.

27 Januari 2016

HUKUM MINYAK IKAN YANG TIDAK DIBUANG PERUT DAN NAJISNYA

SUMBER : e-fatwa.gov.my

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-107 yang bersidang pada 10 - 11 Februari 2015 membincangkan Hukum Minyak Ikan Yang Diproses Tanpa Dibuang Perut Atau Najisnya. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
 
  1. Setelah meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa kandungan isi perut ikan adalah antara hukum yang tidak disebut secara jelas mengenainya sama ada dalam al-Quran ataupun Sunnah Rasulullah SAW. Ibn Hajar, Ziyad, al-Ramli dan lain-lain telah bersepakat bahawa apa-apa yang ada dalam perut ikan yang kecil sama ada darah atau najis adalah suci dan boleh dimakan serta tidak dianggap najis, bahkan al-Ramli berpendapat, hukum tersebut berlaku juga kepada ikan yang besar.
     
  2. Sekiranya ia dihukum bersih, syarak menetapkan hukum memakannya bergantung pula pada pandangan pakar perubatan yang dipercayai sama ada ia boleh memudaratkan ataupun tidak. Sekiranya mudarat maka tidak boleh dimakan kerana memberi kesan pada kesihatan, begitulah sebaliknya.
     
  3. Sehubungan itu, berdasarkan masyaqqah yang perlu dihadapi untuk memproses ikan dalam kuantiti yang banyak sehingga terlalu sukar untuk dibuang kandungan isi perut ikan satu persatu, dan realiti semasa industri komersil pemprosesan minyak ikan pada masa ini yang perlu mematuhi standard dan piawaian yang ketat bagi memastikan ianya bersih dan selamat digunakan, serta dengan mengambilkira kepentingan, manfaat dan kegunaan minyak ikan kepada kesihatan manusia, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa minyak ikan yang diproses secara komersial dalam kuantiti yang  melibatkan beribu-ribu tan ikan tanpa dibuang perut atau najisnya adalah suci dan halal dimakan.
 
Keterangan/Hujah: 
1. Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia (MPPHM) JAKIM pada 10 Oktober 2013 telah membangkitkan isu yang baru dikenalpasti melalui pengauditan yang telah dibuat terhadap sijil halal yang dikeluarkan kepada syarikat yang mengeluarkan produk-produk berasaskan minyak ikan cod dan capelin yang banyak dijual di farmasi dan pasaraya seluruh negara.
 
2. Isu tersebut adalah berkaitan dengan ikan-ikan cod atau capelin yang diproses untuk dibuat minyak tidak dibersihkan sewajarnya, iaitu tidak dibuang perut atau najisnya terlebih dahulu sebelum diproses untuk menghasilkan minyak.
 
3. Berdasarkan penjelasan yang diberikan, minyak capelin diperolehi dari ikan yang ditangkap khusus untuk dibuat minyak ikan. Ikan-ikan tersebut diproses terus tanpa dibasuh atau dipotong terlebih dahulu. Ini kerana ia diproses dalam jumlah atau kuantiti yang besar melibatkan beribu-ribu tan ikan (satu tan mengandungi lebih kurang 40,000 ekor ikan capelin yang beratnya antara 15-30 gram).
 
4. Ikan capelin yang ditangkap nelayan akan terus dibawa ke tapak kilang untuk disimpan sebelum diproses. Proses dilakukan dengan kaedah mengukus ikan tersebut untuk memecahkan sel-sel untuk menghasilkan minyak. Kemudian sisa ikan tersebut akan diasingkan untuk memisahkan antara pepejal daripada cecair. Proses mekanikal kemudiannya digunakan untuk memisahkan pula antara minyak dan air. Minyak ikan mentah yang siap akan disimpan dalam tangki simpanan sebelum diedarkan.
 
5. Kesemua minyak ikan capelin yang siap diproses ini adalah mematuhi syarat hygiene yang ditetapkan oleh Kesatuan Eropah (EU) dan selamat untuk kegunaan manusia.

6. Maklumat yang diberikan juga menyatakan proses yang sama (standard) digunakan oleh pengilang untuk menghasilkan minyak ikan cod, minyak omega 3 dan seumpamanya yang dihasilkan seleuruh dunia.
 
