.

11 Mei 2013

ULANG SOLAT APABILA TERSALAH ARAH QIBLAT

Fikrah Dr. Salam

SOALAN

Saya selalu mengerjakan solat di surau yang disediakan di stesen minyak. Tanda arah kiblatnya kadang-kadang ada, namun kebanyakannya tiada, menyebabkan sesetengah orang keliru.

Baru-baru ini saya terlihat seorang lelaki tergesa-gesa bersolat di sebuah surau yang disediakan stesen minyak. Dia masuk dan terus solat pada arah bertentangan dengan kiblat iaitu menghadap ke arah timur sedangkan yang betul ke arah barat. Namun, selepas ditegur seorang lelaki lain, lelaki terbabit serta-merta melaksanakan kembali solat dan menghadap ke arah betul. Jadi, timbul persoalan, adakah sah sekiranya lelaki terbabit terus bersolat pada arah bertentangan jika tiada seorang pun menegurnya dengan anggapan itu adalah arah kiblat sedangkan tindakannya disebabkan sikap cuai dan gopoh yang terus mengangkat takbir tanpa memeriksa atau bertanya orang terlebih dahulu mengenai arah kiblat sepatutnya?

Lan, Kuala Lumpur


JAWAPAN
Menghadap ke arah kiblat adalah syarat sah sewaktu bersolat. Pengecualian diberi dalam melaksanakan solat ketika berada dalam keadaan sangat takut dan solat sunat bagi orang musafir ketika berada dalam kenderaan. Bagi mereka yang berada di Makkah dan dapat melihat Kaabah, mereka wajib menghadap secara yakin ke arah Kaabah. Berlainan dengan mereka yang tinggal jauh, mereka perlu berijtihad mengenai kedudukan Kaabah sama ada dengan bertanya penduduk setempat dan bertaklid dengan mereka. Selain itu, boleh berijtihad melalui arah matahari, bintang, angin dan sebagainya. Begitu juga dengan penggunaan kompas yang menunjukkan arah kiblat. Selepas berijtihad dan yakin dengan ijtihad itu seseorang boleh bersolat dan sah solatnya. Bagi yang bersolat arah berlainan akibat salah ijtihad, solat berkenaan tetap sah. Berlainan pula apabila sudah menyedari kesilapan sama ada ditegur atau mengetahui sendiri kesilapan, orang terbabit perlu mengulangi solat yang baru. Ini kerana dia yakin dengan kesilapan arah kiblat. Itulah yang sepatutnya berlaku dalam kes di atas.