.

27 Januari 2016

HUKUM PENUBUHAN BANK SUSU

SUMBER : e-fatwa.gov.my

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-97 yang bersidang pada 15-17 Disember 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Penubuhan Bank Susu. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
 
Setelah mendengar taklimat dan penjelasan pakar serta meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa menjaga keturunan adalah termasuk dalam lima perkara yang wajib dipelihara dalam syariat Islam. Oleh itu, apa-apa tindakan atau perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada nasab atau keturunan perlulah dielakkan.
 
Muzakarah juga berpandangan bahawa hukum penubuhan bank susu amat berkaitrapat dengan syarat-syarat pengharaman atas sebab susuan di mana bayi-bayi yang menyusu dengan seorang wanita atau lebih daripada seorang wanita akan menjadi adik beradik susuan dan perkahwinan antara mereka adalah haram apabila memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.
 
Pandangan ini adalah selaras dengan pandangan Jumhur Fuqaha’ bahawa seseorang bayi itu sah sebagai anak susuan samada melalui penyusuan secara langsung dari payudara atau penyusuan secara tidak langsung. Juga berdasarkan hadith riwayat Abu Daud:

عَنْ ابْنِ مَسْعُودٍ قَالَ لا رِضَاعَ إِلا مَا شَدَّ الْعَظْمَ وَأَنْبَتَ اللَّحْم
رواه أبو داود                                                                                    
Maksudnya:
Daripada Ibn Mas`ud berkata, tidak berlaku hukum penyusuan melainkan dengan apa yang menguatkan tulang dan menumbuhkan daging.
 
Sehubungan itu, memandangkan penubuhan bank susu boleh mengakibatkan percampuran nasab dan membawa umat Islam terjebak dalam keraguan dan perkara yang haram, dan keperluan penubuhannya juga tidak berada dalam keadaan darurat sehingga mengancam maslahah awam, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa penubuhan bank susu adalah tidak diharuskan.
 
Muzakarah juga memutuskan bahawa bagi memenuhi keperluan bayi pra-matang yang memerlukan rawatan, juga ibu yang mempunyai kekurangan susu atau mempunyai penyakit kronik/berjangkit dan tidak dapat menyusukan bayi, adalah harus bagi ibu-ibu menderma susu ibu secara sukarela kepada bayi-bayi yang memerlukan dan keluarga bayi serta perderma perlu mengenali antara satu sama lain.
 
Keterangan/Hujah: 
 
1. Isu Bank Susu Ibu ini pernah diketengahkan oleh mantan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Ismail Merican pada 14 Mac 2006 dalam ucapan perasmian Seminar Isu-isu Perubatan Menurut Perspektif Islam di Dewan Besar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
 
2. Pada 18 Ogos 2011, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) telah mengadakan perbincangan berkaitan dengan cadangan menubuhkan bank susu di pusat perubatan tersebut. Cadangan ini dilihat relevan kerana ia membantu bayi-bayi terutama bayi pra-matang yang memerlukan rawatan segera kerana susu ibu merupakan penawar terbaik untuk memulihkan kesihatan mereka. Di samping itu, terdapat juga kes ibu yang mempunyai kekurangan susu, atau mempunyai penyakit kronik/berjangkit dan tidak dapat menyusukan bayi mereka.
 
3. Selain itu, telah wujud rangkaian Human Milk For Human Babies (HM4HB) dalam facebook yang menawarkan perkhidmatan untuk memudahkan ibu-ibu yang mempunyai kekurangan susu untuk mendapatkan ibu susuan bagi bayi mereka. Walaupun rangkaian ini tidak menawarkan sebarang bentuk bank susu, isu ini telah menimbulkan persoalan adakah ia diharuskan dalam Islam atau sebaliknya.
 
4. Tindakan membankan susu ibu asli ini berpunca dari dua masalah besar yang dihadapi oleh para bayi.Pertama, sebahagian mereka yang lahir sebelum masa memerlukan penjagaan rapi dan pembekalan susu ibu yang mencukupi. Pada kebiasaannya, mereka tidak dapat menerima susu lain selain susu ibu asli.Keduanya, sebahagian bayi yang lain, sama sekali tidak dapat menerima susu tiruan biarpun mereka lahir sesudah matang kandungan masing-masing.
 
