.

11 September 2013

HAIWAN YANG HARAM DIMAKAN

Dr. Mashitah Ibrahim

SOALAN

Apakah hukumnya memakan haiwan seperti tupai, monyet, kelawar, biawak dan ular sawa? Ini kerana saya terkejut apabila tunang mengaku pernah memakan haiwan itu.

Saya sudah jelas bahawa haiwan itu haram dimakan, selain merujuk pada pendapat orang terdekat dan Internet. Ada juga pendapatnya yang mengelirukan. Saya risaukan tunang saya yang kini bekerja di seberang laut.

Saya juga ingin tahu, adakah Islam membenarkan umatnya memakan organ seks haiwan seperti testikal lembu dan kambing?

TUNANG RISAU
Johor


JAWAPAN

Islam tidak mengharamkan memakan sesuatu melainkan ia tidak baik untuk manusia. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW menyatakan “seluruh binatang pemangsa dengan gigi taring haram memakannya.”

Ini bermakna binatang buas bertaring dan burung berkuku cengkam untuk menangkap mangsa dan memakan haiwan lain (karnivor) adalah haram dimakan.

Begitu juga haiwan yang dikategorikan sebagai “khaba-is” atau kotor dan haiwan yang diperintahkan untuk dibunuh tanpa melalui proses penyembelihan adalah haram dimakan.

Dengan ini, haiwan yang disebut saudari adalah haram dimakan. Begitu juga haiwan yang hidup dua alam seperti kura-kura, penyu dan katak.

Lembu dan kambing halal dimakan bila disembelih. Bagaimanapun, bahagian yang haram dimakan walau selepas disembelih ialah darah, najis dan kotoran, organ kelamin zakar dan faraj, pundi kencing dan hempedu.

Makanlah daripada selainnya yang banyak dan halal. Kenapa perlu memilih untuk makan yang diharamkan daripada sedikit itu.

USAH SEBAR AIB ORANG

Dr. Mashitah Ibrahim

SOALAN

Wajarkah atau berdosakah seseorang itu menafikan dia pernah berzina apabila aibnya diketahui orang lain, bagi menutup keaibannya daripada terus tersebar, sedangkan benar dia berzina?

AWI
Segamat


JAWAPAN

Kita harus faham apa perlu didedahkan dan disimpan. Perkara baik yang boleh menjadi ikutan dan teladan kepada orang sewajarnya diuar-uarkan supaya menjadi contoh.

Perkara tidak baik tidak wajar didedahkan. Rasulullah SAW bersabda: “Wahai kumpulan orang yang beriman dengan lidahnya tetapi tidak masuk ke dalam jiwanya, jangan kamu mengumpat orang Islam dan jangan kamu mengesan atau mencari-cari rahsia mereka kerana sesiapa yang mengesan rahsia mereka, Allah pula akan mengesan dan membuka rahsianya, dan sesiapa yang Allah buka rahsianya, dimalukan dia dalam rumahnya sekali. (sekalipun dirahsiakannya)
Allah SWT mencela dalam surah al-Hujurat, ayat 12: “Jangan setengah kamu suka mengumpat setengahnya, adakah seseorang itu suka makan daging saudaranya dalam keadaan mati, tentulah kamu semua tidak menyukainya.”


Bila berdepan keaiban orang lain, usah terlalu ghairah membuka aibnya, sebaliknya cari jalan untuk menutupnya. Semoga dia insaf untuk kembali bertaubat.

21 Ogos 2013

KAKI AURAT WANITA

Dr. Mashitah Ibrahim

SOALAN

Adakah pemakaian stoking bagi wanita untuk menutup auratnya wajib atau tidak? Saya banyak mendengar pendapat ustaz mengatakan stoking tidak wajib dipakai seorang wanita bagi menutup auratnya daripada dilihat kaum ajnabi.

Seperti dinyatakan semua ustaz, tidak wajib memakai stoking kerana kain yang labuh menutupi kaki seseorang. Namun bila difikirkan kembali, kain yang menutupi kaki adalah sewaktu seseorang berdiri tanpa berjalan.

Apabila wanita melangkah, sebahagian kakinya akan terlihat. Itu yang menjadi kemusykilan pada saya. Maksudnya sewaktu wanita berjalan, kakinya tetap terlihat oleh kaum ajnabi. Lagi-lagi bila wanita itu memakai sandal. Saya perlukan jawapan tepat dan terperinci.

SITI
Klang, Selangor



JAWAPAN
Ulama mempunyai pandangan dan tafsiran berbeza namun mereka adalah mujtahid yang datang dengan dalil sah dalam hal ini.

Berikut saya perturunkan pandangan ulama yang berbeza dalam hal ini.

Mazhab Hanafi mengatakan kaki wanita tidak termasuk dalam lingkungan aurat.
Mazhab Maliki dalam pendapat muktamad mengatakan kaki bukan aurat.
Mazhab Syafi’e pula mengatakan ia sebagai aurat.
Mazhab Hambali pula menghukumkan kaki wanita sebagai aurat.


Ia boleh merujuk kepada kitab Feq ala Mazahib Arbaah juz 1 muka surat 584 dan Al-Mufassal Dr Abb Karim Zaidan ada disebutkan satu bab khas mengenai kaki dengan tajuknya, “Adakah kaki wanita dikira sebagai aurat?” (Rujuk Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar ah wa albait al-Muslim fi al-Syari’ati al-Islamiah, Jilid 3, masalah 2282, ms 198

ENAM TANDA TAUBAT DITERIMA ALLAH

Fikrah Dr. Salam

Setiap orang dianjurkan bertaubat sebagaimana firman Allah dalam surah an-Nur, ayat 31, maksudnya: “...dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang yang beriman supaya kamu berjaya.”

Syarat bertaubat, seseorang itu dikehendaki memohon keampunan, berhenti daripada melakukan dosa, menyesali perbuatan maksiat, berjanji tidak akan mengulanginya lagi, meminta maaf kepada pihak berkaitan serta memperbanyakkan amal soleh.

Taubat seorang yang ikhlas akan diterima Allah seperti diterangkan dalam hadis riwayat Ibnu Majah daripada Abu Hurairah RA, Nabi bersabda: “Jika kamu berbuat kesalahan sehingga sampai ke langit, kemudian kamu menyesal, nescaya Allah akan menerima taubatmu.”

Mengikut ahli bijak pandai, tanda diterima taubat itu ada enam, iaitu:


1. Beranggapan dirinya tidak terjaga daripada melakukan dosa.



2. Hatinya jauh daripada kegembiraan dan kesedihan selalu dekat dengan hatinya. Maksudnya dia selalu bersusah hati apabila memikirkan nasibnya di akhirat kelak dan kerana itu dia tidak terpedaya dengan kesenangan dunia.


3. Mendekati orang yang baik dan menjauhi orang jahat (buruk perangai) kerana takut jatuh ke dalam maksiat.


4. Berasakan rezeki dari Allah sangat banyak (dan selalu mensyukurinya).

Seterusnya dia mengambil sebahagian daripadanya sekadar untuk memenuhi keperluan hajat hidupnya.

Pada masa sama dia berasa amal solehnya masih sedikit sehingga berusaha menambahnya dari semasa ke semasa.


5. Hatinya selalu sibuk dengan pelbagai kewajipan dari Allah, namun tidak pernah khuatir dan berkecil hati mengenai rezeki yang diterima kerana dia yakin semuanya sudah dijamin Allah SWT.


6. Sentiasa memelihara dan menjaga lisan serta menyesal selepas melakukan maksiat. Hal ini sebagaimana sabda Nabi SAW, maksudnya: “Amal yang paling dicintai Allah adalah menjaga lidah.” (Riwayat al-Baihaqi)

Dalam hadis lain diriwayatkan Ibnu Nashr, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya manusia yang paling banyak dosanya pada hari kiamat adalah orang yang paling banyak memperkatakan hal yang tidak berguna.”

HUKUM MERAUP MUKA SELEPAS MEMBERI SALAM SOLAT

Fikrah Dr. Salam

SOALAN

Saya keliru mengenai perbuatan meraup muka selepas selesai memberi salam dalam solat.

Bolehkan Dr memberikan sedikit penjelasan mengenai hukumnya?

Ini kerana setahu saya ada dua hadis mengenai meraup muka dan kebanyakan ulama mengatakan kedua-dua hadis itu sangat daif serta tidak boleh dijadikan hujah.

Ahmad,
Pahang


JAWAPAN
Secara umumnya perbuatan itu tidak haram atau bidaah, malah ada hujah seperti yang anda katakan iaitu terdapat dalam riwayat hadis daif.

Hadis daif dihukum boleh beramal dengannya dan sesiapa yang beramal dengannya mudah-mudahan mendapat ganjaran sunat.

Antaranya hadis: “Rasulullah SAW apabila selesai daripada solatnya, maka Nabi menyapu dahinya dengan tangan kanannya sambil berdoa: ‘Asyhadu an la ilaaha illallah ar-Rahman ar-Rahiim. Allahumma azhib ‘an al-hamm wa al-aza’

(Aku naik saksi tiada Tuhan selain Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Ya Allah jauhkan daripadaku kesakitan dan kedukacitaan).” (Riwayat at-Thabrani)

Sementara itu, meninggalkannya tidak menjejaskan solat kerana perbuatan meraup atau menyapu muka selepas selesai memberi salam berlaku di luar solat.

