.

01 Ogos 2009

TAKLIK NIKAH

Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

SOALAN

Saya ingin penjelasan mengenai taklik. Apakah beza antara taklik dengan syarat talak? Adakah taklik ini boleh ditarik balik atau dibatalkan dengan persetujuan kedua-dua belah pihak? Jika boleh adakah dalil yang menyokongnya?

RIDUAN

Shah Alam

JAWAPAN

Taklik pada dasarnya dibuat untuk melindungi hak suami dan hak isteri di samping menggariskan perkara boleh dan tidak boleh dilakukan sepanjang tempoh perkahwinan demi memastikan wujudnya persefahaman antara kedua belah pihak.

Dalam perkahwinan sudah ditetapkan beberapa perkara taklik asas seperti nafkah. Bagaimanapun, jika pasangan ingin menambah lagi syarat sedia ada, mereka boleh berbuat demikian berdasarkan hadis Uqba Bin Amir ra meriwayatkan Rasulullah SAW sebagai bersabda: “Syarat yang paling patut dipenuhi olehmu ialah yang menjadikan persetubuhan (dengan isterimu) halal (untukmu).” [Sahih Muslim, Kitab al-Nikah, Sunan Abu Dawud, Kitab al-Nikah, Hadith 2134].

Taklik kepada perkahwinan atau sebarang tambahan syarat seharusnya dilakukan dengan persetujuan kedua-dua belah pihak. Perlu kita ingat bahawa tujuan utama syarat perkahwinan untuk kesejahteraan rumah tangga. Seksyen 22 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, menyatakan apabila selesai akad nikah, Pendaftar hendaklah mencatatkan butir dan taklik yang ditetapkan atau taklik lain di dalam Daftar Perkahwinan.

Menurut seksyen 22(2), catatan berkenaan hendaklah diakusaksi oleh pasangan perkahwinan, wali dan juga dua saksi yang hadir ketika perkahwinan itu diakadnikahkan. Catatan itu kemudian hendaklah ditandatangani Pendaftar. Taklik talak bermaksud suami menggantungkan jatuh talak isterinya dengan terjadi sesuatu sifat atau syarat dikaitkan dengan isteri atau orang lain.