Sumber: Utusan Malaysia, Agama
SOALAN
ADAKAH kita dibolehkan menerima dan memohon sumbangan ikhlas daripada orang perseorangan atau syarikat-syarikat yang selalu berurusan contohnya dalam urusan perbankan dan saham amanah?
Hadiah tersebut adalah dalam bentuk hamper dan orang perseorangan yang diterima dalam bentuk wang tunai secara sumbangan ikhlas.
JAWAPAN
Islam menggalakkan umatnya untuk menderma atau menghulurkan sumbangan kerana ia memberi kesan positif dalam sebuah kehidupan bermasyarakat.
Perlakuan yang berlaku antara dua pihak iaitu golongan yang memohon atau menerima sumbangan dengan penyumbang sumbangan akan memupuk kesatuan, perasaan saling bantu-membantu dan wujudnya tautan kasih-sayang dan mahabbah sesama mereka.
Firman Allah yang bermaksud: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan... (al-Maidah: 2)
Pelbagai faktor yang mendorong seseorang mencari bantuan atau sumbangan. Faktor-faktor tersebut ada yang bersifat tetap dan ada pula yang bersifat mendadak atau tidak diduga. Contohnya:
1) Faktor ketidakupayaan, kefakiran, dan kemiskinan yang dialami oleh orang-orang yang mengalami kesulitan untuk memenuhi keperluan keluarga seharian.
Mereka memang tidak mempunyai gaji tetap atau sumber-sumber kehidupan yang lain. Mereka sendiri tidak memiliki keterampilan atau keahlian khusus yang dapat mereka manfaatkan untuk menghasilkan wang. Seumpama mereka ialah anak-anak yatim, golongan kurang upaya yang tidak mampu berkerja.
2) Faktor kegawatan ekonomi dihadapi oleh golongan yang mengalami kerugian harta cukup besar.
Contohnya seperti para pengusaha yang muflis. Mereka memerlukan bantuan kerana sedang mengalami kesulitan ekonomi secara mendadak sehingga tidak mampu membiaya keluarganya.
3) Faktor musibah yang menimpa suatu keluarga atau masyarakat seperti kebakaran, banjir, gempa bumi, penyakit menular mengakibatkan mereka terpaksa memohon bantuan atau sumbangan.
4). Faktor-faktor yang tidak disangka-sangka seperti golongan yang secara mendadak harus menanggung hutang kepada berbagai pihak tanpa sanggup membayarnya, menanggung anak yatim dan seumpamanya.
Pada prinsipnya, Islam menggalakkan umatnya mendapatkan sesuatu dari sumber yang bersih dan jauh dari sumber syubhat. Nabi SAW juga menganjurkan kita untuk berusaha dan mencari sumbangan dalam apa saja bentuknya, selama ia halal dan baik, tidak ada syubhat, tidak ada keharaman dan tidak dengan meminta-minta.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak sekali-kali menerima kecuali suatu yang baik sahaja. (riwayat Ahmad, Muslim dan al-Tirmidzi)
Sebagai umat Islam, kita juga disunnahkan untuk ta'affuf (memelihara diri daripada meminta-minta). Hal ini sebagaimana yang firman Allah yang bermaksud: (Apa yang kamu infakkan adalah) untuk orang-orang fakir yang terhalang (usahanya kerana jihad) di jalan Allah sehingga dia tidak dapat berusaha di bumi; (orang lain) yang tidak tahu, menyangka bahwa mereka adalah orang-orang kaya kerana mereka menjaga diri (dari minta-minta). Engkau (Muhammad) mengenal mereka dari ciri-cirinya, mereka tidak minta secara paksa kepada orang lain. Apa pun harta yang baik yang kamu infakkan, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. (al-Baqarah: 273).
Rasulullah SAW sangat menggalakkan sikap suka memberi, sama ada atas nama sedekah, hadiah, sumbangan, hibah atau sebarang bantuan dan pertolongan.
Hal ini disebutkan dalam sabda baginda yang bermaksud, Nabi SAW suatu hari keluar untuk mengerjakan sembahyang hari raya, lalu baginda bersembahyang dua rakaat. Dan baginda tidak pernah melakukan sembahyang (hari raya) sebelum ia diperintahkan dan sekalipun selepasnya. Kemudian baginda dan bersamanya Bilal pergi ke tempat sekumpulan perempuan dan menyuruh mereka agar bersedekah, maka (atas perintah itu) seorang perempuan menanggalkan gelang dan kalungnya untuk disedekahkan. (riwayat Al-Bukhari)
Kesimpulannya boleh memohon dan menerima sumbangan berbentuk wang tunai daripada individu perseorangan atau sesiapa sahaja yang tidak mempunyai kepentingan peribadi.
Begitu juga boleh memohon dan menerima sumbangan daripada syarikat atau agensi dengan syarat bentuk sumbangan yang dimohon atau diterima itu selamat dari unsur haram dan tidak menimbulkan fitnah (orang lain menganggap ia rasuah).
Golongan yang menyumbang dengan rela hati memberi sumbangan tersebut dan golongan yang memohon dan menerima sumbangan berbesar hati dan bersyukur.
Dinasihatkan agar pihak mengelakkan diri daripada memohon sumbangan dari individu perseorangan dan syarikat-syarikat yang berkepentingan di sebalik sumbangan itu yang diberikan.
Jika sumbangan yang diterima tersebut akan merosakkan syiar Islam, mengakibatkan keburukan semakin bertambah, rasuah berleluasa maka diharamkan untuk memohon apatah lagi menerimanya.