04 Julai 2013

HADIAH PAHALA KEPADA ORANG TELAH MENINGGAL DUNIA

SOALAN

Orang sering kirim doa, alfatihah, Surah Yasin, dll. Apakah ibadat badaniah seperti solat, puasa, bacaan al-Quran dan zikir memberi pahala kepada si mati?

JAWAPAN
Terdapat perbezaan dalam masalah ini, iaitu:

Golongan Pertama:
Abu Hanifah, Ahmad, jumhur ulama’ salaf dan golongan Asya’irah - mereka berpendapat bahawa pahala dari ibadat badaniah sampai kepada si mati.

Dalil:
Golongan ini berhujjah dengan dalil al-Quran, al-Sunnah, al-Ijma’ dan Qias yang benar. Dalil-dalil mereka adalah sebagai berikut:

Dalil yang menunjukkan bahawa istighfar orang yang hidup memberi manfaat kepada orang yang telah mati.

Firman Allah Ta’ala,

Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman..". (Surah al-Hasyr: 10)

Ayat di atas menunjukkan Allah Ta’ala memberi pujian kepada mereka yang beristighfar untuk kaum muslimin sebelum mereka.
Dalil yang menunjukkan bahwa doa orang hidup sampai kepada orang mati ialah dengan ijmak kaum muslimin tentang pensyari’atan doa untuk si mati di dalam solat jenazah.

Doa-doa untuk si mayat dalam solat jenazah terlalu banyak. Begitu juga doa kepadanya selepas dikuburkan, antaranya ialah sebuah hadis yang tersebut dalam sunan Abi Daud:

Dari Uthman bin Affan r.a., katanya: Adalah Rasulullah s.a.w. apabila selesai mengebumikan mayat, baginda berdiri atasnya, lalau berkata: "Mohonlah keampunan untuk saudaramu, dan pohonlah ketetapan untuknya. Maka sesungguhnya dia sekarang sedang disoal."

Terdapat juga di dalam Sahih Muslim:

Ertinya: Dari Aisyah r.a.: Aku bertanya Nabi s.a.w.: Bagaimana ucapan apabila memohon keampunan (istighfar) untuk ahli kubur? Baginda bersabda: Engkau katalah: Salam sejahtera atas ahli kubur dari kaum mukmin dan muslim. Dan semoga Allah merahmati orang yang terdahulu dan terkemudian dari kami dan kamu. Dan kami insyaallah akan menyusulmu."
Dalil mengenai pahala sedekah kepada si mati seperti yang terdapat di dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim:
Mengenai sampai pahala puasa pula ialah sebagaimana hadis yang terdapat di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim:

Hanya di dalam masalah ini, Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa puasa yang ditinggalkan oleh si mati tidak dapat digantikan dengan puasa sebagaimana yang disebutkan pada hadis di atas. Beliau mengatakan puasanya perlu diganti dengan memberi makan sebagaimana yang terdapat di dalam hadis Ibnu Abbas.

Mengenai sampainya pahala haji, al-Bukhari telah meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibnu Abbas r.a.:
Qias.

Pertama - telah maklum bahwa pahala untuk satu-satu amalan adalah menjadi hak pengamal itu sendiri. Selanjutnya jika dia menghibahkan (memberikan) pahala yang dimilikinya itu kepada saudaranya sesama Islam, sudah tentu dibolehkan tanpa ada halangan. Hal ini samalah seperti seandainya dia memberikan suatu barang daripada hartanya kepada saudaranya semasa hayatnya.

Kedua - syari’at Islam dengan jelas telah menegaskan bahawa pahala puasa sampai kepada si mati menunjukkan bahwa pahala bacaan al-Quran dan ibadat badaniah lainnya juga sampai kepada si mati. Dari satu sudut pula cuba kita lihat, bahawa ibadat puasa yang amalannya amat berat sekali iaitu dengan menahan diri daripada makan, minum dan lainnya dengan disertai oleh niat

SUMPAH BATAL DENGAN KAFARAH

Fikrah Dr. Salam

SOALAN

Antara saya dan pasangan berlaku pertengkaran kecil baru-baru ini. Berikutan itu, saya menghantar satu SMS untuk memberi kepercayaan kepadanya. Ia berbunyi seperti: ‘Saya berjanji dan bersumpah jika terjadinya perkara begini lagi, maka dengan ini gugur hubungan kita.’

Bagaimanapun, pasangan saya tidak bersetuju dengan SMS yang saya berikan itu. Mohon perjelasan Dr, adakah ini dikira taklik dan jika benar, bagaimanakah untuk saya membatalkan taklik ini? Bantuan Dr amat dihargai.

Abidurrahman
Kuala Lumpur


JAWAPAN

Cerai taklik ialah perceraian yang dikaitkan dengan sesuatu syarat ditetapkan. Kata-kata di atas termasuk dalam kategori taklik cerai. Ia juga dibuat dalam bentuk sumpah.

Anda boleh membatalkan sumpah berkenaan. Cuma ia perlu dibayar kafarah (kifarat) sumpah apabila sumpah dibatalkan.

Termasuk dalam kafarah sumpah ialah sama ada anda (memilih) memberi makan 10 orang miskin, memberi mereka pakaian atau memerdekakan seorang hamba.

Sekiranya anda tidak mampu melakukan satu daripadanya, hendaklah berpuasa sebanyak tiga hari sebagai ganti.

Hal ini dijelaskan dalam ayat al-Quran, maksudnya: “Kamu tidak dikira salah oleh Allah mengenai sumpah kamu yang tidak disengajakan, tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat.

“Dendanya ialah memberi makan 10 orang miskin daripada jenis makanan sederhana yang kamu berikan kepada keluarga kamu atau memberi pakaian untuk mereka atau memerdekakan seorang hamba.

“Kemudian sesiapa yang tidak dapat, maka hendaklah dia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda sumpahmu apabila kamu bersumpah.

“Dan jagalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-Nya supaya kamu bersyukur.”
(Surah al-Ma’idah, ayat 89)

PERBANDINGAN 4 MAZHAB - WUDHU' BATAL SENTUH WANITA

SOALAN

Apakah menyentuh wanita membatalkan wudhu'?


JAWAPAN
Dalam hal ini ada 2 pendapat:

Pendapat pertama : tidak membatalkan wudhu'
Hanafi: Menyentuh kulit perempuan ajnabi tidak membatalkan secara mutlak, meski dengan tujuan talazzuz atau merasainya ketika bersentuhan.

Dalil:
"Atau jika kamu (lelaki) menyentuh (laamastum) perempuan." (al-Maidah:6)

a. Hanafi menafsirkannya laamastum dengan jimak, bukan bersentuhan
b. Rasulullah saw disentuh Aisyah ketika solat malam, tapi beliau tetap melangsungkan solatnya (HR Muslim).

Demikian pula bahwa Rasulullah saw mencium istrinya kemudian pergi ke masjid dan solat tanpa wudhu' lagi (HR. Ahmad dan Al-Arbaah)

Pendapat kedua : membatalkan wudhu'

Mazhab Syafi'i, hukumnya batal secara mutlak (tanpa syarat). Ini termasuk dengan isteri sendiri.


Mazhab Maliki: Menyentuh kulit perempuan ajanabi (asing/bukan muhrim) membatalkan wudhu' jika dengan tujuan `talazzuz' (berlazat-lazat), atau mendapat kelazatan ketika bersentuhan.


Dalil
"Atau jika kamu (lelaki) menyentuh (laamastum) perempuan." (al-Maidah:6)
Mereka menafsirkan laamastum (mulamasah) pada ayat di atas- dengan maksud bersentuhan (al-lams)

Manakala Maliki menghimpunkan hujah-hujah yang dikemukakan oleh ulamak syafi'i dan hanafi.

(lihat: Dr Muhamad Bakar Ismail di dalam al-Feqh al-Wadhih minal Kitab was Sunnah, vol 1, hal 62)

27 Jun 2013

BUAT PINJAMAN UNTUK MENUNAIKAN HAJI

Dr. Mashitah Ibrahim
SOALAN

Saya kakitangan kerajaan dan berhasrat menunaikan fardu haji. Bolehkah saya membuat pinjaman peribadi daripada bank bagi membiayai kos menunaikan haji?

Kalau mengharapkan simpanan hingga cukup, mungkin lambat dan kita tidak tahu sama ada kita berkesempatan atau tidak.

Walaupun umur masih muda, ajal dan maut adalah ketentuan Allah SWT. Oleh itu saya berazam menunaikan haji pada waktu muda sementara tubuh masih sihat dan bertenaga.

AJ
Alor Gajah


JAWAPAN

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bermuzakarah kali ke-69 pada Jun 2005 membuat keputusan bahawa harus bagi seseorang berhutang untuk menunaikan haji atau umrah jika diyakini mampu membayar balik hutang itu dan ia tidak menjejaskan kehidupan normalnya.

