.

13 Oktober 2010

CARA BETUL BASUH TELEKUNG

SOALAN

SAYA ingin tahu bagaimana cara betul untuk membasuh kain telekung. Adakah boleh dibasuh dengan memasukkan ke dalam mesin basuh atau perlu merendamnya terlebih dulu?

Ada sumber yang pernah saya dengar mengatakan lebih baik basuh telekung dengan tangan kerana dianggap lebih bersih.

Bukan telekung saja, malah kain pelekat ayah saya yang digunakan untuk solat juga dicuci dengan menggunakan kaedah sama. Harap Datuk boleh jelaskan.

DILLA

JAWAPAN

Menggunakan mesin basuh untuk membasuh pakaian yang tidak kena najis, tidak menimbulkan sebarang masalah, yakni pakaian yang dibasuh itu tetap suci hukumnya.

Namun yang timbul masalahnya apabila mesin basuh itu turut sama digunakan untuk membasuh pakaian bernajis atau yang kena najis.


Maka hukum pakaian yang dibasuh itu tidak suci, kerana pakaian yang kena najis itu dibasuh oleh perhimpunan air yang tidak sampai dua kolah dalam takungan mesin basuh itu.

Jika hendakkan pakaian itu suci, ia perlu dikeluarkan dan dibilas dengan air yang suci sekali lagi.

KELIRU BERBINKAN BUKAN BAPA SEBENAR

SOALAN

SAYA seorang lelaki berumur 26 tahun. Baru-baru ini saya dapat tahu saya anak luar nikah. Ini bermakna ayah saya sekarang bukan ayah sebenar, tetapi nama saya dibinkan dengan namanya.

Perlukah saya menukar nama? Kalau perlu di mana perlu saya rujuk?

DEEN, Johor

JAWAPAN

ISLAM sangat menitikberatkan nasab (keturunan) bagi menjaga pertalian darah dan keluarga. Contohnya apabila mengambil anak angkat, anak itu hendaklah dibin atau dibintikan kepada ayahnya yang sebenar dan bukan bapa angkat.

Ini bagi memastikan perhubungan keluarga antara anak dan ibu bapa tidak terputus. Jika ayahnya tidak diketahui atau ibu bapanya bukan Islam, anak terbabit hendaklah dibinkan dengan Abdullah.

Begitu juga bagi anak yang lahir bukan dalam perkahwinan yang sah (tak sah taraf), ia hendaklah juga dibinkan dengan Abdullah.

Bagaimanapun, apabila anak sudah dibinkan dengan bukan ayah sebenar (anak angkat atau suami kepada ibu kepada anak yang lahir dalam perkahwinan antara kedua-duanya) dan ayah itu tidak menafikan taraf anaknya, dia hendaklah diterima pada zahir.

Pertukaran nama mungkin dibolehkan jika dibuat surat sumpah berhubung perkara itu serta dilaporkan kepada Jabatan Pendaftaran.

10 Oktober 2010

WANITA HAID TIDAK DIGALAKKAN MENGAJAR AL-QURAN

SOALAN

ADAKAH Islam membenarkan seorang wanita yang dalam keadaan haid mengajar mengaji al-Quran dan menyentuhnya?

Ini kerana saya pernah membaca artikel mengatakan wanita dalam haid tidak boleh menyentuh al-Quran, hanya boleh membaca ayat yang dijadikan amalan harian seperti al-Fatihah.

Saya agak keliru, mohon penjelasan. Ini kerana saya berhajat untuk mengajar sendiri anak saya al-Quran, jadi adakah saya masih boleh mengajar walaupun dalam keadaan haid?

SYIMA, Kuala Lumpur


JAWAPAN

KEBANYAKAN ulama tidak membenarkan membaca al-Quran ketika dalam keadaan berjunub. Begitu juga dengan memegang mashaf. Ini berdasarkan ayat al-Quran: "Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk yang diakui bersih suci." (Surah al-Waqi'ah ayat 79).

