.

11 September 2013

USAH SEBAR AIB ORANG

Dr. Mashitah Ibrahim

SOALAN

Wajarkah atau berdosakah seseorang itu menafikan dia pernah berzina apabila aibnya diketahui orang lain, bagi menutup keaibannya daripada terus tersebar, sedangkan benar dia berzina?

AWI
Segamat


JAWAPAN

Kita harus faham apa perlu didedahkan dan disimpan. Perkara baik yang boleh menjadi ikutan dan teladan kepada orang sewajarnya diuar-uarkan supaya menjadi contoh.

Perkara tidak baik tidak wajar didedahkan. Rasulullah SAW bersabda: “Wahai kumpulan orang yang beriman dengan lidahnya tetapi tidak masuk ke dalam jiwanya, jangan kamu mengumpat orang Islam dan jangan kamu mengesan atau mencari-cari rahsia mereka kerana sesiapa yang mengesan rahsia mereka, Allah pula akan mengesan dan membuka rahsianya, dan sesiapa yang Allah buka rahsianya, dimalukan dia dalam rumahnya sekali. (sekalipun dirahsiakannya)
Allah SWT mencela dalam surah al-Hujurat, ayat 12: “Jangan setengah kamu suka mengumpat setengahnya, adakah seseorang itu suka makan daging saudaranya dalam keadaan mati, tentulah kamu semua tidak menyukainya.”


Bila berdepan keaiban orang lain, usah terlalu ghairah membuka aibnya, sebaliknya cari jalan untuk menutupnya. Semoga dia insaf untuk kembali bertaubat.