DR. MASHITAH IBRAHIM
SOALAN
Saya dan pasangan berhasrat untuk mendirikan rumah tangga kerana bimbang terjerumus dengan maksiat. Masalahnya, keluarga saya menetapkan wang hantaran yang tinggi kerana saya berpelajaran tinggi dan mempunyai kakak sudah berkahwin.
Oleh itu, keluarga menetapkan hantaran lebih tinggi berbanding kakak, sedangkan wang adalah masalah utama pasangan muda pada hari ini.
Saya sendiri tidak berhasrat menetapkan hantaran yang tinggi kerana enggan membebankan pasangan malah kenduri pula diadakan secara sederhana.
Keluarga bertegas dengan keputusan mereka, sekiranya tidak dituruti mereka memaksa kami memutuskan hubungan.
Perkara ini sangat mengecewakan kami malah ia sering menjadi perbalahan antara kami. Kami tidak ingin menjadi anak derhaka.
Saya mengharapkan pandangan bernas daripada Datuk untuk menerangkan kepada keluarga saya
Dalam dilema
Ipoh
JAWAPAN
Mahar yang terbaik bukanlah termahal tetapi termudah untuk kedua-dua pihak. Jika jumlah yang mahal adalah mudah maka tidak salah meletakkan mahar yang mahal.
Sebaliknya jika mahar yang banyak bukan memudahkan tetapi menyulitkan pula perkahwinan maka ia tidak sunah.
Nasihat saya dalam hal ini sebaiknya dibawa berbincang dengan keluarga. Jika mereka masih berkeras maka ikhtiar dulu wang atau jadikan mahar sebagai hutang bukannya tunai.
Selepas berkahwin pengantin perempuan boleh menghalalkan mahar itu kerana ia yang menjadi hak milik mutlak pengantin perempuan. Dengan itu ia tidak memberatkan bagi pihak lelaki.