7. Dalam taklimat yang disampaikan oleh pihak syarikat GSK kepada JAKIM pada 12 Februari 2014 telah memaklumkan perkara yang sama. Dalam taklimat tersebut juga diterangkan secara terperinci lagi proses yang diamalkan syarikat pengilang untuk mendapat minyak ikan (wet reduction process) sebaik sahaja ikan dibawa turun dari kapal yang melibatkan proses memasak (cooking), memampat (pressing), menyejat dan memisahkan antara air dan minyak, seterusnya mengering dan mengisar lebihan untuk dijadikan makanan ikan.
 
8. Terdapat kemusykilan, terutamanya di kalangan orang awam dan pengamal mazhab terutama mazhab al-Shafie tentang keharusan memakan ikan bersekali kandungan isi perut ikan. Ini kerana terdapat pandangan fuqaha mazhab yang mengharamkan makan najis yang terdapat dalam perut ikan, ada juga pendapat yang hanya mengharamkan makan najis dari perut ikan yang besar dan ada juga di kalangan fuqaha yang membolehkannya.
 
9. Jabatan Mufti Brunei dalam majalah Pelita Brunei telah mengulas atau memberi panduan mengenai isi perut ikan dan menyatakan ikan sepertimana juga dengan haiwan yang lainnya, memiliki rongga perut dan pada rongga perutnya itu juga terkandung kotoran dan najis. Menurut ulama, sesuatu yang keluar (berasal) dari rongga perut haiwan, tidak terkecuali ikan, merupakan najis. Oleh yang demikian, najis ikan juga dihukumkan sebagai najis. Namun ulama telah menjelaskan bahawa adalah halal memakan ikan kecil yang dimasak, seumpama digoreng atau dibakar, bersama dengan isi perutnya, tanpa dibersihkan atau dibuang terlebih dahulu kotoran yang terkandung dalam perutnya. Kandungan kotoran (isi perut) ikan kecil tersebut adalah dimaafkan. Imam Ibn Hajar Rahimahullah juga berpendapat bahawa tidak wajib membersihkan atau membuang kandungan kotoran dalam perut ikan kecil kerana kesukaran untuk membersihkan isi perutnya. Adapun ikan besar yang digoreng atau dibakar, hukumnya adalah haram memakannya bersama dengan isi perutnya kerana najis dalam perut ikan yang besar adalah tidak dimaafkan, disamping tiada kesukaran untuk membersihkan kotoran yang terdapat di dalam perut ikan yang besar.
 
10 . Ikan merupakan benda hidup dalam kumpulan haiwan yang mempunyai tulang belakang. Ciri-ciri ikan adalah seperti berikut:
 
i. Hidup di dalam air
ii. Mempunyai sisik yang berlendir
iii. Mempunyai sirip untuk bergerak
iv. Bernafas melalui insang
v. Membiak secara bertelur; dan
vi. Berdarah sejuk
 
11. Ikan ialah makanan untuk banyak spesis. Ia merupakan salah satu sumber protein manusia yang penting sepanjang sejarah tercatat. Allah SWT sendiri turut merakam perihal ikan sebagai makanan melalui firman-Nya dalam surah Al-Nahl, ayat 14:

Maksudnya:
“Dan Dialah yang menundukkan lautan (untuk mu), agar kamu dapat makan daging yang segar (ikan) darinya, dan dari lautan itu kamu mengeluarkan perhiasan yang kamu pakai. Kamu juga melihat perahu belayar padanya, dan agar kamu mencari sebahagian kurnia-Nya, dan agar kamu bersyukur.”

12. Nabi Muhammad SAW juga menjelaskan ikan yang hidup dalam air sebagai makanan ketika ditanya tentang air laut dengan sabdanya:

هو الطهور ماءه الحل ميتته
Maksudnya: “Ia (air laut) itu bersih dan halal bangkainya”
 
Dalam satu hadis lain Nabi SAW ada bersabda:

احلت لنا ميتتان: الحوت والجراد
Maksudnya: “Dihalalkan kepada kami dua jenis bangkai iaitu: ikan dan belalang”
 
13. Ikan sebagai sumber makanan yang halal bagi umat Islam tidak perlu dipersoalkan lagi kerana ia jelas disebut dalam Al-Quran dan hadis sebagaimana disebutkan sebelum ini. Apa yang menjadi perbahasan di kalangan para fuqaha ialah adakah keseluruhan ikan tersebut halal dimakan, atau terdapat bahagian tertentu seperti kandungan isi perut ikan yang mengandungi najis yang tidak boleh atau haram bagi umat Islam memakannya.
 
