.

10 Ogos 2009

SOLAT SUBUH SAH TANPA BACAAN QUNUT

Dr Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN

SAYA ada kemusykilan mengenai doa qunut dalam solat Subuh. Adakah sah mendirikan solat Subuh tanpa membaca doa qunut?

KAMARUDDIN,

Johor Bahru


JAWAPAN

SAH solat Subuh tanpa membaca doa qunut. Qunut termasuk sunat ab'ad dalam solat. Perkara dikategorikan sunat ab'ad yang lain ialah membaca tashahud awal, duduk tashahud, membaca selawat atas Nabi s.a.w dalam tashahud awwal, membaca selawat atas keluarga Baginda dalam tashahud akhir, duduk membaca tashahud awal dan akhir di samping selawat atas Nabi, keluarga dan sahabat.

Dalam mazhab Syafie, sesiapa yang tertinggal bacaan qunut atau mana-mana sunat ab'ad hendaklah sujud sahwi.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Bila seseorang berdiri sesudah dua rakaat, tetapi belum lagi sempurna berdiri, maka hendaklah dia duduk kembali (bagi tashahud awal). Jika dia sudah berdiri betul, janganlah duduk kembali, hendaklah ia sujud dua kali (iaitu sujud sahwi)." (Riwayat Ahmad)

Dalam pada itu, terdapat perbezaan pendapat mengenai bacaan qunut dalam solat Subuh kerana ada perselisihan dalam sumber hadis bacaan qunut.

Mazhab Malik melihat qunut dalam solat Subuh sebagai hanya sunat yang digalakkan (mustahhab). Abu Hanifah tidak mengharuskan baca qunut dalam solat Subuh dan menetapkannya hanya dalam solat Witir. (Ibn Rushd I: 189)