.

29 September 2014

LARANGAN BERBUAL KETIKA KHATIB SEDANG BERKHUTBAH

FIKRAH DR. SALAM

SOALAN

Saya ingin bertanya hukum bagi seseorang yang bercakap-cakap ketika khatib menyampaikan khutbah solat Jumaat.

Bagaimana cara yang terbaik untuk menasihati mereka terutama kepada warga emas?

Bagaimana pula hukum seseorang itu yang kerap melintasi saf sehingga mengganggu makmum lain yang sedang khusyuk mendengar khutbah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Hamba Allah
Kulim, Kedah



JAWAPAN

Bercakap-cakap sewaktu khatib berkhutbah membawa kepada batalnya pahala Jumaat.
Ini kerana tujuan khutbah ialah untuk mengingatkan semua umat Islam mengenai tanggungjawab masing-masing secara mingguan.

Ia adalah media penting dalam menyedarkan umat Islam terutama kepentingan takwa kepada Allah.

Dengan sebab itu Nabi SAW mengingatkan umatnya supaya mendengar khutbah yang disampaikan.
Malah, dalam satu hadis diterangkan bahawa menyuruh kawan di sebelah supaya berdiam diri dan mendengar khutbah dianggap sebagai lalai.

Hal ini jelas daripada hadis diriwayatkan Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Jika anda berkata-kata kepada teman anda (dengan kata) ‘diam’ sementara imam sedang membaca khutbah, anda telah lalai (lagha).” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Cara terbaik apabila kita melihat ada dalam kalangan makmum bercakap-cakap sewaktu khutbah ialah dengan memberitahu kepada bilal selepas solat Jumaat dan meminta jasa baik beliau untuk mengingatkan jemaah supaya mendengar khutbah dengan khusyuk pada minggu mendatang.

Pada kebiasaannya bilal membaca hadis di atas sebelum khutbah Jumaat bermula. Agar lebih jelas, adalah baik hadis itu dihuraikan serba sedikit selepas ia dibaca.

Anda juga boleh menemui imam supaya mengingatkan jemaah mengenai kepentingan mendengar khutbah dan larangan berbual-bual ketika khutbah disampaikan.

KELIRU ANTARA DARAH HAID DAN ISTIHADHAH

FIKRAH DR. SALAM


SOALAN

Saya berusia 16 tahun. Saya datang haid cukup lama dan mandi wajib pada hari ke-15.
Pada pengetahuan saya haid sampai 14 hari saja dan selebihnya darah penyakit.

Adakah darah itu darah haid atau sebaliknya?

Macam mana hendak mengetahui saya haid pada bulan berikutnya dan hendak membezakan darah haid atau darah penyakit?

Saya sudah pergi klinik tapi masih sama. Kalau berhenti pun untuk tiga bulan, kemudian berlaku hal yang sama.


Keliru
Kuala Lumpur


JAWAPAN

Terdapat tiga jenis pendarahan berlaku kepada wanita iaitu darah haid, darah istihadhah dan darah nifas.

Keluarnya darah haid melambangkan kesempurnaan anggota dalaman bagi seseorang wanita.

Darah haid berlaku pada setiap bulan dan tempohnya antara sehari semalam dan 15 hari 15 malam.

Tempohnya mungkin berlainan antara seorang wanita dengan wanita yang lain.
Biasanya tempoh haid adalah dari enam hari enam malam sehingga tujuh hari tujuh malam.

Apabila darah masih keluar melebihi tempoh haid itu, wanita dikira mengalami darah istihadhah (penyakit).

Sewaktu tempoh darah istihadhah wanita tidak dikenakan larangan seperti wanita dalam haid atau nifas.

Dengan itu seseorang wanita hendaklah menunaikan segala perintah Allah seperti biasa termasuk solat.

Untuk mengetahui jangkaan kedatangan haid, saya mencadangkan supaya anda mencatat tarikh kedatangan haid setiap bulan dalam kalendar, bila ia bermula dan berakhir.

Dengan itu kita dapat mengagak tempoh masa kedatangan haid dalam bulan seterusnya.

Ini penting dalam mengurus kehidupan harian setiap wanita.

Ada baiknya bertanya ibu dan orang rapat dengan kita bagi mendapat nasihat mereka mengenai soal haid dan perkara lain yang penting.

KERJAKAN UMRAH NIAT DARI JEDDAH

FIKRAH DR. SALAM


SOALAN

Dua tahun lalu, saya dan rakan ke Riyadh, Arab Saudi atas urusan perniagaan.

