.

01 Ogos 2009

WANG KWSP WAJIB ZAKAT

Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

SOALAN

BARU-BARU ini saya membuat pembayaran terakhir pinjaman untuk Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak RM10,000. Soalan saya, perlukah saya membayar zakat pada tahun ini? Jika perlu membayar zakat, bolehkah saya membahagikan wang zakat berkenaan kepada adik beradik kerana mereka mempunyai ramai anak dan bekerja di kampung.

Untuk pengetahuan Datuk, selama membayar pinjaman dalam tempoh lima tahun, saya tidak pernah membayar zakat kerana berpendapat ia duit pinjaman dan bukannya wang yang saya simpan walaupun saya menerima faedahnya (dividen) setiap tahun. Adakah pendapat ini benar?

Soalan kedua, saya tidak pernah menggunakan wang dividen yang diperolehi dan menjadikan ia sebagai simpanan. Adakah wang ini perlu dizakat? Soalan ketiga berkaitan dengan wang di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Adakah ia juga dikenakan zakat?

ROHAYA

Ipoh



JAWAPAN
Zakat wajib dibayar bagi harta yang cukup nisab dan terkumpul sehingga setahun. Saudara membuat pinjaman untuk menyimpan dan melabur serta mendapat keuntungan darinya. Jika cukup syarat dinyatakan tadi, maka wajib zakat.

Begitu juga dengan dividen yang dapat jika cukup syarat nisab dan haul wajib dizakatkan. Jangan bimbang kerana zakat tidak mengurangkan wang simpanan ,ia hanya mengeluarkan hak orang miskin yang di dalamnya.

Insya-Allah mereka yang mengeluarkan zakat akan bertambah dan berkat rezekinya. Harus bagi penganut Islam di Malaysia melabur dalam ASB tetapi wajib mengeluarkan zakat.

Bagi penerima zakat ia mestilah terdiri daripada asnaf yang lapan. Adik beradik sah mendapat zakat jika ia dalam asnaf kerana mereka tidak termasuk orang yang wajib diberi nafkah atau dalam tanggungan.

Hanya orang yang berada dalam tanggungan saja tidak layak menerima zakat. Muzakarah jawatankuasa fatwa kali kelima pada November 1982 sudah memutuskan hukum zakat wang KWSP iaitu wajib dikeluarkan zakat bila cukup haul yakni setahun selepas penerimaannya berdasarkan mazhab Shafei.