.

10 Oktober 2010

GUGUR ANAK SIFAT JAHILIYYAH

SOALAN

ASSALAMUALAIKUM. Saya sudah berkahwin dan mempunyai dua anak. Ketika anak kedua saya berusia setahun, saya disahkan mengandung dua bulan.

Saya betul-betul tidak bersedia menerima kehadiran orang baru dan berbelah bahagi sama ada untuk meneruskannya atau tidak kerana keadaan kewangan kami yang masih belum stabil.

Suami saya bimbang tidak memberi kehidupan yang sempurna kepadanya malah jika saya berkeras untuk meneruskan kandungan ini, saya khuatir suami tidak akan menyayanginya.

Akhirnya atas persetujuan bersama, saya mengambil langkah untuk menggugurkannya namun sehingga kini saya rasa bersalah dan berdosa.

Adakah saya tetap memikul dosa menggugurkan anak walaupun pada hakikatnya saya terpaksa melakukannya?

ISTERI SERBA SALAH
Ampang



JAWAPAN

Kehadiran anak sebenarnya adalah punca rezeki dan anugerah daripada Allah. Di dalam Al-Quran menegur perangai jahiliah yang membuang dan membunuh anak kerana takut tiada rezeki.

Bukan itu saja ia memberi kesan negatif dan kemurungan bagi ibu yang menggugurkan anak seperti perasaan yang puan alami sekarang, rasa berdosa, sedih dan bersalah. Perasaan yang menghantui puan sudah cukup menjawab persoalan adakah puan berdosa atau tidak.

Sebetulnya jika puan dan suami meminta nasihat dari awal mungkin puan tidak mengambil keputusan menggugurkan kandungan dan kemudian dirundung rasa hiba ini.

Langkah terbaik yang perlu puan dan suami lakukan ialah bertaubat pada Allah atas segala keterlanjuran.

Keguguran yang termasuk dalam istilah terpaksa ialah apabila doktor pakar yang mengesahkannya.