15 Disember 2010

ISTERI MENGHARAP KEMATIAN SUAMI

Fikrah Dr. Salam

SOALAN
SAYA berusia 40 tahun mempunyai tiga anak berusia 17, 15 dan 14 tahun. Saya sudah bercerai dengan suami pertama dan sekarang berkahwin semula.

Perkahwinan kali kedua ini memasuki usia lima tahun. Suami saya seorang mualaf berbangsa Inggeris berusia 64 tahun.

Tahun pertama perkahwinan kami cukup bahagia, tetapi saya menyedari terdapat beberapa kekurangan suami.

Suami memeluk Islam kerana ingin berkahwin dengan saya. Selepas memeluk Islam dia tidak mengikuti kelas agama Perkim atau badan Islam lain walaupun saya cuba memujuknya dengan alasannya semua agama adalah serupa dan menyembah pada tuhan yang satu.

Namun, saya tetap menjelaskan kepadanya perbezaan antara Islam dan agama lain. Bagaimanapun, selepas memeluk Islam dia tidak lagi makan babi, tetapi tetap mengambil minuman keras.

Selain itu, suami menghadapi masalah mati pucuk kritikal. Kami beberapa kali berjumpa pakar perubatan di hospital kerajaan dan tradisional untuk memulihkan masalah berkenaan, tetapi gagal.

Masalah ini membuat jiwa rasa sungguh tertekan dan memberontak. Suami menyedari keadaan itu dan dia memesan alat mainan seks untuk kegunaan saya.

Bagaimanapun, ia masih tetap tidak mampu memenuhi keinginan saya. Akhirnya suami menggunakan jari untuk memuaskan saya tapi saya kesakitan.

Untuk pengetahuan Dr, akibat tekanan masalah seksual itu saya berjauhan dengan suami apatah lagi saya bekerja di negeri lain.

Baru-baru ini, saya ada berkenalan secara tidak sengaja dengan seorang pensyarah pusat pengajian tinggi awam melalui Internet. Kami berjumpa atas dasar hubungan perniagaan.

Bagaimanapun, selepas pertemuan itu dia menghantar SMS menyatakan dia suka kepada saya dan mahu hubungan kami lebih serius.

Saya tidak pernah memaklumkan status diri saya walaupun dia ada bertanya. Saya cuma berkata saya sudah 'berpisah' dengan suami iaitu duduk berjauhan, tetapi bukan bercerai.

Namun, dia menganggap saya sudah bercerai. Terus terang, saya mulai suka kepada lelaki berkenaan, namun apabila memikirkan perbezaan usia yang jauh saya mengalah. Dia seorang lelaki yang matang walaupun baru berusia 26 tahun.

Berbalik kepada suami, dia seorang yang pemurah, menjaga saya dengan baik cuma masalahnya dia mati pucuk dan kuat cemburu.

Saya juga bergantung kewangan daripadanya. Jiwa saya sangat tertekan dan menderita dan ingin berpisah dengan suami.

Pada masa sama saya takut menghadapi perceraian, seperti perceraian yang pertama dulu.

Kadangkala saya terfikir kenapa suami tidak mati saja supaya tiada sesiapa yang menyalahkan saya lagi apabila ingin memulakan kehidupan baru.

Namun, itu tidak mungkin berlaku kerana faktor genetik sebelah suami mempunyai jangka hayat yang panjang seperti ibu mentua saya yang sekarang berusia 98 tahun.

Bagaimana jalan penyelesaian terbaik Dr?


ISTERI DERITA
Kuala Lumpur


JAWAPAN
DALAM kehidupan berumah tangga, setiap suami dan isteri ada hak dan tanggungjawab masing-masing yang perlu ditunaikan. Isteri bertanggungjawab untuk melayan suami, manakala suami bertanggungjawab memberi nafkah zahir dan batin kepada isteri.

Hubungan seksual antara suami isteri adalah hak dan tanggungjawab bersama. Suami dan isteri mesti menunaikan hak bersama itu.

Jika suami gagal memberi nafkah batin atau kebendaan kepada isteri tanpa sebab yang boleh diterima syarak, isteri boleh memilih untuk berpisah dengan suami melalui perceraian taklik atau fasakh.

Dalam kes puan, saya berpendapat ia sudah berada di peringkat kritikal apabila suami tidak dapat lagi memberi nafkah batin yang sempurna walaupun pelbagai cara sudah dicuba.

Islam membenarkan puan memilih berpisah dengan suami. Bagaimanapun, ia perlu difikirkan secara sempurna, baik dan buruknya meneruskan perkahwinan atau perceraian.

Pada masa yang sama, puan dinasihatkan tidak meneruskan hubungan dengan lelaki lain ketika dalam ikatan perkahwinan. Ini kerana ia dilarang agama kerana termasuk dalam perlakuan maksiat kerana berlaku curang kepada suami.

Selain itu, keadaan yang kritikal sekarang dan hubungan yang agak bebas mungkin menyebabkan berlaku dosa zina. Ia perlu dielakkan kerana hukuman zina dalam Islam amat keras, iaitu rejam sampai mati kepada penzina lelaki dan perempuan yang sudah berkahwin.

Al-Quran menegaskan: "Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang daripada kedua-duanya seratus kali sebat dan janganlah kamu dipengaruhi perasaan belas kasihan terhadap kedua-duanya dalam menjalankan agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; serta hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan orang yang beriman." (Surah al-Nur ayat 2).

HUKUM KHATAN

Fikrah Dr. Salam

SOALAN
SAYA pernah diberitahu, bayi perempuan wajib dikhatan bagi tujuan penyucian dan mengawal nafsunya apabila dewasa kelak, tetapi ada pengamal perubatan tidak menggalakkan melakukan khatan berkenaan.