Juga disyaratkan bahawa institusi yang memberi hutang mementingkan prinsip ikhlas taawun, adil dan telus dalam skim pinjaman itu dan bebas daripada unsur riba.

KAHWIN GUNA DUIT ARWAH ISTERI

Dr. Mashitah

SOALAN

Ibu saya meninggal dunia pada Julai 2012 dan meninggalkan sejumlah wang dan barang kemas. Saya mempunyai tiga adik- beradik dan seorang nenek, iaitu ibu kepada arwah ibu.

Kami pernah berbincang dengan ayah mengenai faraid tapi dia seperti tidak ambil kisah.

Abang sulung pernah memberitahunya supaya menjalankan faraid semua harta peninggalan ibu sebelum ayah bernikah lagi.

Selepas ayah bernikah pada Disember 2012, dia masih tidak menunaikan tanggungjawab itu.

Sebaliknya, ayah berbelanja besar untuk majlis perkahwinannya dan saya tidak diberikan barangan kemas peninggalan arwah ibu.

Kami dan saudara-mara yang lain sudah beberapa kali menasihati ayah, tapi dia masih begitu.

ZATA
Besut


JAWAPAN

Harta pusaka wajib dibahagikan mengikut syarak. Berdosa besar memakan harta pusaka apabila pewarisnya masih ada dan mereka berhak menuntut.

Sebaik-baiknya, semua anak berkumpul dan memaklumkan secara rasmi pada ayah supaya jelas mana harta ibu yang wajib difaraidkan.

Bagaimanapun, tidak perlu sampai mengambil tindakan undang- undang kerana sebaik- baiknya kemelut ini diselesaikan secara keluarga.

JATUH TALAK DIBUAT SYARAT

Dr. Mashitah

SOALAN

Beberapa bulan lalu, kami suami isteri bertengkar dan menyebabkan suami berkasar dengan saya tanpa niat mencederakan, gara-gara perihal anak.

Sensitif dengan perbuatannya, saya meletakkan syarat jika suami berlaku kasar terhadap saya lagi, serta-merta jatuh talak.

Permulaannya suami berat untuk bersetuju tetapi melihatkan saya berkeras, akhirnya dia melafazkan dan kami berbaik semula.

Baru-baru ini, suami hampir berkasar lagi dengan memegang dan menarik tangan saya dengan kuat, lalu saya mengingatkan dia mengenai lafaz yang dibuat, lalu dia kembali tenang dan memujuk saya.


Soalan saya, adakah jatuh talak ketika itu? Dan kalau tidak terjatuh, bagaimanakah untuk menarik semula lafaz itu?


ISTERI RUNSING
Linggi


JAWAPAN

Usah bermain dengan talak. Jangan jadikannya syarat perkara kecil seperti pertelingkahan ini, bimbang kelak memakan diri. Suami puan jelas mempunyai sifat panas baran.

Cari jalan lain untuk menyejukkan dirinya dan bukan menjadikan talak sebagai syarat. Jika diikutkan jalan cerita, suami puan hanya hampir berkasar, maka belum jatuh talak.

ISTERI AKUI CURANG BERULANG KALI

Dr. Mashitah


SOALAN

Saya ada beberapa persoalan dan memohon pandangan serta nasihat.

1. Wajib atau tidak bagi suami untuk menceraikan isterinya selepas isteri membuat pengakuan berlaku curang sehingga terlanjur (zina) dengan lelaki lain? Si isteri insaf dan bertaubat ketika pengakuan dibuat.

2. Adakah suami dikira dayus jika memaafkan segala dosa si isteri dan tidak menceraikannya dengan alasan sayangkan isteri dan anak?

3. Selepas bertaubat, si isteri menemui semula lelaki lain dan sekali lagi mereka terlanjur. Kemudian si isteri membuat pengakuan kepada si suami dan bertaubat untuk kali kedua. Adakah si suami masih boleh memaafkan si isteri dan meneruskan perkahwinan? Si suami masih sayangkan isteri dan anak dan jika boleh, mahu meneruskan perkahwinan.


4. Jika si suami menceraikan isteri atas sebab-sebab di atas, bolehkah mereka rujuk semula ketika idah atau berkahwin semula selepas tempoh idah?



HAFIZ
Selayang,


JAWAPAN


Memaafkan orang yang bersalah sangat dianjurkan dalam Islam. Ia adalah sifat yang sangat mulia dan terpuji di sisi Allah.

Sesiapa yang bertaubat mesti jujur dalam taubatnya.

Taubat terbaik ialah taubat nasuha iaitu taubat yang benar-benar membersihkan seorang Islam sehingga dia tidak mahu lagi kembali kepada dosa lama.

Jika seorang yang bertaubat kembali melakukan dosa, dia perlu mengulangi taubatnya.

Manusia memang lemah berdepan nafsu sehingga tidak mustahil boleh melakukan dosa berulang kali.

Dayus suami jika dia membiarkan isterinya dalam maksiat tanpa rasa cemburu, tetapi suami juga mempunyai hak memaafkan isterinya demi menyelamatkan isteri daripada terus berdosa dan menyelamatkan keluarga.

LIAT SOLAT DAN GURAUAN MELAMPAU

Fikrah Dr. Salam


SOALAN

Saya ingin bertanya beberapa pandangan daripada Dr mengenai masalah dihadapi iaitu mengenai suami yang sering meninggalkan solat Subuh dan bila dikejutkan dia cakap ‘kejap-kejap’.

Apabila saya mengejutnya banyak kali, mulalah dia marah. Jadi, saya biarkan walaupun hati sangat sedih dengan tindakannya.

Selain itu, mengenai gurauannya yang agak melampau seperti kadang-kadang disuruh mencium kakinya kerana katanya syurga isteri di bawah kakinya. Walaupun hanya gurauan, tapi saya rasa macam dihina.

Malah, dia juga apabila ditegur mengenai kesalahannya mulalah mencarut kepada saya dan buat saya seperti tiada perasaan. Saya bercadang selepas bersalin ingin duduk berasingan dengan suami. Saya betul-betul tidak tahan dengan perlakuannya.


Isteri keliru
Kelantan


JAWAPAN


Meninggalkan solat secara sengaja adalah berdosa besar. Ini kerana solat adalah tanggungjawab yang Allah wajibkan ke atas setiap orang Islam apabila mencapai umur baligh.

Nabi SAW bersabda maksudnya: “Solat itu tiang agama.” Tentu saja kealpaan terhadap tanggungjawab itu mempengaruhi perangai dan tingkah laku seseorang.

Firman Allah bermaksud: “Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahikan kepadamu daripada al-Quran dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar...” (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Selain itu, perbuatan keji suami seperti melakukan gurauan yang menghina isteri serta mengeluarkan perkataan mencarut dan sebagainya adalah bertentangan dengan akhlak Islam.

Seorang suami sepatutnya melayan isteri dengan baik. Nabi SAW pernah bersabda maksudnya: “Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya dan aku adalah yang terbaik daripada kamu terhadap keluargaku. Orang yang memuliakan wanita adalah orang mulia dan orang menghina wanita adalah orang tidak tahu budi.”

Bagaimanapun, cadangan untuk berpisah atau tinggal berasingan bukan cara yang terbaik dalam hal ini. Ini kerana puan perlu memahami setiap manusia ada kelemahannya. Begitu juga dengan suami puan.

Pada pandangan saya, puan perlu banyak bersabar buat masa sekarang. Minta pertolongan daripada Allah dalam berusaha mengubah keadaan rumah tangga dan perangai suami. Mudah-mudahan semuanya mendatangkan anugerah pahala daripada Allah.

Seterusnya Islam mengajar supaya suami dan isteri perlu berdamai dengan hubungan antara mereka.

Ini jelas apabila Allah berfirman dengan maksud: “Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul daripada suaminya nusyuz atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka membuat perdamaian di antara mereka berdua, kerana perdamaian itu lebih baik; sedang sifat bakhil itu memang tabiat semula jadi manusia. Dan jika kamu berlaku baik dan mencegah diri (daripada kezaliman), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya akan apa yang kamu lakukan.” (Surah an-Nisa, ayat 128)

Pada pandangan saya, puan perlu melakukan sebaik-baik cara yang dibenarkan syariah dalam mengekal rumah tangga yang ada. Perceraian adalah jalan terakhir dalam menyelesaikan konflik antara suami isteri.

EMAK DAN IBU MERTUA BERMASAM MUKA

Fikrah Dr. Salam

SOALAN

Saya sekarang dalam dilema kerana ibu selalu berkecil hati apabila ibu mentua kerap datang ke rumah saya.

Perkara ini terjadi selepas berlaku insiden apabila ibu mentua saya terlepas cakap perkara yang tidak sepatutnya dibangkitkan. Contohnya, barang di dalam rumah yang kebanyakannya diberikan oleh ibu mentua.

Ibu saya bukannya tidak pernah memberi apa-apa, tetapi tidaklah menonjol seperti ibu mentua.

