.

03 Disember 2010

BAYAR ZAKAT TERUS KEPADA FAKIR MISKIN

Datuk Dr. Mashitah Ibrahim


SOALAN
DATUK, saya memberikan beras dan barang-barang keperluan lain kepada lapan orang miskin di kampung berhampiran tempat saya bekerja setiap bulan. Saya kira hampir 2.5 peratus daripada jumlah pendapatan bulanan dan saya berniat untuk berzakat.

Baru-baru ini saya terdengar soal jawab di radio yang yang mengatakan zakat mesti dilakukan di pusat pungutan zakat kerana terdapat lapan asnaf yang wajib menerima zakat. Jika kita memberi terus kepada orang miskin dianggap sedekah, bukan zakat. Minta Datuk jelaskan.

SHAMSUL KAMAR
Jerteh, Terengganu



JAWAPAN
Zakat adalah Rukun Islam dan ia mesti dilaksanakan mengikut tatacara yang ditetapkan. Ia mesti dikira dengan tepat, dikeluarkan bila cukup waktu dan nisabnya serta wajib diberikan pada mereka yang layak saja daripada lapan asnaf yang telah ditentukan Al-Quran.


Jika saudara membuat kiraan iaitu 1/40 atau 2.5 peratus dan kemudian diberikan kepada mereka yang layak dan termasuk dalam golongan lapan asnaf maka zakat terbabit adalah sah.

Pada masa sekarang kita menggalakkan orang ramai supaya membayar kepada pusat pungutan majlis agama negeri masing-masing bagi membolehkan zakat berkenaan benar-benar dimanfaatkan secara optimum. Namun begitu, jika zakat yang saudara keluarkan itu menepati syariat, maka, ia adalah sah.