.

22 Disember 2009

IMAM TERBATAL SOLAT

Sumber: Utusan Malaysia, Agama

SOALAN

Ketika solat berjemaah juga, imam telah terbatal solatnya akibat dari satu di antara perkara yang membatalkan solat berlaku ke atas dirinya.

Siapakah yang afdal di antara para jemaah mengambil alih tugas si imam itu untuk meneruskan solat tersebut dan bagaimanakah cara?


JAWAPAN

Sama ada menjadi makmum mahupun menjadi imam mestilah berilmu. Setiap ibadat yang difardukan dalam Islam sebelum dilaksanakan hendaklah dipelajari, rukun dan syaratnya supaya ibadat itu diterima Allah SWT.

Apabila imam terbatal solatnya lalu imam harus meninggalkan tempat solatnya dengan menyebut subhanallah. Ini secara tidak langsungnya memaklumkan kepada makmum bahawa solatnya sudah terbatal.

Jadi orang yang selayaknya menggantikan imam ialah imam-imam yang lain yang biasanya berada betul-betul di belakang imam. Jika imam-imam lain tiada di belakang imam, maka orang yang berada di belakang imam hendaklah ke hadapan menggantikan imam yang terbatal solatnya.

Makmum yang akan menggantikan imam itu hendaklah bergerak perlahan ke hadapan dan meneruskan rakaat dan memimpin solat hingga ke penghujungnya.

Untuk itu makmum yang berada di belakang imam mesti bersedia untuk mengambil tempat imam sekiranya sesuatu berlaku ke atas imam.

Oleh itu, sebelum solat di saf belakang imam, pastikan ilmu fiqh solat difahami terlebih dahulu.

TIDAK BATAL SOLAT, MAKMUM TEGUR IMAM

Sumber: Utusan Malaysia, Agama

SOALAN

KETIKA sembahyang berjemaah, imam selepas bacaan fatihah membaca satu surah yang agak panjang. Semasa membaca surah tersebut ada ketikanya bacaannya terhenti-henti atau tersangkut-sangkut kerana sesekali terlupa akan bacaannya.

Beberapa orang makmum di belakang imam cuba menyebut atau membaca beberapa patah ayat tersebut dengan harapan si imam dapat mengingati dan terus menyambung semula bacaan surah tersebut.

Pertanyaan saya, apakah hukum perbuatan makmum itu dan adakah ia membatalkan solat si makmum tersebut ataupun tidak?


JAWAPAN

Perbuatan makmum yang mengingatkan imam dengan ayat yang dilupainya dalam tidak membatalkan solat berjemaah. Ini kerana adalah tanggungjawab makmum mengingatkan imam dengan ayat yang tertinggal atau terlupa.

Namun jika keadaan berterusan akan menjadi makruh kerana mengganggu makmum yang lain. Adalah sangat dituntut ke atas imam untuk membaca surah yang lancar sahaja.

Tidak salah kalau membaca surah panjang tapi harus dipastikan bahawa dia (imam) benar-benar lancar supaya perjalanan solat lebih bermakna dan mencapai objektifnya.

Berdasarkan kepada pengalaman saudara, dapat saya faham bahawa makmum juga menghafal surah yang sama. Makmum lagi lancar daripada imam, ini akan menjadikan makmum hilang hormat terhadap imam.

Setiap imam yang bertugas hendaklah berusaha memastikan makmum dapat mencapai tahap khusyuk yang maksimum.

Jika imam asyik lupa ayat dan makmum sibuk membetulkan bacaan akan mencacatkan solat secara keseluruhannya.

Sebagai seorang imam tugas dia bukan sekadar menjadi imam solat tetapi bertanggungjawab memastikan para jemaah mahu datang lagi dan dapat merasakan solat di belakang imam tersebut terasa seronok dan khusyuk.

Oleh itu para imam hendaklah membaca surah yang benar-benar kemas hafalannya dan bukan menjadikan solat fardu berjemaah sebagai ulang kaji hafalan.

Biar surah yang dihafal hanya pendek, tetapi dia lancar dan mampu membacanya dengan baik. Para makmum dalam menegur biarlah seorang sahaja, yang lain hanya diam.

Dalam persoalan menegur imam dalam solat siapa yang paling layak menegur? Adakah semua dalam masjid atau surau boleh menegur imam serentak?