Untuk makluman Dr, jika ibu mentua ada di rumah atau akan datang ke rumah saya, secara automatik ibu kandung tidak akan datang kerana enggan bertemu sebab sudah beberapa kali terguris perasaan apabila bersua.


Saya juga kasihan melihat ibu berkeadaan begitu. Kadang-kadang ada juga saya minta ibu mengabaikan saja apa diperkatakan mentua saya, tapi hati orang tua siapa yang tahukan?


Suami saya pula bukanlah seorang anak yang berani melawan kata-kata ibunya kerana takut jadi anak derhaka.

Ibu mentua saya mempunyai tiga anak lelaki dan dia pernah mengatakan keutamaannya adalah anak lelaki.

Sudah beberapa kali perkara yang sama diulang, bahkan dikatakan juga kepada ibu saya. Jadi, ibu saya berasa tiada hak terhadap anak, menantu dan cucunya. Bagaimana caranya untuk saya mengatasi masalah ini?

Isteri tersepit
Kuala Lumpur



JAWAPAN
Antara hikmah perkahwinan ialah meluaskan hubungan antara keluarga iaitu keluarga sendiri dan keluarga suami termasuk sanak-saudara dan kaum kerabat.

Dengan adanya ikatan pernikahan ini dua keluarga dapat bersatu dan saling menolong antara satu sama lain. Perhubungan itu tidak putus walaupun berlaku perceraian terutama dengan mentua.

Walaupun masyarakat kita sudah memahami hikmah di atas, ia tergugat apabila timbul pergeseran dan ketidaksefahaman sesama keluarga.

Antara sebabnya ialah tutur kata yang tidak dijaga sehingga mengguris hati seseorang. Perkara inilah yang berlaku dalam keluarga puan. Mungkin ibu dan ibu mentua tidak menyedari perkara sebegini.

Menurut Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulum al-Din, akhlak tercela juga muncul daripada lidah iaitu tutur kata.

Beliau menyenaraikan 20 kejahatan lidah antaranya berkata-kata kasar, kesat, lucah, berbohong, menyumpah, melaknat, mungkir janji, tuduhan palsu, suka berdebat dan mengumpat, bercakap perkara tidak berkaitan, sia-sia dan tidak berfaedah.

Kita perlu mengawal nafsu yang menjurus kepada kejahatan itu supaya ia tidak menguasai diri.

Kejahatan lidah ada yang besar dan kecil. Lidah yang jahat mempengaruhi jiwa seseorang dengan menyakiti, memudaratkan orang lain dan diri sendiri.

Menurut Imam Ghazali lagi, kejahatan lidah adalah punca utama membawa kecelakaan kepada seseorang sama ada di dunia atau akhirat.

Merujuk kepada masalah yang puan dihadapi, setiap anggota keluarga perlu disedarkan mengenai angkara dan kejahatan lidah itu.

Puan boleh menasihati suami secara baik mengenai kejahatan lidah. Kadang-kadang ucapan disalah erti. Apa yang penting ialah semangat maaf-memaafi antara ahli keluarga apabila terlajak kata.

Lidah juga perlu dibasahi dengan zikir kepada Allah dan selawat kepada Nabi SAW. Dengan itu perubahan akan berlaku.

10 Jun 2013

LAFAZ TALAK

Fikrah Dr. Salam

SOALAN

Saya ada soalan mengenai lafaz cerai. Pertanyaan ini berikutan satu drama televisyen yang saya tonton bersama suami. Dua anak kami juga menonton bersama pada malam berkenaan.

Drama itu memaparkan kisah seorang lelaki yang sedang melafazkan cerai kepada isterinya, tetapi belum melafazkannya lagi dan hanya menyebut nama isterinya.

Sewaktu kami menonton drama itu, tiba-tiba ibu suami saya datang dan terus bertanya kepada suami kenapa dengan drama televisyen itu? Suami pun berkata, dia dah kena cerai, dia dah ceraikan isteri dia.

Kemudian secara tiba-tiba suami terus kata, ‘aku ceraikan kau.’ Dalam situasi ini, lafaz cerai itu tidak ditujukan kepada saya (isteri). Ketika suami melafazkan cerai itu, muka dan tubuh badannya menghadap televisyen, malah dia tidak memandang ke arah saya.


Adakah talak itu jatuh terhadap saya? Saya bertanya kepada suami mengenai lafaz itu dan dia memaklumkan yang lafaz berkenaan tidak ditujukan kepada saya, tetapi ditujukan kepada orang di dalam televisyen (iaitu pelakon dalam drama itu). Apa pendapat Dr mengenai masalah saya ini?


Safinaz
Kuala Lumpur


JAWAPAN

Tidak jatuh talak berdasarkan keterangan suami puan itu. Bagaimanapun, setiap pasangan dinasihatkan agar tidak mempermainkan lafaz talak. Ini kerana Islam menganggap kata-kata nikah, talak serta rujuk sebagai perkara serius dan tidak dipermainkan.

Ia bertujuan menjaga keharmonian rumah tangga. Nabi SAW bersabda dengan maksudnya: “Tiga perkara yang bersungguh-sungguh adalah dianggap bersungguh-sungguh dan yang bergurau (main-main) adalah dianggap bersungguh-sungguh iaitu nikah, talak dan rujuk.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Seterusnya Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sebenci-benci yang halal bagi Allah SWT ialah talak.” (Riwayat at-Tirmidzi dan an-Nasai)

MAKAN HASIL TANAMAN DI TANAH KERAJAAN

Fikrah Dr. Salam


SOALAN
Saya ingin mendapat sedikit penjelasan hukum mengenai hasil tanaman. Apakah hukum kita makan dan mengambil buah, daun atau hasil tanaman di tanah milik kerajaan atau di sepanjang jalan raya?

Dahulu saya adalah penduduk di kawasan setinggan dan keluarga bercucuk tanam. Kini kami semua dipindahkan dan penempatan setinggan itu sudah menjadi tanah milik kerajaan, sedangkan tanaman yang keluarga saya tanam masih hidup dan menghasilkan buah.

Apakah hukum jika kami mengambil dan makan hasil tanaman berkenaan? Adakah ia dalam kategori yang sama seperti masalah pertama. Saya mohon Dr memberikan penjelasan.

Nisa
Selangor.


JAWAPAN

Secara umumnya buah- buahan, daun dan hasil tanaman di tanah milik kerajaan atau di sepanjang jalan masih dimiliki oleh orang yang mengusahakannya. Ia dikenali ihya’ al-mawat (menghidupkan tanah yang tidak dimiliki).

Asasnya daripada hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan suatu tanah kosong, maka ia menjadi miliknya.” (Riwayat Ahmad dan at-Tirmidzi)
Kita perlu mendapat izin daripada tuan yang mengusahakan tanaman berkenaan sebelum mengambilnya.

Bagaimanapun, dalam Kanun Tanah Negara sekarang apabila kerajaan mengambil tanah berkenaan, pengusaha tidak dapat menuntut pampasan atas kerugiannya kerana dia mengusahakan sesuatu bukan atas tanah miliknya.

Begitu juga sesiapa mengusahakan tanaman di tanah milik kerajaan, hasilnya boleh diambil, dijual atau dibahagikan selagi tidak diambil kerajaan.

Sebenarnya semangat di sebalik prinsip ihya’ al-mawat supaya tiada kawasan terbiar dan tidak produktif. Dengan itu ekonomi negara akan hidup dan berjalan.

FESYEN ATAU MENUTUP AURAT

Fikrah Dr. Salam


SOALAN
Mutakhir ini kita mendapati sesetengah wanita terutama golongan muda gemar memakai pakaian ketat, sehingga menzahirkan bentuk tubuh, walaupun pada masa sama bertudung dan menutup rambut.

Malah, seluar atau kain dipakai pula berwarna yang menarik perhatian umum, contohnya berseluar merah, hijau dan seumpamanya.

Ada juga yang kain bajunya terlalu tipis sehingga boleh dikatakan begitu seksi sedangkan semua itu boleh menjadi bualan sekumpulan lelaki yang memandang ke arah si pemakai terbabit.

Jadi Dr, apakah cara pemakaian sebegini dibenarkan dan bertepatan dengan etika berpakaian dalam Islam? Apakah lelaki yang bercerita mengenai hal seseorang wanita terbabit dikira berdosa?


Man, Selangor


JAWAPAN

Islam melihat aurat bagi seorang wanita ialah seluruh tubuhnya berbanding aurat lelaki iaitu antara pusat dan lutut. Pengecualian bagi wanita ialah apa yang zahir dan ini termasuk muka dan dua tapak tangan.

Menutup aurat menjadi tidak sempurna apabila seorang wanita yang bertudung memakai pakaian ketat sehingga menzahirkan bentuk tubuh.

Perkara ini jelas seperti dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman itu supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.

“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara mereka atau anak bagi saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara mereka yang perempuan, atau perempuan Islam atau hamba mereka atau orang gaji daripada orang lelaki yang telah tua dan tiada keinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi mengenai aurat perempuan.


“Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang yang beriman supaya kamu berjaya.” (Surah an-Nur, ayat 31)

Isu yang timbul ialah mengenai wanita Islam yang tidak berpakaian menepati seperti diajarkan Islam.

