Dr Abdul Salam Muhammad Shukri
SAYA mendapati ramai orang Islam cenderung menangguhkan ibadat terutama solat fardu sedangkan solat pada awal waktu adalah satu anjuran Rasulullah s.a.w supaya memperoleh fadilatnya di samping mengelak kelalaian luputnya waktu.
Tetapi manusia ialah makhluk yang pelupa, leka dan lalai. Walaupun diingatkan berkali-kali, masih ada yang lupa, seolah-olah memekakkan telinga ketika azan mula berkumandang.
Dr Salam, apakah ada beberapa kisah tauladan pada zaman Nabi s.a.w mahupun sebelum zaman baginda yang boleh dijadikan iktibar cukup menginsafkan mengenai kepentingan solat di awal waktu?
CIK MIXXY
Perak
JAWAPAN
SECARA umumnya waktu solat fardu ditetapkan dengan waktu tertentu.
Ini dijelaskan Allah s.w.t: "...Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya." (al-Quran, an-Nisa'(4): 103).
Kita perlu memahami bahawa wajib di awal waktu mengerjakan solat tergolong dalam wajib diperluaskan dalam waktunya yang tertentu.
Sebagai contoh, waktu Zuhur bermula selepas gelincir matahari ke arah barat dan berakhir selepas bayang berubah menjadi panjang dari asal barang yang dijadikan pengukur.
Sekarang ini waktu solat mudah diketahui menerusi azan di masjid, televisyen, jadual waktu solat di kalendar, Internet dan sebagainya.
Untuk lebih lanjut setiap waktu solat yang difardukan terbahagi kepada empat masa, iaitu:
(1) Waktu afdal (utama) - di permulaan masuk waktu.
(2) Waktu pilihan (iktiyari)- sebaik-baik masuk waktu sehingga ke akhirnya.
(3) Waktu harus - kepada orang musafir yang dibenarkan menjamak (himpun) antara dua solat.
(4) Waktu haram - pada akhir waktu sehingga tidak sempat menyempurnakan solat dalam waktunya.
Kita juga hendaklah memahami bahawa solat adalah tiang agama.
Solat bertujuan mengingatkan manusia mengenai hubungan manusia dengan Allah.
Manusia adalah hamba-Nya yang perlu sentiasa patuh kepada ajaran Allah dalam semua keadaan.
Rasulullah s.a.w sangat menitikberatkan solat sehingga baginda menasihatkan ibu bapa supaya menyuruh anak mereka bersolat apabila mencapai umur tujuh tahun dan memukul kanak-kanak terbabit apabila dia ingkar suruhan solat ketika berusia 10 tahun.
Rasulullah s.a.w juga menitik berat mengenai solat jemaah. Terdapat cerita dalam hadis bagaimana Rasulullah s.a.w menyatakan niatnya untuk membakar rumah penghuni yang tidak bersolat jemaah.
Solat berjemaah adalah syiar Islam yang perlu dilaksanakan umat Islam.
Masyarakat Islam akan berjaya apabila mementingkan amalan solat dan ajaran Islam secara amnya.