Bagaimanapun, ada pendapat yang membenarkan membaca al-Quran dengan alasan perempuan dalam haid berbeza dengan orang yang dalam keadaan junub yang biasa.

Menurut mazhab Maliki, wanita yang dalam keadaan haid dibenarkan membaca al-Quran dalam bilangan yang sedikit sahaja (Ibn Rushd, 2000: I: 83-84).

Berkenaan mengajar al-Quran semasa haid pula, anda tidak dinasihat mengajarnya berdasarkan pendapat di atas.

HUKUM PERSENDA KEBURUKAN ORANG

SOALAN

SAYA kurang jelas berkenaan hukum mempersenda keburukan wajah seseorang seperti hitam legam, hidung pesek, tidak lawa dan pelbagai lagi. Adakah ia termasuk dalam menghina ciptaan Allah?

BUJANG, Johor.

JAWAPAN

PERBUATAN mempersendakan dan merendah-rendah seseorang atas keburukan fizikal adalah haram.

Perbuatan sedemikian seolah-olah menganggap dirinya lebih baik daripada Allah sebagai Pencipta segala makhluk. Ini jelas apabila Allah sendiri melarang perbuatan berkenaan dalam al-Quran dengan firman-Nya: "Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak daripada perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah kamu panggil-memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan itu menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik) amatlah buruknya sebutan nama fasik sesudah ia beriman. Dan sesiapa yang tidak bertaubat, merekalah orang yang zalim." (Surah al-Hujurat ayat 11).

Mereka yang berbuat demikian termasuk dalam golongan fasik kerana melanggar larangan Allah dan jika tidak bertaubat termasuk dalam golongan zalim.

Zalim bermaksud meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya. Ini kerana manusia disuruh hidup berbaik-baik antara satu sama lain.

TUNAI HAJI DENGAN WANG PINJAMAN

SOALAN

BOLEHKAH saya membuat pinjaman bank bagi menghantar ibu bapa menunaikan haji? Adakah sah haji mereka dengan wang itu?

Ini memandangkan ibu bapa saya sudah tua dan tiada l wang simpanan mencukupi.

MAN, Selangor

JAWAPAN

ISLAM agama yang mudah dan tidak menyusahkan umatnya. Contohnya, mengerjakan rukun haji disyaratkan kepada yang mampu daripada sudut kewangan.

Meminjam wang dari institusi kewangan bagi menunaikan haji tidak digalakkan. Walaupun hukum meminjam itu mungkin pelbagai berdasarkan keadaan, saya melihat pinjaman dengan tujuan membolehkan ibu bapa menunaikan haji itu tidak baik.

Ini kerana seseorang yang ingin menunaikan haji hendaklah menyelesaikan hutang terlebih dahulu. Walaupun niat anda baik ingin membantu ibu bapa yang sudah tua, memilih cara meminjam dan berhutang tidak kena pada tempatnya. Bagaimanapun, haji yang ditunaikan tetap sah.

TANDA AJAL

SOALAN

TERSEBAR dalam internet mengenai tanda sebelum ajal bagi umat Islam menjelang 100 hari sebelum kematiannya iaitu badan akan mengalami getaran sesudah asar, 40 hari sebelum meninggal akan berdenyut pusat, dan sebagainya.

Sejauh mana kesahihan tanda berkenaan? Ada yang mengatakan ia pandangan segelintir ulama dan apakah hukum jika ia diambil sebagai iktikad?


RAMLY
Perak



JAWAPAN

DARI sudut akidah, kita hendaklah beriman bahawa manusia dan seluruh makhluk termasuk juga jin dan malaikat tidak mati sehingga sampai ajalnya sebagaimana yang ditetapkan Allah. Kematian berlaku atas sebab semula jadi seperti tua atau sakit atau mati terbunuh (Ayyub, 1979: 207).

