.

10 Ogos 2009

PERLU IKHLAS DALAM IBADAT

Dr Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN

APAKAH perbezaan dalam mengerjakan ibadat dituntut agama, melakukannya kerana takutkan Allah atau kerana tidak mahu diseksa di akhirat kelak?

Bagaimana pula jika kita beribadat kerana ingin menikmati limpahan kesenangan yang dijanjikan Allah kepada mereka yang beramal kepada-Nya?

ABID,

Terengganu


JAWAPAN

APA yang penting ialah keikhlasan kita dalam beribadat kepada Allah. Kedua-duanya tidak lari daripada yang dituntut Islam. Ini kerana janji Allah kepada hamba-Nya untuk membalas segala amalan hamba-Nya.

Melakukan ibadat kerana takutkan kemurkaan Allah dan balasan azab juga benar kerana hamba yang menderhaka dimurkai Allah.

Perbahasan mengenai persoalan ini ada dalam kajian ilmu tasawwuf, suatu ilmu berdasarkan konsep ihsan.

Ia bertujuan menyucikan hati daripada segala perkara selain Allah dan menghiasinya dengan amalan yang baik.