.

30 November 2009

ZAKAT MENGATASI HUTANG

Sumber: Utusan Melayu, Agama

SOALAN

Saya mula bekerja dari tahun 2000 dan berpendapatan tetap sekitar RM3,000 sebulan, itu pun setelah dicampur dengan elaun dan kerja lebih masa.

Tetapi, pendapatan saya itu tidak pernah mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga saya, iaitu seorang isteri dan empat orang anak. Saya kerap berhutang di sana sini. Maka, apakah saya masih perlu membayar zakat?

JAWAPAN

Saudara, tahniah di atas kesedaran saudara untuk berzakat. Mudah-mudahan Allah SWT melorongkan kehidupan yang lebih baik asbab keinginan saudara untuk berzakat, insya-Allah.

Sebenarnya, kaedah mengira zakat pendapatan ini ada tiga, iaitu
(1) Tanpa tolakan;
(2) Tolakan asas seperti mana Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan
(3) Tolakan sebenar berdasarkan enam keperluan asas manusia.
Walau bagaimanapun, amalan di Malaysia adalah pada kaedah kedua, kerana ia tidak terlalu berat dan tidak pula terlalu ringan sehingga seseorang terlepas daripada zakat. (Saya akan memperincikan perihal ini dalam penulisan akan datang, insya-Allah).

Mari kita merujuk kepada kaedah kedua dan kita andaikan seperti mana berikut:

Pendapatan pada tahun 2008 > RM3,000 x 12 bulan > RM36,000.00

Tolakan asas seperti LHDN pula, Diri RM8,000; Isteri RM3,000; Anak-anak (katakan 4 orang) RM4,000; KWSP (11%) RM3,960 ditambah dengan tolakan Tabung Haji (katakan setahun) RM600 dan pemberian kepada emak ayah (katakan setahun) RM2,400, maka jumlahnya RM25,360 setahun. Maka, Pendapatan - Tolakan > RM10,640 x 2.5% > RM266

Nilai RM266 itulah zakat saudara dalam tempoh setahun dan jika dibahagi 12 bulan baharu RM22.10 sebulan. Tidak membebankan, bukan?

Sebenarnya, zakat yang kita keluarkan itulah sebagai taruhan dan jaminan bagi kita demi mendapat keberkatan daripada Allah SWT. Ini kerana, Allah SWT telah berjanji di dalam al-Quran untuk memberikan keberkatan hidup bagi mereka yang berzakat dan bersedekah, misalnya: Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat daripada langit dan bumi. (al-A'raaf: 96).

Hakikatnya, berzakat adalah bukti ketakwaan maka layaklah Allah SWT datangkan berkat kepada kita.

Begitu juga dengan janji Nabi Muhammad SAW: Asma' r.ha menerangkan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda (kepada Asma'): Nafkahkanlah dan janganlah kamu menyempitkan sedekah yang menyebabkan Allah menyempitkan (tidak mengeluarkannya) untuk kamu. Dan janganlah kamu menyembunyikan sesuatu dalam bungkusan yang kerananya Allah memutuskan berkatnya dan kesuburannya. (riwayat al-Bukhari dan Muslim). Wallahu a'lam.