Inilah yang kita seringkali dapati, apabila imam terlupa mana-mana ayat al-Quran habis satu masjid menegurnya, kadang-kadang yang berada di saf yang hujung pun nak tegur juga. Sedangkan orang yang paling berhak ke atas imam ialah orang yang betul-betul berada di belakang imam, orang yang di sebelah kanan dan yang sebelah kiri.

Sekiranya yang berhampir dengan imam yang berada di belakang imam tidak hafal maka barulah makmum yang berada di saf-saf yang di belakang boleh menegur.

Dan jangan tergopoh-gopoh nak tegur imam, seeloknya diberi beberapa saat untuk imam ingat kembali. Sekiranya telah pasti imam tidak ingat barulah makmum tolong.

Sebab itulah para fuqaha (ahli fiqh) mengafdalkan yang berada benar-benar di belakang imam hendaklah mereka yang sama hebat atau lebih hebat daripada imam.

Ini bermaksud tidak semua boleh solat belakang imam, hanya orang yang memahami persoalan-persoalan fiqh solat sahaja yang seharusnya berada dibelakang imam.

SYARAT JADI WALI

Datuk Dr Mashitah Ibrahim

SOALAN
SAYA akan mendirikan rumah tangga bersama pilihan hati saya pada hujung tahun ini.

Apa yang membingungkan saya adalah mengenai wali. Untuk pengetahuan Datuk, ibu dan ayah saya sudah lama bercerai.

Saya sendiri tidak pernah merasai kasih sayang seorang ayah dan saya tidak tahu macam mana perasaannya ada seorang ayah.

Saya ada mendengar ceramah apabila seorang ayah yang tidak pernah memberi nafkah kepada anak, mereka tidak layak untuk mewalikan anak. Adakah ia benar?

Ketika kakak saya hendak bernikah dulu, kami terpaksa merayu ayah untuk datang menikahkan kakak.

Dia bukan saja tidak memberi nafkah, nama kami adik beradik pun dia tidak tahu.

Malah, siapa kakak dan adik pun dia tidak tahu hinggakan ketika hendak menikahkan kakak dulu pun saksi (pak cik sebelah ibu) terpaksa bisikkan nama kakak saya ke telinganya.

Saya hendak tahu betul ke ayah yang tidak pernah memberi nafkah dan tidak pernah menjenguk anaknya tidak layak untuk menjadi wali?

Jika ya, adakah wajar pernikahan dijalankan tanpa memberitahunya?

INSAN BINGUNG
Kedah


JAWAPAN
Wali adalah satu daripada rukun perkahwinan. Oleh kerana wali adalah satu daripada syarat sah nikah, maka bukan semua orang boleh menjadi wali.

Syarat sah menjadi wali ialah Islam, baligh, berakal (orang gila, mabuk dan orang yang sangat bodoh tidak sah menjadi wali); lelaki (perempuan tidak sah menjadi wali); adil dan merdeka.

Susunan wali mestilah mengikut tertib iaitu bermula daripada bapa kandung (jika tiada dan mati barulah berpindah kepada), datuk sebelah bapa ke atas kemudian saudara lelaki seibu-sebapa kemudian saudara lelaki sebapa dan anak saudara lelaki seibu-sebapa dan anak saudara lelaki sebapa dan bapa saudara sebelah bapa seibu-sebapa dan seterusnya menurut urutan wali itu sendiri.

Tidak disebut jika ayah tidak memberi nafkah, dia gugur hak walinya; ada hadis Rasulullah SAW menyebut ‘Tidak sah nikah melainkan wali yang adil dan ada saksi yang adil.” (Riwayat Ahmad)

Yang dimaksudkan dengan adil ialah seseorang itu berpegang kuat (istiqamah) kepada ajaran Islam, menunaikan kewajipan agama, mencegah dirinya melakukan dosa-dosa besar seperti berzina, minum arak, menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa dan sebagainya serta berusaha tidak melakukan dosa-dosa kecil.

Wali bersifat adil disyaratkan kerana ia dianggap bertanggungjawab dari segi kehendak agama ketika membuat penilaian bakal suami bagi kepentingan dan maslahat perempuan yang hendak berkahwin itu.

