FIKRAH DR. SALAM
SOALAN
Apakah makna tersirat atau tersurat mengenai ayat 60 daripada surah Hud? Untuk makluman, ketika dalam kesusahan hadapi dugaan, saya membuka al-Quran dan ayat pertama inilah saya nampak.
Kemudian, satu lagi persoalan mengenai tatu di badan saya. Bagaimana saya hendak membuang tatu itu dan apakah hukumnya?
Fir
Kuala Lumpur
JAWAPAN
Al-Quran adalah kitab wahyu yang terakhir turun sebagai panduan bagi seluruh umat manusia.
Bagi umat Islam al-Quran perlu dibaca, difahami dan diamalkan ajarannya. Ia kitab hidayah yang tertinggi daripada Allah sendiri berbanding bentuk hidayah lain yang ada pada manusia termasuk pancaindera dan akal.
Meneliti kepada surah Hud dalam ayat 60, Allah berfirman dengan maksud: “Dan mereka ditimpa laknat (yang tidak putus-putus) dalam dunia ini dan pada hari kiamat.
“Ketahuilah! Sesungguhnya kaum Aad itu kufur akan Tuhan mereka. Ketahuilah! Sesungguhnya kebinasaanlah akhirnya bagi Aad, kaum Nabi Hud.”
Ayat ini memberi iktibar kepada umat manusia supaya beriman kepada Allah dan rasul-Nya dengan mematuhi segala suruhan dan larangan-Nya.
Apabila manusia berbuat demikian, kehidupan mereka menjadi bahagia di dunia dan akhirat.
Begitu juga yang akan terjadi di sebalik keingkaran manusia terhadap ajaran Allah. Mereka akan menanggung kesengsaraan akibat perbuatan sendiri.
Bagi mereka yang masih enggan menurut suruhan Allah, mereka masih tetap diberi peluang untuk bertaubat sehingga menemui ajal. Ayat berkenaan adalah jelas dalam perkara di atas.
Saya berpendapat kita tidak perlu memahami ayat itu dalam konteks apa-apa yang tersurat dan tersirat kerana semuanya sudah jelas, melainkan saudara ingin menyatakan dengan membaca ayat ini segala kesusahan akan dapat dikurangkan.
Sememangnya apabila kita kembali kepada Allah dan memahami bahawa segala sesuatu ada hikmahnya, kita akan berasa tenang dan selamat. Selain itu, kita perlu ingat segala rahmat Allah yang kita dapat selama kini.
Berkaitan dengan tatu pula, hukum mencacah tatu adalah haram dalam Islam. Mereka yang mencacah tatu hendaklah bertaubat dan berusaha menghilangkannya sekiranya tidak memudaratkan.
Berdasarkan fatwa semasa, saya petik Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-86 yang bersidang pada 21 hingga 24 April 2009 yang memutuskan dalam Islam hukum bertatu iaitu pembuat tatu dan orang meminta dibuat tatu haram.
“Oleh itu, muzakarah bersetuju memutuskan bahawa orang yang bertatu wajib bertaubat dan menyesal serta menghilangkannya dengan menggunakan kaedah teknologi sedia ada jika tidak mendatangkan sebarang kemudaratan.
“Bagaimanapun, sekiranya mendatangkan kemudaratan pada diri dan nyawa, maka ia boleh dibiarkan dan dimaafkan.
“Bagi orang bertatu dan tidak sempat menghilangkannya sebelum meninggal dunia, tatu itu tidak wajib dihilangkan kerana ia menyeksa mayat itu.” (http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-bertatu-mengikut-pandangan-islam)