.

24 April 2013

SOLAT FARDHU BELAKANG IMAM SOLAT SUNAT

SOALAN

Setahu saya jika kita menjadi makmum bagi seseorang yang sedang solat sunat tanpa kita ketahui orang terbabit solat sunat hukumnya adalah sah.

Namun, bagaimana pula kalau kita sudah tahu dia mengerjakan solat sunat, tetapi kita menjadi makmumnya untuk solat fardu, adakah sah solat fardu kita?

Tujuan berbuat demikian bukannya kerana apa, hanya semata-mata hendak mendapatkan pahala berjemaah, berikutan kadang-kadang terlewat datang ke masjid.

Mohamad Azmi,
Pasir Gudang, Johor



JAWAPAN
Berjemaah dengan imam yang bersolat sunat adalah sah. Begitu juga sah solat sunat berimamkan imam yang bersolat wajib.

Ini jelas apabila ada riwayat menyatakan bahawa: “Sesungguhnya Muaz RA mengerjakan solat Isya bersama Rasulullah SAW. Kemudian dia pulang menemui kaumnya dan mengimami solat Isya mereka.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Semuanya menggalakkan kita supaya berjemaah dalam solat dan kehidupan.

Bagaimanapun, tidak sah solat jemaah apabila cara solat berlainan antara imam dengan makmum.

Ini termasuk berimam dengan imam yang bersolat jenazah kerana solat jenazah tidak ada sujud dan rukuk.

Begitu juga berimam dengan imam yang bersolat gerhana kerana dalam solat gerhana terdapat dua rukuk dan qiyam dalam satu rakaat.