Manakala wali fasik pula, ia sendiri sudah tidak bertanggungjawab ke atas dirinya apatah lagi hendak bertanggungjawab kepada orang lain. Pun begitu masalah ini boleh diselesaikan selepas wali berkenaan beristighfar.

Tidak wajar pernikahan dijalankan tanpa bapa yang masih hidup menjadi wali walaupun saudari bermasalah dengannya.

Carilah dia dulu kerana walau apapun terjadi saudari tetap dibintikan atau dinasab kepada namanya.

LARANGAN KAHWINI PENZINA

Datuk Dr Mashitah Ibrahim

SOALAN

“LELAKI yang berzina tidak mengahwini melainkan perempuan yang berzina ataupun perempuan musyrik, dan perempuan yang berzina tidak mengahwini melainkan lelaki yang berzina atau lelaki musyrik, dan yang demikian itu diharamkan ke atas orang-orang yang beriman.” (al-Nur: 3)

Dari ayat di atas saya ingin bertanyakan beberapa soalan:


a. Adakah wajib bagi saya mengahwini perempuan yang pernah sama-sama terlanjur?

b. Jika perempuan itu sudah berubah hati, adakah perlu bagi saya untuk bertanggungjawab ke atas dirinya?

c. Saya amat menyesali perbuatan lepas bersama perempuan berkenaan, bahkan saya menasihatinya supaya kembali kepada saya dan segera merancang untuk berkahwin memandangkan saya masih ada hati padanya.

Malangnya niat baik saya dipersendakan. Rakan saya pernah menasihati saya supaya reda dengan takdir dan jodoh.

Persoalan saya, bolehkah ustazah terangkan apakah maksud jodoh dan takdir sebagai lelaki, apakah yang saya perlu lakukan sedangkan hati saya tidak tenang dalam melakukan taubat.

PEMUDA
Shah Alam



JAWAPAN

Ayat ini adalah daripada surah An-Nur yang diturunkan di Madinah iaitu tempoh Nabi Muhammad SAW berusaha membentuk masyarakat Islam.

Untuk membentuknya anggota masyarakat mestilah terdiri daripada mereka yang kuat peribadi dan ada harga diri.

Sahabat diseru mencari wanita yang baik untuk dikahwini dan dilarang keras bagi orang beriman berkahwin dengan penzina.

Merujuk pada persoalan tuan, jika tuan sudah terlanjur dengan seorang wanita, maka tuanlah orang paling layak untuk mengahwininya.

Jika pasangan tuan yang sama-sama terlanjur berubah hati dan mahu memilih orang lain, dia boleh berbuat demikian kerana tiada ikatan atau hubungan sah yang mengikat tuan dengan dia.

Apa yang terbaik dilakukan sekarang ialah bertaubat pada Allah atas keterlanjuran dan dosa yang dilakukan kerana berzina, termasuk dosa besar.

Bila manusia melakukan dosa dan kesilapan hanya ada satu pintu padanya untuk kembali tenang iaitu pintu taubat.

Reda dengan ketentuan bahawa wanita itu bukan jodoh tuan jika dia menolak dan yakin akan ada yang lebih baik.

Yang penting sekarang ialah membetulkan diri anda kerana Allah juga berfirman dalam surah sama pada ayat seterusnya iaitu ayat 26 yang maksudnya wanita yang tidak baik hanya sesuai pada lelaki yang tidak baik dan begitulah sebaliknya.

Wanita yang baik hanya sesuai untuk lelaki baik dan sebaliknya. Oleh itu baikkanlah diri untuk mendapat yang terbaik.

09 Disember 2009

PAKAIAN KENA BADAN ANJING

Dr Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN

SEEKOR anjing tiba-tiba datang dan mendekati saya walaupun saya cuba mengelak, adakah saya kena samak baju dan seluar bila pakaian saya terkena badan anjing itu? Tetapi ketika itu anjing itu dalam keadaan kering ?

WAN
Terengganu

JAWAPAN

MENURUT mazhab Shafie, babi dan anjing termasuk dalam najis berat (mughallazah). Tentang anjing, Rasulullah s.a.w bersabda: "Sucikan bejana salah seorang di antara kalian apabila terkena jilatan anjing dengan mencucinya sebanyak tujuh kali, salah satunya dengan tanah."

