.

28 Oktober 2009

HUKUM WUDUK SUAMI ISTERI IKUT MAZHAB


Datuk Dr Mashitah Ibrahim

SOALAN
DARIPADA persoalan lalu, Datuk ada beri penjelasan mengenai hukum wuduk apabila bersentuhan antara suami isteri seperti di bawah: “Persoalan sama ada wuduk batal dengan sentuhan suami isteri bermula daripada berbeza tafsiran ayat berkaitan wuduk... “Atau jika kamu (lelaki) menyentuh (laamastum) perempuan.” (al-Maidah: 6)

Ulama yang menafsirkan laamastum (mulamasah) pada ayat di atas — dengan maksud mengatakan batal wuduk jika bersentuhan lelaki dan wanita, termasuk suami isteri, dengan itu menurut mazhab Syafie, hukumnya batal secara mutlak (tanpa syarat). Ini termasuk dengan isteri sendiri.

Hanafi pula mentafsirkannya dengan jimak, bukan bersentuhan. Tafsiran mereka disokong oleh beberapa hadis riwayat Aisyah, katanya: Rasulullah SAW mencium atau mengucupnya, sedangkan baginda berpuasa, dan sabdanya: Sesungguhnya ciuman tidak membatalkan wuduk dan tidak membatalkan puasa. (Riwayat Ishak bin Rahawiyah dan al-Bazzar). Justeru, pada Hanafi: Menyentuh kulit perempuan ajnabi tidak membatalkan secara mutlak.

Ada hadis lain diriwayatkan al-Nasa’i dan Ahmada, juga daripada Aisyah, katanya: Nabi mencium sebahagian daripada isterinya kemudian dia keluar mengerjakan sembahyang dan tidak berwuduk.

Lalu Maliki menghimpunkan hujah yang dikemukakan ulama Syafie dan Hanafi dan berpandangan bahawa menyentuh kulit perempuan ajanabi membatalkan wuduk jika dengan tujuan ‘talazzuz’ (berlazat-lazat), atau mendapat kelazatan ketika bersentuhan. Begitulah rahmatnya perbezaan pandangan ulama yang semuanya benar, wallahualam.”

Saya ingin mendapatkan kepastian daripada Datuk, adakah menjadi kewajipan kita untuk mengikut satu mazhab, sebagai contoh di Malaysia kita gunakan Mazhab Imam Syafie atau kita dibolehkan untuk menggunakan mana-mana mazhab mengikut kemudahan kerana bersentuhan suami isteri mudah berlaku. Mohon penjelasan daripada Datuk.

MD HAFIZ
Bangi, Selangor


JAWAPAN
Terima kasih atas perhatian dalam persoalan ini. Mazhab ialah bahagian pemikiran hasil daripada pemahaman dan kajian dalam fiqah.

Mereka yang berkemampuan serta cukup syarat boleh berijtihad, sedangkan mereka yang tidak cukup syarat boleh bertaqlid dengan mana-mana mazhab yang muktabar, yakni yang diiktiraf. Mazhab yang mempunyai peraturan, kaedah mencukupi dan panduan sempurna lagi lengkap yang ditulis oleh ulama dibukukan bagi menjadi panduan dalam mengikut hukum bagi memudahkan mereka yang tidak berkemampuan berijtihad mengikutnya.

Dr Yusuf Al-Qaradhawi menyatakan di dalam karangannya “Fatawa Ma’asarah” bahawa ijtihad perlu kerana ada perkara tiada nas atau kadangkala yang ada nas tetapi mempunyai tafsiran berbeza.

Taqlid pula dilihat sebagai satu keistimewaan yang Allah SWT beri kepada manusia berasaskan perintah Allah: “Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.”

Menggunakan mazhab berbeza diistilahkan sebagai talfiq. Tiada salahnya kita mengikuti pandangan imam mazhab. Pandangan mereka perlu kita hormati kerana mereka bukan sembarangan manusia. Ilmu mereka sangat mendalam.

Jika kita mengikuti pandangan seseorang atau satu mazhab dengan berasaskan kefahaman kita yang mendalam pada dalil dan hujah mereka, talfiq jenis ini dibolehkan.