Punca perlu dicari dan ia termasuk terpengaruh dengan dunia glamor, tidak mendapat pendidikan Islam sempurna dan masyarakat yang inginkan kebebasan.

Wanita sebegini perlu diajak mendekatkan diri kepada Allah dengan mempraktikkan ajaran Islam di peringkat asas terutama melaksanakan ibadat solat. Sememangnya solat itu dapat mencegah perlakuan dosa dan perkara mungkar.

Bagi lelaki pula, Islam juga menyuruh mereka menjaga pandangan dengan tidak melihat perkara haram.

Dalam hal ini lelaki juga tidak dibenarkan melihat dengan perasaan syahwat kepada wanita yang seksi dan mendedahkan aurat. Dengan mengalihkan pandangan, mereka mendapat ganjaran pahala daripada Allah.

Sekiranya mereka berbuat sebaliknya, mereka akan terdedah kepada dosa dan maksiat.

Begitu juga bercerita mengenai wanita berpakaian seksi dan sebagainya. Ia boleh mengarah kepada perlakuan dosa dan maksiat.

Allah berfirman maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui mengenai apa yang mereka kerjakan.” (Surah an-Nur, ayat 30)

11 Mei 2013

PERHIASAN EMAS

SOALAN
Bagaimana hukum memakai perhiasan dari emas ?

JAWAPAN
Tiada ikhtilaf (perbedaan) tentang bolehnya memakai emas bagi wanita.

Sedang untuk lelaki, terdapat perbezaan pendapat :

Jumhur ulama' (majoriti fuqaha') mengharamkan emas bagi lelaki.Dalil hadis: HR Ahmad, Abud Daud, Ibn Hibban, an Nasa'iy, dan Ibn Majah dari Ali bin Abi Talib; HR Muslim, dan dua tiga hadis sahih yang lain.

Sebahagian kecil ulama membahaskan bahawa emas bagi lelaki ini adalah makruh, tanzih (makruh yang hampir kepada boleh); malah ada sahabat yang memakai emas: seperti Sa'ad bin Abi Waqasy, Talhah Ubaidillah, Syuhaib, Hudzaifah,Jabir bin Thamurah dan alBarra' bin Azib.

Pandangan jumhurul Fuqaha' adalah lebih selamat.
Pandangan Syaikh Qardhawi: Haramnya emas bagi lelaki meliputi cincin, pen emas, jam tangan emas, cigarette holder, malah apa pun yang diperbuat daripada emas untuk kegunaan lelaki adalah haram;

Manakala untuk lelaki dan wanita diharamkan pinggan-mangkuk serta gelas dari emas.
(Qaradawi, halal dan haram)

MEMAKAI PAKAIAN SUTERA

SOALAN
Apakah hukum menggunakan pakaian sutera ?

JAWAPAN
Para ulama bersepakat, halal bagi wanita dan haram bagi laki-laki
Dalil :
"Janganlah memakai sutera dan sutera dibaj" (HR Bukari-Muslim),
"Memakai sutera dan emas diharamkan atas umatku yang laki-laki, dan halal bagi wanita" (HR Tirmidzi)

Apabila pakaian sutera tersebut bercampur dengan bahan lain (wol, katun, dll) maka diperbolehkan asal kadar suteranya tidak lebih banyak (Hadis dari Umar ra)

Sumber : At-tahdzib

PERFUME ATAU MINYAK WANGI BERALKOHOL

Parfum/kosmetik beralkohol merupakan masalah baru yang tidak ada pada masa Rasulullah saw, maka dalam mengambil hukum
para ulama menggunakan ijtihad.Berdasar penjelasan dari :
1. Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia
2. Lembaga fatwa Al-Azhar
3. Majlis Muzakarah Panji Masyarakat
4. Fatwa Syeikh Sya'rawi rh
Hukum menggunakan parfum kosmetik adalah boleh, tidak haram dan tidak najis

Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia mengenai hukum alkohol.

Alkohol terdiri daripada berbagai-bagai bahan bahan kimia iaitu Ethanol atau ethyl alkohol, Bothanal dan lain-lain lagi. Dalam
minuman keras ethanol, ialah bahan yang menyebabkan mabuk dan ia merupakan bahan yang terbanyak sekali dicampurkan.

1) Setiap minuman arak mengandungi alkohol bukan alkohol itu dari arak. Alkohol dari proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis, tetapi alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak maka hukumnya tidak najis dan tidak haram diminum.

2) Minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan arak samaada mengandungi sedikit alkohol atau alkoholnya disulingkan adalah haram diminum.

3) Minuman yang dibuat bukan untuk dijadikan arak atau bukan yang memabukkan dan tidak sama caranya dengan proses arak adalah halal diminum.

4) Alkohol yang terjadi sampingan dalam proses pembuatan makanan tidak najis dan halal dimakan.

5) Ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah dimaafkan.

Menurut kitab"AlFiqh Al-Muzahibil ar'baah " dalam bab "An najasat juzu 1, Alkohol yang dimasukkan ke dalam minyak wangi untuk menahan minyak wangi agar tahan lama atau untuk menaikkan roti adalah boleh.

Bersandarkan kepada kenyataan ini boleh dikiaskan kepada penggunaan alkohol dalam minuman ringan.

Jawatan kuasa fatwa telah memberitahu bahawa alkohol ialah nama yang digunakan di dalam kaedah saintifik kepada sebatian yang mempunyai senyawa (OH). Dua jenis alkohol yang paling baik ialah
1. Methyl alkohol (Methanol) atau alkohol (kayu)
2. Ethily alkohol (Ethanol) atau alkohol biji-bijian.

Methyl alkohol (methanol) tidak digunakan untuk minuman kerana ia merupakan racun yang kuat, manakala ethly alkohol digunakan sebagai campuran di dalam minuman keras.

Penyediaan alkohol boleh dibuat melalui dua cara, iaitu:
a. Penyediaan dalam makmal
b. Penyediaan dalam industri.

Alkohol amat berguna sebagai bahan aktif dalam minuman, makanan dan ubat-ubatan dan sebagai bahan pelarut seperti untuk kosmetik dan minyak wangi.

Pada umunnya alkohol adalah bahaya dan beracun ia ada daya pembunuh dan memabukkan serta merosakkan anggota tubuh badan. Arak adalah memabukkan dan ia adalah haram seperti sabda nabi S.A.W "Setiap yang memabukkan itu haram. Setiap yang memabukkan arak. Setiap yang memabukkan itu arak dan setiap yang memabukkan itu haram."(HR Muslim)

Lembaga Fatwa Al-Azhar berpendapat bahawa alkohol itu tidak najis manakala arak tetap najis.

Setelah membincangkan perkara ini dengan panjang lebar maka jawatankuasa mengambil keputusan bahawa minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan arak adalah haram alkohol yang terjadi sampingan dalam proses pembuatan makanan tidak
najis dan boleh di makan.

Ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandugan alkohol adalah boleh dan dimaafkan.

Hasil muzakarah Majlis Muzakarah al-Azhar Panji Masyarakat
(Islam dan masalah-masalah kemasyarakatan, terbitan pustaka panjimas, Jakarta, tahun 1983, hal. 427):

MEMAKAI ALKOHOL DAN MINYAK WANGI
Mengenai alkohol di dalam minyak wangi, telah majelis terangkan. Bimbingan pribadipun telah menguraikannya pada Panjimas yang baru lalu. Hukumnya tidak haram. Memakai minyak wangi, malah disunatkan. Namun sekedar tambahan bagi saudara, Majelis terangkan jualah, sepanjang Majelis ketahui, yakni:
Alkohol, adalah sebangsa gas cair (fluida).

Gas mempunyai sifat:
- Kemampuan berpindah tempat dengan kecepatan yang besar dan mempunyai tenaga kinetik tinggi. Energi kinetik akan menaik, bila temperatur menaik (dinaikkan).
- Campuran molekul-molekul gas, adalah merata. Molekul gas bergerak bebas ke segala arah dalam garis lurus dan tidak hilang energinya, akibat tubrukan antara sesama molekul tadi itu.
- Menempati volume yang lebih besar, dibandingkan dengan zat padat atau cair dalam berat yang sama.

Oleh kerana sifat-sifat yang diterangkan di atas, maka setetes minyak wangi, yang telah beremulasi dengan gas (dalam hal ini alkohol yang dicairkan tadi), maka bau wangi itu ikut dibawa sebar dengan cepat dan ruang sebar (volume sebar)nya pun sama dengan ruang alkohol tadi yang mempunyai energi kinetik: Ek=1/2 mv2.

Pendapat almarhum Syeikh Sya'rawi rh di dalam Anta tas'al Wa Islam tujib.:

Soal: Apakah memakai perfume yang mengandungi alkohol haram hukumnya?

Jawab: Memakai perfume yang mengandungi alkohol halal hukumnya. Alkohol menjadi haram jika diminum untuk bermabuk-mabuk.

