.

15 Mac 2010

CERAI ISTERI ATAS DESAKAN IBU

Datuk Dr.Mashitah Ibrahim

SOALAN

SAYA menceraikan isteri kedua atas desakan ibu. Ibu tidak merestui perkahwinan itu kerana hubungan rapat dengan isteri pertama. Saya melafazkan cerai tanpa kehadiran isteri kedua, cuma bersaksikan ibu dan imam di rumah saya.

Bagaimanapun, saya tidak memaklumkan kepada isteri kedua saya yang beliau sudah diceraikan, malah kami masih bertemu seperti biasa tanpa pengetahuan ibu.


Bezanya saya sudah tidak pulang ke rumah isteri kedua bagi mengelak kami daripada ‘bersama’.


Soalan saya, adakah perbuatan saya mencium dan lain-lain perbuatan (tanpa hubungan kelamin) sebagai suami isteri menyebabkan jatuhnya hukum rujuk kepada hubungan kami? Ini berdasarkan pembacaan saya yang mengatakan sebarang perbuatan hatta sekadar bercium akan dikira sebagai merujuk semula terhadap perkahwinan berkenaan.

KASSIM AHMAD
Kuantan, Pahang


JAWAPAN

Seorang suami mesti mempunyai pendirian yang tegas dalam soal kahwin dan cerai kerana kuasa itu diamanahkan Allah kepadanya.


Sebarang lafaz cerai hanya sah jika dilakukan dengan rela hati. Jika saudara melafazkannya hanya kerana desakan tetapi langsung tidak berniat berbuat demikian, maka talak tidak jatuh.


Jika pun saudara berniat menceraikan isteri kedua, jika lafaznya cerai talak satu kemudian saudara pulang dan mencium isteri, maka ia perbuatan rujuk tuan pada isteri kedua.


Isu besar di sini ialah saudara selaku suami wajib bersikap adil pada wanita yang berada di sisi saudara sebagai isteri. Jangan menganiaya mana-mana pihak.


Jika dia diceraikan, berlaku adil padanya dengan memaklumkan supaya dia tahu kedudukannya. Cerai juga wajib dimaklumkan kepada mahkamah untuk tujuan direkodkan bagi mengelak berlaku kezaliman pada wanita.