DR. MASHITAH IBRAHIM
SOALAN
Saya sudah berkahwin dan tidak mempunyai pekerjaan tetap. Berkat kesabaran, saya mendapat tawaran pekerjaan tetap daripada syarikat kredit sebagai eksekutif operasi dengan tawaran gaji yang menarik.
Masalahnya, kawan menasihati supaya tidak menerima pekerjaan berkenaan kerana ia mengamalkan konsep riba sedangkan saya sangat memerlukan kerja.
Apakah pandangan Datuk sekiranya saya menerima pekerjaan ini kerana saya perlu menyara keluarga.
Fendi
Seremban
JAWAPAN
Menjawab persoalan itu, ulama terkemuka menyatakan “Sistem ekonomi Islam berdasarkan permusuhan terhadap riba". Islam mengisytiharkan riba sebagai satu dosa besar yang membawa bencana dan keruntuhan sosial.
Riba mengakibatkan malapetaka dalam kehidupan dan hukuman keras di akhirat, sebagaimana Allah berfirman dalam al-Qur’an: “Allah memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang tetap dalam kekafiran, dan selalu berbuat dosa.” (al-Baqarah: 276) .
Malapetaka ini tidak akan berubah dengan keengganan seseorang untuk bekerja di bank. Perkara yang mengubah ialah kemahuan masyarakat untuk mengelakkan kesan buruk sistem riba.
Jika kita juga melarang bekerja dengan bank dan institusi kewangan, maka orang lain akan mengawal ekonomi kita termasuk juga ekonomi antarabangsa. Biasanya, mereka yang mengawal ialah Yahudi dan ini tidak memberikan kita apa-apa kebaikan.” (Sheikh Yusuf Al-Qaradawi)
Dalam hal ini menjaga diri untuk bekerja adalah amat perlu. Bekerjalah sementara dulu dengan niat jika ada peluang di tempat lain nanti saudara akan mencari sesuatu yang lebih jelas halal.