Jika ia dipakai untuk tujuan baik, contohnya untuk bahan bakar, hukumnya tidak haram. Alkohol tidak najis. Ada beberapa negara Islam melarang import Eau'De Cologne yang mengandungi alkohol. Misalnya disalahgunakan untuk diminum dan bermabuk-mabuk.

Wanita boleh memakai perfume hanya di dalam rumah sahaja. Jika keluar rumah, dilarang memakainya. Sebab, dapat mengundang perhatian lelaki dan memberi rangsangan.

Kesimpulan
Berdasarkan penjelasan di atas, dapat kita fahami bahawa alkohol yang terdapat di dalam perfume adalah suci dan boleh dipakai untuk mengerjakan sembahyang tanpa ragu-ragu lagi.

ISTERI TAK ENDAH APABILA DINASIHAT

Fikrah Dr. Salam


SOALAN
Mohon jasa baik Dr untuk memberikan pendapat terhadap masalah saya yang mempunyai isteri bertugas di sebuah jabatan kerajaan.

Isteri selalu dipanggil oleh ketuanya untuk ke pejabat pada Sabtu atau Ahad. Kadangkala dia ajak saya menemaninya, namun selalunya tanpa pengetahuan dan keizinan saya.

Tugasnya juga selalu keluar kawasan tanpa ditemani mahram (suami) manakala tempat kerja lebih ramai lelaki berbanding perempuan. Bertugas pula sambil bergurau dan bersembang yang bukan-bukan.

Di sini saya ingin bertanya kepada siapakah yang patut saya adukan perkara ini memandangkan tempat kerja isteri selalu didatangi lelaki dan diajak berbual yang bukan berkaitan urusan pekerjaan?


Saya selalu berpesan kepadanya yang seorang isteri sepatutnya bekerja mengikut syarak, tetapi dia tidak mengendahkan manakala ketuanya tidak pernah ambil peduli.


Justeru, saya mohon jasa baik Dr untuk memberikan pendapat dan cadangan agar dapat saya menasihati isteri yang selalu melenting ketika diberikan nasihat. Malah, dapatlah kiranya Dr memberitahu saya tempat untuk adukan perkara ini.

Untuk pengetahuan Dr, isteri saya boleh menimbulkan fitnah di tempat kerja. Saya sudah menasihatinya supaya berhenti, tetapi dia tidak mahu dan meminta cerai jika saya menyuruhnya berhenti kerja.

Suami terpinggir
Kuala Lumpur



JAWAPAN
Sebagai seorang suami anda bertanggungjawab menanggung nafkah kepada isteri dan anak. Anda juga bertanggungjawab memastikan isteri dan anak mematuhi suruhan serta menjauhi larangan agama.

Mana-mana suami dan ayah yang membiarkan isteri serta anak melakukan perkara haram dikira sebagai suami atau ayah yang dayus iaitu bersifat hina dan keji.

Seterusnya tanggungjawab isteri adalah mentaati suami dan hidup bersama sebagai pasangan suami isteri.

Apabila seseorang isteri tidak lagi mentaati suami sehingga membawa kepada keruntuhan rumah tangga, dia dikira nusyuz (menderhaka).

Begitu juga jika isteri tidak lagi mahu mendengar nasihat suami sehingga sanggup meminta cerai.

Islam mengajar beberapa tindakan, antaranya suami perlu bersabar buat sementara dan mengambil tindakan menasihati isteri supaya kembali taat.

Jika isteri masih tidak taat, suami boleh memulaukan isteri dengan tidak tidur bersama.

Seterusnya suami boleh mengambil tindakan memukul isteri secara baik iaitu dengan tujuan mengajar dan tidak sampai mencederakannya. Memukul itu seperti mengajar anak dengan tujuan mendidik.

Terdapat juga isteri yang boleh diubah perangainya apabila tindakan sedemikian diambil. Dalam hal ini, al-Quran menegaskan kepada kita, maksudnya:

“Lelaki adalah pemimpin bagi wanita kerana Allah melebihkan orang lelaki atas wanita dan juga kerana lelaki membelanjakan daripada harta mereka. Maka wanita yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya) dan yang memelihara dirinya ketika suami tidak hadir bersama dengan pemeliharaan Allah.

“Dan wanita yang kamu bimbang melakukan nusyuz hendaklah kamu menasihati mereka, pulaukanlah mereka di tempat tidur dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkan mereka.
Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.”
(Surah an-Nisa, ayat 34)

Sekiranya gagal, dapatkanlah bantuan keluarga bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga anda. Jika kedua-dua pasangan memilih jalan perdamaian, rumah tangga akan kembali aman dan bahagia.

Namun, jika tidak, perceraian adalah proses terakhir dan itulah sebaik-baiknya kerana sebab yang berlaku di atas. Perkara sedemikian memang berlaku dalam kehidupan Rasulullah SAW bersama semua isteri baginda.

Al-Quran mengajar Rasulullah bagaimana berdepan dengan isteri. Allah berfirman dengan maksudnya:

“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia dan perhiasannya, maka marilah supaya aku berikan kepada kamu mut’ah dan aku lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya. Dan sekiranya kamu mahukan keredaan Allah dan Rasul-Nya serta kemewahan di negeri akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi orang yang berbuat baik di antara kamu pahala yang besar.

“Wahai isteri Nabi, sesiapa di antara kamu yang melakukan sesuatu perbuatan keji yang nyata, nescaya akan digandakan azab seksa baginya dua kali ganda. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya.”
(Surah al-Ahzab, ayat 28-30)

Ambillah pengajaran ayat di atas dalam menangani masalah rumah tangga anda. Penyelesaian perlu dibuat supaya rumah tangga menjadi aman.

Begitu juga jika isteri berterusan menderhaka kepada suami, tindakan tegas sehingga kepada perceraian perlu diambil kerana dikhuatiri bersubahat dengan dosa yang dilakukan wanita berkenaan.

ULANG SOLAT APABILA TERSALAH ARAH QIBLAT

Fikrah Dr. Salam

SOALAN

Saya selalu mengerjakan solat di surau yang disediakan di stesen minyak. Tanda arah kiblatnya kadang-kadang ada, namun kebanyakannya tiada, menyebabkan sesetengah orang keliru.

Baru-baru ini saya terlihat seorang lelaki tergesa-gesa bersolat di sebuah surau yang disediakan stesen minyak. Dia masuk dan terus solat pada arah bertentangan dengan kiblat iaitu menghadap ke arah timur sedangkan yang betul ke arah barat. Namun, selepas ditegur seorang lelaki lain, lelaki terbabit serta-merta melaksanakan kembali solat dan menghadap ke arah betul. Jadi, timbul persoalan, adakah sah sekiranya lelaki terbabit terus bersolat pada arah bertentangan jika tiada seorang pun menegurnya dengan anggapan itu adalah arah kiblat sedangkan tindakannya disebabkan sikap cuai dan gopoh yang terus mengangkat takbir tanpa memeriksa atau bertanya orang terlebih dahulu mengenai arah kiblat sepatutnya?

Lan, Kuala Lumpur


JAWAPAN
Menghadap ke arah kiblat adalah syarat sah sewaktu bersolat. Pengecualian diberi dalam melaksanakan solat ketika berada dalam keadaan sangat takut dan solat sunat bagi orang musafir ketika berada dalam kenderaan. Bagi mereka yang berada di Makkah dan dapat melihat Kaabah, mereka wajib menghadap secara yakin ke arah Kaabah. Berlainan dengan mereka yang tinggal jauh, mereka perlu berijtihad mengenai kedudukan Kaabah sama ada dengan bertanya penduduk setempat dan bertaklid dengan mereka. Selain itu, boleh berijtihad melalui arah matahari, bintang, angin dan sebagainya. Begitu juga dengan penggunaan kompas yang menunjukkan arah kiblat. Selepas berijtihad dan yakin dengan ijtihad itu seseorang boleh bersolat dan sah solatnya. Bagi yang bersolat arah berlainan akibat salah ijtihad, solat berkenaan tetap sah. Berlainan pula apabila sudah menyedari kesilapan sama ada ditegur atau mengetahui sendiri kesilapan, orang terbabit perlu mengulangi solat yang baru. Ini kerana dia yakin dengan kesilapan arah kiblat. Itulah yang sepatutnya berlaku dalam kes di atas.

DIAM IBADAH TAHAP TERTINGGI

Fikrah Dr. Salam

Sesetengah orang petah bercakap seolah-olah semua diketahuinya. Seringkali disebabkan banyak bercakap, bercampur antara kebenaran dan kepalsuan. Orang terbabit memang kelihatan hebat, namun kadangkala membuatkan si pendengar berkecil hati.

Bagi sebilangan yang lain, mereka lebih suka mendiamkan diri dan bersuara apabila berasakan ada keperluan, misalnya untuk memperbetulkan kekeliruan dan menegakkan kebenaran. Mereka sangat berhati-hati apabila bercakap.


Golongan kedua ini nampaknya lebih baik. Sikap diam mereka lebih mulia daripada berkata-kata dengan suatu yang tidak berfaedah, lebih-lebih lagi mencarut, mengumpat, membuat tuduhan tanpa usul periksa, mencela, menghina dan menjatuhkan maruah orang lain.

