.

10 Oktober 2010

HUKUM PERSENDA KEBURUKAN ORANG

SOALAN

SAYA kurang jelas berkenaan hukum mempersenda keburukan wajah seseorang seperti hitam legam, hidung pesek, tidak lawa dan pelbagai lagi. Adakah ia termasuk dalam menghina ciptaan Allah?

BUJANG, Johor.

JAWAPAN

PERBUATAN mempersendakan dan merendah-rendah seseorang atas keburukan fizikal adalah haram.

Perbuatan sedemikian seolah-olah menganggap dirinya lebih baik daripada Allah sebagai Pencipta segala makhluk. Ini jelas apabila Allah sendiri melarang perbuatan berkenaan dalam al-Quran dengan firman-Nya: "Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak daripada perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah kamu panggil-memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan itu menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik) amatlah buruknya sebutan nama fasik sesudah ia beriman. Dan sesiapa yang tidak bertaubat, merekalah orang yang zalim." (Surah al-Hujurat ayat 11).

Mereka yang berbuat demikian termasuk dalam golongan fasik kerana melanggar larangan Allah dan jika tidak bertaubat termasuk dalam golongan zalim.

Zalim bermaksud meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya. Ini kerana manusia disuruh hidup berbaik-baik antara satu sama lain.