.

27 Januari 2016

HUKUM PENDERMAAN RAHIM

SUMBER : e-fatwa.gov.my

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-106 yang bersidang pada 21 - 22 Oktober 2014 telah membincangkan Hukum Pendermaan Rahim. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
 
1. Setelah mendengar pembentangan dan meneliti laporan penyelidikan yang telah disediakan oleh Kumpulan Penyelidik daripada Universiti Malaya (UM) dan meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju menerima dan memperakukan hasil penyelidikan yang telah dikemukakan.
 
2. Berdasarkan dapatan penyelidikan tersebut, Muzakarah mendapati bahawa:
 
i. Hukum asal pendermaan dan pemindahan rahim adalah haram dan tujuan untuk mendapatkan zuriat hanyalah bersifat takmiliyyah iaitu sebagai pelengkap kehidupan berkeluarga.
 
ii. Keperluan mendapatkan zuriat melalui pendermaan dan pemindahan rahim di Malaysia belum berada pada tahap darurah.
 
iii. Keperluan mendapatkan zuriat melalui pembedahan dan pemindahan rahim bagi wanita yang mempunyai rahim yang bermasalah atau tidak mempunyai rahim hanya sekadar berada pada tahap tahsiniyyat.
 
3. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum pendermaan dan pemindahan rahim adalah tidak harus kerana keperluannya belum mencapai tahap dharurah yang boleh membenarkan sesuatu perkara yang diharamkan.
 
Keterangan/Hujah: 
 
1. Hukum pendermaan dan pemindahan rahim tidak pernah dibincangkan oleh para ulama’ klasik secara langsung. Namun, antara perbincangan yang paling hampir dengan hukum pendermaan dan pemindahan rahim adalah mengenai hukum mengkasi kerana ia melibatkan organ reproduktif. Hukum ini disebut ketika mereka membincangkan mengenai tindakan mengubah ciptaan Allah SWT dalam surah al-Nisa’, ayat 119 dan hadith mengenai larangan mengkasi. Ia dibincangkan oleh al-Tabari, Ibn al-‘Arabi, Ibn Hajar al-‘Asqalani, al-Qastalani dan al-Mubarakfuri .
 
2. Para ulama kontemporari pula bersepakat bahawa hukum asal pendermaan dan pemindahan organ reproduktif rahim adalah haram. Hujah yang digunakan adalah dengan mengqiyaskan larangan perbuatanal-batk (البتك   : memotong telinga binatang), perbuatan al-wasilah (menyambung rambut), perbuatan al-washirah (الواشرة  : menjarakkan gigi) dan perbuatan al-washimah ( الواشمة : membuat tatu) kerana ia boleh menyebabkan pengubahan ciptaan Allah SWT. Ia juga melibatkan maruah dan mencampakkan diri ke dalam kebinasaan, selain dari ia termasuk menjual sesuatu yang tidak dimiliki.
 
3. Walau bagaimanapun, dalam kes pendermaan dan pemindahan rahim  bagi tujuan mendapat zuriat, merekaberbeza pandangan dalam menentukan tahap keperluan mendapatkan zuriat bagi wanita yang mempunyai rahim yang bemasalah atau tidak mempunyai rahim. Pendapat pertama, jika keperluannya mencapai tahap dharurah, ia diharuskan berdasarkan kaedah umum bahawa keadaan dharurah boleh menghalalkan sesuatu perkara yang diharamkan. Pendapat kedua, keperluan mendapatkan zuriat melalui pembedahan dan pemindahan rahim bagi wanita yang mempunyai rahim yang bermasalah atau tidak mempunyai rahim hanya sekadar berada pada tahap tahsiniyyat. Hujah mereka, ia boleh diqiyaskan kepada hukum haram penyewaan rahim yang menyebabkan berlakunya percampuran nasab. Ia juga akan membawa kepada masalah sosial dan masalah kemandulan kekal kepada penderma di samping iamembawa kehinaan (  امتهان ) kepada penderma dan penerima.
 
4. Keperluan mendapatkan zuriat melalui pendermaan dan pemindahan rahim di Malaysia belum berada pada tahap dharurah. Ini kerana, masih terdapat alternatif lain seperti pengambilan anak angkat dan poligami. Apa yang pernah dijalankan di Negara-negara luar masih lagi di peringkat eksperimental yang belum membawa kepada kelahiran hidup. Pada waktu yang sama, Malaysia belum mempunyai pakar dan teknologi dalam bidang ini.
 
5. Pendermaan dan pemindahan rahim dengan tujuan untuk mendapatkan zuriat hanyalah pelengkap kehidupan  berkeluarga (takmiliyyah).

 
Wallahu A’lam.