Soal ajal atau kematian termasuk dalam persoalan ghaybiyyah (perkara-perkara ghaib) yang hanya diketahui Allah. Ini berdasarkan apa yang dijelaskan Allah dalam al-Quran, antaranya:

"Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari Kiamat. Dan Dialah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui tentang apa yang ada dalam rahim (ibu mengandung). Dan tiada seorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok; dan tiada dapat diketahui oleh seseorang itu di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuan-Nya." (al-Quran, Luqman (31: 34).

Tentang tanda ajal pula yang disebut dan tersebar di Internet, ia hanya berdasarkan pengalaman hidup manusia semata-mata (contohnya, http://www.scribd.com/doc/19192297/tandatanda-kematian). Penjelasan urutan harian tentang tanda-tanda kematian tersebut tidak bersumber al-Quran dan hadis secara langsung. Dengan itu ia tidak termasuk dalam aspek akidah. Ia hanya bertujuan supaya kita mengingati kematian dan seterusnya beramal supaya dapat dijadikan bekalan di akhirat nanti.

GUGUR ANAK SIFAT JAHILIYYAH

SOALAN

ASSALAMUALAIKUM. Saya sudah berkahwin dan mempunyai dua anak. Ketika anak kedua saya berusia setahun, saya disahkan mengandung dua bulan.

Saya betul-betul tidak bersedia menerima kehadiran orang baru dan berbelah bahagi sama ada untuk meneruskannya atau tidak kerana keadaan kewangan kami yang masih belum stabil.

Suami saya bimbang tidak memberi kehidupan yang sempurna kepadanya malah jika saya berkeras untuk meneruskan kandungan ini, saya khuatir suami tidak akan menyayanginya.

Akhirnya atas persetujuan bersama, saya mengambil langkah untuk menggugurkannya namun sehingga kini saya rasa bersalah dan berdosa.

Adakah saya tetap memikul dosa menggugurkan anak walaupun pada hakikatnya saya terpaksa melakukannya?

ISTERI SERBA SALAH
Ampang



JAWAPAN

Kehadiran anak sebenarnya adalah punca rezeki dan anugerah daripada Allah. Di dalam Al-Quran menegur perangai jahiliah yang membuang dan membunuh anak kerana takut tiada rezeki.

Bukan itu saja ia memberi kesan negatif dan kemurungan bagi ibu yang menggugurkan anak seperti perasaan yang puan alami sekarang, rasa berdosa, sedih dan bersalah. Perasaan yang menghantui puan sudah cukup menjawab persoalan adakah puan berdosa atau tidak.

Sebetulnya jika puan dan suami meminta nasihat dari awal mungkin puan tidak mengambil keputusan menggugurkan kandungan dan kemudian dirundung rasa hiba ini.

Langkah terbaik yang perlu puan dan suami lakukan ialah bertaubat pada Allah atas segala keterlanjuran.

Keguguran yang termasuk dalam istilah terpaksa ialah apabila doktor pakar yang mengesahkannya.

SIMPAN GAMBAR ARWAH

SOALAN

BARU-BARU ini saya membaca sebuah buku tulisan seorang penulis dari Indonesia yang berpendapat tindakan menyimpan dan mengambil gambar adalah haram.

Beliau memetik sebuah hadis yang mengatakan tindakan itu seakan-akan cuba meniru sesuatu kejadian yang Allah cipta, apatah lagi jika ia gambar mereka yang sudah tiada.

Kita seolah-olah tidak dapat terima akan pemergiannya, lantas gambar itu digunakan untuk mengenang dan beranggapan arwah masih ada.

Pada pandangan saya, tujuan pengambilan juga penyimpanan gambar sebenarnya untuk memperingati sesuatu. Namun, jika dengan gambar yang diambil dianggap haram dan berdosa, bagaimana pula dengan rakaman video dan rancangan yang disiarkan dalam televisyen? Mohon ustazah beri penjelasan.

AMIEYA

JAWAPAN

Kekeliruan ini bermula daripada penafsiran beberapa hadis seperti riwayat Abu Hurairah r.a, katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda bahawa Allah berfirman: “Siapa lagi orang yang lebih zalim daripada orang yang cuba membuat ciptaan sama seperti makhlukku? Maka lebih baik mereka cuba menciptakan zarah, menciptakan biji-bijian, atau mencipta biji gandum.”

