.

03 Disember 2010

NENEK UZUR, JAMAK SOLAT

Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

SOALAN
SAYA mempunyai seorang nenek yang uzur dan tidak dapat berjalan, sebaliknya hanya mampu mengengsot dan terpaksa dipakaikan lampin pakai buang.

Saya sering mengejar masa mengerjakan solat Subuh disebabkan pergerakan nenek yang lambat.

Bagi solat Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak pula, kami pernah diberitahu oleh seorang ustaz bahawa nenek boleh menjamakkan solat.

Apakah tindakan kami menjamakkan solat nenek dibenarkan dalam Islam, sedangkan dia bukan musafir.


Adakah ada cara lebih baik untuk memudahkan nenek bersolat tanpa perlu mengqadakan solatnya?

SAKINAH


JAWAPAN
Solat adalah satu kewajipan yang mesti dilaksanakan oleh orang Islam sama ada dalam keadaan sihat mahupun sebaliknya.

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kali ke-14 pada Oktober 1985 menyatakan, dalam Islam uzur syarie merangkumi ciri-ciri berikut:

# Keuzuran yang di luar kuasa seseorang untuk mengatasinya seperti penyakit kronik, menghadapi hujan, ribut dan taufan
# Keuzuran yang bersabit dengan keluarga atau saudara yang sakit tenat yang tiada harapan untuk hidup yang perlu diziarahi
# Keuzuran berkenaan berkemungkinan berlaku kerosakan bahan perusahaan yang ditinggalkan ketika menunaikan solat Jumaat

Dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-49 pada September 2000 pula memutuskan, hukum solat jamak kerana rawatan penyakit kronik yang memakan masa lama seperti menjalani rawatan hemodialisis bagi penyakit buah pinggang dan seumpamanya adalah harus.

Daripada penjelasan di atas, nenek saudari termasuk di kalangan mereka yang boleh jamak solatnya kerana uzur dan memandangkan nenek bergantung pada puan, buat sekadar yang termampu. Apa yang puan lakukan sekarang sudah memadai.