14. Para fuqaha Mazhab dalam hal ini telah berbeza pendapat seperti berikut:
 
i. Maliki
 
Imam Malik berpendapat semua binatang yang boleh dimakan adalah suci najisnya. Pendapat Imam Malik dan lain-lain yang sama dengannya telah dinukilkan dalam bentuk syair oleh al-Syeikh Abdullah bin Abi Bakr Ba Syuaib:
 
روث لمأكول لدى زهريهم        وعطاء و الثورى والروياني
وامام نخع و ابن سيرين واص    طخري والشعبي والشيباني
وابن خزيمة منذر حبانهم          ثم ابن حنبل مالك الرياني
طهر وزاد الظاهرية والبخا        ري لغير فضلة الا نسان

“Najis haiwan yang boleh dimakan di sisi al-Zuhri, Ata’, a-Thauri, al-Ruyani, Imam Nakhaei, Ibn Sirin, Istakhri, al-Sya’bi. Al-Syaibani, Ibn Khuzaimah, Munzir, Ibn Hanbal, Malik al-Rayyani adalah bersih. Al-Zahirih dan al-Bukhari menambah kecuali najis manusia”
 
ii. Shafi’i
 
Pendapat yang asah dalam mazhab Shafi’i menurut al-Buraihimi menyatakan najis ikan dan belalang juga hukumnya najis. Pengarang al-Ibanah pula berpendapat sebaliknya (suci). Imam al-Nawawi pula menyatakan bahawa air kencing, darah dan najis ikan dan belalang, najis haiwan yang tidak mempunyai darah mengalir, darah yang ada di dalam hati dan limpa mempunyai dua pandangan (di kalangan fuqaha al-Shafi’i), pendapat yang asah ialah kesemuanya dianggap najis.
 
Ibn Hajar, Ziyad, al-Ramli dan lain-lain telah bersepakat bahawa apa-apa yang ada dalam perut ikan yang kecil sama ada darah atau najis adalah suci dan boleh dimakan serta tidak dianggap najis, bahkan al-Ramli berpendapat, hokum tersebut berlaku juga kepada ikan yang besar.
 
iii. Hanbali
 
Imam Hanbali juga sependapat dengan Imam Malik dalam perkara ini.
 
15. Hujah pendapat yang mengatakan najis ikan adalah bersih adalah berpegang kepada umum ayat dan hadis Nabi SAW sebelum ini yang secara jelas menyatakan binatang laut keseluruhannya termasuk ikan adalah halal dimakan sekalipun telah mati. Sementara pendapat yang mengatakan najis ikan sebagai kotoran pula melihat kepada sifat najis itu sendiri walaupun ia daripada ikan atau belalang tetap dianggap najis kerana Rasulullah SAW apabila dibawa dua biji batu dan najis binatang (yang telah keras) untuk beristinjak maka baginda telah mengambil batu dan membuang najis binatang tersebut, seraya berkata “ini adalah kotoran”.
 
16. Pengarang al-Mauwsuah al-Fiqhiyah ada membangkitkan isu hukum ikan yang diletakkan garam (ikan pekasam/jeruk dan seumpamanya), keempat-empat fuqaha mazhab kesemuanya menghukum ikan tersebut bersih sekiranya dari jenis ikan kecil, najis yang ada dalam perutnya adalah dimaafkan kerana kesukaran untuk membuangnya. Sekiranya ikan tersebut jenis yang besar maka fuqaha Hanafiah, Hanabilah, Ibn Arabi dan al-Dardir dari fuqaha Malikiah berpendapat sebaliknya. Adapun sekiranya ia dihukum bersih, syarak menetapkan hukum memakannya bergantung pula pada pandangan pakar perubatan yang dipercayai sama ada ia boleh memudaratkan ataupun tidak. Sekiranya mudarat maka tidak boleh dimakan kerana memberi kesan pada kesihatan, begitulah sebaliknya.
 
