.

01 Ogos 2009

KAEDAH WASIAT SECARA MULUT (LISAN)

Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

SOALAN
SAYA ingin bertanya mengenai harta pusaka. Ibu saudara saya meninggal dunia beberapa bulan lalu dan menyerahkan ladang berharga lebih kurang RM60,000 atas nama sepupu saya (lelaki).

Dia juga mewasiatkan supaya diagihkan kepada abangnya iaitu ayah saya (separuh) dan selebihnya kepada anak saudara yang lain yang sudah kematian ayah.

Wang dalam akaun Tabung Haji adalah di atas nama arwah dan suaminya diwasiat (wasiat mulut) supaya diberi separuh kepada abang sulungnya (ayah saya). Adakah wasiat secara percakapan ketika dia sakit dulu boleh digunakan? Adakah halal jika kami menggunakan wang berkenaan?

Ibu saudara saya mempunyai dua anak angkat yang dibintikan dengan nama suami pertamanya dulu. Mereka juga menuntut harta pusaka lain dan barang kemas yang bernilai kira-kira RM10,000.

Suami keduanya dan ayah saya memberitahu mereka anak angkat tetapi mereka tidak percaya kerana tiada bukti. Bagaimanakah kami dapat menyelesaikan soal tuntutan harta ini?

CHE RASIMIN
Pahang


JAWAPAN

Wang yang diserahkan ketika masih hidup ialah hibah atau hadiah. Ia menjadi milik kepada yang dihadiahkan dan tidak boleh dikira pusaka. Wang wasiat pula wajib diagihkan menurut apa yang yang dipesan oleh simati tanpa boleh diubah.

Wasiat secara mulut mestilah mempunyai bukti dan saksi yang kukuh. Selepas diperakui warisnya, bahagilah mengikut wasiat berkenaan. Anak angkat tidak layak menerima harta pusaka.

Menjadi tanggungjawab keluarga yang tahu memaklumkan pada mereka kerana berdosa jika mereka masih menuntut harta berkenaan yang mana mereka tidak berhak terhadapnya.

Justeru dalam agama kita menuntut supaya anak angkat dimaklumkan kedudukan mereka dan tidak dibintikan pada bapa angkat bagi mengelakkan perkara seumpama ini berlaku.