Mengenai keutamaan diam, Nabi SAW ada bersabda maksudnya: “Solat itu tiang agama, sedang sikap diam itu lebih utama. “Sedekah itu dapat memadamkan murka Tuhan, sedang diam lebih utama. Puasa itu benteng neraka, sedang diam itu lebih utama. Jihad itu adalah puncak agama, sedangkan diam itu lebih utama.”

Dalam satu lagi hadis diriwayatkan ad-Dailami daripada Abu Hurairah, sabda baginda SAW, maksudnya: “Diam adalah ibadat tahap tertinggi.” Menurut ulama, istilah diam dalam konteks hadis berkenaan ialah tidak mengucapkan segala sesuatu yang tidak bermanfaat untuk agama dan dunia, juga tidak membantah orang yang menentang (kerana kejahilan). Justeru, diam termasuk ibadat pada tahap tertinggi kerana kebanyakan kesalahan itu timbul daripada lisan. Namun, bagi orang yang hidup seorang diri, diamnya tidak termasuk ibadat.


Memandangkan diam itu lebih mulia, ia menjadi perhiasan peribadi bagi orang yang berilmu. Nabi SAW bersabda, maksudnya: “Diam itu hiasan bagi orang alim dan penutup (tabir) bagi orang bodoh.” Benar, sikap diam akan menambah kewibawaan orang berilmu, malah hal itu sebagai petanda adanya ilmu bagi orang terbabit. Orang bodoh pula tidak akan diketahui kebodohannya, jika dia tidak bercakap.

AMALAN BERKHATAN PELENGKAP FITRAH

Fikrah Dr. Salam

SOALAN
Ketika musim cuti sekolah sebelum ini, saya membawa anak lelaki saya yang berusia 10 tahun untuk berkhatan di sebuah klinik. Namun, selepas memasuki bilik yang dikhaskan untuk tujuan itu, anak saya mengatakan dia berasa gerun.

Malah, selepas diberikan satu suntikan, dia mengatakan terlalu sakit dan takut sehingga menangis serta meraung. Puas dipujuk, tidak juga berjaya. Akhirnya terpaksalah ditangguh ke suatu tarikh lain.

Jadi, saya hendak bertanya Dr, adakah berkhatan itu wajib dan jika tidak dilakukan dengan alasan sakit adakah hukumnya berdosa? Adakah terdapat cara terbaik yang tidak menyakitkan untuk mengkhatankan kanak-kanak?

Rahman, Kelantan


JAWAPAN
Berkhatan adalah memotong selaput kulit yang menutupi kepala zakar lelaki atau memotong sedikit hujung daging di sebelah atas faraj perempuan.


Berdasarkan mazhab Syafie, amalan berkhatan diwajibkan sama ada untuk lelaki atau perempuan. Ia termasuk antara amalan yang disyariatkan Allah sebagai pelengkap fitrah semula jadi manusia.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Fitrah (sifat semula jadi) itu lima perkara: Berkhatan, mencukur bulu ari-ari, menggunting misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sememangnya proses berkhatan menyebabkan kesakitan sedikit sebanyak, tetapi ia tidak memudaratkan dan banyak faedah kepada kesihatan badan.

Ia perlu diterangkan kepada anak dan dipujuk. Mungkin peringkat umur yang masih muda menyebabkan perkara di atas berlaku.

Saya menyarankan anda berjumpa dan berbincang dengan doktor di klinik perubatan yang ada menawarkan perkhidmatan berkhatan sebelum menjalani proses itu.

Pihak doktor akan menerangkan kepada anak tuan proses yang diambil.

Begitu juga berkhatan bersama rakan dan anak jiran lain dapat menghilangkan ketakutan anak tuan

24 April 2013

BERHASRAT GANTI PUASA

Dr. Mashitah

SOALAN
SAYA ada soalan mengenai kaedah sesuai untuk menggantikan puasa Ramadan. Dulu saya kurang ilmu agama dan sering melakukan perkara yang membatalkan puasa.

Kini terdetik di hati untuk melunaskan hutang kepada Allah dengan menggantikan puasa tetapi masalahnya, tidak pasti berapa kali saya membatalkan puasa Ramadan.

HAFIZ
Klang



JAWAPAN
Alhamdulillah, saudara dihidayahkan Allah pada perkara kebaikan. Bagi mengganti puasa yang tidak dapat diingati, saudara perlu membuat anggaran harinya.


Kemudian, laksanakan puasa itu sehingga saudara berasa anggaran sudah memenuhi. Selain itu perbanyakkan bersedekah, yang mana ia akan menjadi penampung bagi amalan yang tertinggal.

HUKUM SENTUH SERIGALA

Dr. Mashitah

SOALAN
SAYA ada kemusykilan mengenai perbuatan memelihara serigala. Adakah serigala dikategorikan sama dengan anjing dalam Islam? Jika benar, adakah saya perlu bersamak setiap hari jika terpegang serigala itu dalam keadaan basah?


ACIK
Rembau


JAWAPAN
Serigala ialah sejenis binatang liar yang termasuk dalam kelompok keluarga anjing. Disebabkan mereka berkongsi spesies sama, hukumnya sama seperti anjing menurut mazhab Syafie. Oleh itu, hukum-hakam berkaitan anjing dalam masalah jilatan dan pembelaannya adalah sama.

KELIRU HAID TIDAK MENENTU

Dr. Mashitah

SOALAN
SAYA mempunyai masalah haid yang tidak berhenti sejak dua tahun lalu, justeru saya tidak tahu bila saya suci atau sebaliknya. Bagaimana untuk menunaikan solat dan puasa?


AISYAH
Kuala Lumpur

JAWAPAN
Haid yang tidak menentu menyukarkan pengiraan. Sebaik-baiknya buat kiraan anggaran iaitu paling lama haid ialah 15 hari dan bermakna paling singkat suci ialah 15 hari. Bahagikan hari saudari mengikut anggaran yang boleh diagak.

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda: “Bahawa darah haid ialah darah yang dikenali...” bererti seorang wanita dapat mengecam darahnya daripada petanda darah berkenaan seperti warna dan bau.

Gangguan darah haid mainan syaitan supaya wanita was-was dalam ibadat. Ubati diri supaya dapat menghindari penyakit ini.

HUKUM DERMA DARAH

Dr. Mashitah

SOALAN
SAYA menderma darah sebanyak 16 kali biarpun usia kini mencecah 58 tahun. Apakah hukumnya daripada sudut syarak jika seorang pesakit Islam yang dirawat di hospital memerlukan darah atas arahan doktor, dan darah jenis sama dimasukkan ke badannya tanpa mengira ia daripada mana-mana kaum?

RAMLI
Kuala Lumpur


JAWAPAN
Menderma darah perbuatan mulia yang boleh menyelamatkan nyawa seseorang.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Ke-4 yang bersidang pada 13 hingga 14 April 1982 membincangkan topik Derma Darah Dan Penggunaan Darah Orang Islam Kepada Orang Bukan Islam Dan Sebaliknya.

Muzakarah memutuskan, menderma darah hukumnya harus dan tidak perlu diasingkan darah orang Islam daripada bukan Islam.

Ia tiada kaitan yang boleh menjejaskan akidah melalui darah.

NIKAH DI LUAR SEMPADAN

Dr. Mashitah
SOALAN

PADA Februari 2011, saya dan suami selamat diijabkabulkan di Songkhla, Thailand selatan. Tindakan itu diambil kerana hubungan kami tidak direstui keluarga dan bagi mengelakkan maksiat.

Beberapa kali saya mengutarakan hasrat untuk bernikah dengan kekasih pada keluarga, namun tidak diterima hingga mereka menyuruh saya memilih mereka atau suami.

Alasan diberi ialah mereka takut suami mengawal dan menghalang saya berjumpa mereka, sedangkan hingga ke hari ini walaupun sah bergelar isterinya, dia tidak pernah menghalang saya.

Setahun lebih kami merahsiakan hubungan suami isteri dan Julai lalu, saya disahkan mengandung. Apakah nasihat terbaik untuk menyelesaikan masalah ini?


REEN
Alor Setar


JAWAPAN
Perkhawinan di luar sempadan, walaupun sah pada sudut agama kerana cukup syarat, ia tetap menjadi kesalahan pada sudut perundangan keluarga di negara kita.

Perkara terbaik yang puan perlu lakukan sekarang ialah mendaftarkan perkahwinan di Malaysia terlebih dahulu.

Walaupun nanti denda dikenakan, dengan mendaftar perkahwinan ini, hak puan sebagai isteri akan terjamin.

Jika tidak, anak yang bakal dilahirkan akan berdepan masalah. Bagaimana hendak mendaftarkan kelahiran sedangkan tiada perkahwinan didaftarkan? Selepas selesai pendaftaran, carilah jalan terbaik untuk memaklumkan keluarga apa yang berlaku.

SOLAT FARDHU BELAKANG IMAM SOLAT SUNAT

SOALAN

Setahu saya jika kita menjadi makmum bagi seseorang yang sedang solat sunat tanpa kita ketahui orang terbabit solat sunat hukumnya adalah sah.