5. Kekurangan susu ibu asli bagi kedua-dua kelompok ini boleh menjejaskan kesihatan dan kehidupan mereka. Justeru, timbullah usaha mengumpulkan susu ibu asli daripada ratusan ibu dari pelbagai bangsa, agama dan negara. Susu ini disimpan secara saintifik di suatu tempat yang terjamin keselamatannya dan akan dikeluarkan berdasarkan permintaan dan keperluan yang mendesak daripada sebahagian bayi tertentu. Tempat penyimpanan itulah diistilahkan sebagai Bank Susu Ibu. Susu ini akan dikeluarkan berdasarkan permintaan atau keperluan yang mendesak daripada sebahagian penjaga/waris bayi tertentu secara komersial pada peringkat antara bangsa.
 
6. Cadangan penubuhan bank susu dilihat dapat memberikan satu lagi bentuk perkhidmatan rawatan yang terbaik terutamanya kepada bayi-bayi yang memerlukan rawatan kerana khasiat dalam susu ibu amat tinggi dan tidak dapat ditandingi oleh mana-mana alternatif perubatan masa kini. Namun begitu, sehingga kini masih tiada lagi bank susu ditubuhkan di Malaysia.
 
7. Jika dilihat dari satu aspek, bank susu mempunyai kelebihan dan manfaat yang besar kepada bayi-bayi yang memerlukannya. Walau bagaimanapun, dari aspek yang lain, ia bersangkut paut dengan hukum syarak iaitu pengharaman atas sebab susuan. Jika prosedur tidak dikawal, dibimbangi berlaku percampuran perkahwinan antara adik beradik susuan yang mana hukumnya adalah haram.
 
8. Dalam isu hukum, permasalahan penubuhan bank susu ini terdapat dua pandangan di kalangan ulama; iaitu pandangan yang mengharuskan dan pandangan yang mengharamkan.
 
PANDANGAN YANG MENGHARUSKAN
 
9. Dar Al-Ifta’ Mesir memutuskan tiada halangan untuk menubuhkan bank susu berdasarkan faktor berikut:
 
i. Susu yang dikumpulkan dikeringkan dengan kaedah pengewapan dan bertukar menjadi serbuk yang kering. Kemudian ia dibancuh dengan air untuk memudahkan bayi meminumnya sehingga berubah sifat susu dan kuantiti air tersebut melebihi kuatiti susu. Kaedah ini tidak mensabitkan pengharaman perkahwinan antara bayi dengan wanita yang memberikan susunya serta ahli keluarganya;
 
ii. Susu dikumpulkan daripada sebilangan besar wanita sehingga tidak dapat dikira atau ditentukan susu tersebut kepunyaan siapa selepas dicampurkan semuanya. Dalam keadaan ini tiada halangan bagi dua orang anak yang menyusu daripada susu yang dikumpulkan tersebut untuk berkahwin kerana tidak dapat ditentukan wanita mana yang menyumbangkan susu tersebut walaupun ia disimpan dalam bentuk yang telah dibekukan dan diberikan kepada bayi dalam bentuk cecair seperi asalnya.
 
10. Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawy berpandangan bahawa penubuhan bank susu adalah harus berdasarkan hujah-hujah berikut:
 
i. Asas pensabitan anak susuan adalah kerana sifat keibuan yang menyusukan anak dan tidak  hanya kerana meminum susu tersebut. Pengharaman perkahwinan tidak berlaku melainkan dengan penyusuan, dan ia tidak disebutkan penyusuan melainkan apabila si ibu menyusukan bayi tersebut secara langsung. Apa-apa kaedah selain daripada kaedah itu tidak dinamakan penyusuan, malah dinamakan sebagai memberi makan, minum, suntikan dan sebagainya. Oleh yang demikian, tidak timbul permasalahan atau keraguan siapakah keluarga susuan terutama sekali apabila anak tersebut ingin berkahwin pada masa akan datang;
 
ii. Memandangkan tiada apa-apa halangan untuk menubuhkan bank susu, ia dibenarkan selama mana maslahah pensyariatan yang dianggap kuat (Maslahah Syar’iyyah Muktabarah) tercapai;
 
iii. Selain itu, apabila membincangkan isu yang melibatkan kemaslahatan umum, ahli fatwa perlu mengutamakan kemudahan berbanding kesukaran tanpa melampaui nas-nas yang teguh atau kaedah yang mantap.
 