Saya mempunyai anak perempuan berusia enam bulan - lima bulan dan musykil sama ada perlu dikhatankan atau tidak. Apakah hukum sebenar berkhatan bagi bayi perempuan dalam Islam Dr?


FARHAH
Kuala Lumpur


JAWAPAN
BERKHATAN adalah memotong selaput kulit yang menutupi kepala zakar lelaki atau memotong sedikit hujung daging yang ada di sebelah atas faraj perempuan.


Berdasarkan mazhab Syafie, amalan berkhatan diwajibkan sama ada untuk lelaki atau perempuan. Ia termasuk antara amalan yang disyariatkan Allah sebagai pelengkap fitrah semula jadi manusia.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Fitrah (sifat semula jadi) itu lima perkara: Berkhatan, mencukur bulu ari-ari, menggunting misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak." (Bukhari, Muslim)
Oleh itu, saya menyarankan anda berjumpa dan berbincang dengan doktor di klinik perubatan yang ada menawarkan perkhidmatan berkhatan.

Anda tidak perlu musykil dengan perintah dalam ajaran Islam. Ini kerana Islam ingin menjaga kebersihan dan martabat sesama manusia.

Kita tidak boleh terikut-ikut dengan idea yang dikemukakan pihak barat atau orientalis serta pengikut mereka yang cuba menidakkan amalan berkhatan terutama bagi wanita.

Malah, sekarang amalan berkhatan bagi lelaki sudah diterima di Barat. Saya berpandangan mana-mana tradisi timur yang ada asas dalam ajaran Islam hendaklah terus diamalkan.

BEZA HARTA SEPENCARIAN DAN NAFKAH

Fikrah Dr. Salam

SOALAN
APAKAH perbezaan harta sepencarian dan nafkah.

Adakah harta sepencarian boleh dikira sebagai nafkah?


HAMIZA
Selangor


JAWAPAN
MEMANG terdapat perbezaan antara harta sepencarian dan nafkah. Harta sepencarian ialah harta yang diperoleh hasil daripada usaha suami isteri dan termasuk pendapatan yang diperoleh daripada modal sendiri hasil kerjasama mereka.


Jika berlaku perceraian, harta yang diperoleh boleh diisytiharkan sebagai harta sepencarian dengan persetujuan kedua-dua pihak.

Harta berkenaan dapat dibahagikan bersama antara mereka dengan persetujuan mahkamah.

Manakala nafkah pula merujuk kepada tanggungjawab suami kepada isteri iaitu dalam masa perkahwinan isteri berhak mendapat nafkah daripada suaminya.

Ini termasuk nafkah makanan, tempat tinggal, pakaian dan perubatan.

Kadar nafkah diambil kira dengan kemampuan suami berdasarkan pendapatannya.

Allah berfirman yang bermaksud: "...dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya." (Surah al-Baqarah ayat 233)

Apabila dicerai, isteri berhak mendapat nafkah untuk masa idah (Surah at-Talaq: 6).

HUKUM NAIK PELAMIN

Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

SOALAN
SAYA ingin mengetahui penjelasan mengenai hukum naik pelamin atau pun membuat pelamin untuk kenduri kahwin.

Saya runsing memikirkan hal ini kerana akan mendirikan rumah tangga tidak lama lagi


RUNSING
Pulau Pinang


JAWAPAN
Perkahwinan adalah ikatan suci yang sunnah daripada Nabi SAW.

Disunatkan juga mengadakan kenduri kahwin yang bertujuan mengumumkan pasangan bagi mengelakkan fitnah serta berkongsi kegembiraan dengan masyarakat.

Rasulullah bersabda: “umumkan perkahwinan dan langsungkanlah di masjid dan pukul lah gendang dan rebana pada hari perkahwinan itu.

“Ketika sahabat Abdul Rahman bin ‘Awf berkahwin, Rasulullah bersabda kepadanya: Hendaklah anda mengadakan walimah walaupun dengan seekor kambing.”

Sebahagian besar masyarakat kita mengumum dan memperkenalkan pengantin melalui pelamin di mana mereka disandingkan sebagai cara diperkenalkan pada umum.

Adat setempat tidak disanggah agama selama mana tidak bercanggah akidah dan syariat.

03 Disember 2010

ANAK ANGKAT ANAK SUSUAN

Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

SOALAN
SAYA sudah berkahwin lima tahun tetapi belum dikurniakan zuriat. Kami bercadang mengambil anak angkat yang tiada tali persaudaraan dengan kami.

Jika saya mengambil anak angkat perempuan, adakah haram hukumnya jika bersentuh dengan suami saya dan begitu juga sebaliknya?


INSAN BUNTU
Terengganu


JAWAPAN
Anak angkat tidak akan sama seperti anak kandung sama ada di segi hukum mahupun biologi. Bagaimanapun, untuk memudahkan urusan di segi hukum pengambilan anak angkat, puan dan suami dinasihatkan mengambil bayi berusia kurang daripada dua tahun.


Bayi itu sebaik-baiknya disusukan dengan susu badan puan sendiri. Puan boleh merujuk kepada doktor perubatan untuk membantu puan menyusukan bayi.

Apabila anak itu dijadikan anak susuan puan, pelbagai masalah berkaitan hukum bersentuhan dapat diselesaikan. Anak susuan boleh bersentuh dengan puan dan suami seperti anak sendiri, cuma yang membezakannya adalah dia tiada hak dalam pembahagian harta pusaka dan suami puan tidak boleh menjadi walinya.

Namun, masalah ini boleh diselesaikan melalui penulisan wasiat dan berwalikan hakim.