.

07 Februari 2014

GUGURKAN KANDUNGAN SEBAB TIDAK SAH TARAF

DR. MASHITAH IBRAHIM

SOALAN

Saya berstatus pelajar dan kini mengandung lebih kurang dua minggu. Masalahnya, anak yang dikandung tidak sah taraf.

Saya dan teman terlanjur hingga menyebabkan saya mengandung. Permulaannya dia ingin bertanggungjawab sebaliknya berlaku apabila keluarganya enggan menerima atas alasan saya bukan berasal dari pantai timur.

Kami buntu. Jadi kini, keputusan dibuat ialah menggugurkan kandungan meskipun kami berdua bersedih. Tempoh hari saya ada memakan nanas supaya kandungan ini gugur tetapi saya tidak sampai hati.

Saya melakukan solat istikharah untuk meminta petunjuk. Dalam masa sama, saya terfikir apa bakal jadi memandangkan saya berstatus pelajar dan keluarga tidak mengetahui perkara ini. Apa perlu saya lakukan?


Layla
Subang


JAWAPAN

Saudari terlanjur melakukan kesilapan pertama iaitu berzina. Jangan tambah dosa seterusnya dengan membunuh anak dalam kandungan.

Sebaiknya saudari segera bernikah dengan lelaki yang terbabit atau lelaki lain yang boleh dijadikan suami. Sekurang-kurangnya jika anak lahir selepas enam bulan lebih berumah tangga dapatlah dibinkan kepada suami puan.

Jika keadaan tidak mengizinkan puan bernikah, lahirkan anak ini dengan baik. Mungkin rezeki anak ini untuk diserahkan kepada mereka yang tiada anak. Usah mengambil langkah membunuh anak yang tidak berdosa ini.