.

27 Jun 2013

EMAK DAN IBU MERTUA BERMASAM MUKA

Fikrah Dr. Salam

SOALAN

Saya sekarang dalam dilema kerana ibu selalu berkecil hati apabila ibu mentua kerap datang ke rumah saya.

Perkara ini terjadi selepas berlaku insiden apabila ibu mentua saya terlepas cakap perkara yang tidak sepatutnya dibangkitkan. Contohnya, barang di dalam rumah yang kebanyakannya diberikan oleh ibu mentua.

Ibu saya bukannya tidak pernah memberi apa-apa, tetapi tidaklah menonjol seperti ibu mentua.

Untuk makluman Dr, jika ibu mentua ada di rumah atau akan datang ke rumah saya, secara automatik ibu kandung tidak akan datang kerana enggan bertemu sebab sudah beberapa kali terguris perasaan apabila bersua.


Saya juga kasihan melihat ibu berkeadaan begitu. Kadang-kadang ada juga saya minta ibu mengabaikan saja apa diperkatakan mentua saya, tapi hati orang tua siapa yang tahukan?


Suami saya pula bukanlah seorang anak yang berani melawan kata-kata ibunya kerana takut jadi anak derhaka.

Ibu mentua saya mempunyai tiga anak lelaki dan dia pernah mengatakan keutamaannya adalah anak lelaki.

Sudah beberapa kali perkara yang sama diulang, bahkan dikatakan juga kepada ibu saya. Jadi, ibu saya berasa tiada hak terhadap anak, menantu dan cucunya. Bagaimana caranya untuk saya mengatasi masalah ini?

Isteri tersepit
Kuala Lumpur



JAWAPAN
Antara hikmah perkahwinan ialah meluaskan hubungan antara keluarga iaitu keluarga sendiri dan keluarga suami termasuk sanak-saudara dan kaum kerabat.

Dengan adanya ikatan pernikahan ini dua keluarga dapat bersatu dan saling menolong antara satu sama lain. Perhubungan itu tidak putus walaupun berlaku perceraian terutama dengan mentua.

Walaupun masyarakat kita sudah memahami hikmah di atas, ia tergugat apabila timbul pergeseran dan ketidaksefahaman sesama keluarga.

Antara sebabnya ialah tutur kata yang tidak dijaga sehingga mengguris hati seseorang. Perkara inilah yang berlaku dalam keluarga puan. Mungkin ibu dan ibu mentua tidak menyedari perkara sebegini.

Menurut Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulum al-Din, akhlak tercela juga muncul daripada lidah iaitu tutur kata.

Beliau menyenaraikan 20 kejahatan lidah antaranya berkata-kata kasar, kesat, lucah, berbohong, menyumpah, melaknat, mungkir janji, tuduhan palsu, suka berdebat dan mengumpat, bercakap perkara tidak berkaitan, sia-sia dan tidak berfaedah.

Kita perlu mengawal nafsu yang menjurus kepada kejahatan itu supaya ia tidak menguasai diri.

Kejahatan lidah ada yang besar dan kecil. Lidah yang jahat mempengaruhi jiwa seseorang dengan menyakiti, memudaratkan orang lain dan diri sendiri.

Menurut Imam Ghazali lagi, kejahatan lidah adalah punca utama membawa kecelakaan kepada seseorang sama ada di dunia atau akhirat.

Merujuk kepada masalah yang puan dihadapi, setiap anggota keluarga perlu disedarkan mengenai angkara dan kejahatan lidah itu.

Puan boleh menasihati suami secara baik mengenai kejahatan lidah. Kadang-kadang ucapan disalah erti. Apa yang penting ialah semangat maaf-memaafi antara ahli keluarga apabila terlajak kata.

Lidah juga perlu dibasahi dengan zikir kepada Allah dan selawat kepada Nabi SAW. Dengan itu perubahan akan berlaku.