Juga hadis riwayat Muslim: “Sesungguhnya orang yang paling berat seksaannya nanti di hari kiamat ialah orang yang mengambil gambar.”

Cara penerangan dari Indonesia kadangkala ada bezanya dengan gaya bahasa di Malaysia. Justeru, satu daripada syarat yang disarankan untuk mencari ilmu hendaklah berguru.

Imam Thabari berkata: “Orang yang bergambar sesuatu yang disembah selain Allah, sedangkan dia mengetahui dan sengaja termasuk dalam golongan kufur.

“Termasuk larangan ialah orang yang menggantungkan gambar itu untuk dikuduskan (disucikan) oleh pemiliknya secara keagamaan atau diagung-agungkan secara keduniaan seperti gambar nabi dan malaikat.

“Gambar berkenaan biasanya dikuduskan oleh orang Nasrani, dan kemudian diikuti oleh orang Islam dengan melukiskan Ali, Fatimah dan lain-lain.”

Bagaimanapun jika sekadar mengambil gambar untuk tujuan seperti pengenalan diri, kenangan dan lain-lain yang tiada kaitan dengan penjelasan tadi adalah diharuskan.

HUKUM SERTAI TEKA BOLA

SOALAN

APAKAH hukumnya menyertai peraduan teka bola atau peraduan seumpamanya? Adakah ia sama dengan menyertai nombor ekor kerana kita harus meneka untuk memenangi sejumlah wang?


INGIN TAHU


JAWAPAN

Peraduan meneka yang memerlukan pemikiran dan kemahiran seperti teka silang kata dan teka bola yang tidak membabitkan bayaran kepada pihak lain dengan harapan mendapat wang lebih banyak tidak termasuk judi.

Ia berbentuk peraduan di mana sesiapa saja boleh menyertai tanpa bayaran dan penganjur menyediakan hadiah bagi mereka yang berusaha memberi jawapan tepat. Ia lebih kepada menguji kepandaian, kemahiran dan kebolehan.

Berbeza dengan membeli nombor ekor di mana anda mengeluarkan sejumlah wang untuk bermain supaya dapat wang lebih banyak dan wang akan hilang jika cabutan tidak mengena. Ini jelas termasuk judi dan haram hukumnya.

SOLAT QASAR JAMA'

SOALAN

SAYA ingin bertanya soalan mengenai hukum solat qasar dan jamak bagi seorang musafir dalam beberapa situasi.

Seperti sedia maklum, seseorang itu boleh melakukan solat qasar/jamak jika jarak perjalanan melebihi dua mar- halah.

Jika seseorang itu pulang ke kampung misalnya untuk tempoh tiga hingga empat hari, mereka dibolehkan solat qasar/jamak.

Apakah hukumnya pula jika seseorang itu melakukan solat qasar/jamak dalam tempoh tiga hari berkenaan kerana malas melakukan solat selepasnya, sedangkan tiada apa-apa yang menghalang perbuatannya pada masa itu?

SOBRI
Terengganu


JAWAPAN

Solat qasar dan jamak adalah hadiah (rukhsah) Allah kepada umat Islam yang bermusafir supaya kerja dunia dapat diselesaikan.

Walaupun pada asalnya hukum ini diturunkan kerana perjalanan dan musafir pada zaman dulu sangat merumitkan, tetapi hukum harus dan keringanan ini kekal sebagai syariat yang diharuskan walaupun perjalanan sudah selesa.

Solat ini harus bagi perjalanan yang melebihi dua marhalah iaitu bersamaan 90 kilometer lebih.

Apabila menepati pada syarat sah qasar jamak iaitu perjalanan yang harus dan sudah keluar dari kawasan tempat bermukim.

Sekalipun si musafir tidak terlalu letih dan mempunyai masa untuk mencukupkan solatnya, namun dia layak dan harus untuk solat qasar dan jamak selama mana dia cukup syaratnya.