Selesai urusan itu, rakan niaga iaitu rakyat negara berkenaan menjemput kami untuk melakukan umrah.

Malam itu kami terbang ke Jeddah. Pagi esoknya, kami memakai ihram di hotel di Jeddah dan bertolak ke Makkah ditemani dua kakitangan berbangsa Arab menaiki kereta.

Sewaktu perjalanan ke Makkah saya bertanyakan kepada mereka mengenai di mana harus kami bermiqat, namun diberitahu kami tidak perlu dan diberikan sebab (maaf, saya lupa sebab yang diberikan).

Kami terus ke Makkah dan melakukan umrah dan apabila selesai kami pulang ke Malaysia pada hari sama.

Soalan saya, apakah hukum umrah kami? Apa yang harus kami lakukan berdasarkan jawapan kepada soalan pertama? Mohon pencerahan.

Keliru
Kuala Lumpur


JAWAPAN

Hukum umrah menjadi sah apabila melaksanakan semua rukunnya iaitu (1) berniat di miqat, (2) tawaf, (3) saie, (4) bercukur dengan sekurang-kurangnya menggugurkan tiga helai rambut dan (5) tertib.

Apabila sempurna kelima-lima rukun ini, maka sah umrah.

Secara umum miqat bagi umrah sama dengan miqat haji iaitu di Makkah bagi orang tinggal di Makkah, Dhu Hulaifah (Bi’r Ali) bagi yang datang dari Madinah dan Juhfah bagi yang datang dari Mesir.

Bagi yang datang dari Asia dan perjalanan laut di Yalamlam, Qarn al-Manazil bagi yang datang dari Kuwait, Najd, Yaman dan yang datang dari kapal terbang melalui ruang angkasa Kuwait serta Dhat Irqin bagi yang datang dari Iraq.

Miqat adalah sempadan bagi orang yang hendak mengerjakan haji dan umrah. Orang yang hendak menunaikan haji atau umrah yang melewati miqat tanpa ihram, wajib dia kembali semula ke miqat untuk berihram dan berniat.

Dalam kes anda berdua umrah sah apabila melaksanakan semua rukun berkenaan.
Anda memasuki Makkah (tanah haram) dengan memakai ihram di Jeddah dan datang ke Makkah dengan niat untuk menunaikan umrah.

MENCACAH TATU PERBUATAN HARAM

FIKRAH DR. SALAM


SOALAN
Apakah makna tersirat atau tersurat mengenai ayat 60 daripada surah Hud? Untuk makluman, ketika dalam kesusahan hadapi dugaan, saya membuka al-Quran dan ayat pertama inilah saya nampak.

Kemudian, satu lagi persoalan mengenai tatu di badan saya. Bagaimana saya hendak membuang tatu itu dan apakah hukumnya?

Fir
Kuala Lumpur



JAWAPAN

Al-Quran adalah kitab wahyu yang terakhir turun sebagai panduan bagi seluruh umat manusia.

Bagi umat Islam al-Quran perlu dibaca, difahami dan diamalkan ajarannya. Ia kitab hidayah yang tertinggi daripada Allah sendiri berbanding bentuk hidayah lain yang ada pada manusia termasuk pancaindera dan akal.

Meneliti kepada surah Hud dalam ayat 60, Allah berfirman dengan maksud: “Dan mereka ditimpa laknat (yang tidak putus-putus) dalam dunia ini dan pada hari kiamat.

“Ketahuilah! Sesungguhnya kaum Aad itu kufur akan Tuhan mereka. Ketahuilah! Sesungguhnya kebinasaanlah akhirnya bagi Aad, kaum Nabi Hud.”

Ayat ini memberi iktibar kepada umat manusia supaya beriman kepada Allah dan rasul-Nya dengan mematuhi segala suruhan dan larangan-Nya.

Apabila manusia berbuat demikian, kehidupan mereka menjadi bahagia di dunia dan akhirat.

Begitu juga yang akan terjadi di sebalik keingkaran manusia terhadap ajaran Allah. Mereka akan menanggung kesengsaraan akibat perbuatan sendiri.

Bagi mereka yang masih enggan menurut suruhan Allah, mereka masih tetap diberi peluang untuk bertaubat sehingga menemui ajal. Ayat berkenaan adalah jelas dalam perkara di atas.

