.

01 Ogos 2009

NAFKAH ISTERI BEKERJA

Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

SOALAN

Saya mempunyai kemusykilan mengenai nafkah suami kepada isteri. Sejak awal perkahwinan lagi suami tidak pernah memberi saya nafkah (wang belanja). Apabila saya bertanya, dia berkata apa yang diberinya (makan minum dan perbelanjaan keperluan harian keluarga) yang membolehkan kami sekeluarga cukup makan itu adalah nafkah. Adakah ia benar?

Saya bekerja di syarikat swasta, saya ada ramai kawan dan menurut mereka, nafkah itu adalah duit pemberian suami kepada isteri mengikut kemampuan dia. Kadangkala saya rasa cemburu sebab kawan saya dapat nafkah daripada suami mereka sebagai tambahan belanja (peribadi) sedangkan saya tidak pernah merasa itu semua. Saya tidak kisah kalau dia bagi sedikit, asalkan ada.

Adakah benar nafkah itu tanggungjawab suami sepenuhnya (termasuklah jika isteri mempunyai pendapatan sendiri)? Adakah suami boleh meminta isteri menghalalkan nafkah yang sepatutnya diberikan kepada isteri?


IFAH
Kuantan


JAWAPAN

Suami wajib menanggung nafkah isteri dalam erti kata memberi makan minum, pakaian dan tempat tinggal. Semua ini adalah menurut kemampuan suami sendiri. Bentuk nafkah boleh dalam bentuk wang tunai atau manfaat disediakan. Jika suami sudah menyediakan keperluan rumah tangga, ia termasuk dalam erti kata nafkah.

Jika pun isteri sudah bekerja maka suami tetap mempunyai tanggungjawab menyediakan nafkah termampu olehnya.

Jika isteri selalu membandingkan diri dengan orang lain kadangkala boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dalam rumah tangga.

Setiap pasangan ada cara sendiri dan kemampuan masing-masing. Bisik dengan baik pada suami hajat puan untuk diberi sedikit nafkah dalam bentuk tunai bagi membolehkan puan merasa belanja wang suami. Jika isteri sama-sama menyumbang pada nafkah, dia memperolehi pahala daripada kebaikan itu. Jika isteri ingin menghalalkan nafkah suami, dia boleh dan berhak berbuat demikian. Dalam menyelesaikan masalah ini yang terbaik ialah duduk berbincang bersama mencari kata sepakat.