Babi digolongkan sama dengan anjing dalam kategori najis berat dengan alasan babi lebih buruk daripada anjing. Allah juga berfirman: "Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai, dan darah (yang keluar mengalir), daging babi (termasuk semuanya) ..." (Surah al-Maidah ayat 3).

Cara menyucikan adalah sama apabila kedua-dua terkena pakaian, badan dan tempat iaitu hendaklah dicuci sebanyak tujuh kali dan salah satunya dengan tanah, baik najisnya itu air liur, kencing, segala yang basah darinya atau bahagian yang sudah kering namun disentuh dalam keadaan basah.

Apabila sama-sama kering, hendaklah dicuci secara biasa tanpa perlu mengulangi tujuh kali termasuk sekali dengan tanah.

Berdasarkan kenyataan di atas dan apa yang berlaku pada anda, anda hanya perlu menyuci pakaian tersebut secara biasa kerana anda, pakaian dan anjing terbabit sama-sama kering. Lain pula sekiranya anjing itu menjilat anda dan pakaian anda.

Islam sangat mementingkan kebersihan diri, pakaian dan tempat tinggal. Secara umumnya anjing dan babi banyak membawa penyakit dan kuman. Dengan sebab itu Islam mengemukakan cara-cara yang lebih terperinci dalam menyucikan najis daripada kedua-dua binatang tersebut berbanding dengan kategori najis lain.

GAGAL TUNAI NAZAR SOLAT TASBIH

Dr Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN

SAYA bernazar solat tasbih sekali seminggu sepanjang hidup saya. Tetapi terdapat minggu yang saya gagal berbuat demikian. Tetapi saya akan menggantikannya mengikut berapa kali solat tertinggal. Jika dikenakan kaffarah, berapa yang saya perlu bayar?

NORDIN
Perak


JAWAPAN

NAZAR bermaksud mewajibkan atas diri sendiri melakukan sesuatu ibadat untuk Allah s.w.t yang mana hukum asalnya tidak wajib.

Sesuatu nazar yang berbentuk ibadat yang asalnya sunat akan menjadi wajib dengan bernazar untuk melakukannya seperti yang berlaku pada anda.

Jika tidak dapat melakukan nazar itu, anda perlu membayar kaffarah nazar. Ia sama dengan kaffarah sumpah.

Allah berfirman: "Kamu tidak dikira salah oleh Allah mengenai sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh.

Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin daripada jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka atau memerdekakan seorang hamba.

Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari sebagai denda penebus sumpah apabila kamu bersumpah. Dan jagalah, peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (hukum-hukum agama-Nya) supaya kamu bersyukur." (Surah al-Maidah (5): ayat 89).

Berdasarkan kepada ayat di atas, kaffarah (penebus) bagi nazar adalah seperti memberi makan kepada 10 orang miskin, memberi pakaian kepada 10 orang miskin atau memerdekakan seorang hamba dan sekiranya tidak mampu melakukan salah satu daripada ketiga-tiga perkara di atas bolehlah berpuasa selama tiga hari sebagai ganti.

Dengan berbuat demikian 'hutang' kita dengan Allah akan dapat ditebus.

TIDAK TAHU MAKANAN DIMASAK BERSAMA ARAK

Dr Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN

ADAKAH berdosa jika makan makanan yang dimasukkan sebarang alkohol dalam masakan sedangkan kita tidak mengetahuinya?

EEFA,
JOHOR


JAWAPAN

MAKANAN yang Islam benarkan ialah makanan yang halal lagi baik. Allah berfirman "Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.". (Surah al-Baqarah ayat 168).

Makanan halal adalah makanan yang tidak diharamkan Allah. Antara yang di haramkan ialah bangkai, darah, babi sebagaimana firman-Nya: "Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai, dan darah (yang keluar mengalir), daging babi (termasuk semuanya) ..." (Surah al-Maidah ayat 3).

Makanan yang baik ialah yang tidak membawa mudarat kepada badan dan akal termasuk yang bercampur dengan yang haram, najis, terkena najis, dan buruk dan jelek (khabith).

Apabila memakan makanan haram secara sengaja tanpa dalam keadaan darurat, ia dikirakan berdosa. Makan secara tidak sengaja termasuk tidak mengetahui perkara yang sebenar dan dalam keadaan darurat tidak berdosa. Allah berfirman: "Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah, maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak menginginkannya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Baqarah ayat 173).