.

10 Ogos 2009

KANAK-KANAK DALAM SAF SOLAT


Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

SOALAN

APAKAH hukum jika kita sembahyang Jumaat, dalam saf kita ada budak kecil yang belum baligh. Ini berlaku di masjid sekitar ibu kota. Apa pendapat Datuk?

MO SIANG

Bangi


JAWAPAN

Kanak-kanak dihargai dalam agama Islam seperti sabda Rasulullah yang bermaksud: “Bukan daripada kalangan kami sesiapa yang tidak menghormati orang tua dan bukan daripada kalangan kami juga sesiapa yang tidak merahmati budak kecil.”

Di negara Arab, kanak-kanak dibawa ke masjid dan bukan menjadi perkara yang janggal. Dalam hadis, baginda bersabda maksudnya: “Aku mendirikan solat (sebagai imam) dan aku berhasrat ingin memanjangkannya. Tiba-tiba aku mendengar tangisan bayi, maka aku segerakan solatku kerana aku tidak suka membebankan ibunya.” (Riwayat al-Bukhari)

Ini membuktikan orang Arab membawa kanak-kanak ke masjid. Sah solat bersama dalam saf berkenaan ada kanak-kanak. Jika jemaah itu membabitkan ramai dan beberapa kumpulan, sebaik-baiknya saf hendaklah diatur kerana Islam ialah agama yang mengajar disiplin dan peraturan hidup.

Aturan jemaah solat adalah seperti berikut: Imam, makmum lelaki dewasa, kanak-kanak lelaki, perempuan dewasa dan kanak-kanak perempuan. Sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW mengatur saf lelaki di depan saf kanak-kanak dan saf perempuan di belakang saf kanak-kanak.” (Riwayat Muslim)