Datuk Dr Mashitah Ibrahim
SOALAN
SAYA ada masalah mengenai sumpah yang pernah saya buat lima tahun lalu. Saya pernah bertunang dan terlalu kecewa apabila hubungan kami putus di tengah jalan. Namun hati saya masih sayang padanya dan tidak sanggup kehilangannya hinggakan saya bernekad di dalam hati untuk tidak menerima orang lain dalam hidup saya.
Saya sanggup tidak berkahwin seumur hidup kerana terlalu sayangkannya. Selalu saya berdoa dan merayu pada Allah SWT agar diberi ketenangan dan hidayah. Saya bangun malam dan berdoa kepada Allah SWT supaya ditutup pintu hati saya kepada lelaki lain.
Pernah saya bersumpah atas nama Allah supaya tidak ditemukan saya jodoh lain selain dia. Namun kini saya menyesal kerana mengikut hati dan kesedihan yang lalu.
Soalan saya ialah, adakah saya berdosa kerana bersumpah atas nama Allah? Adakah sumpah saya diterima dan dimakbulkan Allah SWT?
Macam mana saya nak tarik balik sumpah saya itu? Adakah dengan bertaubat iaitu sembahyang taubat itu memadai? Kalau tidak, adakah cara lain yang boleh saya lakukan?
Saya amat takut sekiranya sumpah saya itu benar-benar dimakbulkan Allah SWT. Saya risau kerana sehingga sekarang saya belum bertemu jodoh.
FIZA
Alor Star
JAWAPAN
Satu dari sifat manusia yang dijelaskan dalam al-Quran surah al-Israk ayat 11 ialah manusia itu terburu-buru mahukan perkara jadi segera. Ketika dia ditimpa kesusahan dia mudah gelisah serta tidak dapat mengendalikan diri sehingga menyumpah, mengeluh dan merasakan dugaan itu terlalu berat hinggakan dia akan berdoa sesuatu yang tidak baik untuk dirinya sendiri seperti mana dia berdoa kebaikan untuk dirinya juga.
Ini sifat yang sudah diketahui dan disebut al-Quran. Hanya iman dapat mengendalikan sikap ini. Latihlah diri mengurangi sifat ini.
Pada waktu susah dan ditimpa cubaan, jangan mudah tergesa-gesa atau terburu nafsu dan di waktu senang jangan mudah lupa diri terlalu gembira.
Jika sudah terlanjur menyumpah diri, banyakkanlah bertaubat memohon ampun daripada Allah.
Allah itu Maha Pengasih Maha Penyayang. Kadangkala sengaja doa kita dilambatkan atau tidak ditunaikan Allah kerana mahukan sesuatu yang lebih baik untuk diri kita. Mulai sekarang berdoalah untuk kebaikan diri.