11. Syeikh ‘Atiyyah Saqar pula mengambil pendapat Syeikh Ahmad Haridi, Mufti Mesir (1963) yang menetapkan tidak disabitkan pengharaman atas sebab susuan apabila bayi-bayi diberi makan dengan susu yang terkumpul dalam bank susu dan susu tersebut dikeringkan melalui kaedah pengewapan. Ini kerana susu yang dikeringkan tidak mengalir seperti susu dalam bentuk asalnya.
 
PANDANGAN YANG MENGHARAMKAN
 
12. Majma’ Fiqh Islami yang bersidang pada 22-28 Disember 1985 telah memutuskan bahawa penubuhan bank susu adalah ditegah dan haram mengambil susu daripada bank susu ini. Tiga perkara penting yang dinyatakan dalam keputusan tersebut ialah:
 
i. Penubuhan bank susu adalah kajian bangsa barat yang akhirnya timbul daripada eksperimen tersebut kesan-kesan negatif dan menyebabkan ia kurang mendapat perhatian;
 
ii. Islam secara ijma’ mengiktiraf kesan penyusuan sama seperti nasab, ia mengharamkan apa yang diharamkan sebab nasab. Antara matlamat pensyariatan umum ialah menjaga nasab. Namun penubuhan bank susu membawa kepada percampuran nasab dan keraguan; dan
 
iii. Hubungan kemasyarakatan dalam dunia Islam dapat memenuhi keperluan bayi pra-matang, bayi yang kekurangan berat badan atau bayi yang memerlukan susu ibu dalam kes-kes tertentu yang perlu kepada penyusuan secara semula jadi. Ia merupakan alternatif kepada penubuhan bank susu.
 
13. Syeikh Al-Walid Rasyid Al-Su’aidan dalam bukunya Isu-Isu Fiqh Perubatan Semasa juga menyokong pendapat yang mengatakan ia adalah haram. Antara faktor-faktor pengharaman ialah:
 
i. Pensabitan anak susuan berlaku dan ia akan mendorong ramai orang terjebak dengan perkara haram apabila seorang lelaki berkahwin dengan ibu susunya atau adik beradik susuannya;
 
ii. Menjaga keturunan termasuk dalam lima perkara yang wajib dipelihara dalam syariat. Oleh itu, apa-apa sahaja yang boleh mendatangkan kemudaratan dalam menjaga nasab keturunan perlu ditegah; dan
 
iii. Terdapat kaedah-kaedah lain bagi menggantikan penubuhan bank susu seperti mendapatkan wanita lain yang sukarela untuk menyusukan bayi tersebut, atau menggunakan susu formula walaupun ia tidak setanding dengan khasiat susu ibu.
 
KEPUTUSAN MUZAKARAH
 
14. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-97 yang bersidang pada 15-17 Disember 2011 telah memutuskan bahawa:
 
i. penubuhan bank susu tidak diharuskan.
 
ii. bagi memenuhi keperluan bayi pra-matang yang memerlukan rawatan, juga ibu yang mempunyai kekurangan susu atau mempunyai penyakit kronik/berjangkit dan tidak dapat menyusukan bayi, adalah harus bagi ibu-ibu menderma susu ibu secara sukarela kepada bayi-bayi yang memerlukan dan keluarga bayi serta perderma perlu mengenali antara satu sama lain.
 
