.

10 Oktober 2010

SIMPAN GAMBAR ARWAH

SOALAN

BARU-BARU ini saya membaca sebuah buku tulisan seorang penulis dari Indonesia yang berpendapat tindakan menyimpan dan mengambil gambar adalah haram.

Beliau memetik sebuah hadis yang mengatakan tindakan itu seakan-akan cuba meniru sesuatu kejadian yang Allah cipta, apatah lagi jika ia gambar mereka yang sudah tiada.

Kita seolah-olah tidak dapat terima akan pemergiannya, lantas gambar itu digunakan untuk mengenang dan beranggapan arwah masih ada.

Pada pandangan saya, tujuan pengambilan juga penyimpanan gambar sebenarnya untuk memperingati sesuatu. Namun, jika dengan gambar yang diambil dianggap haram dan berdosa, bagaimana pula dengan rakaman video dan rancangan yang disiarkan dalam televisyen? Mohon ustazah beri penjelasan.

AMIEYA

JAWAPAN

Kekeliruan ini bermula daripada penafsiran beberapa hadis seperti riwayat Abu Hurairah r.a, katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda bahawa Allah berfirman: “Siapa lagi orang yang lebih zalim daripada orang yang cuba membuat ciptaan sama seperti makhlukku? Maka lebih baik mereka cuba menciptakan zarah, menciptakan biji-bijian, atau mencipta biji gandum.”

Juga hadis riwayat Muslim: “Sesungguhnya orang yang paling berat seksaannya nanti di hari kiamat ialah orang yang mengambil gambar.”

Cara penerangan dari Indonesia kadangkala ada bezanya dengan gaya bahasa di Malaysia. Justeru, satu daripada syarat yang disarankan untuk mencari ilmu hendaklah berguru.

Imam Thabari berkata: “Orang yang bergambar sesuatu yang disembah selain Allah, sedangkan dia mengetahui dan sengaja termasuk dalam golongan kufur.

“Termasuk larangan ialah orang yang menggantungkan gambar itu untuk dikuduskan (disucikan) oleh pemiliknya secara keagamaan atau diagung-agungkan secara keduniaan seperti gambar nabi dan malaikat.

“Gambar berkenaan biasanya dikuduskan oleh orang Nasrani, dan kemudian diikuti oleh orang Islam dengan melukiskan Ali, Fatimah dan lain-lain.”

Bagaimanapun jika sekadar mengambil gambar untuk tujuan seperti pengenalan diri, kenangan dan lain-lain yang tiada kaitan dengan penjelasan tadi adalah diharuskan.