.

30 Mac 2010

HUKUM MEMAKAI INAI HARUS

Fikrah Dr. Salam

SOALAN

SAYA bakal melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi dan pernah mendengar ceramah yang mengatakan memakai inai (mengukir di tangan dengan corak bunga) adalah salah.

Penceramah itu berkata sesiapa yang melukis inai di tangan akan dilaknat Allah. Adakah perkara itu benar?

NANI, Johor.


JAWAPAN

MEMAKAI inai termasuk dalam kategori berhias. Islam membenarkan berhias bagi wanita asalkan ia tidak melanggar syariah.


Contohnya, berhias untuk suami dan bukan untuk tontonan orang lain. Secara khusus, memang ada pendapat yang melarang memakai inai dalam bentuk lukisan.

Ia berdasarkan alasan memakai inai itu seperti memakai tatu yang secara jelas diharamkan. Bagaimanapun, memakai inai tidak seperti mengukir tatu di badan yang kekal dan tidak dapat dihilangkan. Inai hanya buat sementara saja berbanding dengan tatu.

Lagipun memakai inai dibenarkan Rasulullah. Contohnya dalam hadis diceritakan bahawa: "Abu Quhafah dibawa pada hari penaklukan Makkah ke hadapan Rasulullah dengan rambut dan janggutnya memutih seperti thaghamah (sejenis tumbuhan bunga dan buahnya berwarna putih seperti putih uban)."

Maka Rasulullah bersabda: "Ubahkan (warna rambut dan janggut) kamu dengan sesuatu dan jauhi (warna) hitam." (Muslim). Dengan itu memakai inai itu diharuskan.