.

11 Mei 2013

AMALAN BERKHATAN PELENGKAP FITRAH

Fikrah Dr. Salam

SOALAN
Ketika musim cuti sekolah sebelum ini, saya membawa anak lelaki saya yang berusia 10 tahun untuk berkhatan di sebuah klinik. Namun, selepas memasuki bilik yang dikhaskan untuk tujuan itu, anak saya mengatakan dia berasa gerun.

Malah, selepas diberikan satu suntikan, dia mengatakan terlalu sakit dan takut sehingga menangis serta meraung. Puas dipujuk, tidak juga berjaya. Akhirnya terpaksalah ditangguh ke suatu tarikh lain.

Jadi, saya hendak bertanya Dr, adakah berkhatan itu wajib dan jika tidak dilakukan dengan alasan sakit adakah hukumnya berdosa? Adakah terdapat cara terbaik yang tidak menyakitkan untuk mengkhatankan kanak-kanak?

Rahman, Kelantan


JAWAPAN
Berkhatan adalah memotong selaput kulit yang menutupi kepala zakar lelaki atau memotong sedikit hujung daging di sebelah atas faraj perempuan.


Berdasarkan mazhab Syafie, amalan berkhatan diwajibkan sama ada untuk lelaki atau perempuan. Ia termasuk antara amalan yang disyariatkan Allah sebagai pelengkap fitrah semula jadi manusia.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Fitrah (sifat semula jadi) itu lima perkara: Berkhatan, mencukur bulu ari-ari, menggunting misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sememangnya proses berkhatan menyebabkan kesakitan sedikit sebanyak, tetapi ia tidak memudaratkan dan banyak faedah kepada kesihatan badan.

Ia perlu diterangkan kepada anak dan dipujuk. Mungkin peringkat umur yang masih muda menyebabkan perkara di atas berlaku.

Saya menyarankan anda berjumpa dan berbincang dengan doktor di klinik perubatan yang ada menawarkan perkhidmatan berkhatan sebelum menjalani proses itu.

Pihak doktor akan menerangkan kepada anak tuan proses yang diambil.

Begitu juga berkhatan bersama rakan dan anak jiran lain dapat menghilangkan ketakutan anak tuan