17. Ukuran kecil atau besar ikan tersebut menurut fuqaha ialah:
 
i. Apa yang menurut adat kebiasannya diakui atau disebut sebagai ukuran ikan kecil;
ii. Sekadar dua jari besarnya. Ini adalah pendapat al-‘Allamah ‘Ali al-Syabramallisi Rahimahullah.
 
18. Ulama moden seperti Dr. Yusof al-Qaradawi lebih cenderung memilih pendapat yang menghalalkan semua binatang yang ada di dalam air. Beliau menyebutkan binatang laut iaitu semua binatang yang hidupnya di dalam air. Binatang-binatang ini semuanya halal walau diperolehi dalam keadaan mana sekalipun, sama ada waktu diambilnya itu masih dalam keadaan hidup ataupun sudah bangkai, terapung atau tidak. Binatang-binatang tersebut sama ada ikan ataupun yang lain, seperti anjing laut, babi lalut dan sebagainya. Orang yang mengambilnya tidak lagi perlu diperbincangkan, apakah seorang muslim ataupun orang kafir.

19. Dalam hal ini Allah SWT memberikan keluasan kepada hamba-hambaNya dengan memberikan keharusan untuk makan semua binatang laut, tidak ada satupun yang diharamkan dan tidak ada satupun pensyaratan untuk menyembelihnya seperti yang berlaku pada binatang lain. Bahkan Allah SWT menyerahkan bulat-bulat kepada manusia untuk mengambil dan menjadikannya sebagai modal kekayaan menurut keperluannya dengan usaha semaksima mungkin untuk tidak menyeksanya.
 
20. Secara umumnya terdapat dua pandangan dalam isu ini, iaitu:
 
i. Pandangan yang menyatakan bahawa kandungan isi perut haiwan yang boleh di makan (termasuk ikan) adalah suci;

ii. Pandangan yang menyatakan bahawa kandungan isi perut ikan kecil sahaja yang dibenarkan, manakala kandungan isi perut daripada ikan yang besar adalah dianggap najis.
 
21. Sekiranya pandangan pertama diterima pakai maka tiada masalah untuk menerima dan memperaku proses sedia ada yang telah diamalkan sekarang. Sekiranya pandangan yang kedua diterima pakai, maka hanya ikan capelin yang dilihat boleh diperakukan kerana dari segi adatnya ia adalah ikan kecil yang boleh diproses tanpa dibuang perut atau najisnya, manakala ikan cod dan seumpamanya tidak boleh diproses sebelum dibuang kotoran atau perutnya terlebih dahulu.
 
22. Berasaskan pandangan, hujah dan dalil yang dikemukakan, pertimbangan-pertimbangan berikut turut diambilkira dalam penentuan hukum terhadap isu ini, iaitu:
 
i. Kandungan isi perut ikan adalah antara hukum yang tidak disebut secara jelas mengenainya sama ada dalam al-Quran mahupun Sunnah Rasulullah SAW;

ii. Sehubungan itu, terdapat perbezaan pendapat mazhab Shafi’i dalam isu ini. Walau bagaimanapun pendapat yang paling asah dalam mazhab Shafi’i menghukum kandungan isi perut dari perut ikan besar adalah dianggap najis.
 
iii. Terdapat juga pandangan mazhab-mazhab lain yang perlu dinilai terutama dalam masalah hukum yang melibatkan manfaat umum kepada masyarakat;
 
iv. Kesesuaian mengaplikasi kaedah umum balwa dalam masalah ikan yang terlampau banyak sehingga terlalu sukar untuk dibuang kandungan isi perut ikan satu persatu dengan syarat tidak memudaratkan manusia untuk memakannya;
 
v. Realiti semasa dalam industri komersil pemprosesan minyak ikan pada masa ini (yang dikuasai oleh orang bukan Islam) tidak mengamalkan dasar membersihkan perut ikan terlebih dahulu sebelum diproses;
 
vi. Mengambilkira kepentingan dan kegunaan minyak ikan kepada kesihatan manusia sama ada sebagai satu keperluan atau supplemen tambahan sahaja; dan
 
vii. Mengutamakan pendapat yang lebih mudah berbanding dengan pendapat yang ketat dalam isu ini dilihat lebih menepati kehendak al-Quran dan hadis Nabi SAW yang menuntut supaya dipermudahkan sebarang urusan selagi mana tidak bertentangan dengan Hukum Syarak.

Wallahu A’lam.