada si isteri?

AJ
Klang


JAWAPAN

Seorang lelaki dan perempuan mempunyai batas pergaulan. Apalagi jika berstatus sebagai isteri, pergaulannya lebih terbatas.

Dia boleh mempunyai kawan berlainan jantina tetapi perlu menjaga kehormatan dirinya sebagai isteri orang dan perkara ini harus dalam makluman suami supaya tidak timbul fitnah sesama mereka.

Sebagai sahabat, kita dituntut mengasihi sesama umat Islam seperti tuntutan dalam hadis Rasulullah SAW. Wajib menjaga batasan pergaulan seperti menjaga pandangan serta tidak bergaul di tempat sunyi yang boleh menimbulkan fitnah. Suami perlu memberi perhatian dan kasih sayang pada isterinya dan bukan isteri orang.

Jika isteri terpaksa berhubung dengan lelaki lain dengan niat menarik perhatian suami yang mempunyai hubungan dengan perempuan lain pula, kedua-duanya berdosa.

Ingatlah pesan Nabi Muhammad SAW: ‘bila seorang lelaki bersama perempuan lain yang bukan mahramnya maka orang yang ketiga adalah syaitan’. Oleh itu berwaspadalah dengan tindakan anda.

KAFARAH KERANA JIMAK DI BULAN RAMADHAN

Datuk Dr Mashitah Ibrahim

SOALAN

SAYA musykil dan ingin bertanya berkenaan hukum berjimak bagi suami isteri pada siang hari di bulan Ramadan. Ada pendapat menyatakan wajib kafarah bagi kedua-duanya jika puasanya terbatal akibat bersetubuh. Ada pendapat menyatakan jika puasanya sudah terbatal dulu dengan minum air misalnya selepas itu baru berjimak maka tidak wajib kafarah. Hanya wajib qada puasa yang terbatal itu.

MIKHAIL
Johor Bahru


JAWAPAN
Setiap amalan dilakukan akan dinilai dengan niat kita melakukannya.

Allah mengetahui niat seseorang hamba. Ramadan perlu dihormati. Berpuasa di bulan Ramadan adalah satu daripada perkara wajib bagi umat Islam. Oleh itu, berbuka puasa secara sengaja adalah berdosa.

Jika seseorang membatalkan puasa dengan niat untuk bersetubuh, walaupun puasa dibatalkan dengan minum air terlebih dulu tetapi memang berniat untuk berjimak, kafarah tetap dikenakan.

Dengan demikian anda bukan saja berdosa kerana berjimak, malah berdosa kerana berbuka puasa.

Puasa yang dibatalkan wajib diganti. Hukum melakukan jimak di bulan Ramadan adalah haram walaupun perbuatan itu didahului dengan berbuka puasa kerana perbuatan itu mencabuli kehormatan bulan Ramadan.

Kafarah puasa ialah pertama memerdeka hamba dan kedua berpuasa dua bulan berturut-turut. Ketiga memberi makan 60 orang miskin.

15 September 2009

KEPALSUAN HADIS KELEBIHAN TERAWIH

Sumber: www.bharian.com.my

Diterbitkan dan diedar secara percuma oleh:

DARUL QURAN WAS-SUNNAH
Lot 1499, Taman Seri Demit, Jalan Sultanah Zainab 2
Kubang Kerian, 16150 Kota Bharu, Kelantan.
Tel: 09-7645816

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang

Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata'ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu 'alaihi wasallam serta para sahabatnya.

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan Tarawih pada malam-malam Ramadan telah tersebar dengan meluas sekali. Media elektronik, cetak serta media massa lain turut memainkan peranan menyebarkannya melalui akhbar, dairi Islam, TV, radio, risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat, terutamanya dalam bulan yang diberkati itu. Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut,

Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadilat sembahyang Tarawih pada bulan Ramadan antaranya:

* Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).


* Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.


* Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.


* Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.

* Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.


* Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W.


* Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh



Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanah air mengenai kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini. Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang Tarawih dan kedudukannya dalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama kita dahulu.

Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya: Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori, Muslim)

Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).

Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu'ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis mengenai pendustaan atas nama Nabi Muhammad s.a.w. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad s.a.w. di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam? seterusnya dia berkata: Ulama sudahpun sepakat mengenai haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga. Firman Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4).

Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan Tarawih dalam bulan Ramadan seperti kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang sebenarnya hadis itu pun direka atas nama nabi Muhammad s.a.w. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang Zuhur dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri. Jika dia meninggalkan sembahyang Asar dosanya adalah seperti meruntuhkan Kaabah.

Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)

Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan ke dalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)

Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan Tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun seksaannya, namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.

Antara ciri-ciri hadis maudhu`(rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah

1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad s.a.w. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.


2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan sedangkan ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur'an dan hadis-hadis sahih.


3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi seperti yang terdapat dalam hadis-hadis sahih.


4. Dalam sesetengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan "Ya Ali" sedangkan ulama hadis sudah mengatakan bahawa hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang sahih. Yang lainnya palsu.


Oleh itu umat Islam sekalian, terutamanya pihak seperti institusi agama di peringkat negeri dan pusat, sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan dakyah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.