15. Muzakarah berpandangan bahawa menjaga keturunan adalah termasuk dalam lima perkara yang wajib dipelihara dalam syariat Islam. Oleh itu, apa-apa tindakan atau perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada nasab atau keturunan perlulah dielakkan.
16. Muzakarah juga berpandangan bahawa hukum penubuhan bank susu amat berkaitrapat dengan syarat-syarat pengharaman atas sebab susuan di mana bayi-bayi yang menyusu dengan seorang wanita atau lebih daripada seorang wanita akan menjadi adik beradik susuan dan perkahwinan antara mereka adalah haram apabila memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.
17. Pandangan ini adalah selaras dengan pandangan Jumhur Fuqaha’ bahawa seseorang bayi itu sah sebagai anak susuan samada melalui penyusuan secara langsung dari payudara atau penyusuan secara tidak langsung. Juga berdasarkan hadith riwayat Abu Daud:
 
Daripada Ibn Mas`ud berkata, tidak berlaku hukum penyusuan melainkan dengan apa yang menguatkan tulang dan menumbuhkan daging.
18. Penubuhan bank susu boleh mengakibatkan percampuran nasab dan membawa umat Islam terjebak dalam keraguan dan perkara yang haram, dan keperluan penubuhannya juga tidak berada dalam keadaan darurat sehingga mengancam maslahah awam.
 
KESIMPULAN/RUMUSAN
 
19. Penubuhan bank susu mempunyai impak positif dan negatif. Dari sudut positifnya, ia memberi sumbangan besar kepada keperluan bayi, khususnya bayi pra-matang yang memerlukan rawatan yang terbaik. Demi untuk memberikan rawatan yang terbaik kepada bayi-bayi, penubuhan bank ini selaras dengan maqasid syariah yang antaranya bertujuan untuk mengawal keselamatan diri manusia.
 
20. Dari sudut negatifnya, wujud kebimbangan akan berlaku percampuran nasab jika semua syarat pengharaman atas sebab susuan ditepati. Ini kerana, bank susu akan melibatkan jumlah penderma (iaitu ibu) dan penerima (iaitu bayi) yang ramai. Jumlah yang ramai ini akan mengakibatkan percampuran nasab jika rekod penderma dan penerima tidak tersusun dan tidak dikemaskini.
 
21. Selain itu, penderma dan penerima serta ahli keluarga masing-masing perlu menggelakkan sikap tidak cakna kepada susur galur ahli keluarga. Mereka haruslah sentiasa menjalin hubungan baik untuk memastikan tidak berlaku percampuran nasab antara mereka. Jika tidak, institusi kekeluargaan akan rapuh dan mudah runtuh.
 
22. Sasaran penerima susu daripada bank ini ialah bayi pra-matang, bayi-bayi yang mana ibunya tidak mempunyai susu yang cukup atau ibu yang mempunyai penyakit kronik seperti kanser dan HIV/AIDS, bayi yang mempunyai masalah tertentu dan sebagainya. Jika dibandingkan kelompok ini dengan kelompok masyarakat umum seluruhnya, maslahah masyarakat awam perlu dipelihara terlebih dahulu. Ia bertepatan dengan kaedah
 
المصلحة العامة تقدم على المصلحة الخاصة
“Maslahah am didahului daripada maslahah khas”
 
23. Selain itu, terdapat juga satu kaedah lain yang menyentuh isu ini iaitu:
 
يحتمل الضرر الخاص لدفع ضرر عام
“Ditanggung kemudaratan khas (khusus) untuk menolak kemudaratan am (umum)”
 
Kaedah ini memberi gambaran bahawa kemudaratan khas iaitu kemudaratan yang dialami oleh bayi terpaksa ditanggung demi menyelamatkan kemudaratan terhadap masyarakat awam. Walau bagaimanapun ini tidak bermakna bayi-bayi tersebut dibiarkan begitu sahaja. Sebagai alternatif, kewajipan mendapatkan susu ibu kembali semula kepada tanggungjawab seorang bapa yang perlu mencari sendiri wanita yang bersesuaian yang mendermakan susunya kepada bayi tersebut. Jika tiada wanita yang sanggup mendermakan susunya, susu formula yang wujud hari ini boleh menjadi pengganti walaupun khasiat dan kualitinya tidak setanding khasiat susu ibu.
 
Wallahu A’lam.