Namun, bagaimana pula kalau kita sudah tahu dia mengerjakan solat sunat, tetapi kita menjadi makmumnya untuk solat fardu, adakah sah solat fardu kita?

Tujuan berbuat demikian bukannya kerana apa, hanya semata-mata hendak mendapatkan pahala berjemaah, berikutan kadang-kadang terlewat datang ke masjid.

Mohamad Azmi,
Pasir Gudang, Johor



JAWAPAN
Berjemaah dengan imam yang bersolat sunat adalah sah. Begitu juga sah solat sunat berimamkan imam yang bersolat wajib.

Ini jelas apabila ada riwayat menyatakan bahawa: “Sesungguhnya Muaz RA mengerjakan solat Isya bersama Rasulullah SAW. Kemudian dia pulang menemui kaumnya dan mengimami solat Isya mereka.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Semuanya menggalakkan kita supaya berjemaah dalam solat dan kehidupan.

Bagaimanapun, tidak sah solat jemaah apabila cara solat berlainan antara imam dengan makmum.

Ini termasuk berimam dengan imam yang bersolat jenazah kerana solat jenazah tidak ada sujud dan rukuk.

Begitu juga berimam dengan imam yang bersolat gerhana kerana dalam solat gerhana terdapat dua rukuk dan qiyam dalam satu rakaat.

SUAMI LAFAZ CERAI TAKLIK KETIKA MARAH

Dua tahun lalu, akibat perselisihan faham, suami saya ada melafazkan kata: “Aku ceraikan kau… Bila kau nak? Sekarang? Esok?”

Apa yang saya faham ialah suami dengan niat mahu menceraikan saya, tetapi apabila waktunya bergantung kepada saya. Waktu itu saya hanya mendiamkan diri supaya tidak mengeruhkan lagi keadaan dan mengelak kemungkinan dicederakan.

Bagaimanapun, selang beberapa minggu kemudian saya ada minta diceraikan 'sekarang' kerana tidak tahan sikap barannya.

Selepas itu ada juga insiden dia melafazkan taklik, tapi tidak habis dan saya faham apa yang dimaksudkan. Dia juga pernah ucapkan selamat tinggal kepada saya.


Terlalu banyak yang keluar daripada mulut suami menjurus kepada perpisahan. Persoalannya adakah kami masih sah sebagai suami isteri dengan merujuk ucapan: “Aku ceraikan kau…Bila kau nak? Sekarang? Esok?”


Sehingga hari ini jiwa saya menganggap dia bukan suami, malah secara spontan saya menolak apabila dia cuba menyentuh saya.

Saya menjerit ketakutan kerana jiwa saya sudah menganggap dia sebagai orang lain. Jiwa saya kuat mengatakan yang kami bukan suami isteri lagi.

Saya tidak ada kekuatan untuk merujuk perkara ini kepada mana-mana pihak termasuk keluarga kerana mungkin keluarga bakal memulaukan saya.

Ziela,
Johor.


JAWAPAN
Pada pandangan saya kata-kata yang dikeluarkan suami bukan sangat menginginkan perceraian. Ia dikeluarkan akibat marah atas perselisihan faham dan berlaku pertengkaran antara anda berdua.

Dengan kata lain suami masih ingin tinggal bersama dengan anda dan tidak mahu menceraikan anda.

Ia lebih berbentuk ugutan dan cadangan semata-mata. Bagaimanapun, kata-kata cerai sepatutnya tidak dipermain-mainkan sama sekali.

Sebenarnya lafaz cerai ada berbentuk sarih (jelas) dan kinayah (tidak jelas). Bagaimanapun, lafaz yang disebut di atas seperti: “Aku ceraikan kau…Bila kau nak? Sekarang? Besok?” adalah bersyarat (taklik).

Kata-kata selamat tinggal berbentuk kinayah dan memerlukan niat. Ia perlu dijelaskan oleh suami puan, sama ada berniat untuk bercerai dengan kata-kata berkenaan.

Anggapan puan bukan lagi isteri kerana berasa sudah berlaku perceraian adalah persepsi sendiri.

Hanya suami dan mahkamah syariah yang akan menentukan kedudukan pernikahan puan.

Ini dapat dilakukan dengan bertanya kedudukan sebenar puan di sisi suami atau melaporkan kepada mahkamah syariah.

Sememangnya setiap pasangan tidak mahu berlaku perceraian.

Bagaimanapun, perkara sebegini perlu diselesaikan bagi meneruskan kehidupan sebagai suami isteri atau kehidupan lain apabila ternyata berlaku perceraian.

TAK SALAH MEMBUANG AIR KECIL SAMBIL BERDIRI

Saya ingin bertanya mengenai tabiat kencing berdiri. Bagaimanakah cara untuk mengatasi masalah lelaki suka kencing berdiri dan benarkah kencing berdiri itu adalah kencing seperti syaitan? Dalam masalah ini juga saya menjumpai kes seorang lelaki yang selalu kencing berdiri. Walaupun ditegur, lelaki terbabit dikatakan masih berdegil serta menimbulkan masalah kerana rumahnya berbau hancing akibat air kencing terpercik ke dinding dan kekuningan. Isterinya juga tidak puas hati, lalu mengadu pada orang luar. Saya meminta nasihat Dr mengenai masalah ini.
Salim, Alor Setar

JAWAPAN
Umumnya membuang air kencing sambil berdiri bagi seseorang lelaki tidak haram, malah dibenarkan dalam beberapa keadaan. Perkara ini pernah berlaku pada Rasulullah SAW. Menurut Hudhaifah RA: “Suatu ketika Nabi SAW pernah singgah di suatu tempat pembuangan sampah berhampiran dengan daerah suatu kaum. Di situ, baginda membuang air kecil sambil berdiri. Melihat itu, aku segera pergi menjauh, tetapi baginda malah berkata: “Mendekatlah ke mari.” Aku pun segera menghampirinya hingga berdiri berhampiran dengan tumitnya. Kemudian aku melihatnya berwuduk dan menyapu kedua-dua khaufnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) Dengan kata lain, kencing berdiri dibenarkan apabila dapat menjaga pakaian dan diri daripada terkena najis. Ia pula sesuai dengan tempat tertentu. Lebih-lebih lagi apabila ada tandas khusus dan sebagainya. Ia sudah tentu tidak menyerupai syaitan. Bagaimanapun, pada kebiasaannya, Rasulullah SAW buang air kecil sambil duduk (mencangkung). Cara kencing sambil duduk lebih baik berbanding kencing sambil berdiri kerana seseorang dapat menjaga kebersihan secara lebih sempurna kerana air kencing tidak terpercik jauh. Selain itu, cara kencing sambil duduk juga dapat memastikan air kencing keluar habis. Kebiasaan yang dilakukan Rasulullah SAW perlu diberitahu kepada lelaki terbabit. Dengan itu, beliau akan menurut kebiasaan Rasulullah. Ia tentu dapat mengatasi masalah di atas. Beliau juga perlu dinasihati supaya tidak membuang air merata-rata seperti ke dinding. Sememangnya sudah ada kemudahan mangkuk tandas untuk berbuat demikian. Segala kemudahan perlu digunakan sebaik mungkin dan cara yang betul. Jika masih tidak tahu menggunakannya perlulah diajar satu persatu mengenai tatatertib menggunakan tandas dan bilik air seperti mengepam air apabila selesai menggunakannya.

BERMESRA HINGGA KELUAR AIR MANI KETIKA BERPUASA

Pada Ramadan dua tahun lalu saya bermesra dengan isteri sehingga mengeluarkan air mani, tetapi kami tidak bersetubuh. Apakah hukumnya dan adakah saya kena membayar kifarat? Ini kerana saya ada terbaca jika seseorang mengeluarkan mani selain daripada bersetubuh, dia hanya perlu qada puasa tanpa perlu membayar kifarat.
Wan, Pahang

JAWAPAN
Keterangan dibaca adalah benar. Mengeluarkan air mani dengan sengaja ketika berpuasa Ramadan membatalkan puasa dan berdosa. Puasa yang terbatal mesti diganti, tetapi tidak perlu membayar kifarat. Kifarat (penutup kesalahan atau dosa) dikenakan kepada persetubuhan pada siang hari ketika Ramadan di samping wajib mengganti puasa.
Bagi kifarat puasa ada tiga peringkat iaitu:
(1) Memerdekakan hamba mukmin lelaki atau perempuan.
(2) Jika tidak mampu yang pertama hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut.
(3) Jika masih tidak mampu yang kedua, hendaklah memberi makan kepada 60 fakir atau memberi mereka 60 cupak makanan asasi yang boleh dijadikan fitrah seperti beras atau gandum.
Wajibkan ganti puasa tanpa kifarat apabila:
(1) Orang yang bersetubuh memasukkan kemaluan dalam faraj belum sampai had yang ditentukan.
(2) Yang disetubuhi (perempuan).
(3) Bersetubuh dalam keadaan lupa.
(4) Berkeadaan jahil ketika itu mengenai batalnya puasa dengan kelakuan berkenaan.