Saya berpendapat kita tidak perlu memahami ayat itu dalam konteks apa-apa yang tersurat dan tersirat kerana semuanya sudah jelas, melainkan saudara ingin menyatakan dengan membaca ayat ini segala kesusahan akan dapat dikurangkan.

Sememangnya apabila kita kembali kepada Allah dan memahami bahawa segala sesuatu ada hikmahnya, kita akan berasa tenang dan selamat. Selain itu, kita perlu ingat segala rahmat Allah yang kita dapat selama kini.

Berkaitan dengan tatu pula, hukum mencacah tatu adalah haram dalam Islam. Mereka yang mencacah tatu hendaklah bertaubat dan berusaha menghilangkannya sekiranya tidak memudaratkan.

Berdasarkan fatwa semasa, saya petik Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-86 yang bersidang pada 21 hingga 24 April 2009 yang memutuskan dalam Islam hukum bertatu iaitu pembuat tatu dan orang meminta dibuat tatu haram.

“Oleh itu, muzakarah bersetuju memutuskan bahawa orang yang bertatu wajib bertaubat dan menyesal serta menghilangkannya dengan menggunakan kaedah teknologi sedia ada jika tidak mendatangkan sebarang kemudaratan.

“Bagaimanapun, sekiranya mendatangkan kemudaratan pada diri dan nyawa, maka ia boleh dibiarkan dan dimaafkan.

“Bagi orang bertatu dan tidak sempat menghilangkannya sebelum meninggal dunia, tatu itu tidak wajib dihilangkan kerana ia menyeksa mayat itu.” (http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-bertatu-mengikut-pandangan-islam)

ISTERI INGKAR SETIAP KALI DISURUH SOLAT

FIKRAH DR. SALAM


SOALAN
Saya berkahwin selama hampir empat tahun. Namun, sepanjang usia perkahwinan saya tidak pernah melihat isteri melakukan solat.

Puas saya menyuruh dan mengajaknya bersolat bersama, tetapi masih juga tidak mahu bersolat.

Apakah yang perlu saya lakukan untuk mengajak isteri bersolat bersama dan mendekatkan diri dengan agama?

Mohamad
Kuala Lumpur



JAWAPAN
Ada beberapa perkara perlu difikirkan sebelum langkah tertentu boleh diambil bagi menggerakkan isteri supaya rajin bersolat, antaranya latar belakang keluarganya dan pendidikan diterima perlu dikenal pasti sama ada keluarganya mengamalkan solat atau tidak.

Jika solat bukan amalan keluarga dan isteri tidak diasuh sejak kecil, ia menjadi susah untuk dilakukan apabila sudah dewasa.

Bagaimanapun, apabila seseorang sudah dewasa dan fikiran sudah matang sepatutnya rasa tanggungjawab terhadap Allah akan lahir sendiri.

Namun, ia tidak berlaku dalam kes isteri anda walaupun anda sendiri kuat beribadah.

Keduanya, kita perlu sedar ia adalah ujian Allah kepada diri sendiri apabila mendapat isteri yang tidak mahu bersolat.

Suami bertanggungjawab menjauhkan diri dan keluarga dari api neraka. Dengan itu tugas berdakwah perlu diteruskan dan tindakan itu mendapat ganjaran pahala daripada Allah.

Seterusnya langkah yang boleh diambil ialah:

(1) Mengelakkan daripada mengajak secara berterusan kerana ia menimbulkan kebosanan daripada isteri dan menyebabkan dia menjadi bertambah degil. Biasanya suruhan secara berkala dapat mengubah seseorang.


(2) Cuba mencari nilai kebaikan lain yang ada pada isteri seperti sifatnya yang pemurah, rajin mengemas, memasak dan sebagainya.

Ia perlu diberi pujian sehingga menimbulkan kesedaran untuk menambah kebaikan lain termasuk melaksanakan kewajipan bersolat. Ini kerana solat membawa kebaikan dunia dan akhirat.


(3) Mengingatkan isteri supaya terus melakukan kebaikan dari waktu ke waktu. Ini dapat mendorong isteri terus berbakti sehingga menunaikan fardu solat.


(4) Menjadikan diri sendiri sebagai contoh terbaik kepada isteri dan anak dalam aspek kehidupan, misalnya pekerjaan, akhlak dan sebagainya.

Ini dapat membuka fikiran isteri, menggerakkan fitrah kebaikan yang ada dan mempengaruhi kehidupannya nanti.

Solat wahana kepada semua kejayaan anda seperti sikap menghargai waktu, kebersihan dan sebagainya.