.

21 Ogos 2013

ENAM TANDA TAUBAT DITERIMA ALLAH

Fikrah Dr. Salam

Setiap orang dianjurkan bertaubat sebagaimana firman Allah dalam surah an-Nur, ayat 31, maksudnya: “...dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang yang beriman supaya kamu berjaya.”

Syarat bertaubat, seseorang itu dikehendaki memohon keampunan, berhenti daripada melakukan dosa, menyesali perbuatan maksiat, berjanji tidak akan mengulanginya lagi, meminta maaf kepada pihak berkaitan serta memperbanyakkan amal soleh.

Taubat seorang yang ikhlas akan diterima Allah seperti diterangkan dalam hadis riwayat Ibnu Majah daripada Abu Hurairah RA, Nabi bersabda: “Jika kamu berbuat kesalahan sehingga sampai ke langit, kemudian kamu menyesal, nescaya Allah akan menerima taubatmu.”

Mengikut ahli bijak pandai, tanda diterima taubat itu ada enam, iaitu:


1. Beranggapan dirinya tidak terjaga daripada melakukan dosa.



2. Hatinya jauh daripada kegembiraan dan kesedihan selalu dekat dengan hatinya. Maksudnya dia selalu bersusah hati apabila memikirkan nasibnya di akhirat kelak dan kerana itu dia tidak terpedaya dengan kesenangan dunia.


3. Mendekati orang yang baik dan menjauhi orang jahat (buruk perangai) kerana takut jatuh ke dalam maksiat.


4. Berasakan rezeki dari Allah sangat banyak (dan selalu mensyukurinya).

Seterusnya dia mengambil sebahagian daripadanya sekadar untuk memenuhi keperluan hajat hidupnya.

Pada masa sama dia berasa amal solehnya masih sedikit sehingga berusaha menambahnya dari semasa ke semasa.


5. Hatinya selalu sibuk dengan pelbagai kewajipan dari Allah, namun tidak pernah khuatir dan berkecil hati mengenai rezeki yang diterima kerana dia yakin semuanya sudah dijamin Allah SWT.


6. Sentiasa memelihara dan menjaga lisan serta menyesal selepas melakukan maksiat. Hal ini sebagaimana sabda Nabi SAW, maksudnya: “Amal yang paling dicintai Allah adalah menjaga lidah.” (Riwayat al-Baihaqi)

Dalam hadis lain diriwayatkan Ibnu Nashr, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya manusia yang paling banyak dosanya pada hari kiamat adalah orang yang paling banyak memperkatakan hal yang tidak berguna.”